Sunday, June 29, 2014

Hanya Sufiah Yang Tahu ( Koleksi Laporan KOSMO 2008)



PERJALANAN hidupnya sangat berliku walaupun dianugerahkan otak yang cukup pintar dalam matematik serta ditambah dengan wajah menarik. Namun kejayaan memasuki Universiti Oxford yang tersohor itu pada usia 13 tahun seolah-olah tidak memberi apa-apa kelebihan kepada Sufiah Yusof (gambar) dalam meniti hari dewasanya.
Lebih menyedihkan, menginjak usia 23 tahun, Sufiah yang sepatutnya mampu hidup sebagai wanita kaya dengan kepintarannya, kini terjerumus ke dalam pekerjaan hina iaitu pelacur di Britain.
Kehidupan jalanan Sufiah di flat murah di Salford, Manchester berjaya dibongkar oleh seorang wartawan akhbar tabloid popular, News of the World, Keith Gladdis yang menyamar sebagai pelanggan.
"Anda mahu mulakan sekarang?," soal Sufiah kepada wartawan itu sambil menari di atas katil sebelum menanggalkan satu persatu pakaian dan mendedahkan tubuhnya yang montok itu.
Dengan caj sekitar £130 (RM830) untuk satu jam, wartawan tersebut menyifatkan 'pekerjaan' baru Sufiah itu langsung tidak berbaloi dengan apa dimiliki gadis yang mempunyai senyuman menawan ini.
REJIM pembelajaran dan kehidupan yang mengongkong dikatakan punca keluarga ini berhadapan dengan konflik.


Hakikatnya, rutin perjalanan Sufiah sejak kecil sememangnya tidak pernah secerah otak yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Kemelut hidup gadis ini mula mendapat perhatian apabila Sufiah bertindak nekad melarikan diri daripada jagaan ibu bapanya dan bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di London pada tahun 2000.
"Cukuplah penderitaan mental dan fizikal selama 15 tahun yang saya hadapi," luahnya dalam satu nota kepada keluarganya.
Lebih menjerihkan apabila bapanya, Yusof Farooq, 50, baru sahaja dipenjarakan tahun lalu kerana mencabul dua remaja berusia 15 tahun yang datang belajar kelas tambahan matematik di rumahnya.
Insiden tersebut sekali gus mencemarkan reputasi Yusof sebagai pencetus teknik pembelajaran genius dalam bidang matematik dan akibatnya, dia kini meringkuk di Penjara Coventry selama 18 bulan.
Yusof juga pernah dipenjarakan selama tiga tahun pada 1992 kerana penyelewengan sebanyak £1.5 juta dan sekali lagi dimasukkan ke pusat pemulihan kerana konspirasi menggelapkan wang sebanyak £100,000.
Semasa di Universiti Oxford, pada usia 19 tahun, Sufiah jatuh cinta dengan peguam pelatih, Jonathan Ebrahim Marshall.


Namun anak kepada seorang wanita Malaysia, Halimahton Yusof itu terus dirundung malang apabila perkahwinan yang disangkanya dapat menyelamatkan kehidupannya turut kecundang.
Perkahwinan mereka cuma mampu bertahan selama setahun akibat pelbagai masalah.
Kini, di dalam sebuah flat kecil dan menyedihkan, Sufiah yang menggunakan nama samaran Shilpa Lee meneruskan hidup dengan menjual tubuh serta promosi melalui laman web untuk membayar sewa rumahnya.
Dengan tiga buah telefon bimbit, skirt pendek, baju seksi dan but kulit, Sufiah yang dulunya amat mentaati ajaran Islam kini giat mencari pelanggan hinggalah bertemu Gladdis minggu lalu.
"Ia sentiasa menjadi satu kejutan dengan siapa yang anda bakal jumpa," akui Sufiah pada Gladdis.
Jelas Sufiah lagi, dia melakukan pekerjaan itu bersendirian termasuk seks oral tanpa sebarang perlindungan kondom dan keselamatan diri yang jelas.
SUFIAH bersama seorang adiknya. Di sebalik senyuman manis Sufiah, rupa-rupanya tersembunyi tekanan yang hanya dia mengerti.


Berbekal aksi ghairah di pintu masuk flatnya, Sufiah ketawa dan berjenaka semasa memimpin Gladdis ke rumahnya yang tersedia sebuah katil.
Sufiah menyatakan perkhidmatannya itu bernilai £130 untuk sejam dan menawarkan wartawan tersebut segelas air sebelum memainkan muzik perlahan menerusi corong radio.
Kemudiannya dengan tangan terketar-ketar, dia menanggalkan coli bertali merah bersama seluar dalamnya dan menari riang di atas ranjang kecil itu.
Selepas Gladdis menolak, Sufiah mendakwa dia kononnya belajar sarjana ekonomi separuh masa selama dua tahun di London. Gadis pintar ini memberitahu: "Saya akan hadapi peperiksaan tidak lama lagi 'Oh Tuhanku!"
Menggambarkan keluarganya sebagai naif dan pengongkong, Sufiah tidak menunjukkan rasa sedih atas apa yang menimpa bapanya.
Hari ini, sudah jelas kehidupan anak perempuan seorang cerdik pandai yang lari daripada kongkongan rejim keras keluarga, telah rosak. Seorang rakannya turut mengiyakan pandangan itu.
Ketika ditemui wartawan tersebut, rakannya itu dengan kesal berkata: "Sufiah sudah lama menderita dalam hidupnya. Saya cuma berharap dia keluar daripada maksiat itu dan kembali ke pangkal jalan.
"Secara jujur, Sufiah seorang yang baik dan berhak menikmati era kehidupan yang lebih baik daripada sekarang. Malangnya, bakatnya sudah menjadi satu sumpahan keluarganya."
Biarpun pahit, ibunya mengesahkan Sufiah memang telah menjadi pekerja seks dalam pengakuannya kepada Pengerusi Persatuan Melayu United Kingdom, Hamidi Abdul Rahman sewaktu satu pertemuan di London, 2 April lalu.


Berita mengaibkan ini disahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim kelmarin, yang menerima e-mel Hamidi, susulan usaha khas kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan Sufiah.
Bagaimanapun, lokasi sebenar gadis itu gagal dikenal pasti kerana Akta Perlindungan Data Britain tidak membenarkan akses terus mencari maklumat mengenai individu di negara tersebut.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0406&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz3657fgAl8 


Hakcipta terpelihara 


Pilihan Sufiah bukan kerana keluarga

GAMBAR fail Sufiah yang dimuatkan di laman web hyusof.com ketika dia meraikan hari lahirnya.



KUALA LUMPUR - Gadis genius matematik, Sufiah Yusof memutuskan untuk menjadi seorang teman sosial bukan kerana trauma akibat dikawal oleh ibu bapanya selama beberapa tahun, kata adiknya, Iskander Yusof.
Menurutnya, Sufiah, dia dan saudaranya yang lain bebas menentukan apa yang mereka kehendaki untuk diri sendiri dalam kehidupan mereka berbanding kanak-kanak lain.
"Sebagai contoh, saya memasuki universiti ketika saya berumur 12 tahun dan selain kediaman, saya mengendalikan hampir keseluruhan hidup saya. Saya mengatur jadual saya, memilih kawan saya, memilih pilihan politik sendiri, makanan dan lain-lain," katanya dalam laman web keluarganya.
"Saya pernah tidak bersetuju dengan ibu bapa saya dalam pelbagai isu dan tidak ada sesiapa menghadapi masalah mengenainya," tambahnya.
"Sufiah dibesarkan hampir sama dengan kami semua dan anda tidak melihat sesiapa (antara keluarga kami selain Sufiah) yang lari dan menjadi teman sosial," katanya.
"Ya, bapa saya, mencetuskan beberapa masalah tetapi pada akhirnya anda perlu bertanggungjawab terhadap tindakan anda.
"Anda tidak boleh menyalahkan keluarga anda, rakan, kerajaan atau sesiapa berhubung keputusan yang anda lakukan.
"Untuk bertindak adil, saya tidak berfikir Sufiah cuba untuk menyalahkan orang lain tetapi pastinya terdapat orang lain yang cuba untuk melakukannya," kata Iskander.
Bapa Sufiah, Farooq kini dipenjarakan kerana mencabul dua gadis yang belajar di kelas tuisyennya.
Farooq turut dikurniakan lima orang anak hasil perkongian hidup dengan Halimahton yang berasal dari Johor, Malaysia.
Sufah mencetuskan kegemparan setelah mendapat tumpuan media di seluruh dunia pada bulan lalu kerana mengaku menjadi teman sosial dengan menjual tubuhnya demi menyara kehidupan sendiri. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0418&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz36O3eXj1F 
Hakcipta terpelihara 



Punca keluarga tidak hubungi Sufiah


Menurutnya, sejak bertahun-tahun lalu, Sufiah menyatakan bahawa dia tidak mahu sesiapa pun daripada anggota keluarganya menghubunginya.
KUALA LUMPUR – Adik gadis genius matematik, Sufiah Yusof iaitu Iskander menjelaskan bahawa keluarganya tidak boleh menghubungi Sufiah terlebih dahulu kerana terdapat halangan undang-undang.

“Dan kami perlu menghormati permintaannya. Di United Kingdom (UK), percubaan untuk menghubungi seorang dewasa yang tidak mahu dihubungi adalah berada di sempadan pengharaman undang-undang, walaupun mereka (orang yang menghubungi itu) adalah seorang anggota keluarga,” kata Iskander dalam laman blog keluarganya semalam.
Menurut Iskander, berikutan itu, keluarganya tidak mempunyai pilihan lain melainkan menunggu Sufiah untuk menghubungi keluarganya terlebih dahulu.
“Kami tidak akan memaksanya untuk menghubungi kami jika dia tidak mahu berbuat demikian,” kata Iskander.
Sufiah mendapat liputan meluas di beberapa akhbar selepas dia mengaku menjadi teman sosial dan menjual tubuhnya pada bulan lalu.
Sebelum ini dia berjaya memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun pada 1997 tetapi kemudian melarikan diri dari universiti tersebut.
Kisahnya mendapat perhatian ramai selepas pengakuannya kepada akhbar News of the World bahawa dia menerima layanan seperti seorang puteri oleh para pelanggannya. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0417&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz36O4AHViN 
Hakcipta terpelihara 



Ibu Sufiah, Halimaton berhasrat pulang ke Malaysia


KUALA LUMPUR - Ibu kepada gadis genius matematik yang kini menjadi pelacur, Sufiah Yusof mempunyai hasrat untuk pulang ke tanah airnya, Malaysia.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang anak lelakinya, Iskander yang juga adik kepada Sufiah dalam laman blog milik keluarga mereka di internet, kelmarin.
"Ibu saya sebenarnya masih seorang rakyat Malaysia walaupun dia pastinya mungkin boleh memilih untuk menjadi seorang rakyat Britain jika beliau mahu.
"Punca beliau masih mengekalkan pasport Malaysia adalah kerana beliau selalu berhasrat untuk kembali ke Malaysia pada akhirnya.
"Beliau perlu menyelesaikan beberapa masalah di sini (Britain) terlebih dahulu.
"Saya berpendapat, ia tidak terlalu lama sebelum kami semua pulang semula ke Malaysia," kata Iskander dalam laman berkenaan.
Ibu Sufiah, Halimahton mempunyai lima anak dengan suaminya, Farooq Yusof yang berasal dari Pakistan.
Anak sulung Halimahton Abraham kini berumur 26 tahun, Aisha, 25 tahun, Sufiah, 23 tahun, Iskander, 21 tahun dan Zuleika, 14 tahun.
Farooq kini dipenjarakan 18 bulan kerana mencabul dua gadis ketika mereka sedang mengikuti tuisyen matematiknya.
Iskander pernah belajar di Universiti Warwick ketika berumur 12 tahun manakala Aisha ketika berumur 15 tahun.
Halimahton yang kini berumur 51 tahun tiba di Britain ketika berusia 19 tahun untuk belajar di Kolej Oxford untuk Pendidikan Lanjutan.
Beliau berkenalan dengan Farooq yang juga seorang pelajar ketika itu dan mereka berkahwin dalam satu majlis ringkas di Oxford pada 1975.
Sufiah mendapat liputan meluas media baru-baru ini kerana mendedahkan pengakuannya menjadi pelacur selepas tidak meneruskan pengajian dalam jurusan matematik di Universiti Oxford.
Dia memasuki universiti itu pada 1997 ketika berusia 13 tahun.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0414&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz36O4VUnyJ 
Hakcipta terpelihara 



Sufiah akhirnya buat pengakuan



GADIS yang pernah menggemparkan dunia kerana memasuki Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun pada 1997, Sufiah Yusof membuat pengakuan mengejutkan berhubung kerjayanya sebagai teman sosial dan jual tubuh.
Dalam temu ramah dengan akhbar News of the World yang disiarkan semalam, Sufiah membuat pengakuan itu selepas akhbar yang sama mendedahkan dia bekerja menjual tubuh dengan bayaran £130 (RM828) sejam pada 29 Mac lalu.
Dia yang memiliki wajah menarik itu mendakwa kehidupan menjual tubuh adalah lebih glamor berbanding ketika dia pergi ke Universiti Oxford.
"Pelanggan saya melayan saya seperti seorang puteri. Seorang lelaki yang saya temui di London membawa saya membeli-belah di Bond Street.
"Dia membeli saya sehelai pakaian hitam Gucci yang berharga £700(RM4,461) dan kemudian membawa saya ke Selfridges dan memberitahu saya supaya memilih mana-mana beg tangan yang saya suka," kata Sufiah.
"Saya memilih sebuah beg tangan Gucci berharga £600 (RM3,824). Saya berasa seperti Julia Roberts (aktres) dalam filem Pretty Woman," tambahnya.
Menurutnya, selepas itu, mereka pergi makan malam di mana dia memakai pakaian Gucci.
Sufiah sebelum itu bekerja sebagai seorang pembantu pentadbiran dengan memperoleh gaji £16,000 (RM101,976) setahun di Manchester apabila seorang bos agensi teman sosial mendekatinya di sebuah bar empat bulan lalu.
Ketika itu, Sufiah mempunyai hutang tertunggak kad kredit dan sewa sebanyak £3,500 (RM22,307).
SUFIAH (tengah) bergambar bersama bapanya, Farooq dan kakaknya, Aisha pada tahun 1997 di Universiti Oxford.


Ganjaran besar yang dijanjikan oleh bos agensi itu cukup menggoda dirinya.
"Saya sudah belajar bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun saya mahukan kegembiraan," katanya.
Sufiah mengaitkan dirinya dengan watak pelacur dalam sebuah drama televisyen, Belle De Jour yang dilakonkan oleh aktres Billie Piper.
"Saya pernah membaca diari De Jour iaitu seorang gadis teman sosial di London dan kisahnya mempesonakan.
"Ketika seorang wanita yang memakai sut bertanya jika saya menimbangkan untuk menjadi teman sosial, saya mendapati ia menarik.
"Saya kemudiannya pulang, melakukan penyelidikan agensi (teman sosial) di internet dan mendapati sebuah agensi yang saya anggap kelihatan seperti profesional.
"Saya menghantar gambar-gambar dan mereka (pekerja agensi teman sosial itu) meletakkan gambar saya di laman mereka," akui Sufiah.
WAJAH terbaru Sufiah.
Beberapa hari selepas gambar itu disiarkan di laman web, dia memperoleh pelanggan pertama.
"Saya berasa gementar tetapi teruja," katanya yang kini berumur 23 tahun.
Menurut Sufiah, pelanggan pertamanya berumur lewat 20-an, tinggi dan tampan.
"Saya berpendapat, saya tidak mempercayai saya memperoleh bayaran kerana tidur dengan lelaki tersebut," katanya.
Sejak itu, dia mula membina tapak untuk pelanggan-pelanggan kaya dan bertemu antara lima atau sepuluh lelaki pada setiap minggu.
Sugar dady Sufiah memberi layanan kepada dirinya dengan memberikan pakaian, beg, undangan menaiki kapal layar dan helikopter.
Menurutnya, dia boleh memperoleh lebih £1,000 (RM6,373) satu malam termasuk makan dengan seorang pelanggan dan bersamanya.
"Ia kelihatan seperti mereka mahu menyelamatkan saya. Seorang lelaki bertanya kepada saya berapa banyak saya peroleh setahun.
"Saya menyatakan £60,000 (RM382,412)." katanya.
Menurut Sufiah, lelaki itu kemudian memberitahu bahawa dia akan membayar wang dalam jumlah itu dan masukkan ke dalam bank serta membeli sebuah flat di mana dirinya bakal menjadi perempuan simpanan.
"Namun, saya tidak mahukan semua itu kerana saya gembira apa yang lakukan sekarang," katanya.
"Kerja sebagai teman sosial memberikan saya satu kehidupan menakjubkan.
"Saya masih seronok belajar dan ia meletakkan saya dalam rangka pemikiran betul untuk perbualan bijaksana dengan pelanggan saya," jelasnya.
AKTRES Billie Piper yang melakonkan watak pelacur dalam sebuah drama televisyen turut disebut oleh Sufiah dalam pengakuannya.

Bagaimanapun, dia mengakui tidak semua tugasnya itu berjaya.
"Pada akhir pertemuan, anda tidak perlu tidur dengan seorang pelanggan jika anda tidak mahu melakukannya.
"Saya sudah melakukannya dua kali. Dua lelaki yang saya tidak tidur bersama mereka adalah lelaki yang terlalu muda dan gementar. Saya meninggalkan mereka kemudiannya," kata Sufiah.
"Pelanggan paling membosankan yang saya pernah temui adalah seorang lelaki kaya yang bercakap mengenai kereta sepanjang malam," katanya.
Bercakap mengenai perpisahannya dengan ibu bapanya, Sufiah berkata: "Saya boleh menggambarkan hubungan kami sebagai renggang.
"Kadang-kadang, saya menghubungi mereka tetapi saya tidak dapat membuat spekulasi mengenai apa reaksi mereka mengenai hidup baru saya.
"Saya tidak berasa sebarang perasaan kesal. Saya berasa lebih berkeyakinan berhubung tubuh saya," jelasnya.
Ibunya, Halimahton berasal dari Muar, Johor manakala bapanya, Farooq Yusof ketika ini dipenjarakan 18 bulan kerana mencabul dua gadis ketika mereka mengikuti tuisyen matematik.
"Dan saya tidak percaya pendidikan saya membazir secara faktanya, pada kebiasaannya saya menyelesaikan masalah pembelajaran saya sebelum melakukan temu janji," katanya.
"Pelanggan saya menyukai fakta bahawa saya boleh merangsang pemikiran dan tubuh mereka," jelas Sufiah.
Ketika akhbar News of the World mendedahkan Sufiah bekerja menjual tubuh, gadis itu mendakwa dia sedang belajar sarjana ekonomi. Sufiah juga mendedahkan bahawa semakin membesar, dia bergaduh dengan bapanya kerana dia mendesaknya supaya berjaya dalam akademik.
"Dari umur 11 tahun, saya belajar matematik pada setiap masa. saya tidak mempunyai kawan-kawan," katanya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0407&pub=kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz36O5njN4u 
Hakcipta terpelihara 



Kisah Sufiah Yusof cetus kemarahan


LONDON - Pendedahan kisah Sufiah Yusof yang menjadi pelacur untuk menyara kehidupannya selepas melarikan diri dari Universiti Oxford mencetuskan kemarahan seorang kolumnis akhbar The Obsever, Nikita Lalwani, semalam.
Dalam ruangannya semalam, dia berasa marah selepas melihat gambar-gambar separuh bogel Sufiah disiarkan oleh akhbar News of the Worlds pada Ahad lalu.
Menurutnya, gambar-gambar itu dirakamkan oleh wartawan akhbar berkenaan tanpa kebenaran Sufiah.
Beliau berkata, artikel mengenai kisah hidup tragis Sufiah yang pernah menjadi kanak-kanak genius ketika berumur 12 tahun kerana kepintaran matematiknya itu mencetuskan kemarahan dirinya di luar jangkaan.
Lalwani berkata, Sufiah yang kini berumur 23 tahun dianggap oleh beberapa syarikat akhbar sebagai bahan (berita) yang berharga buat beberapa akhbar.
Jelasnya, hak-hak Sufiah tidak dipedulikan semata-mata atas alasan 'hak awam'.
Adakah jika dia berumur 30, 40 atau 50 tahun, pihak akhbar masih memburunya, soal Lalwani.
Sebelum ini, bekas suami genius matematik, Sufiah kelmarin terkejut dan sedih selepas mengetahui bekas isterinya itu kini menjual tubuh.
Bekas suami Sufiah, Jonathan Marshall yang kini bekerja di Arab Saudi berkata, dia tidak menduga bekas isterinya itu sanggup berbuat demikian kerana dia berasal dari keluarga Islam.
"Walaupun dia menghadapi masalah dengan keluarganya tetapi Sufiah mempunyai banyak kelebihan yang tiada pada orang lain," ujarnya.
Pasangan berkenaan berkahwin pada tahun 2004 selepas Marshall, 28, memeluk agama Islam tetapi berpisah dua tahun selepas itu.
Sufiah yang merupakan anak seorang saintis wanita kelahiran Malaysia, Halimahton mendapat tumpuan media apabila diterima masuk ke Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun.
Masalah Sufiah itu adalah kisah sedih terbaru selepas pihak akhbar menyiarkan bapa Sufiah, Farooq kini dipenjarakan kerana mengaku salah mencabul dua gadis berumur 15 tahun ketika sedang mengajar mereka mata pelajaran matematik. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0403&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz36O6VNtzC 
Hakcipta terpelihara 


Kes Sufiah, di mana silapnya?


SEBAHAGIAN pelajar memakai pakaian akademik di luar bangunan Exam Schools, Oxford. Gambar kecil - WAJAH terkini Sufiah.

KES Sufiah Yusof yang pernah memasuki Universiti Oxford, Britain ketika berumur 13 tahun pada tahun 1997 tetapi melarikan diri dan kini menjual tubuh mendapat perhatian meluas mengenai layanan yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak genius.
Dua buah akhbar iaitu Guardian di Britain dan Sydney Morning Herald, Australia semalam cuba mencari kesilapan dalam mendidik kanak-kanak pintar seperti Sufiah.
Pada tengah hari 1997, Sufiah berdiri antara bapanya, Farooq Yusof dan seorang adik perempuannya dengan memakai topi siswa kerana menjadi antara pelajar termuda memasuki Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun untuk jurusan matematik.
Farooq membimbing Sufiah di rumahnya bersama-sama dua adiknya yang lain dengan mengikuti teknik pembelajaran khas untuk mereka.
Pada minggu lalu, iaitu 10 tahun selepas mencipta sejarah tersebut, kisah Sufiah di mana ibunya kelahiran Malaysia, Halimahton, muncul dalam sebuah akhbar dan dilaporkan menjadi pelacur dengan bayaran £130 (RM828) sejam di sebuah flat di Manchester, Britain.
Pengerusi Persidangan Persatuan Ibu Bapa Kebangsaan Australia, Margaret Morrisey menyatakan kebimbangannya mengenai kanak-kanak pintar seperti Sufiah yang pernah belajar di rumah dan memasuki universiti ketika umur terlalu muda ketika dia tidak didedahkan serta dilengkapi dengan cara untuk menghadapi isu sosial.
"Jika anda memperoleh anugerah kepintaran ketika berumur 12 atau 15 tahun anda sebenarnya masih berumur 12 atau 15 tahun, dan menempatkan kanak-kanak tersebut di kalangan mereka berumur 18 hingga 19 tahun merupakan satu resipi bencana," katanya kepada akhbar Sydney Morning Herald.
Pensyarah matematik di Universiti Cambridge, Tim Gowers menyatakan bahawa tidak ada sebarang keuntungan diperoleh pelajar yang mengikuti pembelajaran di universiti ketika usia terlalu muda walaupun mereka mahir.
"Saya tidak menyokong supaya orang ramai memasuki universiti dengan cepat (usia terlalu muda) terutamanya terhadap pelajar yang memasuki universiti ketika berumur pertengahan remaja.
"Daripada sejumlah pelajar universiti yang belajar ketika usia muda, mereka dilihat tidak mempunyai sebarang keuntungan.
"Pada umumnya, mereka tidak menjadi terlalu berjaya," tambahnya.
Menurutnya, memutuskan untuk melahirkan genius terlalu muda seperti dilakukan oleh bapa Sufiah adalah mengundang risiko masalah emosi dan keuntungan yang diperoleh tidak jelas untuk jangka panjang.
Profesor itu menyebut kes seorang lagi kanak-kanak perempuan pintar, Ruth Lawrence dari Brighton yang lulus dari Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun selepas diajar di rumah oleh bapanya ketika dia berumur lima tahun.
Ruth kini menjadi profesor di Baitulmaqdis dan berjanji dia tidak memberi didikan terhadap anak-anaknya seperti yang dilakukan oleh bapanya itu.
Kerjaya universitinya juga dibayangi oleh bapanya.
Pengarah Pusat Kanak-Kanak Pintar di Australia, Dr. Peter Congdon berkata, mendesak kanak-kanak memasuki universiti ketika berumur 14 tahun adalah memusnahkan zaman kanak-kanak.
Pada 2000, selepas peperiksaan terakhir di Oxford, Sufiah menghilangkan diri tetapi dia ditemui dua minggu lalu dengan bekerja sebagai pelayan hotel di Bournemouth.
Ketika itu, dia meminta kepada pihak berkuasa supaya tidak dihantar kembali kepada ibu bapanya kerana menganggap zaman kanak-kanaknya umpama tinggal dalam neraka.
Pada Januari lalu, bapanya dipenjarakan selama 18 bulan selepas mencabul dua gadis berumur 15 tahun ketika mereka menghadiri kelas tuisyen matematiknya.
Novelis dan penulis buku Gifted, Nikita Lalwani dalam kolumnisnya di akhbar The Observer menyatakan kemarahannya mengenai layanan yang diberikan oleh Britain terhadap Sufiah.
Menurut Lalwani, petunjuk yang diberikan oleh Sufiah itu adalah kerajaan perlu menyediakan inisiatif untuk aknak-kanak pintar supaya mereka tidak mengakhiri kemuncak hidup di universiti dalam usia terlalu muda.
Akhbar The Guardian dari Britain mendedahkan mengenai cabaran yang dihadapi oleh seorang pelajar remaja yang memasuki sebuah universiti ketika berumur 16 tahun, Kelly Turner.
"Pelajar-pelajar perempuan lain (yang berumur 18 tahun ke atas) berbual mengenai muzik, pakaian dan lelaki. Kadang-kadang saya berasa kesepian," kata Kelly. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0405&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz36O6ojlQt 
Hakcipta terpelihara 



MSD kena siasat sebelum bantu Sufiah.


PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi akan meminta bantuan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London bagi menyiasat keadaan pelajar pintar, Sufiah Yusof, 23, (gambar) yang didakwa menjual tubuhnya melalui sebuah laman web pelacuran.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mengikut laporan awal, apa yang dilakukan oleh Sufiah bukan bertujuan untuk menampung perbelanjaan pengajiannya.
“Ada kemungkinan Sufiah melakukan perbuatan itu atas faktor atau kesan yang dilaluinya dalam keluarga.
“Untuk membantu beliau, kena tunggu laporan dari MSD yang akan tanya apa masalah yang sedang dihadapinya, baru boleh bantu,” katanya yang ditemui pada sidang media Anugerah Akademik Negara (AAN) 2007 di sini semalam.
Tambah Mohamed Khaled, Sufiah tidak boleh dibawa balik ke Malaysia kerana memegang status warganegara Britain dan sudah dewasa.
“Dia sekarang dah 23 tahun.. Dia juga rakyat British... Dia berhak tentukan apa yang dia nak buat... Kita punya peranan yang terhad,’’ katanya.
Sufiah sebelum ini pernah menggemparkan negara apabila diterima menjadi pelajar Universiti Oxford pada usia 13 tahun sebelum meninggalkan universiti itu pada tahun 2000.
Terdahulu, beliau mengumumkan permohonan AAN 2007 yang dibuka bermula 1 April hingga 2 Jun 2008 kepada semua pensyarah tempatan yang berkhidmat sepenuh masa sepanjang tahun lalu atau sebahagian daripada tahun yang dinilai di universiti, kolej universiti awam serta swasta tempatan.
AAN terdiri daripada enam kategori iaitu anugerah penerbitan makalah jurnal, anugerah penerbitan buku, anugerah seni dan kreatif serta anugerah bidang pengajaran.
Dua lagi anugerah ialah anugerah tokoh akademik yang berdasarkan sumbangan kumulatif calon atas anugerah dan pengiktirafan yang diterima sepanjang dan selepas kerjaya akademik.
Sebarang maklumat atau borang permohonan AAN 2007 boleh didapati dengan melayari http://www.mohe.gov.my/AAN2007.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0403&pub=kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz36O79svOM 
Hakcipta terpelihara 


Program selamatkan Sufiah

SAAT-SAAT BAHAGIA... (dari kiri) Farooq Yusof dan isteri, Halimatun bersama anak-anak mereka (dari kiri) Iskandar, Sufiah, Aisha dan Zuleika yang dirakam di rumah mereka pada 1999. - Agensi

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Kerjasama Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) akan berusaha membantu Sufiah Yusof, pelajar pintar yang dilaporkan melacurkan diri di London bagi menyara kehidupannya, menerusi "Program Selamatkan Sufiah".
Menteri berkenaan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, JPM dan Yadim akan membantu gadis itu kembali ke jalan yang benar kerana mungkin apa yang menimpa dirinya mempunyai sebab tertentu.
"Langkah pertama ialah untuk cuba menghubungi ibu gadis itu atau mengatur pertemuan bagi mengetahui situasi sebenar yang menyebabkan gadis itu sanggup mengiklankan perkhidmatannya di internet," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Yadim di sini semalam.
"Program Selamatkan Sufiah" itu diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim yang bertanggungjawab bagi merangka strategi dan kaedah yang sesuai bagi membantu Sufiah secepat mungkin.
Sufiah, 23, pernah menjadi tajuk berita sebagai kanak-kanak pintar apabila memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, selepas tiga tahun belajar di universiti itu pada usia 15 tahun, Sufiah dikatakan menghilang diri.
Ibunya, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, manakala bapanya Farooq Yusof dari Pakistan kini dipenjara kerana bersalah mencabul kehormatan dua gadis.
Kehidupan terkini Sufiah yang pernah menggemparkan dunia itu dibongkar oleh wartawan News of The World yang menyamar sebagai pelanggan, di flat murah yang didiaminya di belakang lorong di Salford, Manchester.
Gadis itu dikatakan terbabit dengan kegiatan tidak bermoral itu untuk menyara hidupnya sejak beberapa tahun lalu.
Sufiah sebelum ini telah berkahwin ketika berusia 19 tahun dengan seorang peguam pelatih, Jonathan Marshall, 24, tetapi rumah tangganya tidak kekal lama dan hanya mampu bertahan selama setahun.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0402&pub=kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz36O8ErlH5 
Hakcipta terpelihara 


Bekas suami Sufiah terkejut


LONDON - Bekas suami genius matematik, Sufiah Yusof (gambar) terkejut dan sedih selepas mengetahui bekas isterinya itu kini menjual tubuh, lapor sebuah akhbar semalam.
Bekas suami Sufiah, Jonathan Marshall yang kini bekerja di Arab Saudi berkata, dia tidak menduga bekas isterinya itu sanggup berbuat demikian kerana dia berasal dari keluarga Islam.
"Saya tidak memahami mengapa Sufiah melakukan perkara itu terutama sekali seseorang yang berada di situasi sepertinya.
"Walaupun dia menghadapi masalah dengan keluarganya tetapi Sufiah mempunyai banyak kelebihan yang tiada pada orang lain," ujarnya.
Pasangan berkenaan berkahwin pada tahun 2004 selepas Marshall, 28, memeluk agama Islam tetapi berpisah dua tahun selepas itu.
Sufiah yang merupakan anak seorang saintis wanita Malaysia mendapat tumpuan media apabila diterima masuk ke Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun.
Bagaimanapun, Sufiah, 23, sekali lagi mendapat liputan meluas media selepas sebuah akhbar di Britain mendedahkan bahawa dia terlibat dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Dia mendakwa, punca perpisahan mereka adalah dia semakin patuh dengan ajaran Islam tetapi Sufiah pula semakin melupakan agama asalnya itu.
"Keadaan itu menyebabkan dia memilih jalan yang berlainan dan bertentangan dengan jalan yang saya mahukan.
"Ajaran Islam merupakan asas kepada kehidupan anda tetapi apabila kepercayaan kami berlainan ia menjadi satu isu yang besar," ujarnya.
"Sufiah sebenarnya berasa keliru dan tidak tahu apakah yang diinginkan dalam hidupnya. Dia juga tidak bersedia untuk berkahwin kerana masih mahu belajar.
"Saya berharap Sufiah dapat membetulkan kehidupannya semula kerana dia mempunyai bakat yang besar tetapi sedihnya dia tidak mampu menggunakannya," katanya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0402&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz36O8a2KWM 
Hakcipta terpelihara 


'Saya tidak lagi berhubung dengan Sufiah'


SUFIAH dan Jonathan Marshall bergambar selepas berkahwin pada 2004.

LONDON - Ibu genius matematik kelahiran Malaysia, Sufiah Yusof mendakwa dia tidak tahu bahawa anaknya itu kini terlibat dalam pelacuran, lapor sebuah akhbar semalam.
Ibu Sufiah, Halimahton, 51, yang berasal dari Johor berkata, dia sudah lama tidak berhubung dengan anaknya itu.
"Saya tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan saya tidak lagi berhubung dengan Sufiah," katanya.
Sufiah mendapat perhatian media besar-besaran di seluruh dunia pada 1997 setelah mencipta sejarah apabila diterima masuk oleh Universiti Oxford ketika berumur 13 tahun tetapi dia menghilangkan diri tiga tahun kemudian.
Remaja itu kemudiannya berjaya ditemui bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran dan mendakwa dia melarikan diri kerana tertekan dengan keluarganya.
Sufiah berkahwin dengan seorang peguam, Jonathan Marshall pada 2004 tetapi bercerai setahun selepas itu.
Bagaimanapun, kisah malang gadis tersebut sekali lagi mendapat tumpuan selepas sebuah akhbar kelmarin mendedahkan bahawa Sufiah kini mencari rezeki dengan menjual tubuh.
Bapa Sufiah, Farooq Yusof, 50, baru-baru ini dipenjara berikutan tuduhan mencabul remaja berumur 15 tahun. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0401&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz36O8rJ4Aa 
Hakcipta terpelihara 


Bapa Sufiah dipenjara


FAROOQ dan isterinya Halimahton.

LONDON - Seorang lelaki, Farooq Yusof yang juga bapa kepada seorang genius matematik, Sufiah ditahan oleh pihak berkuasa Britain selepas dituduh mencabul dua remaja berumur 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam
Farooq, 50, yang berasal dari Pakistan dan bekerja sebagai tutor mengaku bersalah mencabul dua remaja itu di rumah mangsa.
Dia dipenjarakan sehingga pihak mahkamah memutuskan tempoh hukuman penjara terhadapnya dan dia menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan.
Farooq yang berkahwin dengan seorang saintis kelahiran Malaysia, Halimahton, 51, mendapat liputan meluas media di Britain dan Malaysia pada 1997 selepas anak perempuan mereka, Sufiah berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.
SUFIAH ketika kecil.


Menurut bapa mangsa remaja dicabul itu: "Lelaki itu (Farooq) tampil sebagai seorang yang bijaksana dan menarik. Dia menyatakan anak saya pintar dan dia mampu menolong meningkat kemahirannya.
"Dia juga memberitahu kami bahawa seorang anak perempuannya pernah pergi ke Oxford tetapi dia tidak pernah memberitahu keseluruhan kisahnya."
Farooq pernah dipenjarakan selama tiga tahun pada 1992 selepas terlibat dalam penipuan gadai janji bernilai £1.5 juta (RM9.65 juta).
Anaknya itu, Sufiah pernah melarikan diri selepas mendakwa ibu bapanya terlalu memberi tekanan untuknya berjaya. Sufiah kemudiannya berjaya ditemui oleh pihak berkuasa 12 hari kemudian selepas dia bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran.
Remaja genius dalam bidang matematik itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat selepas dia enggan kembali ke pangkuan keluarganya.
Sufiah kemudiannya berkahwin pada 2004 dengan seorang peguam, Jonathan Marshall yang memeluk agama Islam selepas bertemu di universiti tetapi bercerai 13 bulan kemudian. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0129&pub=kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz36O9EiQtB 
Hakcipta terpelihara 

4 comments:

bztw said...

kat nona tadi, ada temubual dengan sufiah genius matematik ni.

Unknown said...

jln slh yg dipilih..org lain pn ada mslh..lg pn doa duk negar org putih kn..bebas nk lakukn mksiat. ksian mak nya..ni amalina yg dpt 20A spm pd th 2004 tm tahu la apa crta..pakaian pn dh brbh..smoga mrka brtaubat.

Unknown said...

br nk kenal sape dia ni

Unknown said...

hanya dia yg mengetahui apa yg sbnr brlaku dlm hidupnya. Semoga suffiah tabah dan mendapat hidayah. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih dan penyayang