Friday, June 26, 2020

SULTAN SELANGOR : JUMLAH JEMAAH SOLAT DI MASJID SELANGIR DITAMBAH. LAGI SEHINGGA 150

Jumlah Kehadiran Solat Jumaat Dan Solat Fardu Berjemaah

TEKS UCAPAN DATO MENTERI BESAR NEGERI SELANGOR 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,

D.Y.M.M. Sultan Selangor telah memperkenan untuk lebih banyak masjid dibuka bermula 19 Jun 2020 bagi Solat Jumaat dan Solat Fardu berjemaah di masjid-masjid Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

D.Y.M.M. Sultan Selangor, setelah berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan dengan pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, telah memutuskan untuk membenarkan ibadah korban dilakukan di kawasan masjid-masjid tertentu sahaja.



Sila rujuk infografik bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) berjemaah yang wajib dipatuhi bagi solat jemaah di masjid-masjid seluruh Selangor serta masjid-masjid seluruh Selangor yang dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha.

Berikut adalah kenyataan akhbar D.Y.M.M Sultan Selangor.

18 Jun 2020

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

D.Y.M.M. Sultan Selangor telah disembah taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dari semasa ke semasa berkaitan kedudukan dan data terkini wabak Covid-19 di Negeri Selangor. Mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak Covid-19 ini, D.Y.M.M. Tuanku telah berkenan agar lebih banyak Masjid dibuka bermula 19 Jun 2020 untuk mendirikan Solat Jumaat dan Solat Fardhu berjemaah di Masjid-masjid di Negeri Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berikut adalah keputusan yang telah dicapai bagi pembukaan Masjid-masjid di Negeri Selangor yang akan terus dibuka secara berperingkat:-

1. Solat Jumaat dan Solat Fardhu Berjemaah (tiga waktu iaitu Solat Subuh, Maghrib dan Isyak) dibenarkan untuk dilaksanakan di 39 buah masjid yang telah ditetapkan terdahulu dengan tambahan Masjid-masjid di mukim seluruh Negeri Selangor yang telah dikategorikan sebagai zon hijau oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

2. Pelaksanaan  Solat Jumaat :

a) Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam ditambah daripada 40 orang kepada 250 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

b) Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat di 38 buah masjid yang dibenarkan sebelum ini ditambah daripada 40 orang kepada 150 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

c) Manakala masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor yang di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau dihadkan seramai 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

3. Pelaksanaan Solat berjemaah bagi tiga (3) waktu iaitu Solat Fardhu Subuh, Maghrib dan Isyak :

a) Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardhu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam dihadkan seramai 250 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

b) Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardhu berjemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini dihadkan seramai 150 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

c) Manakala jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat fardhu berjemaah di Masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau dihadkan seramai 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.

d) Semua surau di seluruh Negeri Selangor termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan 3 orang Pegawai Surau yang dibenarkan untuk melaksanakan solat fardhu seperti yang ditetapkan terdahulu.

Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran berkaitan titah D.Y.M.M. Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa-jawatankuasa Masjid yang berkaitan.

Seiring dengan keputusan terbaharu ini, Baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, pemakaian pelitup muka (face mask) ketika hadir di Masjid dan mengamalkan penjarakan sosial. Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di Masjid.

Pihak Masjid dan para jemaah juga hendaklah mematuhi garis panduan lain yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

D.Y.M.M. Sultan Selangor juga setelah berbincang dengan Pengarah JAIS berkaitan dengan pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha telah memutuskan untuk membenarkan ibadah korban dilakukan di kawasan Masjid-masjid berikut sahaja :

a) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam.
b) 38 buah Masjid (yang dibenarkan sebelum ini untuk melaksanakan Solat Jumaat dan Solat fardhu berjemaah).
c) Masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau (tertakluk kepada kedudukan semasa mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau).
d) Ibadah korban tidak boleh dilakukan di surau-surau dan orang ramai digalakkan untuk melakukan korban di kawasan masjid-masjid yang dibenarkan.
D.Y.M.M. Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan langkah pembukaan lebih banyak masjid dan surau di Negeri Selangor.

KEKALKAN DISIPLIN DAN PATUHI SEGALA GARIS PANDUAN

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani, D.P.M.S., J.S.D.
Tarikh : 18 Jun 2020

YAB Dato' Seri Amirudin Shari
Dato' Menteri Besar Selangor


PKPP: Normal baharu solat berjemaah di masjid diterima baik
Hilmi Malik, Astro Awani |  Published Jun 12, 2020 19:51 +08 


Jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk jarak mengikut garis panduan
Jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mengikuti SOP yang ditetapkan termasuk jarak mengikut garis panduan

Kongsi Artikel Ini:

     
SHAH ALAM: : Bermula hari ini umat Islam mula menarik nafas lega apabila kebenaran untuk melaksanakan ibadah solat Jumaat serta solat berjemaah telah mula dilonggarkan setelah lebih tiga bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah pun ditetapkan mengikut negeri masing-masing.

Tinjauan Astro AWANI di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini pada pertama hari ibadah solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mendapati segala persiapan berkaitan SOP telah pun dilaksanakan.

Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Mohamad Salim Sain, pihaknya bersyukur pembukaan masjid telah mula dibenarkan setelah sekian lama ia tidak dihadiri para jemaah.

“Kita amat bersyukur dan juga berterima kasih khususnya kepada Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor  Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana telah memberi kebenaran untuk solat berjemaah di 39 buah masjid di Selangor.

“Tidak kurang juga penghargaan bagi pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti dan beberapa pihak lain yang telah mengeluarkan garis panduan (SOP) untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid.

“Kita memohon agar para jemaah bersabar mungkin tidak semua yang dapat hadir ke masjid ekoran kadar kemasukan yang terhad namun apa yang kita harapkan agar wabak ini berjaya dihapuskan agar dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika ditemui  di sini pada Jumaat.

Hasil tinjauan mendapati pengunjung yang keluar masuk masjid dikawal ketat oleh pihak berkuasa dan pintu masjid untuk menunaikan solat Jumaat hanya mula dibuka pada jam 12.30 tengah hari mengikut senarai nama yang telah diserahkan kepada pihak masjid serta proses saringan suhu dan sanitasi.

Ruangan di dewan solat turut disediakan tanda di ruangan saf bagi memastikan panduan jarak dipatuhi mengikut garis panduan yang ditetapkan dan jemaah turut diminta untuk membawa sendiri sejadah bagi tujuan beribadah.

Difahamkan juga, pintu pagar masjid akan mula ditutup dan tidak menerima sebarang kemasukan termasuk ahli kariah masjid, atau mereka yang mempunyai jemputan khas sebaik sahaja selesai azan pertama berkumandang.

Selesai solat Jumaat dengan bacaan khutbah ringkas, jemaah diminta segera beredar dan tiada sebarang aktiviti bersalam-salaman dan mereka terus beredar menerusi satu pintu dan laluan yang telah ditetapkan.

Situasi ini mungkin berlainan berbanding sebelum ini dimana tiada sebarang kekangan mahupun halangan bagi orang ramai untuk berkunjung ke masjid namun ini merupakan realiti yang perlu diterima oleh masyarakat dalam normal baharu mengerjakan ibadah di masjid dalam usaha membantu negara memutuskan rantaian COVID-19.


************

No comments: