Tuesday, July 15, 2014

Sultan Selangor murka Khalid

Sultan Sharafuddin mengaminkan bacaan doa perasmian Masjid Pekan Sepang, Selangor hari ini.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/sultan-selangor-murka-khalid-1.299890

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa kerana terdapat pihak yang bertindak mempersoalkan institusi agama sehingga sanggup mencemarkan kedaulatan Islam dan istana.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian berikutan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempersoalkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mencadangkan kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif itu.

Baginda turut membidas Ahli Parlimen tersebut yang bukan anak jati Selangor supaya mengambil langkah melengkapkan diri memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang terpakai dalam negeri ini terutama sekali Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

“Beta berasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri tidak melindungi kesucian agama Islam daripada dipermainkan pihak tertentu, sebaliknya lebih mengutamakan agenda politik sendiri dan mengelirukan masyarakat,” titahnya semasa hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid serta Sambutan Nuzul Al Quran Peringkat Negeri Selangor di Sepang hari ini.

Pada 18 Jun lalu, Khalid mendesak kuasa eksekutif Mais dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri ini dihapuskan kerana kecewa dengan tindakan Mais yang tidak mahu memulangkan kitab Bible yang dirampas walaupun sudah diarahkan berbuat demikian.

Menurut Khalid, beliau mengharapkan agar kerajaan negeri mengkaji semula persoalan peranan dan kuasa yang ada pada Mais dan kembali kepada dasar kerajaan atau Raja Berperlembagaan.

Khalid turut berpendapat selain daripada mengganggu pentadbiran kerajaan negeri, kuasa eksekutif yang diberikan kepada Mais boleh menyebabkan Institusi Diraja itu sendiri tercemar.

Sultan Sharafuddin dalam perkara sama turut membidas kenyataan Khalid mengenai peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu Sultan Selangor menjalankan tugas sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.

Titah baginda, tindakan Khalid mempersoalkan kuasa Mais menunjukkan sikap biadab dan penentangan kepada kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam.

Dalam titah itu lagi, Sultan Sharafuddin turut menegaskan Mais sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain bagi mengamalkan agama mereka.

Titahnya, Mais sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan segala tindakan yang dilakukan oleh Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa mengganggu penganut agama lain.

Bible Melayu : Tiada Kaitan Dengan PAS.
14 Jun 2014

KUALA LUMPUR - Pas Selangor hari ini menegaskan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang engkar kepada keputusan Peguam Negara supaya memulangkan kitab Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) tidak mempunyai kaitan dengan keputusan parti itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa, keputusan badan agama itu diputuskan tanpa pengetahuan dan di luar kawalan Kerajaan Negeri Selangor.

Khalid Samad"Tindakan itu tiada kena mengena dengan Pas, walaupun wakil Pas sebagai Exco Agama dalam kerajaan negeri Selangor, namun tindakan dan arahan itu datang daripada Mais.

"Mais dipengerusikan oleh Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan beliau bukan ahli Pas serta tidak dilantik kerajaan negeri dan rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Mais Sabtu lalu yang tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk tidak mendakwa BSM dalam isu rampasan 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban di Petaling Jaya, Januari lalu.

Menurut Mohamad Adzib, mesyuarat khas Mais Jumaat lalu menganggap masih ada ruang di dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap BSM.

Dalam pada itu, Khalid menambah, Pas Selangor juga akan meminta Kerajaan Negeri Selangor mengkaji semula kuasa eksekutif yang diberikan kepada Mais sehingga boleh mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tanpa perlu meminta kelulusan.

Dakwanya jika perkara itu tidak diberi perhatian, kelak ia boleh menjejaskan reputasi dan imej institusi diraja memandangkan Mais dinaungi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kita harap dapat kaji semula peranan dan kuasa Mais pada masa ini dan kita perlu kembali kepada kerajaan raja berperlembagaan untuk mengelakkan imej raja tercemar.

"Jika tidak dibendung Mais akan terus melakukan tindakan melulu hingga menganggap Jais itu pihak berkuasa mereka," katanya.

Khalid juga tidak menolak tindakan pengerusi Mais itu juga didakwa cuba mensabotaj kerajaan negeri Selangor sejak PR mengambil alih pentabiran negeri itu pada 2008.


Mais Enggan Pulangkan Bible kepada BSM.
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menutup kes rampasan 300 kitab Bible daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lepas.

Selain itu, Mais juga tidak akan memulangkan kitab Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban yang dirampas daripada BSM.
Mohamad Adzib Mohd IsaPengerusinya Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa (gambar) berkata, mesyuarat khas badan itu semalam, memutuskan tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap BSM.
Mais meyakini wujudnya undang-undang di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, untuk satu pendakwaan dibuat, katanya.

"Mais dan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor amat peka dengan kegiatan dan usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencemar kesucian Islam dengan menyalahgunakan istilah atau nama-nama tertentu yang berteraskan ajaran al-Quran bagi memudahkan kegiatan memurtadkan umat Islam.

"Alasan yang diberikan oleh Peguam Negara untuk tidak menuduh pihak yang terlibat juga dilihat boleh mengelirukan akidah umat Islam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Rabu lepas, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan.

Abdul Gani dalam satu kenyataan berkata naskhah yang dirampas itu bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Susulan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jais memulangkan semua kitab tersebut kepada BSM. 

Mohamad Adzib berkata, bagaimanapun, Mais tidak bersetuju dengan arahan kerajaan Selangor itu dan menjelaskan ia adalah di luar bidang kuasa mereka (kerajaan Selangor).
"Mais mendesak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Selangor untuk merujuk perkara ini ke mahkamah terlebih dahulu bagi mendapatkan perintah pelupusan barang kes sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah.

Pada 2 Januari lepas, Jais menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah ALLAH dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988. - Bernama

No comments: