Monday, February 28, 2011

FLASHBACK - Siapa Bunuh Noritta Shamsuddin ?


Daripada  ARKIB UTUSANONLINE

ARKIB : 12/05/2004

Saksi nafi reka cerita Hanif bersama Noritta

KUALA LUMPUR 11 Mei - Seorang saksi menafikan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia sengaja mereka cerita melihat tertuduh, Hanif Basree Abdul Rahman bersama Noritta Samsudin, setengah jam sebelum peragawati sambilan itu ditemui mati bagi mengelakkan dirinya daripada didakwa sebagai pembunuh.
Suzaki Supok, 24, pengawal keselamatan di Kondominium Puncak Prima Galleria berkata, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam V. Sithambaram bahawa dia cuba `mencari jalan keluar' dengan menimbulkan perkara itu.
Suzaki juga menafikan bahawa dia ditahan reman selama tiga hari mulai 18 Disember tahun lalu kerana merupakan salah seorang daripada suspek kes pembunuhan tersebut.
Saksi pendakwa ke-10 itu memberitahu bahawa apa yang dilihat pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu adalah benar dan bukan dibantu oleh pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Shahrul Lalli Masduki untuk menimbulkannya.
Bagaimanapun, katanya, dia mengakui tidak memberitahu perkara itu kepada pihak polis sejurus selepas mayat Noritta ditemui kerana fikirannya bercelaru.
Menurutnya, dia hanya mengingati perkara itu sehari sebelum dia ditahan reman walaupun dia telah memberi keterangan kepada pihak polis pada hari kejadian.
Suzaki berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Sithambaram pada hari keempat perbicaraan terhadap Hanif Basree, jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam yang didakwa membunuh Noritta.
Semalam saksi itu menyatakan bahawa dia nampak Hanif Basree dan Noritta lalu di hadapan pondok pengawal untuk bertemu dengan rakan mereka di hadapan kondominium itu pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu, iaitu kira-kira setengah jam sebelum Allahyarham dipercayai mati.
Hanif Basree, 36, didakwa membunuh Noritta, 22, di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini.
Jurutera itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Selain Sithambaram, dia diwakili oleh barisan peguam Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah.
Menjelaskan lebih lanjut, Suzaki berkata, selepas teringat apa yang dilihatnya pada pukul 1 pagi, 5 Disember tahun lalu dia terus memberitahu ketuanya, A. Sivasanggaran yang kemudian menelefon Inspektor V. Vijayan.
``Kira-kira 10 atau 15 minit kemudian, van polis datang ke kondominium itu dan membawa saya ke balai polis,'' katanya.
Dalam keteranganya, Suzaki berkata, pihak polis tidak ada mendesaknya untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku pada 5 Disember apabila dia cuma mengingati perkara-perkara yang berlaku pada 4 Disember tahun lalu.
Saksi tersebut bagaimanapun menyatakan ``tidak nampak'' apabila peguam itu menyatakan bahawa dia sebenarnya tidak melihat tertuduh pada pagi hari kejadian itu tetapi berubah fikiran selepas didesak berulang kali oleh pihak polis.
Selain itu, pengawal keselamatan itu menafikan bahawa semasa ditahan, Shahrul Lalli atau lain-lain anggota polis telah memberitahunya yang pihak polis ada menjumpai kesan air mani Hanif Basree di kemaluan Noritta.
Menjawab satu soalan peguam itu, Suzaki berkata, memang benar dia ada melihat Noritta dan tertuduh sampai di kondominium itu kira-kira pukul 2 pagi pada 4 Disember tahun lalu sebelum keluar kira-kira pukul 3.30 pagi dengan menaiki keretanya sendiri.
Namun, dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam itu bahawa dia terkeliru atau hanya melihat tertuduh pada pukul 3.30 pagi, 4 Disember tahun lalu dan bukannya sehari selepas itu.
Semasa pemeriksaan semula oleh Augustin, Suzaki menyatakan bahawa tiada apa-apa yang hendak dirahsiakan olehnya kepada mahkamah.
Selain itu, menurutnya, tiada sesiapa pun memaksanya memberi keterangan bahawa dia melihat tertuduh dan Noritta pada 5 Disember.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong bersambung esok.

ARKIB : 22/05/2004

Tiada contoh kikisan mulut diambil untuk siasatan - Saksi

KUALA LUMPUR 21 Mei - Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa peragawati sambilan, Allahyarham Noritta Samsudin mungkin melakukan perbuatan seks oral sebelum ditemui mati di bilik tidurnya.
Dr. Ab. Halim Mansar berkata demikian ketika disoal oleh peguam V. Sithambaram bahawa sekiranya Noritta melakukan seks oral dengan pasangannya sebelum menemui ajal, adakah ia dapat dikesan melalui contoh kikisan yang diambil daripada mulut mangsa.
Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara itu bagaimanapun menyatakan bahawa tiada contoh kikisan daripada mulut gadis itu diambil untuk siasatan.
Dalam keterangannya, beliau juga bersetuju dengan saranan peguam itu yang menyatakan bahawa dalam jenayah seksual, pasangan lelaki yang cemburu selalunya akan melakukan perbuatan seperti menggigit puting buah dada dan merosakkan bahagian kemaluan pasangan wanitanya.
Ditanya sama ada dalam kes tersebut dia ada menemui bukti yang menunjukkan perkara itu berlaku, jawabnya, tiada.
Saksi pendakwa ke-13 itu berkata demikian semasa menyambung keterangan dalam pemeriksaan balas pada hari ke-11 perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan membunuh Noritta.
Hanif Basree, 36, didakwa membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini.
Dia dibicara di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Selain Sithambaram, jurutera itu turut diwakili oleh peguam Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah.
Pada pemeriksaan utama sebelum ini, Ab. Halim menyatakan bahawa Noritta menemui ajal akibat kelemasan, kemungkinan besar selepas melakukan hubungan seks yang melibatkan perbuatan secara kasar atau paksaan.
Menyambung keterangannya, Ab. Halim berkata, dia bersetuju dengan Sithambaram bahawa kehadiran air mani semata-mata tidak dapat menentukan jumlah sebenar pasangan yang melakukan hubungan seks dengan Noritta berdasarkan tiga alasan.
Alasan-alasan tersebut ialah si lelaki menggunakan kondom atau menjalani vasektomi (pemotongan saluran air mani) atau mencabut zakarnya sebelum ejakulasi.
Disoal mengenai kelemasan seksual, pakar forensik itu bersetuju yang ia bukanlah satu bentuk kematian yang diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Dalam kes tersebut, Ab. Halim sekali lagi menafikan bahawa Noritta mati akibat kelemasan seksual.
Beliau juga tidak bersetuju bahawa kematian Noritta adalah disebabkan oleh kesilapan yang berlaku dalam percubaan pasangan terbabit untuk meningkatkan puncak kenikmatan dengan cara melakukan kelemasan seksual.
Menjawab soalan lain, beliau menyatakan bahawa sekiranya gadis itu menghidap penyakit asma, dia boleh menemui ajal akibat lemas jika udara dihalang daripada masuk ke dalam anggota badannya.
Sewaktu pemeriksaan semula oleh Augustin, pakar forensik itu menjelaskan beliau tidak bersetuju bahawa Noritta mati akibat kelemasan seksual kerana bedah siasat yang dijalankan menunjukkan terdapat luka teruk pada lidah mangsa.
``Kalau dalam kelemasan seksual, ia adalah satu proses sukarela. Lidah adalah satu benda yang boleh bergerak dan statik, jadi kalau dalam proses sukarela ini, apabila mangsa terasa sakit, dia dengan mudah mengerakkan lidah atau kepalanya.

``Tapi dalam kes ini, adalah konsisten dengan satu paksaan yang kuat. Saya anggap ini adalah satu paksaan.
``Lidah ini (Noritta) saya potong Yang Arif, memang terdapat kecederaan yang berat,'' katanya.
Beliau menjelaskan kecederaan yang berat itu bermaksud hematoma (pengumpulan darah dalam tisu) mangsa yang konsisten dengan benda yang berat dan epiglotis (di pangkal lidah) juga cedera.
Menjawab soalan lain, saksi pendakwa itu menyatakan beliau menolak andaian mangsa mati akibat jerutan, cekikan ataupun sumbatan pada mulut kerana bahan-bahan untuk melakukan perbuatan itu tidak ada pada mangsa ketika bedah siasat dilakukan.
Selepas Augustin berkata yang beliau tidak mempunyai soalan lagi, Hakim Abdull Hamid bertanya kepada saksi itu apakah bahan yang dimaksudkannya.

Ab. Halim: ``Kain (tuala muka) misalnya, bila pemeriksaan dilakukan, bahan itu tidak ada. Bahan-bahan yang digunakan untuk cekikan juga tidak ada.''
Abdull Hamid: ``Bagaimana pula dengan tuala muka?''
Ab. Halim: ``Bila bahan-bahan ini (tuala muka, sarung bantal dan sarung bantal peluk) ditunjukkan pada saya, ia akan bertindih sebab ia boleh jadi jerutan atau cekikan. (Tetapi) Bahan-bahan ini tidak ada pada mulut mangsa (masa bedah siasat).''

Augustin kemudian menyoal semula Ab. Halim, dan saksi itu memberitahu bahan seperti tuala muka yang dikatakan disumbatkan ke dalam mulut Noritta memang boleh menyebabkan kematian mangsa.
Di samping itu, beliau menyatakan bahawa kecederaan teruk pada pangkal lidah dan epiglotis mangsa boleh diakibatkan oleh tuala muka itu yang dimasukkan ke dalam mulut mangsa secara paksaan dan menyebabkan kematiannya.
Perbicaraan bersambung Isnin ini.


ARKIB UTUSANONLINE  : 27/05/2004

Saksi: Cebisan tuala ada profil DNA Hanif

KUALA LUMPUR 26 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sehelai tuala muka yang disumbat ke dalam mulut Noritta Samsudin mengandungi campuran profil Deoxyrido Nucleic Acid (DNA) tertuduh Hanif Basree Abdul Rahman dan seorang wanita yang tidak dikenali, selain daripada profil peragawati sambilan itu.
Ahli kimia, Lim Kong Boon berkata, sejumlah 70 hingga 75 peratus kandungan profil DNA pada tuala itu adalah milik Noritta, 20 hingga 25 peratus milik Hanif Basree manakala baki lima peratus kepunyaan seorang wanita yang tidak dikenal pasti.
Dua penyumbang profil-profil DNA itu, katanya, dikesan setelah didapati sepadan dengan profil DNA daripada contoh kesan darah dan contoh darah Hanif Basree serta Noritta.
``Penyumbang terkecil dalam campuran profil DNA pada cebisan tuala muka itu pula adalah konsisten dengan (profil DNA) seorang perempuan yang tidak dikenal pasti.
``Kebarangkalian secara rawak bahawa profil DNA seorang daripada penyumbang (campuran profil DNA) itu adalah sepadan dengan individu-individu lain, adalah dianggarkan satu nisbah 900,000 orang (1:900,000) berdasarkan pangkalan data orang Melayu di Malaysia,'' katanya.
Kong Boon berkata demikian ketika menyambung keterangan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin pada hari ke-14 perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang menghadapi tuduhan membunuh Noritta.
Hanif Basree, 36, didakwa membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Jurutera itu diwakili oleh V. Sithambaram, Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala Augustin dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Roszianayati Ahmad dan Nahra Dollah.
Dalam keterangannya, Kong Boon turut memberitahu bahawa analisis DNA yang dijalankan mendapati profil DNA Hanif Basree telah ditemui pada kesan air mani pada beberapa barang bukti.
Barang-barang tersebut ialah sarung bantal peluk, lapan keping kertas tisu, cadar, comforter dan tiga keping keratan tilam.
Jelas beliau, rumusan itu dibuat setelah mendapati profil DNA pada kesan air mani pada barang-barang bukti itu adalah sepadan dengan profil DNA tertuduh.
Saksi itu memberitahu, kebarangkalian bahawa profil DNA tertuduh adalah sepadan dengan individu lain adalah dalam 1 nisbah 6.2 quantilion (6.2 diikuti dengan 18 angka kosong di belakangnya) mengikut pangkalan data orang Melayu di negara ini.
Analisis DNA juga, kata saksi pendakwa ke-14 itu, mendapati kesan air mani pada barang-barang berkenaan kecuali sekeping keratan tilam mempunyai campuran profil DNA Hanif Basree dan Noritta.
``Profil DNA pada barang-barang itu adalah campuran profil DNA seorang lelaki dan seorang perempuan.
``Penyumbang campuran profil DNA itu adalah sepadan dengan sumber (profil DNA) daripada contoh kesan darah Hanif Basree serta darah Noritta,'' jelasnya.

Ketika ditanya oleh Augustin apakah maksud beliau, Kong Boon menjawab:
``Oleh kerana sperma dikesan pada profil DNA lelaki dan perempuan pada barang-barang berkenaan, ia adalah konsisten bahawa aktiviti seksual telah berlaku seperti hubungan seks,'' katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Hamid Embong bersambung esok.

ARKIB : 02/06/2004

Saksi: Tilam di bilik Noritta ada kesan tompok air mani
Oleh: AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa terdapat beberapa kesan tompokan dipercayai air mani pada sebuah tilam di bilik peragawati sambilan, Allahyarham Noritta Samsudin.
Penolong juruanalisis tempat kejadian Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, di sini,

Inspektor Mohd. Nizam Husain berkata, tompokan-tompokan itu dikesan dengan menggunakan bantuan topeng muka (goggle) warna oren dan alat polylight yang disuluh pada tilam berkenaan.
Bagaimanapun, kata beliau, hanya tiga tompokan yang jelas kelihatan dan selepas ditanda, ia telah dipotong lalu dimasukkan ke dalam tiga kotak berasingan.
Menurutnya, keratan-keratan tilam yang diambil kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat kanan, Asisten Supritendan (ASP) Sharul Lalli Masduki.
Pengambilan keratan tilam itu, katanya, dibuat semasa beliau pergi ke Kondominium Puncak Prima Galleria kira-kira pukul 5.15 petang, 8 Disember tahun lalu bersama Sharul Lalli, ASP Zuraimi Zam Zam dan jurufoto polis, Mohd. Syaifulizan Anis.
Saksi pendakwa ke-20 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Roszianayati Ahmad pada perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang didakwa membunuh Noritta, 22.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong masuk hari ke-17 hari ini.
Hanif Basree, 36, didakwa membunuh peragawati sambilan itu antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1 di kondominium tersebut di Jalan 17, Sri Hartamas.
Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Jurutera itu diwakili oleh barisan peguam, V. Sithambaram, Mohd. Haaziq Pillay, N. Rajivan dan Robert Devan manakala pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Augustin dan Nahra Dollah.
Menyambung keterangannya, Mohd. Nizam berkata, kira-kira pukul 8.30 malam hari yang sama, Sharul Lalli memanggil beliau semula untuk membuat pemeriksaan terhadap sehelai cadar dan kain selimut.
Pemeriksaan menggunakan peralatan yang sama, katanya, mendapati cadar dan kain selimut itu mengandungi beberapa helai rambut, bulu, serat gentian dan habuk.
Semasa pemeriksaan balas oleh Sithambaram, saksi itu menyatakan bahawa walaupun ada tompokan lain pada tilam itu, tetapi siasatan mendapati tidak perlu mengambil kesemuanya dan memadai hanya tiga kesan tompokan itu dihantar ke Jabatan Kimia.
Sementara itu, saksi pendakwa ke-23, Lans Koperal N. Verasengam berkata, beliau telah diarahkan pergi ke tempat kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi, 5 Disember tahun lalu dengan membawa anjing pengesan bernama `Lennox'.
Verasengam dari Unit Anjing Pengesan K/9 Pulapol, Jalan Semarak menyatakan, beliau telah diarahkan membuat pengesanan mulai dari pintu rumah tingkat tujuh kondominium itu ke pintu kecemasan lalu menuruni tangga hingga ke tingkat bawah sekali.
Anjing itu, jelasnya, kemudian melalui tepi longkang blok bersebelahan (Blok B) menuju Blok A, melintas jalan hingga ke tepi pagar dan selepas itu pergi ke parkir kereta, berpatah balik ke jalan raya dan terus ke jalan mati.
``Sampai di jalan mati itu, anjing saya berpusing-pusing sebab dia telah hilang kesan dan tidak boleh memberi tumpuan,'' katanya.
Disoal lagi oleh Roszianayati, saksi itu menyatakan, anjing itu kehilangan kesan kerana kemungkinan wujudnya gangguan oleh anjing-anjing lain di situ.
Sewaktu pemeriksaan semula oleh Sithambaram, Verasengam menyatakan, anjing itu membuat pengesanan melalui bau yang tidak diketahui milik siapa dari kawasan lalu lalang di luar unit kondominium terbabit.
Saksi pendakwa ke-25, Cecilia Packiam dari Jabatan Kimia, Petaling Jaya pula memberitahu, beliau telah membuat analisis pada dua botol contoh darah Noritta.
Sebotol contoh darah itu, katanya, selepas dianalisis didapati mengandungi 0.1 mikrogram per milimeter diphenhydramine, iaitu sejenis anti histamine yang biasa digunakan dalam ubat batuk.
``Analisis pada contoh darah yang satu lagi mendapati tiada etil alkohol dikesan,'' kata ahli kimia itu semasa pemeriksaan utama oleh Nahra.
Ketika menjawab soalan pada pemeriksaan balas, Cecilia berkata, pemeriksaan darah Noritta dibuat bagi mengesan sama ada terdapat etil alkohol (bahan yang terkandung dalam minimum keras), penggunaan dadah ataupun bahan toksik.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwa turut memanggil enam saksi lain termasuk dua pembantu perubatan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, dua jurugambar polis dan Ketua Unit Serologi dan DNA Jabatan Forensik, Primula Pathijaya.
Rakan serumah Noritta, Nor Azora Abdul Hamid turut kelihatan bersendirian di pekarangan mahkamah sejak pukul 11.50 pagi, sebelum ditemani oleh seorang kenalan lelaki dan dua wanita pada sebelah petang.
Nor Azora yang keterangannya ditunggu-tunggu dijangka dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bersambung esok.

Tiada kesan cap jari di bilik Noritta - Saksi
AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 3 Jun - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa tiada kesan cap jari ditemui di dalam bilik tidur peragawati sambilan, Allahyarham Noritta Samsudin di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, di sini.
Pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asisten Supritendan Sharul Lalli Masduki berkata, kesan cap jari juga tidak dikesan pada kipas angin berdiri dan seterika yang diambil dari bilik Noritta.
Berikutan ketiadaan penemuan cap jari, beliau menyatakan, kedua-dua barang tersebut tidak dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.
Beliau juga memberitahu, barang-barang seperti lampu tidur, wayar, beg plastik dan bakul sampah dari bilik gadis itu tidak dihantar ke jabatan berkenaan kerana berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Sharul Lalli dalam keterangannya sebelum itu memberitahu bahawa beliau sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 6 pagi dan berada di situ sehingga pukul 8.15 pagi.
Setibanya di unit kondominium itu, katanya, beliau terus menuju ke bilik gadis tersebut lalu membuka pintunya dan mendapati tiada sesiapa di dalamnya.
Pemerhatiannya mendapati sekujur tubuh wanita yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Noritta dilihat berselimut hingga paras leher, berada dalam keadaan terlentang di atas tilam tanpa katil.
``Hanya bahagian muka kelihatan, kepala mangsa menghadap tingkap bilik dan mangsa terbaring hampir ke dinding,'' katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Roszianayati Ahmad pada perbicaraan terhadap jurutera, Hanif Basree Abdul Rahman yang didakwa membunuh Noritta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong masuk hari ke-19 hari ini.
Hanif Basree, 36, didakwa membunuh Noritta, 22, antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember tahun lalu di No. D-7-1 di Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas.
Dia dibicara mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sharul Lalli sebagai saksi pendakwa ke-29 seterusnya memberitahu, beliau kemudiannya memegang muka mangsa dan mendapatinya telah meninggal dunia.
Ketika itu, katanya, bilik itu dalam keadaan teratur dan hanya lampu tidur yang terjatuh ke bawah dan terdapat keratan wayar di hujung tilam.
Selepas menarik kain selimut, beliau mendapati dua bantal, satu telah dilucutkan sarungnya terletak di bawah kepala mangsa dan satu lagi masih bersarung terletak bersebelahan bantal pertama.
Mangsa pula, katanya, terlentang dalam keadaan berbogel dan kakinya terikat.
Di atas bantal yang bersarung, jelas beliau, terdapat segumpal tuala kecil sebesar separuh daripada genggaman penumbuk.
'`Di bawah badan mangsa terdapat dua sarung bantal, satu sarung bantal biasa dan satu lagi sarung bantal panjang.
``Di bawah siku kanan mangsa pula terdapat wayar seterika dan sebatang tongkat rotan (milik pengawal keselamatan yang tertinggal di situ) tersandar di dinding,'' katanya.
Sewaktu ditemui, kata Sharul Lalli, mangsa yang memakai subang, rantai leher dan cincin warna perak dilihat tidak mempunyai sebarang kesan luka.
``Tangan mangsa terletak di bawah badan dan di bawah punggungnya pula terdapat sebuah bantal panjang warna putih yang telah dilucutkan sarungnya.
``Dua keratan tali coli dan satu keratan dipercayai baju tidur juga terdapat di atas cadar,'' ujarnya.
Ditanya apa bahan yang digunakan untuk mengikat kaki Noritta, kata saksi itu, ia diikat dengan wayar dan coli berwarna hitam.
``Ikatan wayar dibuat secara lilitan satu persatu pada kaki, dicantum dan disimpul ke belakang. Coli warna hitam pula diikat di atas wayar tadi dan disimpulkan ke belakang,'' katanya.Menurutnya, beliau juga menemui bakul sampah dan kipas angin berdiri yang telah dipotong wayarnya di dalam bilik itu.Di dalam bakul sampah tersebut, katanya, beliau menemui sehelai baju tidur, seluar pendek, coli warna kuning air, segumpal tisu dan satu palam dengan sedikit wayar warna hitam dan beg plastik.Tisu tersebut, katanya, dibasahi oleh cecair dipercayai air mani setelah beliau memegangnya dengan menggunakan sarung tangan.
Mengenai tompokan basah di atas tilam seperti yang ditunjukkan dalam sekeping gambar yang diambil di tempat kejadian, katanya, ia dipercayai kesan air kencing mangsa berdasarkan baunya yang hancing.
Dari ruang tamu pula, katanya, beliau menemui sebuah seterika yang telah dipotong wayarnya dan sebuah palam warna putih terselit di bawah sofa manakala tiga bilah pisau ditemui di dapur.
``Sambungan wayar seterika itu terdapat di bawah siku kanan mangsa di atas tilam,'' ujarnya.
Barang-barang terbabit termasuk kipas angin, seterika dan bakul sampah kemudiannya dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.Siasatan yang dijalankan, Sharul Lalli mendapati tiada kesan pecah rumah berlaku di unit kondominium itu dan tiada barang-barang mangsa hilang kecuali telefon bimbitnya bernombor 012 2922881.
Hasil pemeriksaan yang dibuat di pejabat Maxis mendapati talian telefon itu tidak digunakan langsung selepas hilang. Dalam keterangannya, saksi itu memberitahu bahawa beliau dimaklumkan bahawa Hanif Basree telah ditangkap kira-kira pukul 4 petang, 8 Disember tahun lalu di IPD Brickfields.
Perbicaraan bersambung esok.

ARKIB UTUSANONLINE : 04/06/2004
 
5 DISEMBER 2004 

Hanif Basree Abdul Rahman adalah orang terakhir yang melakukan hubungan seks dengan eksekutif pembangunan perniagaan Noritta Samsudin berdasarkan kesan air mani yang terdapat pada kapas pengesat di faraj mangsa, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu, Khamis.

Ahli kimia forensik Lim Kong Boon dari Jabatan Kimia Petaling Jaya berkat, berdasarkan keputusan DNA yang diperoleh daripada bekas campuran air mani pada kapas pengesat di faraj Noritta, ia menunjukkan penyumbang utamanya ialah orang terakhir yang mengadakan hubungan jenis dengan mangsa.

Analisis DNA yang dibuat oleh Lim menunjukkan bahawa Hanif Basree merupakan penyumbang terbesar kepada campuran air mani berkenaan (60-70 peratus), Noritta 20-25 peratus dan seorang lelaki yang tidak dikenali, 10-15 peratus.

"Profil DNA yang diambil daripada DNA ekstrak sel sperma daripada bekas air mani pada kapas pengesat yang dilabel sebagai "kapas pengesat faraj kandungan tinggi" mengandungi profil DNA campuran yang menunjukkan ia disumbangkan oleh sekurang-kurangnya tiga individu," kata beliau.

Lim berkata demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan Hanif Basree, 36, jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam, yang dituduh membunuh Noritta, 22, di unit D-7-1, Puncak Prima Galleria Condominium, di Jalan 17, Sri Hartamas di sini, antara 1.30 pagi dan 4 pagi 5 Dis tahun lepas.


ARKIB UTUSANONLINE  : 06/11/2007

Hanif orang terakhir lakukan seks dengan Noritta                                                 Oleh Amiruddin Harun

PUTRAJAYA 5 Nov. – Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa Hanif Basree Abdul Rahman, 39, adalah orang terakhir yang melakukan hubungan seks dengan eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Samsudin, 22, dan menyebabkan kematian wanita tersebut.
Beliau berkata, ini dijelaskan melalui keterangan pakar patologi forensik mengenai jumlah cecair hasil ejakulasi tertuduh dan mangsa yang ditemui dalam vagina mangsa.
Menurutnya, keterangan pakar tersebut menunjukkan bahawa mangsa mati semasa dia masih terbaring berdasarkan cecair yang banyak bertakung dalam vagina mangsa dan kematiannya berlaku selepas mengadakan hubungan seks.
‘‘Sudah tentunya keterangan ini tidak memadai untuk membabitkan responden (Hanif Basree) sebagai penyebab kematian mangsa tetapi keterangan itu jelas menunjukkan bahawa mangsa mati sejurus selepas melakukan hubungan seks,’’ tegasnya.
Beliau berkata, Hanif Basree sebagai penyumbang terbanyak kepada takungan cecair itu menunjukkan bahawa responden adalah orang terakhir melakukan hubungan seks dengan Noritta sebelum kematiannya.
‘‘Tidak dipertikaikan bahawa Noritta telah melakukan hubungan seks dengan lebih seorang lelaki tetapi keterangan forensik dan saintifik menunjukkan bahawa responden adalah orang terakhir melakukannya,’’ katanya.
Chiang Kiat berhujah dalam rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan 29 Januari 2005 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif Basree daripada tuduhan membunuh Noritta.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai 2004 melepas dan membebaskan Hanif Basree, jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada tuduhan itu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Hanif Basree didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Noritta yang juga peragawati sambilan di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara.
Rayuan di mahkamah tertinggi di negara ini dibuat di hadapan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Datuk Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Nik Hashim Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusof, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri Zaki Azmi.
Chiang Kiat selanjutnya berhujah bahawa penemuan lapan helai tisu basah mengandungi air mani Hanif Basree turut menunjukkan responden terlibat dalam perlakuan seks, walaupun tidak dinafikan bahawa seorang lelaki tidak dikenali turut melakukan seks dengan mangsa sebelum kematiannya.
Responden, katanya, yang bertanya kepada pakar forensik, Dr. Mohd. Shah Mahmood sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) boleh menentukan masa kejadian dan tindakannya memotong kuku jari tangan dan mencukur bulu ari-ari sebelum menyerah diri kepada polis adalah usahanya untuk menyembunyi bukti tertentu.
Menurut beliau lagi, Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes itu telah gagal untuk mempertimbangkan keseluruhan keterangan forensik dan saintifik yang menjurus kepada responden sebagai orang terakhir melakukan seks dengan Noritta.
‘‘Dengan mengambil kira rantaian keterangan ini, pihak pendakwaan telah mengemukakan lebih daripada cukup keterangan untuk membolehkan responden dipanggil membela diri dan Mahkamah Tinggi sudah tentunya telah tersalah arah dirinya semasa melepas dan membebaskan responden di akhir kes pendakwaan,’’ katanya.
Dengan itu timbalan pendakwa raya itu memohon supaya mahkamah tersebut membenarkan rayuan itu dengan memerintahkan responden dipanggil membela diri.
Sementara itu peguam Datuk V. Sithambaram yang mengetuai pembelaan pula berhujah bahawa kewujudan lelaki tidak dikenali yang melakukan hubungan seks dengan mangsa dan kehadiran DNA lelaki itu pada coli dan wayar yang mengikat tangan serta kaki mangsa telah menimbulkan keraguan dalam kes pihak pendakwa.
Begitu juga bau badan lelaki misteri yang diberitahu oleh teman serumah Noritta, Nor Azora Abdul Hamid dan Kenneth Michael Yap Teik Huat, katanya, bukanlah bau badan responden serta air mani di dubur mangsa adalah akibat daripada perbuatan liwat lelaki tidak dikenali itu.
‘‘Daripada keterangan-keterangan itu adalah munasabah selain daripada responden, wujudnya DNA lelaki tidak dikenali dan lelaki berkulit hitam yang melarikan diri daripada apartmen mangsa.
‘‘Oleh itu, Mahkamah Tinggi adalah betul semasa membebaskan responden,” katanya sambil memohon rayuan itu ditolak.
Selepas selesai mendengar pembentangan hujah kedua-dua pihak, Hakim Arifin menangguhkan keputusan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

ARKIB UTUSANONLINE : 28/03/2008

Rayuan kes Haniff diputuskan hari ini

PUTRAJAYA 27 Mac - Keputusan sama ada jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hanif Basree Abdul Rahman, 40, dibebaskan atau sebaliknya daripada tuduhan membunuh Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Noritta Samsudin, 22, akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan, esok.
Mahkamah tertinggi negara ini akan membuat keputusan terhadap rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Hanif Basree daripada tuduhan tersebut.
Mahkamah Rayuan pada 29 Januari 2005 mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdull Hamid Embong membebaskannya pada 1 Julai 2004 tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Jurutera berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh Noritta yang juga peragawati sambilan di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara.
Penghujahan kedua-dua pihak pendakwa dan pembela didengar di hadapan panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi.
Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Nik Hashim Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusof dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.
Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat ketika berhujah pada 5 November tahun lalu menyatakan, Hanif Basree adalah orang terakhir yang melakukan hubungan seks dengan Noritta sejurus sebelum kematiannya.
Beliau berkata, keterangan pakar patologi forensik menunjukkan mangsa mati semasa masih terbaring manakala Hanif Basree sebagai penyumbang terbanyak kepada takungan cecair dalam vaginanya, walaupun tidak dipertikaikan bahawa Noritta telah melakukan hubungan seks dengan lebih seorang lelaki.
Sementara itu peguam Datuk V. Sithambaram yang mengetuai pembelaan pula berhujah, kewujudan lelaki tidak dikenali yang melakukan hubungan seks dengan mangsa dan kehadiran DNA lelaki itu pada coli dan wayar yang mengikat tangan serta kaki mangsa telah menimbulkan keraguan dalam kes pendakwa.
Begitu juga bau badan lelaki misteri yang diberitahu oleh teman serumah Noritta, Nor Azora Abdul Hamid dan Kenneth Michael Yap Teik Huat, katanya, bukanlah bau badan responden serta air mani di dubur mangsa adalah akibat daripada perbuatan liwat lelaki tidak dikenali itu.

ARKIB : 29/03/2008

Hanif kekal bebas tuduhan bunuh Noritta

Oleh AMIRUDDIN HARUN
Hanif Basree Abdul Rahman (kiri) memeluk ibunya, Che Norkiah Che Mahani, 68, yang terharu selepas Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, semalam mengekalkan keputusan tidak bersalah atas tuduhan membunuh Noritta Samsuddin.

PUTRAJAYA 28 Mac – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hanif Basree Abdul Rahman, 40, daripada tuduhan membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Samsudin, 22, lima tahun lalu.
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan sebulat suara semasa menolak rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum itu turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif Basree.
Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Ariffin Zakaria, Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman, Datuk Hashim Yusof dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Hakim Ariffin bagaimanapun tidak hadir hari ini.
Hakim Zaki yang membacakan penghakimannya menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah betul dalam meneliti keterangan mahupun semasa menggunakan prinsip undang-undang sewaktu menilai keterangan mengikut keadaan (circumstantial).
‘‘Terutamanya seperti dalam kes ini apabila terdapat kemungkinan munasabah tentang kewujudan orang lain yang boleh melakukan kesalahan itu,’’ kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, pendakwaan gagal melaksanakan tugas dengan sempurna apatah lagi mereka tidak dapat menyangkal dua keterangan utama iaitu tentang kewujudan lelaki berbau busuk di apartmen itu dan ‘lelaki tidak dikenali 1’ (Unknown Male 1) yang asid deoksiribonukleik (DNA) ditemui pada jasad mangsa.
Oleh itu, menurut beliau, hakim bicara adalah betul semasa memutuskan untuk tidak memanggil tertuduh di akhir kes pendakwaan dan membebaskan Hanif Basree di peringkat tersebut.
Hanif Basree yang memakai suit hitam lengkap bertali leher yang duduk di kandang pesalah tenang dan terharu apabila mendengar keputusan mahkamah.
Sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang, Hanif Basree dilihat memeluk peguam utamanya, Datuk V. Sithambaram dan ahli-ahli keluarganya. Dia yang pada awalnya cuba menahan sebak akhirnya menitiskan air mata semasa memeluk erat ibunya, Che Norkiah Che Mahani, 68.
Dengan keputusan mahkamah tertinggi negara ini, rayuan pendakwaan turut berakhir kerana keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar lagi.
Pihak pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi. Rayuan itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 29 Januari 2005.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor dan Roszianayati Ahmad hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdull Hamid Embong (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 1 Julai 2004 melepas dan membebaskan Hanif Basree daripada tuduhan membunuh Noritta tanpa dipanggil membela diri setelah pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Hukuman
Dalam perbicaraan yang berlangsung selama 29 hari mulai 6 Mei 2004 dan membabitkan 34 orang saksi, Hanif Basree didakwa membunuh Noritta di antara pukul 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Disember 2003 di alamat Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas di ibu negara.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam penghakiman bertulis setebal 21 muka surat yang dibaca hampir 45 minit, Hakim Zaki berkata, dalam kes ini, DNA ‘lelaki tidak dikenali 1’ boleh digunakan bagi menentukan siapakah lelaki itu tetapi malangnya identitinya gagal diketahui.
‘‘Barangkali pada masa hadapan, akan ada profil DNA yang didaftarkan seperti mana rekod cap jari pada masa kini, yang dapat membantu polis mengesan pemilik DNA terbabit,’’ ujarnya.
Menurut beliau, sungguhpun terdapat DNA tertuduh yang ditemui pada badan mangsa sehingga boleh menimbulkan syak wasangka tetapi ia tidak cukup untuk merumuskan bahawa dia yang menyebabkan kematian mangsa.
Beliau juga tidak bersetuju dengan hujah pendakwa berhubung penemuan kertas tisu basah mengandungi kesan air mani tertuduh dalam bilik mangsa yang dikatakan membuktikan dia menggunakannya antara satu hingga satu setengah jam sebelum tisu itu ditemui.

Happy Family

Sebaliknya, beliau bersetuju dengan hujah pihak pembela yang menyatakan gumpalan tisu itu masih basah kerana ia ditemui di bawah tindanan beberapa helai pakaian.
‘‘Bagi saya tidak perlu menjadi seorang pakar untuk mengetahui perbezaan kesan kertas tisu mengandungi air mani yang terdedah adalah lebih cepat kering berbanding jika ia diletak di bawah timbunan pakaian,’’ ujarnya.
Mengenai bau busuk yang dihujahkan oleh pihak pendakwa sebagai bau akibat perlakuan seks tertuduh dengan mangsa dan tindakannya mengikat kaki dan tangan mangsa, hakim itu berkata, beliau tidak menerima hujah itu kerana tiada bukti yang menyokongnya.
Sebaliknya, jelas beliau, teman serumah mangsa, Nor Azora Abdul Hamid sendiri mengakui bahawa tertuduh tidak mempunyai bau badan seperti itu dan keterangan ini juga tidak dicabar oleh pendakwaan.
‘‘Daripada keterangan yang diterima setakat ini, terdapat seorang yang mempunyai bau badan yang busuk dan seorang lagi yang dilihat berjalan keluar sambil memakai baju (mengikut keterangan Nor Azora). Tidak ada bukti menunjukkan ia adalah orang yang sama,’’ katanya.
Sementara itu, Hanif Basree ketika ditemui pemberita di luar mahkamah melahirkan rasa kesyukuran terhadap keputusan yang memihak kepadanya.
‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana penantian selama lima tahun sekarang ini berakhir. Sebelum ini banyak perancangan yang saya hendak buat tertangguh kerana tidak tahu apa keputusan (akhir) yang akan terjadi,’’ katanya.
Bapa kepada tiga orang anak berusia antara empat dan 13 tahun itu juga memberitahu, selepas ini beliau akan menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri dan anak-anak.
Isterinya, Noraidah Mohamed dan anak- anak mereka bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.
Che Norkiah pula berkata, beliau merasa terkilan kerana keputusan yang menggembirakan mereka sekeluarga tidak dapat dikongsi bersama suaminya, Abdul Rahman Basir yang meninggal dunia pada 26 Februari tahun lalu kerana sakit tua.
‘‘Alhamdulillah akhirnya apa yang benar itu benar jua. Itu sahaja yang mak cik nak cakap tapi mak cik terkilan bapa (Hanif Basree) tidak ada. Pada hari-hari yang gembira ini dia tak tahu,’’ katanya.

No comments: