Thursday, April 10, 2014

KOLEKSI LAPORAN SINAR HARIAN
Brunei Bantu Laksana Hudud
twitterShare on google_plusone_shareMore Sharing Servic
Brunei bantu laksana hudud
  • Ahmad ketika mengadakan pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah, minggu lalu.
KOTA BHARU -  Kerajaan Kelantan akan mengadakan kerjasama erat dengan kerajaan Brunei termasuk menghantar pegawai bertanggungjawab bagi melihat pelaksanaan hukuman hudud  di negara terbabit.

Perkara itu antara yang diputuskan selepas pertemuan pemimpin kerajaan Kelantan diketuai Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan menterinya pada lawatan ke negara terbabit dari 17- 20 Disember  yang lalu.

Ahmad berkata, pihaknya menghargai kerjasama Sultan Hassanal Bolkiah yang menerima kunjungan delegasi kerajaan negeri dengan mengarahkan semua agensi yang terlibat dalam perlaksanaan hudud di negara itu memberi kerjasama  kepada Kelantan.

Katanya, dalam kunjungan seramai lapan pemimpin kerajaan negeri itu, pihaknya telah dibawa dan diberi penerangan berkaitan pelaksanaan hukuman itu di empat jabatan iaitu kementerian Hal Ehwal Ugama, Pejabat Peguam Negara,  Mahkamah Syariah dan Pejabat Mufti Brunei.

“Kunjungan ini pada asasnya adalah untuk mengucapkan tahniah kepada kerajaan Brunei yang mewartakan kanun jenayah syariah, sebenarnya Brunei tidak mempunyai masalah yang besar kerana Sultan mempunyai kuasa penuh. Titah Sultan terus jadi undang-undang.

“Kita juga ada bertanya adakah ada masalah semasa melaksanakan undang-undang ini dan mereka nyatakan tiada bantahan kecuali  pihak kedutaan asing untuk mendapatkan penerangan. Ia sememangnya beri rangsangan untuk negeri melaksana hudud yang kita telah luluskan di Dun sejak 1993,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Delegasi itu dihadiri dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nassuruddin Daud, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Syukri Mohamad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, Timbalan Exco, Datuk Hassan Mahmod dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru  (IPTG), Dr Che Samsudin Mohammad Noor.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, dalam pertemuan itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut bertitah supaya kerajaan negeri komited dan tidak bimbang dengan pelaksanaan  hukuman itu kerana ia adalah undang-undang ALLAH SWT.

“Baginda bertitah kepada rombongan itu, ‘Jangan takut, ia adalah undang-undang ALLAH’,' Kata-kata ini benar-benar memberi rangsangan yang besar kepada kami untuk memastikan perlaksanaan ini berjaya,” katanya.

Menurutnya, kos lawatan itu ditanggung kerajaan Brunei.

Katanya, pegawai kerajaan Brunei pernah hadir di Kelantan  pada 2006 untuk mengkaji undang-undang yang diluluskan di negeri ini, namun kerana berkat dan kemudahan dari negara itu mampu merealisasikan hukuman itu lebih awal dari Kelantan.

Mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, Ahmad berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan dari persidangan meja bulat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Ada pelbagai pandangan sama ada perlu pindaan perlembagaan atau tidak. Kita akan buat rumusan di meja bulat ini. Mungkin kita laksanakan  apa yang  boleh dulu mengikut fasal, kita gabungkan undang panel kod dan takzir dulu, sebelum hudud dilaksanakan.

“Berdoalah semoga semua pihak memahami dan melihat (keberkesanan hudud) Brunei. Ia tidak menjejaskan industri. Sudah sampai masa jenayah negara kita ditangani  dengan kanun jenayah syariah,” katanya.

Brunei mampu jadi model hudud
Brunei mampu jadi model hudud
  • Adun dan Ahli Parlimen Pas Terengganu diketuai Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat (empat, kiri) dan Yahaya (empat, kanan) bergambar bersama ketika melawat Brunei
MARANG –  Pas Terengganu yakin Brunei Darussalam mampu menjadi model perlaksanaan undang-undang syariah kepada negara Islam yang lain.

Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Yahaya Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada komitmen dan kesungguhan pemerintah negara itu khususnya Sultan Brunei sendiri walaupun terdapat halangan.

"Ini sepatutnya menjadi iktibar kepada Menteri Besar Terengganu bahkan Perdana Menteri Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, kelmarin, sekembalinya dari lawatan empat hari ke negara jiran itu bersama-sama Adun dan Ahli Parlimen Pas Terengganu.

Yahya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Marang berkata, dalam perbincangan dengan pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa) dan Jabatan Mufti Brunei, mereka mengakui menjadikan
Enakmen Jenayah Syariah Terengganu yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pas sebagai rujukan.

“Maka tidak timbul apa yang digubal pada waktu itu sebagai undang-undang hudud Pas yang dituduh oleh Umno,” katanya.

Beliau berkata, perancangan pelaksanaan undang-undang Islam yang diputuskan kerajaan berkenaan dilakukan secara berperingkat iaitu selepas enam bulan pertama diikuti dengan 12 bulan dan seterusnya selepas 24 bulan.

Menurutnya, radio dan televisyen di Brunei juga rancak memberikan kefahaman melalui siaran khas mengenai undang-undang Islam sebelum ia dilaksanakan mulai April ini termasuk melibatkan pegawai Unissa untuk menerangkan perkara itu kepada rakyat mereka.

"Apa yang penting sebagai umat Islam, kita bukan saja mesti yakin kepada undang-undang Pencipta, tetapi pemerintah mesti mempunyai keazaman politik (political will) dan memulakan usaha dengan tidak mencari pelbagai ulasan untuk tidak melaksanakannya.

“Perkara itu amat penting kerana dalam masa sama masyarakat di negara kita semakin menderita dengan pelbagai jenayah yang mengancam ketenteraman rakyat ,” katanya.

Umno Kelantan bawa isu hudud ke Mesyuarat MT
Datuk Seri Mustapa Mohamed
  • Datuk Seri Mustapa Mohamed
JELI - Badan Perhubungan Umno Kelantan akan membangkitkan hasrat kerajaan Pas negeri melaksanakan hukum hudud pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan oleh MT Umno sebelum kerajaan negeri Kelantan membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) Kelantan 1993 di Parlimen.

Beliau berkata, rancangan kerajaan Kelantan itu memerlukan persediaan rapi termasuk penyelidikan dan pendidikan dakwah berkaitan penguatkuasaan hukum hudud tersebut.

"Tidak ada masalah...sebagai orang Islam, kita wajib sokong undang-undang Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Badan Ihsan Anggota Pendidik Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli di sini, hari ini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas keyakinan kerajaan negeri melaksanakan hukum hudud pada awal tahun depan sekiranya Parlimen meluluskan pelaksanaan hukuman berkenaan.  - Bernama


Hudud: 'Laksanalah kami sokong', kata Ku Li
Tengku Razaleigh Hamzah
  • Tengku Razaleigh Hamzah
KUALA LUMPUR - Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Umno Kelantan menyokong usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, yang juga bekas menteri Kabinet itu berkata, disebabkan itulah Umno Kelantan menyokong penuh pembentangan Rang Undang-Undang tersebut sebelum ini.

“Laksanalah, kita sokong. Saya tidak tentang.

“Masa Rang Undang-Undang itu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Kita tidak tentang, tidak ada masalah. Mana mungkin kita hendak tentang hukum ALLAH,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Kelantan menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang membawa kepada perlaksanaan hukum hudud pada 2015.

Ia berikutan kesediaan kerajaan pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen tersebut, sebagaimana jawapan diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, baru-baru ini.

Hudud perlukan penjelasan terperinci
Hudud
KOTA BHARU - Pas perlu mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam bagi menjelaskan secara terperinci tentang usul rang undang-undang persendirian agar semua pihak memahami hudud.
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua pihak perlu benar-benar memahami pelaksanaan hukuman tersebut supaya tidak timbul pelbagai polemik dan mencetuskan konflik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Jika Pas mahu kemukakan rang undang-undang persendirian dan perlukan sokongan ahli bukan Islam, mereka perlu beri penjelasan lanjut kepada ahli Parlimen Islam dan bukan Islam kerana perkara ini sangat penting.

“Jangan buat perkara yang tidak terancang kerana perundingan dan perbincangan perlu dibuat sebelum usul ini dibawa ke Parlimen,” katanya sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf dan kini hanya memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Sebelum itu, Pas Kelantan melalui ahli Parlimen menyatakan akan membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember nanti.

Mustapa berkata, Pas juga perlu memberikan penerangan yang jelas kepada DAP dan PKR bagi mengelak polemik kebangsaan yang akan mencetuskan ketegangan.

“Apabila rang undang-undang persendirian ini dibentangkan di Parlimen, terdapat beberapa proses perlu dilalui termasuk hal perlembagaan dan persiapan, malah isu yang penting kita harus ada perancangan sebelum bertindak,” katanya.

Menurutnya, Majlis Tertinggi Umno juga belum membuat perbincangan khusus tentang hukum hudud dan beliau yakin kepimpinan parti akan memberikan perhatian serius mengenai perkara itu.

Pas jangan tunduk pada DAP, PKR
Nasharudin Mat Isa
  • Nasharudin Mat Isa
KUALA LUMPUR - Pas diminta oleh bekas pemimpinnya supaya tidak tunduk kepada bantahan DAP dan PKR dalam membentangkan usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, inilah masa terbaik bagi Pas membentangkan rang undang-undang itu untuk membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan mendapat kebenaran melaksanakan hudud memandangkan Kerajaan Persekutuan dan Umno sudah menyatakan sokongan.

“Hudud merupakan antara teras perjuangan Pas, yang telah lama kita perjuangkan kerana ia tuntutan syariah. Saya harap matlamat pelaksanaan syariah lebih diutamakan daripada sebarang percaturan lain yang bersifat politik.

“Pas perlu pastikan ia jadi realiti kerana inilah yang ditunggu oleh orang Islam,” katanya ketika ditemui pada seminar antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua dan Naib Presiden PKR, N Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen akan ditentang.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, rang undang-undang persendirian (Hukum Hudud) akan dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993.

Ditanya mengenai tindakan Pas di negeri-negeri tertentu yang gagal tampil menyatakan sokongan terbuka kerajaan Pas Kelantan itu, Nasharudin berkata, keputusan mengenai hudud dan langkah membentangkan di Parlimen adalah usaha kolektif.

“Apabila keputusan secara kolektif diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, ia harus dihormati walaupun mungkin ada pandangan sendiri,” katanya. - Bernama

Masa sesuai laksana hudud
 Mohamad Nor Suhaili Jamali
Mohamad Nor Suhaili Jamali
BUTTERWORTH - Pertubuhan Pemikir Muslim Pulau Pinang menyokong penuh tindakan dan usaha kerajaan Kelantan dan Umno dalam memastikan pelaksanaan hudud di Malaysia.

Pengerusinya, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, polemik perundangan syariah khususnya berkaitan hudud dan qisas yang sudah lama dibincangkan dan diperdebatkan antara Umno dan Pas memberi kesan merugikan kepada umat Islam sejagat.

Beliau berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Umno dan kerajaan Kelantan dalam hal ini harus diberi pujian dan dijadikan sandaran kepada penyatuan ummah.

“Ruang dan peluang berkaitan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh perlu diberikan perhatian secara serius. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya wakil parlimen Pas membawa usul dan membahaskan pelaksanaan hudud di parlimen harus disokong.

“Majlis Tertinggi Umno juga boleh mendapatkan maklumat jelas daripada Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hal perundangan syariah ini sebagai penyelesaian baik memastikan pelaksanaan syariah berjalan dengan telus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tiba masanya umat Islam menerima pelaksanaan perundangan syariah secara menyeluruh apabila kerajaan sudah berusaha ke arah itu dengan memantapkan lagi sistem perundangan syariah.

Sehubungan itu, mahkamah rayuan syariah perlu ditubuhkan dengan segera dan modul perundangan syariah dinilai semula dalam kurikulum pendidikan Islam peringkat menengah.

Dalam hubungan ini, Kementerian Pendidikan melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) harus bertindak sebagai agensi utama dalam mendedahkan maklumat asas perundangan syariah peringkat sekolah rendah lagi.

Ini bermakna modul perundangan syariah perlu dimasukkan dalam sub-tajuk di peringkat sekolah rendah lagi.

Mohamad Nor Suhaili yakin usaha yang dibawa oleh Umno dan Pas mampu mengubah landskap politik negara.

“Bagi kami inilah yang dinamakan sebagai Malaysia Baru dan harapan umat Islam itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan perundangan Islam secara menyeluruh perlu mendapat persetujuan parlimen seterusnya pindaan perlembagaan perlu dilakukan.

“Inilah masanya yang terbaik kita menjadi contoh kepada negara Islam yang lain bahawa negara majmuk mampu melaksanakan perundangan Islam secara total.

“Kami tidak terkejut dengan pelaksanaan hudud oleh kerajaan Brunei Darussalam kerana ia adalah negara yang lebih mempunyai 90 peratus rakyat beragama Islam,” katanya.

Perundangan Islam bukanlah sesuatu yang menakutkan penduduk bukan Islam malah ia adalah satu proses tarbiah dalam mendisiplinkan manusia.

Sambil menyokong usaha kerajaan memperkasakan hukuman takzir seterusnya memastikan qisas dan hudud terlaksana, beliau berkata, sudah tiba masanya umat Islam bersatu tanpa mengira parti dan ideologi.

“Jika kerajaan sedia ada yakin bahawa dengan terlaksananya perundangan Islam ini, umat akan bersatu, maka segerakanlah.

“Polemik perpecahan dan perkelahian yang berlaku antara Pas, Umno dan PKR yang menganuti syahadah yang sama perlu dihentikan,” katanya.

Mohamad Nor Suhaili berkata, semua pemimpin Islam perlu menjadikan agama Islam sebagai teras kepada pembangunan negara.

“Justeru, Malaysia akan menjadi kuat dengan adanya penyatuan ummah ini. Jika perundangan syariah secara total dilihat mampu menyatukan ummah, maka teruskanlah,” katanya.

Hudud: PBB kritik Brunei
Rupert Colvile
  • Rupert Colvile
PEJABAT Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (OHCHR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik keputusan Brunei yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara itu, lapor AFP.

Jurucakap OHCHR, Rupert Colvile berkata, pihaknya prihatin dengan keputusan Brunei dalam pelaksanaan hukum hudud yang memperuntukkan hukuman mati bagi beberapa kesalahan.

Beliau memberitahu pemberita, kesalahan-kesalahan ini termasuk rogol, zina, liwat, hubungan seks luar nikah untuk orang Islam termasuk jenayah lain seperti rompakan dan pembunuhan.

Beliau turut menyentuh kesalahan lain seperti menghina Nabi Muhammad SAW, al-Quran dan hadis boleh dijatuhi hukuman mati.

“Pelaksanaan hukuman mati bagi pelbagai kesalahan ini melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

 Tekannya, melalui undang-undang antarabangsa, hukuman rejam hingga mati diklasifikasikan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan bermaksud ia diharamkan di bawah perjanjian hak asasi manusia.

Sejak 1957, Brunei tidak melaksanakan hukuman mati.

Oktober tahun lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memperkenalkan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati mereka yang didapati bersalah kerana berzina.

Akta baru undang-undang syariah itu dikatakan telah dikaji selama bertahun-tahun.

Hudud: Pas ketepi DAP, PKR

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan RADHUAN HUSSAIN
Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

KUALA TERENGGANU 15 April - Pas tidak akan mempedulikan bantahan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebaliknya akan tetap mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara tegas menyatakan, tiada sebarang perjanjian dalam pakatan pembangkang yang boleh menghalang Pas daripada berbuat demikian.
Oleh itu tegas beliau terpulang kepada PKR dan DAP untuk membantah kerana itu tidak akan menggugat pendirian Pas yang konsisten untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Bercakap kepada pemberita ketika sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini hari ini, Abdul Hadi juga menarik perhatian langkah bagi melaksanakan hudud yang diperjuangkan Pas sudah bermula sebelum kewujudan pakatan pembangkang lagi.
“Yang pertama, kita sokong kerajaan Kelantan (untuk laksanakan hukum Hudud). Kedua, isu hudud di Kelantan telah mendahului Pakatan Rakyat (pakatan pembangkang) sejak awal 1990-an lagi.
“(Masa itu) tak ada lagi pakatan pembangkang. Ini benda (hukum hudud) yang terlebih awal daripada pakatan pembangkang. Dengan sebab itu kita tak ada masalah untuk kemukakan (rang undang-undang persendirian bagi laksanakan hudud)," katanya.
Beliau mengulas penentangan keras yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP berhubung hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, parti itu akan mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hudud demi menghormati penentangan konsisten oleh DAP.
DAP pula menegaskan, kesemua 38 ahli Parlimen parti itu telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang usul rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat Jun ini.
Ditanya adakah pendirian Pas itu akan menjejaskan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang, Abdul Hadi berkata: “Itu terpulang kepada mereka. Kita konsisten dan kita menyokong kerajaan Kelantan (laksana hudud)".

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140416/po_01/Hudud-Pas-ketepi-DAP-PKR#ixzz2z2So63P4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: