Friday, August 12, 2011

SENI MIMBAR MASJID : Unik Dan Menarik

Adzhar mahir ukir mimbar
Kerja-kerja pemasangan dilakukan apabila segala proses ukiran siap dibentuk

UKIRAN merupakan karya yang dihasilkan menerusi kerja yang halus dan berseni. Ia bukan sahaja memerlukan ketelitian tetapi sebenarnya merupakan satu hasil kerja seni yang perlu dilakukan dengan sepenuh jiwa dan kecintaan.
Kesabaran dan ketelitian amat dituntut agar ukiran yang dihasilkan memuaskan hati setiap mata yang memandang.
Kerja-kerja mengukir memerlukan kombinasi beberapa kemahiran kepada tukangnya seperti melukis, memahat, mencungkil dan menoreh bagi menghasilkan bahan yang mahu diukir terutama kayu memberikan hasil yang sempurna.
Motif ukiran pula selalunya berasaskan kepada alam semulajadi terutama tumbuhan.
Di kalangan masyarakat Melayu, seni ukiran memang terkenal sejak berzaman dahulu. Seni ini merupakan simbol ketinggian tamadun dan budaya bangsa.
Kelaziman di negara ini ukiran dibuar atas kayu sama ada untuk menghiasi rumah-rumah, hulu senjata seperti keris dan parang serta mimbar masjid.
Kerja-kerja ini ada yang diwarisi turun temurun. Ada pula yang mempelajari kerana minat dan mahu memastikan seni tradisi itu terus terpelihara.
Yang pasti, ia menuntut kemahiran dan kesabaran yang tinggi. Bukan calang-calang orang dapat menghasilkan ukiran-ukiran yang bermutu dan cantik.
Bagi Adzhar Mat, 43, kemahiran yang dimilikii adalah susulan daripada minatnya yang mendalam dalam bidang seni ukiran.
Dia bukan sahaja seorang pengukir tetapi turut bertanggungjawab menghasilkan mimbar kebanyakan masjid di sekitar Lembah Klang.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, kebanyakan ukiran yang dihasilkan adalah mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.
Kemahirannya tidak dapat dipertaikaikan lagi kerana dia sudah 20 tahung terlibat secara langsung di dalam bidang itu.
"Saya memang meminati bidang ukiran ini sejak muda lagi. Untuk mendalami ilmunya saya mengambil jurusan kraftangan di Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Pahang dalam bidang ukiran kayu.
"Alhamdulillah, pasaran untuk ukiran terutama ukiran kayu sentiasa ada.Tambahan pula hari ini ia tidak hanya terhad untuk kayu malah telah dipelbagaikan.
"Selain mimbar, saya turut membuat ukiran untuk kabinet dapur, almari pakaian, siling, gazebo dan banyak lagi," ujarnya ketika ditemui di bengkel ukirannya yang terletak di Medan Kraftangan Air Panas, Jalan Usahawan, Setapak, Kuala Lumpur.
Tambahnya, untuk mimbar, dia lebih suka menggunakan kayu tempatan kerana lebih berkualiti di samping harganya yang tidak terlalu mahal.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada permintaan pelanggan. Sekiranya mereka berkehendakkan jenis kayu lain, dia akan mendapatkannya.
Terang Adzhar lagi, terdapat banyak saiz untuk mimbar. Ia juga bergantung kepada permintaan pelanggan yang menempah.
Dalam masa yang sama, selain mempunyai banyak saiz, mimbar mempunyai dua jenis iaitu satu yang terletak di atas lantai dan bertangga manakala satu lagi bercantum di bahagian dinding.
Berbicara lanjut mengenai ukiran yang sering digunakan, menurut anak jati Alor Setar itu, segala ukiran yang diterjemahkan kebanyakan dirujuk dari majalah ataupun Internet.
Ini kerana selain mengikut cita rasa para pelanggan, rujukan luar amat penting dalam usaha memberi bentuk ukiran yang terkini.
Begitupun, kebanyakan ukiran yang dihasilkan juga merupakan ilham Adzhar sendiri. Sudah pasti ia lebih kepada ukiran berbentuk geometri bercirikan Islam.
Kebanyakan bentuk-bentuk geometri yang bercirikan Islam adalah hasil gabungan dari Turki, Maghribi dan negara-negara Islam lain.
Selain itu, Adzhar turut mempelbagaikan ukiran dengan bentuk-bentuk bunga Melayu seperti ketumbit, bunga raya, sulur kacang, pucuk rebung dan banyak lagi.
Yang penting, Adzhar amat menitik beratkan nilai-nilai seni klasik yang digabungkan bersama konsep moden bagi menghasilkan sesuatu yang unik dan segar dalam setiap hasil kerjanya.
Untuk menghasilkan satu mimbar, jelas Adzhar semuanya bergantung kepada saiz dan bentuk yang dikehendaki pelanggan.
Lazimnya, dia dan rakan-rakannya mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan satu mimbar termasuk pasang.
Tetapi tempoh tersebut tidak termasuk waktu pemilihan kayu, corak dan persetujuan daripada pelanggan.
"Untuk menghasilkan satu mimbar, ia tidaklah mengambil masa yang begitu lama.
"Apa yang menjadikannya lama dan mengambil masa berbulan-bulan ialah penghasilan reka bentuk, pemilihan kayu dan persetujuan daripada pelanggan.
"Sekiranya pelanggan sendiri sudah mempunyai reka bentuk dan jenis kayu yang diingini, segala kerja menjadi mudah.
"Ini bukan hanya untuk mimbar, ia juga termasuk untuk kerja-kerja ukiran lain seperti syiling, almari, gazebo dan sebagainya," katanya.
Daripada seorang yang tidak mengetahui tentang ukiran, dia sangat bersyukur kerana bakatnya bukan sahaja dapat memberi rezeki kepadanya dan keluarga tetapi juga empat pekerja yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Malah, untuk mengukuhkan lagi tapaknya dalam bidang pertukangan kayu ini, Adzhar telah membuka sebuah syarikat yang diberi nama Jitu Art Resources.
Kini permintaan bukan sahaja datang dari orang perseorangan termasuk para kenamaan, malah beberapa syarikat produksi filem dan juga pemilik-pemilik resort.
Adzhar juga mengutamakan kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkan karyanya.
Menurutnya, untuk mengukir seseorang itu perlu ada jiwa yang bersih agar ukiran yang dihasilkan dapat memukau sesiapa sahaja selain keindahan ukiran itu dapat bertahan lama.
"Insya-Allah, ukiran yang dihasilkan pastinya bermutu dan sudah pasti kekemasan yang terhasil adalah hasil kerja yang terbaik dari kami.
"Kesemua pengukir yang bekerja di bawah seliaan saya merupakan orang yang berpengalaman agar segala tempahan yang diterima dapat disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.
Antara hasil kerja Adzhar yang boleh dilihat ialah di mimbar Masjid Rasak Jaya, Negeri Sembilan; mimbar surau Dewan Bahasa dan Pustaka; mimbar Masjid Batu Muda, Gombak; mimbar Masjid Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Air Panas; mimbar Masjid Setapak; Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bangi; Koperasi Peladang Setiawangsa dan membuat prop untuk set Puteri Gunung Ledang (tandu dan keris).

Kreativiti pembuat mimbar

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my



Nasarudin Yahaya teliti dalam mengukir setiap tempahan mimbar yang dibuat di bengkelnya di Lorong Padi Emas, Pantai Johor, Alor Setar, baru-baru ini.

ALOR SETAR – Mimbar masjid merupakan salah satu binaan kayu yang menjadi tempat imam berdiri untuk menyampaikan khutbah.
Mimbar mempunyai pelbagai bentuk dan ukiran yang melambangkan kesenian Islam dan hanya mereka yang mahir sahaja mampu menghasilkan mimbar yang cantik dan bermutu tinggi.
Selain untuk menyampaikan khutbah, mimbar juga berperanan untuk imam yang menyampaikan khutbah melihat jemaah supaya mesej yang disampaikan dapat diterima secara terus oleh mereka.
Bagi seorang pembuat mimbar di Pantai Johor di sini, Nasarudin Yahaya, 46, setiap mimbar masjid mesti mempunyai ciri-ciri yang istimewa dan kukuh binaannya.
Katanya, corak mimbar yang dibina olehnya biasanya mengikut kreativiti sendiri malah ada juga antara pelanggan yang mereka sendiri bentuk mimbar mengikut cita rasa mereka.
Menurutnya, untuk menyiapkan sebuah mimbar dia perlu mengambil masa sehingga dua bulan bagi memastikan mimbar yang dibina berkualiti.
“Saya akan cuba memastikan pelanggan yang membuat tempahan akan berasa puas dengan hasilnya kerana membuat mimbar merupakan satu tugas rumit.
“Ukiran perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan ia benar-benar mengikut cita rasa pelanggan dan setakat hari ini kebanyakan pembeli berpuas hati dengan mutu kerja saya,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Pantai Johor di sini baru-baru ini.
Menurut Nasarudin, kesemua mimbar yang dibuat olehnya menggunakan kayu cengal kerana ia tahan lama dan lebih kukuh.
“Kayu cengal diperoleh dari negara jiran dan kebanyakan reka bentuk ada yang saya buat sendiri. Ada juga pelanggan yang mahu menempah, mereka akan membawa reka bentuk sendiri dan saya akan mengikut sahaja ukiran yang diminta,” katanya.
Menurutnya, dia mempunyai tiga orang pekerja yang mahir dalam ukiran kayu untuk membantu menyiapkan tempahan daripada para pelanggan.
“Kebanyakan tempahan datang dari sekitar negeri Kedah dan ada juga pelanggan yang datang dari Perak, Kelantan dan sebagainya.
“Setiap kali saya berjaya menyiapkan tempahan mimbar saya berasa cukup puas hati kerana bidang ukiran kayu memang saya minat sejak dari kecil,” ujarnya.
Jelasnya, dia pernah mencuba pelbagai kerja termasuk menjadi kelasi kapal selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selepas itu menimba pengalaman bekerja di kedai perabot selama tujuh tahun sebelum membuat mimbar.
“Selepas tamat SPM, saya belayar dan kemudian berfikir untuk cuba buat benda baru dengan berkecimpung dalam bidang perabot. Saya mula bekerja dengan orang lain terlebih dahulu iaitu membuat perabot rumah dan lama-lama baru terfikir untuk membuat mimbar,” katanya.
Tambahnya, bagi mengukuhkan perniagaannya itu, beliau tidak memfokuskan membina mimbar semata-mata kerana tempahan membuat mimbar tidak selalu diterima.
“Berbekalkan pengalaman bekerja di kedai perabot, saya juga ada membuat kabinet dapur,” jelasnya.

No comments: