Monday, July 18, 2011

TAKDIR ALEESYA FARHANA

Ashraf kempunan jadi Aleesha



KUALA TERENGGANU – Impian seorang lelaki untuk menukar namanya kepada nama seorang wanita tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonannya.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pemohon, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, tiada hak untuk menukar status jantina lelaki kepada perempuan pada sijil kelahiran mahupun MyKad miliknya.
Mohd Ashraf yang berasal dari sini bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horly Isaach.
Menurut Mohd. Yazid, permohonan pemohon yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin serta kewujudan organ dalaman.
“Mahkamah perlu membuat pertimbangan berhati-hati kerana kes ini merupakan satu kes yang sensitif dan jika dibenarkan ia akan memberi impak besar kepada masyarakat,” kata beliau.

Bagaimanapun, Mohd. Yazid berkata, setelah meneliti permohonan pemohon, mahkamah mendapati tidak mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan deklari bersabit penukaran gender dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon untuk menukar status jantina dalam Sijil Kelahiran ataupun MyKad.
“Apabila seseorang itu dilahirkan sebagai lelaki, maka tiada asas untuk menukar status jantinanya kepada perempuan,” kata beliau ketika membacakan keputusan itu.
Jelas Mohd. Yazid lagi, pemohon mungkin telah memiliki fizikal atau psikologi seorang wanita namun ia bukanlah asas dalam menukar atau mengubah status jantina pada Sijil Kelahiran ataupun MyKad.
“Laporan perubatan dan pembedahan penukaran jantina juga tidak boleh dijadikan hujah untuk membenarkan permohonan ini kerana tiga faktor yang perlu diambil kira adalah faktor kromosom, kewujudan alat kelamin semasa dilahirkan serta kewujudan organ dalaman,” ujarnya.

'Aleesya'  masuk ICU

29/07/2011 9:02pm

KUALA TERENGGANU - Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesya Farhana, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kerana mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.
Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika ditemui di hospital itu berkata anaknya mengalami muntah teruk dan tidak sedarkan diri kira-kira 3 pagi tadi.
"Aleesya kini dalam keadaan stabil. Doktor mengesahkan dia mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ”unstable angina with cardiogenic shock”,” katanya.
Beliau berkata, anaknya itu mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak.
Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Terengganu menolak permohonan Mohd. Ashraf Hafiz, 25, selaku pempetisyen setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman. - Bernama

Ashraf Hafiz Aziz @ Aleesya meninggal dunia

30/07/2011 2:46pm

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, 5 pagi tadi.
Beliau dimasukkan ke hospital itu 3 pagi semalam setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.
Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika dihubungi berkata, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan selepas waktu Zohor.
Katanya, beliau menunggu kepulangan anggota keluarga yang lain untuk membincangkan di mana jenazah allahyarham akan dikebumikan.
Semalam beliau berkata, doktor mengesahkan anaknya mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau ”unstable angina with cardiogenic shock”.
Katanya, Mohd Ashraf Hafiz, 25, sebelum ini mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak pada 18 Julai lalu.
Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam MyKadnya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu. – Bernama

"Aleesya" Dikebumi sebagai seorang lelaki


ABDUL AZIZ Ahmad memerhatikan isterinya yang hanya mahu di kenali sebagai Mak Yah menyiram air mawar ke atas pusara Mohd. Ashraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.
Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.
“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.

Ucapkanlah  Al-Fatihah sebagai sedekah buat Allaryarham Asyraf... AL-FATIHAH !!

No comments: