Sunday, June 20, 2010

Pelayaran mewah bersama Queen Victoria

Kapal persiaran mewah Queen Victoria menyediakan pelbagai kemudahan bagi menjamin keselesaan penumpangnya.
Kapal persiaran mewah Queen Victoria menyediakan pelbagai kemudahan bagi menjamin keselesaan
penumpangnya.

Kapal Queen Victoria menawarkan pelbagai keselesaan

KAPAL persiaran terbaru, Queen Victoria milik syarikat percutian pelayaran mewah, Cunard Cruise Line yang dilancarkan pada Disember 2007, baru-baru ini singgah di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, di sini, ini ketika dalam pelayaran mengelilingi dunia.

Pelabuhan Barat yang juga destinasi ke-27 yang dilawati kapal persiaran mewah itu, adalah pelabuhan kedua di negara ini yang menjadi persinggahannya selepas singgah di Kota Kinabalu, Sabah. Ini adalah kali kedua kapal Queen Victoria berlabuh di Malaysia selepas kali pertama singgah di Pelabuhan Barat pada 2008.

Queen Victoria memulakan pelayaran pada 12 Januari lalu dari Pelabuhan Southampton, England dan akan berhenti di 104 lokasi termasuk di pelabuhan negara, sebelum menamatkan pelayaran pada bulan ini.

Kapal yang dibina syarikat pembuat kapal terkemuka, Fincantieri, adalah sepanjang 321.5 meter dan seberat 90,000 tan, terbahagi kepada 12 dek yang mampu membawa kira-kira 2,000 penumpang dan 900 anak kapal.

Ia memberi penekanan kepada seni bina dan hiasan dalaman berunsur Inggeris yang mewah dan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelancong termasuk panggung teater Royal Court setinggi tiga tingkat.
Ia dilengkapi restoran termasuk rangkaian restoran chef terkenal, Todd English, muzium kapal persiaran yang pernah dimiliki Cunard, perpustakaan yang menempatkan hampir 6,000 buku dan kolam renang.

Petugas media yang menerima jemputan daripada ejen pelayaran Pacific World Trafik Sdn Bhd yang mewakili Cunard, berpeluang melihat sendiri ruang dalam kapal yang mewah dan eksklusif itu, ketika ia singgah di Pelabuhan Barat.

Walaupun hanya singgah selama beberapa jam, penumpang yang mengikuti pelayaran itu masih berpeluang melawat beberapa lokasi tarikan pelancong di sekitar Lembah Klang.

Percutian mewah di atas kapal Queen Victoria sememangnya selesa berikutan ia dilengkapi pelbagai kemudahan dewan teater Royal Court Theater yang mampu menempatkan kira-kira 800, membolehkan penumpang menonton persembahan teater ketika kapal berkenaan belayar di tengah lautan, manakala penumpang muda, boleh juga bergembira di kelab malam Hemispheres.

Penumpang juga boleh menggunakan kemudahan perpustakaan di atas kapal berkenaan yang menempatkan 6,000 buku pelbagai genre atau melawat muzium Cardania yang mempamerkan sejarah kapal milik Cunard, selain tinggalan sejarah yang boleh dinikmati sama ada dalam bentuk audio atau secara visual.

Selain itu, kapal berkenaan turut menyediakan kemudahan seperti gelanggang tenis, gimnasium, kolam renang dan spa untuk keselesaan penumpang sepanjang pelayaran.

Oleh Syalikha Sazili
bminggu@bharian.com.my
2010/05/02

No comments: