Thursday, August 11, 2011

MURTAD : Cubaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya ?

KENYATAAN AKHBAR DATO’ DR HASAN BIN MOHAMED ALI EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU, INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah gereja di Damansara Utama berdasarkan hasil maklumat yang diterima. Maklumat tersebut menyatakan terdapatnya kehadiran orang Islam di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di gereja tersebut.

Anggota Penguatkuasaan JAIS bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit walaupun dihalang oleh pihak penganjur. Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir 1 jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai.

Di dalam majlis tersebut juga, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam, di mana ucapannya ada diselitkan dengan perkataan Quran dan ‘pray’.

Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

Pegawai penguatkuasa JAIS dan polis mendapati ada percubaan dikalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang oleh penguatkuasa JAIS.

Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan. Mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terlibat boleh didakwa dibawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Selain daripada itu terdapat bukti-bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Siasatan lanjut bagi kedua-dua kesalahan ini akan diteruskan.

Oleh : PEJABAT EXCO HAL EHWAL ISLAM, ADAT-ADAT MELAYU, INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM, TINGKAT 2, BANGUNAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH

Bukti Ditemui Dalam Bakul Sampah


FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.

(Free Malaysia Today) - Di sebalik kontroversi yang membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya minggu lalu, kini terdapat bukti yang menjelaskan keadaan sebenar pada majlis makan malam tersebut.
FMT turut menerima tentatif program serta kertas soalan bersifat ‘menguji pengetahuan’ dalam bahasa Malaysia dan Inggeris – sebagai bukti dakwaan mengaitkan kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada penganut agama Islam.
Soalan yang tertera adalah menjurus kepada fahaman agama Islam secara keseluruhannya seperti membabitkan; Nabi Muhammad, Al- Quran, rukun Islam, kitab, solat dan lain-lain.
Kertas dua halaman yang mengandungi 12 soalan itu didakwa diberikan kepada para peserta yang menyertai majlis makan malam tersebut yang turut disertai oleh penganut agama Islam.
Kertas tersebut dibahagi kepada empat corak soalan iaitu isi tempat kosong, beri jawapan ya/tidak, padanan jawapan dan pilihan jawapan.
Antara soalan itu adalah ‘Apakah maksud perkataan Islam, Muslim, Quran? Apakah enam perkara iman seseorang Muslim, solat lima waktu dalam Islam, malaikat manakah yang dipercayai menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dan tahun bilakah Nabi Muhammad dilahirkan.
Berapa banyak Surah dalam Al-Quran? Berapa kali nama Isa disebut di dalam Al-Quran dan kenapa orang Islam bersalam menggunakan sarung tangan?
Pendedahan itu dibuat oleh Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Dzulkhaini Husain yang mendakwa kepingan-kepingan kertas soalan itu ditemui dalam sebuah tong sampah.
Sambil mempertahankan tindakan Jais yang memeriksa gereja terbabit  Dzulkhaini berkata turut menjadi tanda tanya apabila kertas soalan seperti itu diagihkan dalam majlis makan malam yang dikatakan  untuk membantu golongan tidak bernasib baik dan memerlukan.
“Ketika kejadian itu terdapat kira-kira 100 orang dengan nisbah kehadiran satu perlima daripadanya adalah penganut Islam; 12 orang dewasa (tiga lelaki, sembilan wanita) dan lapan kanak-kanak,” katanya.
Beliau memberitahu apabila Jais masuk ke dalam, kertas soal jawab ini dah berkecai-kecai dan dimasukkan ke dalam tong sampah.
“Kalau niat baik kenapa nak masuk tong sampah? Apabila masuk tong sampah, Jais sita untuk dijadikan maklumat (bukti) di mahkamah.
“Malah bila mereka ini keluar seorang demi seorang, Jais meminta kad pengenalan (IC) untuk dilihat. Jais tidak ambil kad pengenalan daripada kanak-kanak memandangkan mereka tidak ada IC. Tindakan Jais ini benar.
“Tidak berlaku mereka (Jais) pecah pintu, hal itu berlaku diluar gereja, dengan sasaran (orang). Namun masih ada yang melemparkan fitnah mengatakan Jais pecah pintu dan berlaku kekasaran,” jelasnya.

Waran tangkap terhadap 12 individu Muslim


Jais telah menyerahkan surat serta menelefon individu-individu terlibat dan mereka sepatutnya memberi keterangan semalam namun gagal berbuat demikian.

(Free Malaysia Today) - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengeluarkan waran tangkap ke atas 12 individu Muslim kerana gagal hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Seksyen 13 di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof, berkata pihaknya akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka dalam tempoh terdekat ini.
Jais telah menyerahkan surat serta menelefon individu-individu terlibat dan mereka sepatutnya memberi keterangan semalam namun gagal berbuat demikian.
Tindakan itu katanya diambil selepas mereka enggan memberikan kerjasama walaupun pihaknya sudah menyerahkan surat termasuk menelefon untuk hadir.
“Jais akan memohon waran tangkap dalam tempoh 24 jam daripada Mahkamah Syariah selepas surat dikeluarkan hari ini (semalam).
Sepatutnya mereka hadir membantu siasatan, tetapi seorang pun tiada,” katanya.


Pemuda PAS Sokong Tindakan Jais


Menurut Nasrudin menjadi prinsip dan tanggungjawab mana-mana jabatan agama untuk mempertahankan akidah umat Islam serta kesucian agama tersebut.

(Free Malaysia Today) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melakukan pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya Rabu lalu.
Perkara itu diutarakan oleh Ketua Pemudanya Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu sidang media di sini hari ini selepas pertemuan kira- kira sejam bersama Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung kontroversi yang membabitkan Jais.
Kenyataan Nasrudin itu juga sekaligus berbeza dengan pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor III, Khalid Samad pada Jumaat lalu yang menyifatkan tindakan Jais itu tidak wajar.
Beliau yang hadir bersama 10 exco pemuda berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Hasan dan meminta agar umat Islam bertenang dengan kontroversi yang berlaku sekarang.
Menurut Nasrudin menjadi prinsip dan tanggungjawab mana-mana jabatan agama untuk mempertahankan akidah umat Islam serta kesucian agama tersebut.
Beliau berkata tindakan itu juga wajar disokong oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang keraguan.

Tanpa prejudis


Malah beliau mahu kepercayaan diberi kepada Jais tanpa sebarang prejudis lebih-lebih lagi ia melibatkan usaha dalam menjaga agama Islam.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Hasan. Tindakan Jais juga kami sokong dan wajar memandangkan pendekatan yang diambil adalah untuk mempertahankan Islam dan wajar disokong oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang keraguan.

“Jais ambil kesempatan dalam setiap tindakan dan penguatkuasaan iaitu menepati kaedah atau prosedur untuk fahami dan patuhi segala peraturan yang ada.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul. Harap beri kepercayaan tanpa sebarang prejudis untuk menjaga agama. Yang salah dalam peraturan dan prosedur harus ditegur,” kata Nasrudin. 


Pemimpin Pas pro-Anwar kecam Nasrudin?
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Selepas Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menjadi mangsa kecaman pemimpin Pas ekoran sokongannya terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa gereja Methodist di Damansara Utama baru-baru ini, nasib yang sama dipercayai menimpa Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan (gambar).
Nasrudin dipercayai menerima kecaman serta tekanan hebat daripada pemimpin Pas terutamanya golongan ‘Anwarinas’ iaitu kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan itu dilakukan selepas Nasrudin mengeluarkan kenyataan keras kelmarin, bahawa Dewan Pemuda Pas Pusat akan tetap mempertahankan akidah umat Islam daripada dirosakkan, sekalipun dengan darah dan nyawa.
Ia diperkukuhkan lagi dengan status terkini Ketua Dewan Pemuda Pas itu di laman Facebooknya yang membayangkan beliau sedang ‘diserang’ apabila berkata: “Tidak mudah untuk kita memperjuangkan Islam. Kadang-kadang cabaran dalaman lebih perit dialami berbanding cabaran luaran. Ya Allah, Engkau berilah aku kekuatan,”.
Kelmarin, Nasrudin melalui laman blognya, http://www. eperjuangan.com, dilihat memberi ‘kejutan’ bermakna kepada pucuk pimpinan Pas yang sebelum ini takut untuk bersuara, apabila menyeru umat Islam bersatu di bawah payung akidah bagi memastikan tiada ruang yang membolehkan musuh Islam menyelinap masuk.
Lebih menambahkan kemarahan kumpulan ‘Anwarinas’ apabila beliau berkata: “Harga akidah tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak boleh ditebus dengan jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat, sebaliknya nilai akidah, taruhannya ialah darah dan nyawa,”.
Dalam pada itu, tidak cukup dengan status tersebut, Nasrudin juga dilihat cuba meluahkan tekanan yang sedang dilalui akibat mengambil pendirian berbeza berbanding pucuk pimpinan Pas, melalui satu lagi status terdahulu yang penuh dengan maksud tersirat.
“Aku cuba berlari di kaki pelangi, mengukur jarak berbanding masa. Aku cuba gapai warna-warni, akhirnya akur ditipu fatamorgana. Begitulah realiti sisa umur di alam ini. Moga nur hidayah Ilahi dapat aku gapai, menyuluh lorong gelap dan kelam menuju mahligai berseri bidadari, satu destinasi yang tidak dijangkau pelangi,” katanya.
Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan Nasrudin sendiri berhubung dakwaan beliau sedang ditekan dan dikecam oleh pucuk pimpinan Pas, termasuk apa maksud sebenar di sebalik status Facebook gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

No comments: