Thursday, April 03, 2014

MH370: Kapal bawa pengesan kotak hitam dijangka tiba di zon carian


PERTH: Kapal Tentera Laut Diraja Australia, Ocean Shield, yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam yang dibekalkan dari Amerika Syarikat, dijadual tiba di zon pencarian pesawat MH370 hari ini. 
Hampir sebulan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia yang membawa 239 orang itu dengan pihak berkuasa masih tiada petunjuk sebab kehilangannya, kecuali dengan penemuan kotak hitam pesawat yang boleh meleraikan misteri berkenaan. 

Namun, pegawai yang terbabit dalam operasi mencari memberi amaran tanpa lokasi tepat di mana pesawat itu menamatkan penerbangannya di selatan Lautan Hindi, harapan menemui kotak hitam juga semakin tipis. 

Malah, operasi mencari kotak hitam kini terpaksa berlumba dengan masa apabila isyarat yang menggunakan kuasa bateri pada kotak hitam hampir berakhir beberapa hari lagi. 


Ocean Shield meninggalkan Perth petang Isnin lalu dan mengambil masa tiga hari pelayaran ke zon pencarian berkenaan. 


Kapal hidrologi Tentera Laut British, HMS Echo kini sudah berada di zon pencarian dan melakukan pengesanan secara transmisi sonic seharian semalam. - AFP


MH370: Bluefin-21 teruskan misi mencari - JACC

KUALA LUMPUR: Misi kesembilan kenderaan dalam air, Bluefin-21 dalam pencarian pesawat MH370 akan bersambung hari ini, menurut Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia.

"Pagi ini, Bluefin-21 melengkapkan misi kelapan dalam kawasan pencarian dalam air. Bluefin-21 sudah mencari di kira-kira dua per tiga kawasan pencarian dalam air setakat ini. Tiada penemuan menarik setakat ini," menurut kenyataan JACC. Menurut JACC, sehingga 10 pesawat tentera dan 11 kapal akan membantu dalam pencarian pesawat MH370 hari ini. 


"Hari ini, Pihak Berkuasa Maritim Australia merancang pencarian secara visual di kawasan seluas 49,491 kilometer persegi. Pusat pencarian terletak 1,741 kilometer ke barat laut Australia," menurut kenyataan itu.


Cuaca di kawasan pencarian diramalkan semakin tidak baik hari ini, terutama di bahagian utara kerana Siklon Tropika Jack terus bergerak menuju ke arah selatan.

Taufan Jack hampiri zon carian MH370 - JACC

2014/04/21 - 13:48:01 PM
PERTH: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi merosot pada Isnin ekoran Taufan Tropika Jack terus menghala ke selatan. 
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara. 
Namun usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth," katanya. Sementara itu Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21 mengakhiri misi lapan harinya pada Isnin setelah meliputi kira-kira dua pertiga kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang. 

Ia dijangka memulakan misi hari kesembilan kemudiannya. 


Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan. 

Beliau juga berkata kini tiba masanya pihak yang terlibat dalam usaha pencarian mempertimbang dan membincang pula penggunaan kapal selam. 

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'. 

Bluefin-21 memulakan tugas sulungnya Isnin lalu dalam usaha mencari serpihan pesawat, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh TPL sejak 8 April. 

Ia menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam untuk memuat data yang dikumpul. 


Pesawat MH370 dengan seramai 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam di atas Laut China Selatan. 


Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. 

Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara, pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi, apabila difahamkan ia telah melencong dari laluan asalnya. - BERNAMA 

No comments: