Sunday, October 10, 2010

GADIS MISTERI DIGHAIBKAN JIN - Suatu penipuan yang terungkai.

Siti  Balqis
Balkis ghaib lagi

11 OKTOBER 2010
Semalam, gadis itu ghaib lagi dan ditemui terkulai tidak sedarkan diri di atas pokok rambutan belakang rumahnya di Gong Nangka, Apal di sini.

Gadis itu didapati ghaib jam 7.30 malam semalam dari rumahnya iaitu kira-kira 30 minit sebelum ketibaan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat bersama tiga tokoh agama dari Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Difahamkan hajat Khazan membawa tiga pegawai YIT berkenaan bagi membantu merawat Siti Balkis dengan kaedah rawatan Islam namun tidak dapat berbuat demikian kerana gadis itu terlebih dahulu ghaib.

Kehilangan gadis itu semalam selepas berlaku sejak dua bulan lalu menggemparkan lagi orang ramai dan usaha mencari di merata tempat dilakukan tetapi dia gagal ditemui.

Bagaimanapun kira-kira jam 11.30 malam, ibu Siti Balkis, Norizan Said, 47, menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya memberitahu dia berada di celah batu di satu lokasi seakan-akan di Bukit Keluang, kira-kira 13 kilometer dari rumahnya.

Menerusi SMS itu juga, Siti Balkis meminta keluarganya membaca Yasin dan sehubungan itu Khazan mengadakan bacaan Yasin beramai-ramai.

Sementara itu pada masa sama, orang ramai, keluarga termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali bergegas ke Bukit Keluang untuk mencari Siti Balkis namun tidak berhasil menemuinya, didakwa dia telah disorokkan ke tempat lain disebabkan kelewatan orang ramai tiba di situ.

Sehingga jam 1 pagi, Siti Balkis masih gagal ditemui dan Khazan bersama pegawai berkenaan pulang meninggalkan rumah gadis misteri itu.

Kira-kira 30 minit selepas Khazan beredar, penduduk kampung akhirnya menemui gadis itu berada di atas pokok rambutan hanya 20 meter di belakang rumahnya.

Kata keluarganya, ketika ditemui, Siti Balkis tidak sedarkan diri dan badannya tersangkut pada dahan pokok rambutan.

Dia dibawa turun ke bawah oleh orang ramai dalam keadaannya tidak sedarkan diri dan hanya sedar kira-kira jam 5 pagi semalam.

Semalam akhbar termasuk Sinar Harian melaporkan kisah bomoh tempatan yang mendakwa berjaya menangkap sembilan daripada sepuluh makhluk halus yang dikatakan sering mengganggu Siti Balkis.

 

10 OKTOBER 2010

JERTIH: Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin. 

Dalam kaedah rawatan tradisional jam 7.30 malam itu, dua lelaki menggunakan kaedah masing-masing bagi merawat Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang ghaib ‘dilarikan’ makhluk ketika senja dan dinihari, sejak dua bulan lalu.Dua lelaki itu yang menawarkan khidmat percuma selepas membaca kisah itu di akhbar sejak Selasa lalu, berpecah dua ketika sesi rawatan dengan seorang daripadanya berada di dalam rumah mengerjakan solat dan seorang lagi di luar rumah menggunakan jampi.

Kira-kira 15 minit selepas rawatan, seorang lelaki yang berada di luar rumah mendakwa melihat satu lembaga yang didakwanya dapat ditangkap. 

Dia mendakwa dapat menangkap sembilan jin atau makhluk halus yang menyebabkan beratus-ratus penduduk menyerbu rumah gadis itu. 

Selepas menangkap sembilan makhluk itu, bomoh itu memasukkannya ke dalam bekas khas bertutup bagi mengelak makhluk berkenaan terlepas. 

Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan. 
Usaha Berita Minggu mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap, dihanyutkan ke laut. 

Siti Balqis pula mengakui kini berasa lebih tenteram kerana dalam tempoh 48 jam lalu, beliau sudah tidak lagi ghaib. 

“Saya harap usaha murni semua pihak yang menghulurkan bantuan akan membuahkan hasil dan membolehkan saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali. 

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, sejak kisah anaknya disiarkan, 17 bomoh menawarkan diri merawat Siti Balqis secara percuma tetapi kejadian malam tadi adalah kemuncaknya apabila bomoh berkenaan dapat menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib. 

Katanya, sejak kisah anaknya disiarkan media, keluarganya juga berasa lega kerana tidak perlu lagi menanggung perbelanjaan besar untuk mengupah bomoh sama ada berasaskan rawatan Islam atau kaedah tradisional kerana semuanya kini menawarkan khidmat merawat anaknya secara percuma. 

Gadis misteri kembali ghaib

@mymetroonl;ine

JERTIH, 29 Oktober 2010 : Gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, mengejutkan ahli keluarganya apabila dia kembali ghaib kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Siti Balqis yang mula menunjukkan perubahan dan tidak hilang dalam tempoh 15 hari lalu selepas menerima rawatan perubatan secara Islam dari beberapa pengamal perubatan dikatakan dibawa ke lokasi yang lebih jauh.
Ibunya, Norizan Said, 47, berkata sebelum Siti Balqis hilang, sebiji bola batu berwarna hijau tiba-tiba terjatuh di dalam rumahnya menyebabkan ahli keluarga terkejut dan masing-masing berebut-rebut untuk melihatnya.
Katanya, ketika mereka berebut bola itu, tanpa disedari Siti Balqis yang berada bersama tiba-tiba hilang.

 “Misteri bola batu yang jatuh itu mungkin sebagai umpan oleh jin yang didakwa menjaga Siti Balqis untuk melalaikan orang ramai yang berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Norizan berkata, selepas kehilangan itu gerakan mencari dilakukan penduduk termasuk di tempat yang pernah dia dijumpai sebelum ini seperti di atas pokok, bumbung, dalam siling rumah dan kawasan gua Bukit Keluang, tetapi gagal.
“Sehingga jam 7 malam ini (semalam), Siti Balqis masih belum ditemui dan ini adalah kehilangan paling lama berbanding sebelum ini,” katanya.
Menurut Norizan, kira-kira jam 5 pagi semalam, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Siti Balqis yang mendakwa berada di Gunung Jerai, Kedah, kerana dibawa oleh jin berbulu lebat.
Katanya, seluruh ahli keluarga kini dalam kebingungan kerana Siti Balqis gagal dikesan di tempat biasa dan mungkin berada di tempat yang diberitahunya menerusi SMS itu.
Menurutnya, sudah menjadi tabiat Siti Balqis membawa telefon bimbitnya di dalam seluar dan apabila hilang, dia akan mengirimkan SMS kepada ibunya.
Sharhan, ketika mengadakan sesi rawatan sesi kedua Ahad lalu berkata, Siti Balqis akan menghadapi cabaran dalam tempoh 21 hari dan kelmarin genap 14 hari dia menerima rawatan secara Islam.

Misteri konon disorokkan jin di Gunung Jerai terbongkar.
utusanmalaysiaonline

KUALA TERENGGANU, 29 Oktober 2010 – Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam’ di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.
Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.
Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok.
“Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sana, semalam.
Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19.
Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar.
Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang.
Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam.
“Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan,” katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin.
Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya.
Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu.
“Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya.
Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu.
Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya.
“Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu.
Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang,” katanya.
Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza.
Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning
BESUT - Kejayaan dua bomoh yang mendakwa berjaya menangkap sembilan jin dan makhluk halus yang sering ‘menyembunyikan’ seorang gadis, Siti Balkis Mohd Nor, 22, kelmarin nampaknya tidak berjaya menghalang gadis itu daripada terus ghaib pada waktu senja.

No comments: