Saturday, May 09, 2020

SEBUTIR LAGI PERMATA ULAMA' HILANG ! : Ustaz Ismail Kamus meninggal dunia

Astro Awani |  Published Mei 08, 2020 00:57 MYT

KUALA LUMPUR:  Pendakwah tanah air dan pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Datuk Ismail Kamus menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.30 tengah malam di kediaman beliau di Ampang.

Allahyarham Ismail Kamus menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun di malam 15 Ramadan. - Gambar fail

Berita pemergian tokoh ternama tanah air itu dikongsi oleh Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia menerusi laman Facebook rasmi kira-kira 10 minit lalu.

"Tokoh pendakwah tanah air dan Pengasas Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Tuan Guru Dato' Ismail Kamus telah kembali ke rahmatullah Jam 12.30 pagi, 8 Mei 2020 di kediaman beliau di Ampang.

"Semoga Allah SWT menempatkan beliau ditempat yang mulia di sisi Allah SWT ta'ala," kata pusat perubatan berkenaan dalam Facebook.

Allahyarham yang berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.

Menurut Exco Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Ismail.

Di akaun Twitternya, Azmin mendoakan agar Allahyarham  dikurniakan husnul khatimah dan diberikan ganjaran syurga Allah SWT. Al-Fatihah.

No comments: