Wednesday, July 09, 2014

Kak Pah : Seharum Jenazahnya.

http://www.youtube.com/watch?v=aMkEqm1risQ&feature=youtu.be

Permintaan terakhir Kak Pah
Datuk Sharifah Aini YA ALLAH, Kak Pah cakap pun Kak Pah hendak menangis,” demikian antara kata-kata terakhir Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ketika menjadi panel jemputan Rancangan Celik Hati bersama Profesor Dr Muhaya Mohamad di TV 9 yang lalu.

Jelas Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah, penampilan beliau yang lalu membuatkan beliau malu kepada ALLAH, dan berharap penampilannya yang lalu tidak lagi disiarkan oleh mana-mana pihak selepas ketiadaanya.

“Tengok YouTube dengan rambut dan penampilan saya… saya malu pada ALLAH, terlalu malu…saya malu pada ALLAH…tapi itu sudah lepas, hendak kata apa lagi.

“Jadi saya ada permintaan pada stesyen televisyen, kepada kawan-kawan media, kalau nak keluarkan gambar tolonglah jangan keluarkan gambar dulu, gambar yang tidak berhijab.

“Kasihan dekat kita semua, kami semua sudah ‘move on’ ke jalan Tuhan. Hendak jadi lebih baik, hendak dekat dengan ALLAH, setiap hari kami mencari keredaan ALLAH,” katanya.

Berbicara lanjut Kak Pah turut mengatakan bahawa kelahiran Aliff Omar Ali adalah suatu yang paling berharga baginya dan berharap Aliff menjadi imam bagi menyembahyangkan jenazahnya.

“Selama 40 tahun (dalam industri hiburan), waktu yang paling berharga bagi saya adalah melahirkan anak, bukan peminat, bukan populariti.

“Alhamdullilah Aliff berada di Madinah selama 11 tahun belajar, dan pada saya, hanya itu sahaja harta yang saya ada.

“Dalam perbincangan saya dengan Aliff kalau dia balik cuti, Aliff doa mami mudah-mudahan mami mati dekat pangkuan Aliff.

“… kalau ALLAH izinkan Aliff, Alifflah yang jadi imam untuk sembahyangkan jenazah mami… itulah harapan saya,” katanya.

Allhamdullilah hasrat Kak Pah tertunai apabila solat jenazahnya semalam diimamkan sendiri oleh Aliff di Masjid Al Taqwa Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 11.30 pagi .

Allahyarhamah meninggal pada usia 61 tahun kerana menghidap fibrosis paru-paru sejak dua tahun lalu dan kira-kira lima bulan lalu pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1).

Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur .

Al-Fatihah

Laporan SinarHarian di : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/permintaan-terakhir-kak-pah-1.296940

Tiga pesanan arwah Kak Pah
Oleh Nor Akmar Samudin
Kuala Lumpur: Pemergian biduanita tersohor negara, Datuk Sharifah Aini, 61, awal pagi Sabtu lalu akibat komplikasi paru-paru meninggalkan kenangan yang sarat di hati peminat dan kenalan rapatnya.
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat meninggalkan tiga pesanan iaitu jangan mengambil gambar jenazahnya, jangan membuka tutup muka dan beliau mahu anak tunggalnya, Aliff Omar, 32, mengimamkan solat jenazah. 
Bagaimanapun, mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai satu lagi ‘wasiat’ Allahyarham yang pernah diungkapkan sewaktu program Celik Hati Prof Muhaya disiarkan di TV9, Jun tahun lalu.

Dalam temu ramah dengan Prof Muhaya, beliau memberi pesanan kepada media agar tidak mengeluarkan video atau gambar lamanya yang tidak berhijab.
Foto
ALLAHYARHAM Sharifah Aini
Memetik kenyataannya dalam program itu, beliau membuat permintaan kepada stesen TV dan kepada rakan media, kalau nak siarkan gambarnya, jangan siarkan gambarnya yang tidak berhijab.

“Kesian kat kita semua. Kami semua dah ‘move on’. Kita tak kata kita baik, tapi kita nak jadi baik. Kita nak dekat dengan Allah SWT dan setiap hari kita mencari keredaan-Nya,” katanya.

Sebelum koma sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya Allahyarham menerusi rakan karibnya, Datuk Khalilah Mohd Talha yang juga Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Plus Expressway Berhad, memuat naik pesanan buat peminat khususnya mereka yang sering berinteraksi dengannya menerusi akuan facebook (FB) miliknya. 
Laporan MyMetro : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TigapesananarwahKakPah/Article/index_html

Lebih 2 ribu persembahan amal
Lebih 2 ribu persembahan amal

SEPERTI baru semalam kita menerima perkhabaran mengenai pemergian penyanyi Seri Dewi Malam ini kembali ke rahmatullah.

Meskipun sudah tiga hari berlalu, namun jasa dan perjuangan, Biduanita Negara ini kepada industri seni menjadikan kehilangannya sangat dirasai.

Sehinggakan semasa penghormatan terakhir, Allahyarhamah diziarahi ribuan saudara-mara, sahabat dan rakan artis yang mendoakan kesejahteraannya.

Sementelah doanya untuk meninggal di bulan suci dimakbulkan oleh ALLAH SWT dan tarikh 6 Julai 2014 Bersamaan 8 Ramadan 1435 Hijrah, ini menjadi sejarah buat seluruh peminat yang akan terus merindui suara merdunya.

Mendengar nama Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar atau lebih mesra dipanggil Kak pah, pasti ramai yang membayangkan lagu-lagu dendangan popularnya seperti Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru, namun hakikatnya tidak ramai yang benar-benar mengenali sisi peribadi beliau.

Bagi rata-rata rakan baik dan rakan seperjuangannya, Kak Pah adalah insan yang berhati mulia dan memiliki sifat dermawan yang sangat dikagumi terutama bagi mereka yang sering bekerjasama dengan beliau.  

Malah turut tercatat dalam Wikipedia, beliau pernah menjayakan 2,518 persembahan amal tanpa bayaran.

Ini turut disokong Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez yang  bekerjasama lebih 30 tahun bersama Allahyarhamah dalam industri ini.

Menurutnya, Kak Pah sememangnya dikenali sebagai artis yang gemar membuat kebajikan dan kerja-kerja amal.

"Sewaktu era 80 dan 90-an, beliau sangat aktif membantu golongan memerlukan terutamanya anak-anak yatim.

"Dia rajin mengumpul dana untuk didermakan, dengan harapan dapat meringankan bebanan mereka.

"Beliau juga sanggup melakukan pelbagai persembahan amal bagi mencapai misi tersebut tanpa meminta sebarang bayaran," katanya kepada Zass.

Juga berjaya mendidik satu-satunya anak tunggal beliau, Aliff Omar Ali sehingga bergelar tahfiz, maka tidak hairanlah jenazah Allahyarhamah dikatakan berbau harum.

Prihatin atas kesusahan rakan

Bertemu rakan-rakan Allahyarhamah ketika penghormatan terakhir beliau di  Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini, turut memberi peluang untuk kita mengenali lebih mendalam siapa Allahyarhamah di mata sahabatnya.

Menurut Mohd Shamsuddin Abdul Rahman @ Mimie Zarina, sepanjang 35 tahun dia mengenali anak kelahiran Johor itu, ia adalah sesuatu yang cukup berharga.

Momen indah ketika bersama tidak ternilai harganya dan akan diabadikan buat selamanya.

Katanya, walaupun sibuk dengan karier tetapi Allahyarhamah seorang yang sangat prihatin jika rakannya di dalam kesakitan atau kesusahan.

"Kalau dia tahu kawan-kawan sakit, dialah orang pertama  datang melawat. Dia sangat risau jika tidak tahu bagaimana keadaan kita.

"Semasa hayatnya dia bukan seorang yang kedekut bahkan sangat pemurah.

"Dia banyak membantu daripada segi kewangan dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, Allahyarhamah bukanlah seorang yang suka bercerita mengenai hal orang lain.

"Dia lebih selesa dengan rakan-rakannya, walaupun bukan semua berkesempatan menjadi sahabat baiknya tetapi arwah sebenarnya seorang yang sangat mesra," katanya.

Kuih tart jadi kegemaran

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Husin berkata, persahabatan yang terbina sejak 30 tahun lalu mengingatkan beliau kepada sifat dermawan yang ada dalam diri Allahyarhamah.

"Bagaimana saya boleh melupakan segala bantuan yang dihulurkan kepada saya ketika dalam kesusahan.

"Pernah sekali, dia memberi saya wang sebanyak RM2,000 dan waktu itu saya sebenarnya memang memerlukan bantuan kewangan," katanya yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah tiada gantinya.

Akui M. Daud, Allahyarhamah juga suka dengan masakan isterinya.

"Dia suka makan nasi beriani air tangan isteri saya, selain itu kuih tart juga menjadi kegemarannya," katanya mereka sekeluarga pasti merindui insan yang lebih mesra digelar Kak Pah itu.

Sedikit memori bersama, M. Daud memberitahu, Allahyarhamah pernah memberinya sebuah biodata yang diselitkan 100 lagu Allahyarhamah kepadanya.

"Dia berpesan supaya menyimpan biodata tersebut dengan baik dan jangan sesekali memberikannya kepada orang lain.

"Insya-ALLAH, amanat Allahyarhamah akan saya pegang dengan baik," katanya.

Laporan SinarHarian di : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/lebih-2-ribu-persembahan-amal-1.297386


Gemar buat kebajikan
Solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail semalam.PEMERGIAN biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar,  61, ke rahmatullah benar-benar mengemparkan industri seni tanah air dan peminatnya.

Siapa sangka dalam bulan penuh berkat ini, Ramadan, Allahyarhamah Sharifah Aini pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira jam 12.10 minit tengah hari semalam, jenazah Allahyarhamah turut diiringi ahli keluarga serta anak tunggalnya, Aliff Omar Ali dan saudara-mara.

Bahkan rakan artis dilihat turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan, Nasir Wahab, Datuk DJ Dave, Herman Tino, Hail Amir, Uji Rashid, Rohana Jalil, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datin Umie Aida.

Menurut bekas suaminya, Ali Bakar, 62, pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar baginya.

Katanya, sepanjang hidup bersama, Allahyarhamah seorang yang sangat manja dan penyayang.

"Dia juga seorang yang amat pemurah, sejak dia melibatkan diri dalam industri seni sehingga ke akhir hayatnya, dia gemar membuat kebajikan kepada yang memerlukan," katanya sempat menjenguk Sharifah Aini ketika Allahyarhamah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya tiga hari lalu.

Ali bagaimanapun masih terkejut kerana tidak menyangka arwah akan meninggalkannya secepat ini.

"Saya mendapat panggilan telefon daripada Aliff pagi semalam mengenai perkara ini, saya memang terkejut walaupun saya tahu dia berada dalam koma sebelum ini," katanya terlalu banyak kenangan manis ketika mereka bersama.

Terdahulu, Sharifah Aini telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Pusat Rawatan Pakar Damansara, Isnin lalu selepas mengadu sukar bernafas akibat penyakit fibrosis paru-paru.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam ini menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 1.26 pagi semalam dan telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail sebagai penghormatan terakhir.

Laporan SinarHarian di : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/allahyarham-sharifah-aini-gemar-buat-kebajikan-1.296784

Sempat masak jamu rakan walaupun tidak sihat
PENYANYI, DJ Dave yang merupakan salah seorang sahabat karib Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mengakui sempat merasai masakan Allahyarham tiga minggu lepas.

Tidak bersendiri, DJ Dave hadir bersama Khadijah, Mas Omar serta Zur Eda atas permintaan Allahyarham sendiri.

Menurut DJ Dave, Allahyarham memaklumkan, beliau tidak sihat namun sempat memasak dan menjamu mereka.

"Kami semua memberikan kata-kata semangat kepadanya," katanya sambil menambah beliau tidak menyangka Sharifah Aini akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Beliau berkata sebagai rakan seperjuangan, Allahyarham terkenal sebagai seorang yang komited dalam kerjaya dan tidak pernah berputus asa.

DJ Dave, yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), turut menyampaikan sumbangan khairat kematian RM3,000 kepada keluarga Allahyarham. 

Jenazah Allahyarham yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr Ismail pukul 11.30 pagi sebelum disemadikan pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pukul 1.26 pagi setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Pakar Damansara sejak Selasa lepas kerana kesukaran bernafas.

Sementara itu, bagi Mas Omar, antara sifat terpuji Sharifah Aini ialah suka membantu mereka yang dalam kesusahan dan orang kurang upaya.

Beliau bersyukur kerana dapat menemukan Allahyarham dengan rakan seperjuangan seperti Fauziah Latif, Nassier Wahab, Herman Tino dan Nash baru-baru ini apabila Allahyarham melahirkan keinginan untuk bertemu mereka.

"Saya memenuhi permintaannya itu dan Allahyarham kelihatan sangat gembira... Arwah banyak berbual dengan mereka bila mereka dipertemukan," katanya.

Sementara itu, peminat setia Sharifah Aini iaitu Rasyidah Abdullah, 60-an, pernah menerima bantuan kewangan daripada Allahyarham untuk membeli makanan.

"Arwah pernah memberi wang agar saya dapat menikmati makanan, arwah pernah memberi saya wang RM100 dan RM200, saya tidak akan lupa jasa baik arwah," katanya. – Bernama

Laporan SinarHarian di : http://www.sinarharian.com.my/hiburan/sempat-masak-jamu-rakan-walaupun-tidak-sihat-1.296674http://www.youtube.com/watch?v=aMkEqm1risQ&feature=youtu.be

No comments: