Monday, April 07, 2014

Nostalgia : Kes Pemandu Bas Bunuh Jurutera Komputer.


Saksi  hairan  bas  masuk  tapak  binaan.

ARKIB : 16/03/2001
Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 15 Mac - Seorang rakyat Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia ternampak bas Ekspres Kiara masuk ke tapak pembinaan perumahan Bukit Tinggi, Klang dan berhenti kira-kira 30 minit berhampiran tempat mayat jurutera Noor Suzaily Mukhtar dijumpai.
Habsa Muhiyah, 45, pemandu forklift berkata, dia berasa hairan kerana sejak bekerja di kawasan itu, belum pernah bas melalui kawasan berkenaan.
Menurut lelaki itu, dalam hatinya timbul tanda tanya apa perlunya bas lalu di kawasan pembinaan tersebut pada pukul 9 pagi, 7 Oktober tahun lalu, sedangkan rumah belum siap dibina dan jalan pun tidak elok.
Habsa memberitahu demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria yang mengendalikan pendakwaan pada perbicaraan pemandu bas, Hanafi Mat Hassan yang dituduh membunuh dan merogol jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar.
Hanafi, 33, dituduh membunuh Noor Suzaily, 24, antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober tahun lalu di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Hanafi juga dituduh merogol Noor Suzaily pada hari, masa dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Shenton Maniam dan Srekant Pillai bertindak sebagai peguam bela tertuduh.
Perbicaraan kes itu masuk hari keempat hari ini.
Dalam keterangannya, Habsa berkata, dua rakannya cuba menghampiri bas berkenaan ketika pemandunya berhenti kali pertama tetapi kenderaan tersebut kemudiannya bergerak.
``Selepas itu saya nampak bas yang sama berhenti sekali lagi dekat loji kumbahan najis,'' katanya.
Menurut Habsa, kira-kira lima minit kemudian, dia ternampak dua orang rakannya iaitu Frederikus M. Wadri (Edi) dan Marshallinusraga Pius Munggu (Marsel) berkejar ke arah bas tersebut.
Katanya, oleh kerana tiada orang yang boleh menggantikan tugasnya, dia terpaksa terus bekerja walaupun ingin sama melihat apa yang berlaku.
Habsa mengatakan bagaimanapun kira-kira pukul 3 petang hari yang sama, dia ternampak beberapa orang rakannya berlari-lari seolah-olah mengejar sesuatu ketika sedang membersihkan tong pembancuh simen.
Menurut Habsa, seorang rakannya memberitahu bahawa ada mayat dijumpai di situ.
Habsa berkata, dia kemudian turut berlari bersama mereka untuk melihat mayat tersebut.
``Ketika berlari, saya terjumpa segumpal kain di tepi longkang tetapi tidak menghiraukannya,'' ujarnya.
Terdahulu, Habsa mengatakan, para pekerja pada mulanya menyangka yang bas tersebut berada di situ kerana polis mungkin akan membuat serbuan terhadap pendatang asing.
Mahkamah turut mendengar keterangan daripada rakan sebilik Noor Suzaily iaitu Rosmaliza Umar, 24, yang bertugas sebagai kerani di Bank Rakyat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus bersambung esok.


Hanafi  Mat  Hasan  Dihukum  Gantung 
-  Bersalah  Membunuh  Jurutera  Komputer,  Noor Suzaily .
HANAFI Mat Hassan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam oleh anggota polis setelah dihukum mati kerana kesalahan membunuh jurutera komputer Noor Suzaily Mukhtar dua tahun lepas. Dia juga didapati bersalah merogol wanita itu. - Gambar IZHAM JAAFAR



ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 27/04/2002

Oleh: NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 26 April - Pemandu bas Ekspres Kiara, Hanafi Mat Hassan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dalam penghakimannya juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara maksimum selama 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol Noor Suzaily.
Kes pembunuhan Noor Suzaily sebelum ini telah menggemparkan seluruh negara dan mendapat reaksi pelbagai pihak serta liputan meluas oleh media.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Hishamudin berkata: ``Hukuman mati hendaklah dijalankan serentak dengan hukuman penjara. Namun antara hukuman mati dengan hukuman sebatan, hukuman mati hendaklah diutamakan.''
Menurut beliau, hukuman penjara terhadap Hanafi berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 10 Oktober 2000.
Hakim Hishamudin kemudiannya menyatakan bahawa beliau mengarahkan Hanafi digantung sehingga mati selaras dengan peruntukkan Seksyen 277 Kanun Prosedur Jenayah.
Hukuman itu dijatuhkan oleh hakim berkenaan kira-kira pukul 11.40 pagi ketika mahkamah penuh sesak dengan orang ramai.
Hanafi yang diminta berdiri di dalam kandang tertuduh pada mulanya dilihat tidak memberikan sebarang reaksi.
Namun sebaik sahaja mahkamah tamat bersidang, Hanafi dilihat tersenyum. Dia juga sempat bergurau ketika dihampiri peguamnya, Sreekant Pillai.
Abang Noor Suzaily, Muhairiss Mukhtar dan bakal tunang Allahyarham, Rudy Shahrin Abdul Rahim antara anggota keluarga dan kenalan terdekat mangsa yang hadir.
Hanafi, 34, telah dibicarakan selama 62 hari atas dua tuduhan membunuh dan merogol Noor Suzaily, 24, anak perempuan tunggal dari empat beradik.
Dia yang pernah berkahwin sebanyak empat kali didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober 2000 di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Hanafi yang berasal dari Kampung Renek, Kota Bharu Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Sepanjang perbicaraan itu, seramai 55 saksi pendakwa telah memberikan keterangan.
Hakim Hishamudin dalam penghakiman ringkas setebal 14 muka surat berpendapat bahawa Hanafi telah mereka-reka keterangan dalam usaha untuk membebaskan dirinya.
Sehubungan itu, tegas hakim berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah berdasarkan keterangan mengikut keadaan.
``Keterangan ahli kimia, Primulapathi Jaya mengesahkan bahawa ujian DNA yang dijalankan ke atas contoh darah Hanafi dan cebisan kapas pada bahagian kemaluan mangsa membuktikan bahawa air mani Hanafi berada dalam kemaluan Noor Suzaily,'' katanya.
Hakim Hishamudin berkata, berdasarkan keterangan Ketua Unit Forensik Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Abdul Halim Mansar beliau berpuas hati bahawa orang yang menyebabkan kematian Noor Suzaily memang berniat membunuh mangsa.
Menurut hakim itu, setelah menilai keterangan Hanafi dan saksi-saksi pendakwa, beliau dapat membuat beberapa andaian dan penemuan fakta.
Misalnya jelas Hakim Hishamudin, beliau berpuas hati bahawa Noor Suzaily telah menaiki bas WDE 4256 pada pagi 7 Oktober 2000 di perhentian bas Klang di Kuala Lumpur untuk pergi ke tempat kerjanya di Pusat Perubatan Pantai di Klang.
``Oleh itu, perempuan yang dilihat oleh Devan al Anbalagan (salah seorang saksi utama) tanpa berpakaian di bahagian atas dengan rambut yang berselerak dan berada dalam keadaan panik sambil mengetuk-ngetuk pintu bas sebenarnya ialah Noor Suzaily,'' jelasnya.
``Pemandu bas yang dilihat oleh pelajar berkenaan (Devan) di Jalan Pegaga dan di Jalan Sambau Klang pada hari yang sama ialah Hanafi,'' ujar beliau.
Hakim Hishamudin berkata, berdasarkan keterangan, beliau turut mendapati bahawa Hanafi telah merogol dan membunuh Noor Suzaily di dalam bas WDE 4256 dengan cara menjerut leher mangsa menggunakan kain dan menghentak kepala mangsa dengan atau pada sesuatu benda yang keras.
Selain itu, kata beliau, Hanafi juga telah mencampak keluar pakaian Noor Suzaily ketika basnya berhenti di tapak projek perumahan Bukit Tinggi.
``Bukan itu sahaja, Hanafi juga telah mengeluarkan mayat Noor Suzaily dari basnya dan meletakkannya di tepi jalan di tapak projek tersebut,'' katanya.
Hakim Hishamudin berkata, beliau turut mendapati Hanafi telah mengambil telefon bimbit dan loket Noor Suzaily selepas membunuhnya serta mencampakkan kad pengenalan, buku akaun bank dan beg jenama Guess milik mangsa ke dalam longkang.
Mengenai watak Sikin yang diceritakan oleh Hanafi dalam pembelaannya sebelum ini, Hakim Hishamudin berpendapat bahawa Sikin sebenarnya tidak wujud dan ia rekaannya semata-mata.
Menurut hakim itu, keterangan Hanafi mengenainya tidak lengkap kerana dia tidak menceritakan apakah yang berlaku seterusnya kepada Sikin selepas mendakwa rakannya itu terjumpa telefon bimbit Noor Suzaily di dalam bas.
``Seandainya benar watak Sikin wujud, sudah tentu perkara ini ditimbulkan oleh peguam bela ketika menyoal saksi-saksi pendakwa,'' katanya.
Situasi yang sama juga, kata Hakim Hishamudin, timbul apabila Hanafi mendakwa basnya hampir melanggar Devan di Jalan Pegaga.
``Sekiranya cerita itu benar, saya pasti perkara ini juga akan disoal oleh peguam kepada Devan ketika pelajar itu memberi keterangan pada 12 Mac tahun lalu,'' katanya.
Di samping itu, menurut Hakim Hishamudin, Hanafi tidak dapat menjelaskan bagaimana air maninya boleh berada dalam kemaluan Noor Suzaily jika dia tidak merogol mangsa.
Seperkara lagi yang tidak dapat dijelaskan oleh Hanafi, menurut hakim itu ialah bagaimanakah loket Noor Suzaily boleh berada di dalam rumahnya.
Selesai membacakan penghakimannya, Hakim Hishamudin meminta Sreekant membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.
Dalam rayuan ringkasnya Sreekant berkata, anak guamnya sebelum ditangkap terpaksa menyara seorang isteri, Idah Majid dan seorang anak berusia dua tahun.
``Dengan kejadian ini, isterinya terpaksa bekerja untuk menanggung keluarga,'' kata Sreekant.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Izzaini Ishak yang turut mengendalikan pendakwaan menjawab rayuan itu sambil menyifatkan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh Hanafi, satu jenayah yang sungguh jahat.
``Keluarga mangsa terutama ibunya, Harison Husin dan bapanya Mukhtar Ibrahim telah kehilangan satu-satunya anak perempuan mereka dan ia merupakan pengalaman yang amat tragis sepanjang hayat,'' katanya.
Hanafi juga, kata Nur Izzaini, sepanjang perbicaraan tidak langsung menunjukkan tanda-tanda keinsafan.
Sreekant ketika dihubungi petang ini bagaimanapun berkata beliau masih menunggu arahan daripada Hanafi sebelum mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Hanafi  Diperintah  Fail  Petisyen  Rayuan  Hukuman  Mati.

ARKIB : 08/12/2004

PUTRAJAYA 7 Dis. - Bekas pemandu bas Ekspres Kiara, Hanafi Mat Hassan yang dihukum gantung sampai mati kerana membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar diberi tempoh 10 hari oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini untuk memfailkan petisyen rayuan.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Malek Ahmad yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Hakim Tengku Datuk Baharudin Shah Tengku Mahmud memutuskan demikian selepas mendengar alasan peguam Sreekant Pillai yang mewakili Hanafi.
Menurut Sreekant, pihaknya gagal memfailkan petisyen rayuan sebelum ini kerana dokumen-dokumen yang diperlukan tidak dapat disusun dengan baik berikutan perpindahan firma guamannya ke lokasi baru.
Hanafi memfailkan notis rayuan pada 29 April 2002.
Pada 26 April 2002, Hanafi dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam setelah didapati bersalah membunuh Noor Suzaily.
Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dalam penghakimannya juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara maksimum selama 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol Noor Suzaily.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Hishamudin berkata: ``Hukuman mati hendaklah dijalankan serentak dengan hukuman penjara. Namun antara hukuman mati dengan hukuman sebatan, hukuman mati hendaklah diutamakan.''

Kes bunuh Noor Suzaily: Rayuan pemandu bas ditangguh 7 Mac

ARKIB : 02/03/2005


PUTRAJAYA 1 Mac - Rayuan pemandu bas Ekspres Kiara, Hanafi Mat Hassan yang dihukum gantung setelah didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily Mukthar, ditangguhkan pada 7 Mac ini kerana Mahkamah Rayuan hendak mendengar penghujahan lanjut mengenai aspek DNA.
Hakim Datuk Richard Malanjum yang mengetuai sidang bersama Hakim Datuk Hashim Mohamed Yusof dan Hakim Datuk S. Augustine Paul, hari ini mula mendengar hujah yang dibentangkan oleh dua peguam bela, Amer Hamzah Arshad dan Sreekant Pillai yang mewakili Hanafi.
Dalam hujahnya, Amer Hamzah berkata, isu penting dalam rayuan itu ialah kegagalan pihak pendakwa raya mengemukakan cetakan analisis DNA yang dipanggil elektro phereogram, sebaliknya hanya menggunakan ringkasan keputusan dan keterangan ahli kimia, Primulapathi Jaya.
Katanya, kegagalan itu tidak mematuhi peraturan bukti terbaik dan peruntukan yang diperlukan di bawah Seksyen 19A Akta Keterangan 1950 untuk menerima pakai dokumen yang dikeluarkan oleh komputer.
``Analisis DNA berbeza dengan kaedah menguji dadah. Untuk mengesahkan sampel-sampel DNA, ia perlu dimasukkan ke dalam komputer bagi dianalisis, manakala dalam ujian dadah, ahli kimia sendiri melakukan ujian secara fizikal,'' katanya.
Berikutan itu, mahkamah mengarahkan para peguambela dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarulzaman Abdul Jalil untuk memastikan dari sudut perundangan mengenai isu DNA yang ditimbulkan itu, sama ada ia dikelaskan sebagai keterangan pakar atau keterangan berdasarkan fakta.
Ahli kimia, Primulapathi Jaya, dari Jabatan Kimia Petaling Jaya adalah saksi pendakwa ke-11 pada perbicaraan kes pembunuhan Noor Suzaily yang menggemparkan seluruh negara ekoran mangsa turut dirogol dan diliwat.
Dalam keterangannya, Primulapathi mengesahkan ujian DNA yang dijalankan ke atas contoh darah Hanafi dan cebisan kapas pada bahagian kemaluan mangsa membuktikan bahawa air mani Hanafi berada dalam kemaluan Noor Suzaily.
Pada 26 April 2002, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memutuskan hukuman gantung sampai mati ke atas Hanafi setelah mendapati tertuduh bersalah membunuh Noor Suzaily.
Hakim Hishamudin dalam penghakimannya juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol jurutera komputer itu.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Hishamudin berkata: ``Hukuman mati hendaklah dijalankan serentak dengan hukuman penjara. Namun antara hukuman mati dengan hukuman sebatan, hukuman mati hendaklah diutamakan.''
Hanafi, 37, dibicarakan selama 62 hari atas dua tuduhan membunuh dan merogol Noor Suzaily, 24, anak perempuan tunggal dari empat beradik.
Dia yang pernah berkahwin sebanyak empat kali didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober 2000 di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Hanafi yang berasal dari Kampung Renek, Kota Bharu Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Rayuan Tertuduh Bunuh Noor Suzaily Ditolak. 

ARKIB : 13/08/2005
PUTRAJAYA 12 Ogos - Bekas pemandu bas Kiara, Hanafi Mat Hassan yang didapati bersalah membunuh jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar, kekal mati di tali gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuannya.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Richard Malanjum yang mengetuai sidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hashim Mohamed Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) Datuk S. Augustine Paul.
Dalam penghakiman lisannya, Hakim Malanjum berkata, setelah menimbang hujah dan petisyen rayuan serta meneliti rekod keterangan, mahkamah mendapati tiada sebab untuk menganggu keputusan hakim Mahkamah Tinggi.
``Dengan itu, kami menolak rayuan kamu dan mengekalkan sabitan serta hukuman. Kamu berhak merayu di Mahkamah Persekutuan dan boleh memohon untuk mendapatkan alasan penghakiman kami,'' katanya.
Pada 26 April 2002, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus memutuskan hukuman gantung sampai mati ke atas Hanafi, 40, setelah mendapati tertuduh bersalah membunuh Noor Suzaily.
Hakim Hishamudin dalam penghakimannya juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol jurutera komputer itu.
Hanafi dibicarakan atas dua tuduhan membunuh dan merogol Noor Suzaily antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober 2000 di sebatang jalan di tapak projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Peguam Amer Hamzah Arshad dan Sreekant Pillai ketika ditemui berkata, Hanafi mengarahkan mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.








Hanafi Mat Hassan.

PUTRAJAYA 12 Dis. – Bekas pemandu bas Ekspres Kiara, Hanafi Mat Hassan yang dihukum mati kerana membunuh dan merogol jurutera komputer, Noor Suzaily Mukhtar di Klang, enam tahun lalu, kekal menghadapi hukuman itu apabila dia gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Abdul Hamid Mohamad bersidang bersama Datuk Alauddin Mohd. Sheriff, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Abdul Aziz Mohamed dan Datuk Azmel Maamor sebulat suara menolak rayuan Hanafi dan mengekalkan hukuman mati ke atasnya.
Selain itu, Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi sabitan kesalahan merogol yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Hanafi pada 26 April 2002.
Dengan keputusan tersebut, Hanafi perlu memohon kepada Lembaga Pengampunan Diraja sebagai jalan akhir untuknya melepaskan diri daripada hukuman gantung.
Hakim Abdul Hamid dalam keputusan lisan yang ringkas berkata, panel hakim telah mengambil masa membaca rekod rayuan dan mendengar hujah-hujah kedua-dua pihak, serta mengadakan perbincangan sesama mereka sebelum mencapai keputusan tersebut.
‘‘Keputusan kami adalah sebulat suara iaitu rayuan ditolak dan kedua-dua hukuman dikekalkan. Kami berpendapat tiada persoalan undang-undang yang penting untuk kami keluarkan alasan penghakiman. Oleh itu, tiada keperluan untuk kami membuat penghakiman secara bertulis,” katanya.
Ketika mendengar keputusan itu, Hanafi yang berbaju kemeja lengan pendek berdiri dalam kandang perayu dengan tenang tanpa menunjukkan sebarang emosi. Tiada ahli keluarganya atau saudara-mara mangsa hadir di mahkamah.
Hanafi yang diwakili peguam Hamid Sultan Abu Backer merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 April 2002 setelah mahkamah itu mendapati Hanafi bersalah membunuh Noor Suzaily.
Pada tarikh itu, Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus juga memerintahkan Hanafi dihukum penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali kerana didapati bersalah merogol Noor Suzaily dan hukuman itu berkuat kuasa daripada tarikh dia ditangkap pada 10 Oktober 2000.
Hanafi, 38, yang pernah berkahwin sebanyak empat kali didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.50 pagi di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi, 7 Oktober 2000 di sebatang jalan di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Dia yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Hanafi mengemukakan lima alasan bagi rayuannya di Mahkamah Persekutuan, antaranya ialah Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila tidak mengambil kira peruntukan Seksyen 299, 300 dan 304 Kanun Keseksaan secara sepenuhnya sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Dia juga menyatakan alasan merayu iaitu Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila gagal mengambil kira kesemua perkara yang tidak diambil kira oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika membuat keputusan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamed Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd. Yusuff mewakili pihak pendakwa selaku responden.

No comments: