Tuesday, August 09, 2011

NOSTALGIA : PEMBUNUHAN CANNY ONG LAY KIAN

ARKIB UTUSANONLINE : 10/02/2004
 

Pendakwa kemuka 26 bahan bukti kes bunuh


SHAH ALAM 9 Feb. - Pendakwa raya hari ini membawa sebanyak 29 bahan bukti untuk dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan terhadap pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris yang dituduh membunuh Canny Ong Lai Kian.
Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin bagaimanapun hanya sempat mengemukakan sebanyak 18 bahan bukti tersebut melalui saksi pendakwa ke 27, Primulapathi Jaya, 51, ketua bahagian Serologi dan DNA Jabatan Kimia, Petaling Jaya, Selangor.
Perbicaraan itu yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee masuk hari ke-14 hari ini.
Primulapathi yang memulakan keterangannya kira-kira pukul 10.30 pagi ini memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat kes itu iaitu Asisten Supritendan, S. Muniandy untuk menganalisis profil Deoxyrido Nucleic Acid (DNA) contoh darah, tulang sum-sum dan tisu otot kaki serta rambut yang berlabel unknown (tidak diketahui).
Contoh-contoh tersebut, menurut saksi itu diterima pada 19 Jun tahun lalu, iaitu lima hari selepas Canny ditemui mati dirogol dan dibunuh serta dibakar.
Menurut Primulapathi, analisis itu dilakukan untuk membuat perbandingan dengan contoh darah milik bapa Canny, Ong Bee Jeng @ Ong Chew Cheng dan ibunya, Pearly Visvanathan untuk mengenal pasti si mati.
Disoal dalam pemeriksaan utama oleh Salehuddin, saksi itu memperincikan satu demi satu bahan-bahan bukti yang dianalisisnya.
Antaranya, Primulapathi memberitahu bahawa beliau kemudiannya telah menerima 10 sampul surat berikutnya daripada polis pada keesokann hari iaitu pada 20 Jun tahun lalu.
Menurut beliau, antara bahan bukti yang diberikan kepadanya ialah potongan kusyen kereta yang terlekat padanya kesan darah manusia, enam helai rambut dan potongan getah penutup bagi but kereta yang mengandungi air mani.
Selain itu, kata Primulapathi, beliau turut menganalisis contoh kain yang dikatakan ditemui pada pergelangan tangan dan leher Canny, seluar jeans, baju dan contoh tisu yang diambil dari faraj si mati.
Turut dianalisis ujar Primulapathi, ialah 12 bahan bukti yang dibungkus dalam paket dan tujuh sampul surat yang diterimanya pada 26 Jun tahun lalu.
Beliau bagaimanapun hanya sempat memperincikan satu daripada 12 isi kandungan bahan-bahan tersebutpada sesi sebelah petang.
Menurut Primulapathi, ia mengandungi sehelai baju sejuk bertulis Cambridge (buatan Malaysia) dan berwarna biru gelap serta mempunyai kesan darah, air mani dan juga fiber.
Kesemua bahan bukti tersebut sebelum ditandakan sebagai bahan bukti mahkamah terlebih dahulu ditunjukkan kepada peguam utama, Muhammad Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Ahmad Najib bersama empat peguam lain.
Ahmad Najib, 28, dibicarakan atas tuduhan membunuh dan merogol Canny, 29, pada pukul 1 pagi dan 5 pagi, 14 Jun tahun lalu di Batu 7, Jalan Klang Lama dekat sini.
Pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB UTUSANONLINE : 11/02/2004

Keserupaan DNA buktikan kesan air mani milik Najib


SHAH ALAM 10 Feb. - Seorang ahli kimia dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengesahkan beliau dapat membuat kesimpulan bahawa Asid Dioksiribonukleik (DNA) kesan air mani yang ditemui dalam faraj Canny Ong Lai Kian adalah serupa dengan DNA spesimen darah tertuduh, Ahmad Najib Aris.
Primulapathi Jaya, 51, berkata: ``Oleh kerana semua allele daripada 16 loci genetic DNA kesan air mani adalah bersesuaian dengan profil DNA spesimen darah yang dilabelkan sebagai Ahmad Najib, ini menunjukkan air mani dan darah tersebut datang daripada satu sumber yang sama''.
Beliau memberitahu demikian ketika memberi keterangannya sebagai pakar bidang DNA pada perbicaraan kes pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib, 28, yang menghadapi tuduhan membunuh dan merogol Canny, 29, dari San Diego, Amerika Syarikat.
Ahmad Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 1 pagi dan 5 pagi, 14 Januari tahun lalu di Batu 7, Jalan Klang Lama dekat sini.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee masuk hari ke-15 hari ini.
Ahmad Najib diwakili empat peguam bela yang diketuai oleh Muhammad Hanif Khatri Abdulla sementara Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin mengendalikan pendakwaan.
Ketika disoal mengenai lain-lain hasil ujiannya, Primulapathi menyatakan bahawa beliau juga mendapati spesimen darah berlabel unknown, tulang sum-sum dan spesimen tisu otot yang diuji menunjukkan bahawa 99.99 peratus pemiliknya adalah biological daughter (anak kandung perempuan) pasangan, Ong Bee Jeng @ Ong Chew Cheng dan Pearly Visvanathan.
Menurut Primulapathi, tiada seorang pun memiliki DNA profil yang serupa dengan profil DNA orang lain melainkan pasangan kembar yang sama jantinanya.
Terdahulunya, Primulapathi memberitahu mahkamah bahawa beliau turut diminta menganalisis satu tayar kereta (yang telah bocor) bersama rim, kondom, rambut, percikan darah pada dua buah konkrit, kain yang berada di leher Canny dan beberapa bahan bukti yang lain seperti seluar jeans jenama Jack Blue Classic saiz 28 yang mempunyai kesan darah.
Sebelum itu, Muhammad Hanif memohon supaya mahkamah menyediakan jurubahasa Melayu untuk menterjemahkan keterangan saksi yang diberikan dalam Bahasa Inggeris.
Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB UTUSANONLINE : 14/02/2004

Tidak mungkin DNA air mani bercampur - Saksi


SHAH ALAM 13 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mendengar keterangan seorang ahli kimia diberitahu bahawa tiada kemungkinan yang Deoxyrido Nucleic Acid (DNA) air mani boleh bercampur dengan sel epithelial (sel dinding faraj) ketika proses pengasingan dilakukan melainkan ada campuran bahan kimia.
Primulapathi Jaya, 51, saksi pendakwa ke-27 yang memberi keterangannya sejak Isnin lalu berkata, pada akhir analisis tersebut, apa jua profil yang timbul adalah sel daripada DNA air mani lelaki.
Menurut saksi itu, ketika proses pengasingan dilakukan, sampel lelaki akan diuji terlebih dahulu sebelum wanita.
Selain itu katanya, pada bahagian DNA wanita, mungkin hanya memperoleh sel wanita sahaja ataupun kombinasi sel kedua-duanya.
Ditanya sama ada cecair darah yang telah dijadikan bahan bukti mahkamah itu masih sesuai untuk uji kaji seterusnya, Primulapathi berkata bahawa ia memang sudah tidak sesuai lagi untuk sebarang ujian.
Katanya, selepas kesemua sampel yang kini menjadi bahan bukti pada perbicaraan terhadap tertuduh, Ahmad Najib Aris, ia tidak dihantar menjalani analisis lain untuk mencari pendapat pihak ketiga.
Ahmad Najib, 28, seorang pencuci kabin kapal terbang sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh dan merogol Canny Ong Lay Kian, 29, penganalisis teknologi maklumat, dari San Diego, Amerika Syarikat.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun tahun lalu di Batu 7, Jalan Klang Lama dekat sini.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh menghadapi hukuman gantung sampai mati jika mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas tuduhan tersebut.
Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee masuk hari ke-18 hari ini.
Tertuduh diwakili oleh lima peguam bela yang diketuai oleh peguam Muhammad Haniff Khatri Abdulla.
Dalam keterangan seterusnya, Primulapathi menjelaskan, tidak perlu baginya mengklasifikan kumpulan darah sesuatu sampel yang dianalisisnya.
Setelah hampir 3 jam pemeriksaan balas dijalankan oleh Haniff, Hakim Muhamad Ideres mengarahkan peguam itu menyambung semula sesi itu pada sebelah petang iaitu selepas solat Jumaat.
Haniff: ``Bolehkah saya menyambung selama 15 minit lagi sebelum mahkamah berhenti bersidang?''
Hakim Ideres: ``Bukankah segera ke masjid itu sunat hukumnya? Lagipun Jumaat hanya datang sekali seminggu sahaja. Kita sambung pada sesi petang''
Sejurus sebelum prosiding waktu petang berakhir, Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil seorang lagi saksi sebelum mendengar keterangan daripada ahli patologi.
Perbicaraan bersambung pada 24 Februari depan.

ARKIB UTUSANONLINE : 19/03/2004

Mayat Canny rentung kaki terjuntai - Saksi


SHAH ALAM 18 Mac - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa mayat Canny Ong Lay Kian telah dijumpai rentung terbakar dengan tulang kaki terjuntai keluar dari sebuah lubang, manakala bahagian kepala hingga ke lututnya terperosok dalam longkang yang bertutup.
Sementara dua belah tangan Canny dalam keadaan bersilang seolah-olah menutup buah dadanya.
Ketua Unit Forensik, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Deputi Supritendan Amidon Anan memberitahu bahawa mayat Canny yang begitu keadaannya telah ditindih pula dengan dua biji tayar dan sekeping papan ketika ia (mayat) mula-mula dijumpai dalam sebuah lubang.
``Yang Arif, ketika itu saya tidak tahu jantina mayat tersebut kerana telah rentung.
``Namun setelah saya mengangkat dan meraba sedikit di bahagian bawah tangannya, saya pasti ia adalah mayat seorang wanita,'' katanya.
Menceritakan semula penemuan mayat itu, Amidon menyatakan bahawa sebaik sahaja dua biji tayar dan papan tersebut dikeluarkan dari lubang, kelihatan satu mayat yang ketika itu tidak diketahui jantinanya.
Namun begitu, tambah Amidon, kedua-dua tangan mayat berada di atas dada, seolah-olah menutup bahagian payu daranya.
Seterusnya, Amidon menyatakan bahawa selepas turun ke dalam lubang untuk melihat sendiri keadaan mayat, beliau telah mengarahkan seorang anggotanya mengutip tulang-tulang bahagian kaki yang telah terjuntai sebelum mayat di alas dengan papan untuk dibawa naik ke atas dan dibungkus dan seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan, S. Muniandy.
Amidon sebelum ini pernah memberikan keterangan selaku saksi pendakwa ke-15, berhubung beberapa bahan bukti dan imej-imej yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Beli Belah Bangsar (BSC).
Saksi itu yang baru keluar dari hospital kerana menghidap serangan jantung, hari ini memberikan keterangannya berhubung beberapa perkara lagi yang beliau terlibat secara langsung dalam siasatan kes pembunuhan Canny.
Amidon yang hadir dengan ditemani isterinya, diminta supaya duduk sambil mengangkat sumpah di hadapan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee.
Kepakarannya dalam bidang forensik itu diperlukan untuk membantu mahkamah yang sedang mendengar perbicaraan terhadap pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris yang didakwa merogol dan membunuh penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian dari San Diego, Amerika Syarikat.
Ahmad Najib didakwa melakukan pembunuhan itu pada pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun tahun lalu di Batu 7, Jalan Klang Lama dekat sini.
Tertuduh itu yang dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh dihukum gantung sampai mati sekiranya disabitkan dengan kesalahan.
Perbicaraan masuk hari ke-24 hari ini. Sepanjang perbicaraan Ahmad Najib diwakili oleh lima peguam bela yang diketuai oleh Muhammad Hanif Khatri Abdulla.
Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin yang mengendalikan pemeriksaan utama terhadap Amidon seterusnya meminta beliau menerangkan pula mengenai pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kereta Proton Tiara nombor pendaftaran, WFN 6871.
Amidon: ``Selepas ia (kereta) diperiksa, saya menjumpai dua kesan tompokan darah iaitu di bahagian tempat duduk belakang, sebelah kiri bersama enam helai rambut panjang. Kesan darah juga terdapat di tempat duduk pemandu. Sekeping tiket parking BSC Bangsar juga terletak di atas dashboard.''
Seterusnya, tambah Amidon, beliau telah memeriksa bahagian but kereta dan ternampak dua tompokan yang berkilauan apabila disuluh dengan lampu forensik. Ketika itu, jelas Amidon, beliau percaya ia adalah tompokan air mani.
Menerangkan lebih lanjut mengenai proses forensik iaitu selepas super gluing dilakukan dalam kereta tersebut, Amidon berkata, beliau menemui sembilan kesan cap jari pada kenderaan itu serta pembungkus kondom jenama Saga dan sepasang kasut wanita di bahagian tempat duduk di sebelah pemandu.
Namun jelas saksi itu, cap jari yang ditemui bagaimanapun tidak dihantar ke Bukit Aman iaitu di bahagian Sistem Mengenalpasti Cap Jari kerana ia tidak memuaskan.
Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB : 19/05/2004
Saksi: Tertuduh orang terakhir dilihat bersama Canny

SHAH ALAM 18 Mei - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tiada orang lain yang terlibat dalam kes pembunuhan Canny Ong Lay Kian melainkan Ahmad Najib Aris memandangkan tertuduhlah orang terakhir dilihat bersama mangsa sebelum mendiang dibunuh dan dibakar selepas dirogol.
Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan, S. Muniandy berkata, pendapat tersebut bukan semata-mata berlandaskan kepada keterangan saksi yang melihat mereka, bahkan berdasarkan keterangan keseluruhan yang disokong pula oleh laporan pakar seperti kimia dan bedah siasat.
Diminta supaya beliau memberikan penjelasan terperinci mengenai hasil siasatannya itu, Muniandy menyatakan bahawa lima orang saksi telah berjaya mengecam Ahmad Najib manakala tiga daripada mereka pula dapat mengecam mendiang melalui gambar yang ditunjukkan.
Saksi-saksi tersebut, menurut Muniandy ialah Azizam Ismail (lelaki yang mengaku melarikan telefon bimbit daripada kereta Proton Tiara, WFN 6871 yang ditinggalkan di Jalan Klang Lama sebelum menjualnya).
Pengecaman secara positif juga kata Muniandy, telah dibuat oleh dua anggota polis yang menerima kad pengenalan daripada Ahmad Najib dan Canny di Taman Perindustrian Jaya sebelum tertuduh memecut kenderaan tersebut.
Begitu juga dengan saksi, Aminah Ishak, menurut Muniandy, telah mengecam tertuduh dalam kawad cam pada 25 Jun tahun lalu.
Aminah juga telah mengenal pasti Canny melalui gambar mendiang, sebagai wanita yang dilihat bersama Ahmad Najib ketika tertuduh cuba menukar tayar kereta yang pancit di depan bangunan Bali pada 14 Jun tahun lalu.
Di samping itu ujar Muniandy, tertuduh turut dicamkan oleh seorang lagi anggota polis iaitu Lans Koperal Yashak Kosmin yang mengambil `laporan palsu' dari Ahmad Najib kononnya dia telah kehilangan kad pengenalan.
Muniandy berkata, beliau juga tidak ketinggalan menyiasat mengenai kehadiran sebuah kereta berwarna merah di tempat kejadian seperti yang didakwa oleh tertuduh, namun hasil siasatan adalah negatif.
Disoal lagi oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin mengenai sebentuk cincin yang didakwa tersarung di jari mendiang, Muniandy berkata, sepanjang siasatan, beliau tidak pernah menemui cincin mahupun sebuah beg tangan yang dikatakan milik Canny, sekali pun selepas menggeledah lubang tempat mayat dijumpai.
Namun begitu, Muniandy berkata: ``Berdasarkan siasatan, Ahmad Najib memang didapati telah melarikan Canny dan merogol mendiang sebelum membunuhnya.''
Kenyataan dan kesimpulan tersebut menurut Muniandy juga dibuat dengan berdasarkan pengakuan tertuduh di hadapan majistret dan keputusan ujian DNA iaitu air mani dalam kemaluan Canny disahkan milik Ahmad Najib.
Begitulah juga, kata Muniandy, darah yang melekat pada seluar jeans milik Ahmad Najib yang dirampas di rumah tertuduh turut disahkan milik Canny.
``Imej Ahmad Najib pula, telah disahkan melalui rakaman oleh kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC),'' kata Muniandy.
Kain yang dijumpai terbelit di leher dan tangan mendiang, pula katanya, salah satu daripadanya serupa dengan kain pembersih cermin pesawat.
Beliau memberikan keterangan itu pada perbicaraan terhadap Ahmad Najib, 28, seorang pencuci kabin kapal terbang syarikat Susur Asia Sdn. Bhd., yang dituduh merogol dan membunuh Canny, 29, penganalisis teknologi maklumat.
Ahmad Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun tahun lalu di Batu 7, Jalan Klang Lama dekat sini.
Tertuduh itu dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang masuk hari ke-45 hari ini didengar di hadapan Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee.
Menjawab soalan dalam pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, Muniandy berkata, beliau tidak membuat siasatan mengenai siapakah orang yang membiayai pelajaran Canny di Amerika Syarikat kerana maklumat itu tidak penting baginya.
Tambahan pula, kata Muniandy, Canny mati ketika berusia 29 tahun sedangkan pembiayaan pelajaran tersebut dianggarkan ketika mendiang berusia 19 tahun.
``Saya tidak setuju bahawa pembiayaan pelajaran oleh seseorang (peguam kaya) yang tidak mempunyai pertalian darah dengan mendiang sebagai suatu yang pelik,'' kata Muniandy.

Haniff: ``Tidakkah kamu siasat sama ada penderma berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan mendiang dan dari manakah sumber kewangannya?''
Muniandy: ``Maklumat mengenai penderma ini tidak penting kerana jika benar pun ia sudah lama berlaku. Lagi pun di Malaysia kini, derma suatu fenomena biasa.''
Haniff: ``Adakah kamu siasat sama ada orang itu (penderma) mempunyai motif untuk membunuh Canny?''
Muniandy: ``Perkara itu tidak relevan bagi saya.''

Saksi itu, menyatakan sekali lagi bahawa beliau yakin tiada orang lain selain tertuduh yang mempunyai akses kepada Canny selepas 14 Jun tahun lalu.
Kata Muniandy, untuk kepastian beliau telah menemu bual pekerja-pekerja di tapak pembinaan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE).
Ditanya pula sama ada Muniandy tahu ataupun diberitahu oleh rakan-rakan Canny bahawa mendiang pernah mengatakan kepada mereka, dia tidak merasa selamat ketika berada di sini.
Jawab saksi itu, beliau tidak tahu.
Haniff kemudiannya menunjukkan keratan akhbar Malay Mail bertarikh 25 Jun tahun lalu kepada Muniandy sebelum saksi itu mengesahkan yang beliau tidak pernah membaca kandungan petikan tersebut.
Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB : 22/10/2009

Pembunuh Canny kekal ke tali gantung


PUTRAJAYA 21 Okt. - Hayat bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris kekal berakhir di tali gantung setelah dia gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk menyemak sabitan dan hukuman mati yang diputuskan terhadapnya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum berpuas hati bahawa fakta kes itu cukup kuat untuk mensabitkan Ahmad Najib, 33, terhadap kesalahan membunuh penganalisis maklumat, Canny Ong Lay Kian, 29.
Beliau yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk James Foong Cheng Yuen dan Datuk Heliliah Mohd. Yusof sebulat suara mendapati bukti kukuh itu tidak memungkinkan mahkamah membuka 'pintunya' bagi membenarkan keputusan terdahulu, disemak.
Dengan keputusan itu, Ahmad Najib gagal mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, empat tahun lalu dan keputusan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkannya.
Selesai mahkamah bersidang, Ahmad Najib dilihat mendengar dengan teliti penjelasan peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebelum menerima ciuman di kedua-dua pipi daripada ibunya, Rapipah Ahmad sejurus sebelum meninggalkan mahkamah.
Pada 27 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan terakhir Ahmad Najib, sekali gus mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Februari 2005.
Selain hukuman mati, mahkamah mengekalkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 10 kali kerana merogol mangsa.

Dia melakukan kedua-dua perbuatan itu antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun 2003 di Batu 7, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.
Ahmad Najib yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan permohonan agar panel hari ini menggunakan kuasa semakan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Dalam hujahannya, Mohamed Haniff Khatri berkata, Mahkamah Persekutuan terdahulu tersilap ketika menerima laporan kimia mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai bukti kes yang mengaitkan penglibatan anak guamnya.
Beliau menyatakan, penerimaan mahkamah terhadap laporan kimia itu boleh dipertikaikan kerana kaedah yang dibuat menerusi komputer bercanggah dengan Seksyen 90A Akta Keterangan.
''Ujian DNA itu merupakan satu-satunya bukti yang boleh mengaitkan Ahmad Najib. Tanpanya, tiada keterangan ikut keadaan lain yang boleh digunakan untuk menguatkan sabitan terhadapnya,'' ujar beliau.
Mahkamah Persekutuan sebelum itu berpuas hati ujian DNA terhadap sepasang seluar jeans yang dipakai Ahmad Najib didapati mengandungi percikan darah Canny dan ia cukup kuat bagi membuktikan dia bertanggungjawab membunuh mangsa.

3 comments:

31100109 said...

very useful ...

Unknown said...

Sedap satu malam saja hantam anak orang, sebulan selepas tu tali gantung la jawabnya..

Unknown said...

Sedap satu malam saja hantam anak orang, sebulan selepas tu tali gantung la jawabnya..