Tuesday, May 04, 2010

Sultan Kelantan 'dihalang' ke Singapura

KOTA BHARU 4 Mei - Sultan Kelantan 'dihalang' ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan lanjut tahap kesihatan baginda di Hospital Mount Elizabeth.
Malah pesawat yang disewakan khas untuk menerbangkan Tuanku Ismail Petra dikatakan tidak mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.
Baginda dijadual berangkat kira-kira pukul 11.30 pagi tetapi terus tertangguh beberapa kali dan akhirnya pihak media dimaklumkan terdapat usaha membawa baginda dengan pesawat komersial.
Berikutan itu, kira-kira pukul 7.30 malam ini baginda dibawa keluar dari Istana Mahkota di sini ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat yang dijadual berlepas pukul 7.50 malam ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura pukul 10.30 malam.
Turut bersama dalam kenderaan yang bakal mengiringi baginda ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bersama tiga orang doktor termasuk seorang doktor peribadi baginda.
Putera ketiga baginda, Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berada dalam sebuah kenderaan berasingan bersama beberapa pengawal peribadi tidak dibenarkan mengiringi kenderaan membawa Tuanku Ismail Petra.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak istana berhubung soal itu dan pihak berkuasa lapangan terbang ketika dihubungi pula enggan memberikan sebarang penjelasan.
Bagaimanapun Tengku Muhammad Fakhry Fetra sebelum itu mendakwa terdapat arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang dan mungkin agensi-agensi kerajaan yang lain bagi menghalang Tuanku Ismail Petra dibawa ke Singapura.
Bercakap kepada pemberita, beliau percaya arahan itu atas perintah mereka yang menggunakan agensi kerajaan walaupun permohonan pelepasan dan pendaratan telah dibuat lebih awal.
''Tujuan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan ke Singapura adalah untuk mendapat rawatan susulan yang telah diatur oleh doktor pakar yang merawat Tuanku semasa di sana," jelas beliau.
Beliau menjelaskan keberangkatan Tuanku juga adalah atas pembiayaan peribadi dan bukan ditanggung oleh kerajaan negeri.
Tuanku Ismail Petra dijadualkan berada di Singapura bagi menjalani pemeriksaan selama 10 hari.
Baginda yang mengalami masalah jantung mendapat rawatan di hospital tersebut pada 24 Mei tahun lalu sebelum berangkat pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian 4 Mac lalu.
Sepanjang ketiadaan baginda, konflik berlaku dalam keluarga istana dan ia terus memuncak sekembalinya baginda ke negeri ini dan tahap kesihatan baginda masih menjadi persoalan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan Tuanku Ismail Petra malam ini dimasukkan ke HUSM.
Bernama difahamkan baginda dimasukkan ke hospital itu atas pilihan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra untuk menjalani rawatan susulan.


KESELAMATAN SULTAN KELANTAN DIPERTINGKAT

KOTA BHARU, 5 Mei 2010 — Polis diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan ke atas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang sedang menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berikutan kejadian seorang pengawal keselamatan istana ditembak Sabtu lepas.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah menitahkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan Sultan lebih terjamin.

Ini berikutan insiden pengawal keselamatan Istana Diraja Kelantan, Ramli Mohamad, 50, yang cedera parah di dada akibat ditembak empat das oleh suspek yang tidak dikenali pada 1 Mei lalu. Beliau yang lebih Sang Gurkha kenali sebagai Abg Ramli, seorang yang suka berterus terang serta berani menegakkan kebenaran dan seorang yang menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada YMM Pemangku Raja Kelantan

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung. Petang semalam, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra pada sidang akhbar di sini berkata beliau bercadang membawa ayahandanya menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Bagaimanapun penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sultan Kelantan pada 14 Mei 2009 dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering, dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lepas setelah hampir setahun berada di hospital itu.

Sultan Kelantan telah dibawa ke HUSM semalam dengan iringan ketat polis Unit Tindakan Khas (UTK) dan ditempatkan di Wad DiRaja supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja dan kerajaan negeri untuk rawatan susulan dan tindakan lanjut. Sebelum ini pihak-pihak tertentu juga telah menghalang doktor-doktor pakar dari membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan ke bawah Duli Tuanku Al-Sultan.

Menurut pegawai-pegawai Istana, Sultan Kelantan akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur petang esok (hari ini)dengan pesawat kerajaan untuk menerima rawatan susulan.

Diharap rakyat Malaysia amnya dan rakyat Kelantan khasnya supaya tidak mendengar khabar angin dan laporan dalam blog-blog, sebaliknya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan atau pihak bertanggungjawab.
Beliau berkata Pemangku Raja amat prihatin dan menyayangi ayahanda baginda dan akan berusaha untuk membuat yang terbaik bagi kebahagiaan Sultan yang masih gering dan makanan masih diambil menggunakan “tubing”, iaitu makan melalui tiub.

Kita perlu faham apa yang berlaku adalah urusan keluarga Diraja Kelantan dan segala-galanya adalah takdir Allah dan kita terima seadanya, kita sebagai rakyat Kelantan boleh menilai peribadi dan jasa - jasa YMM Pemangku Raja Kelantan untuk melihat ayahanda baginda kembali sihat dan negeri Kelantan terus berkembang maju, Insyaallah.

Tengku Faris dimasyhurkan Sultan Kelantan
 
KOTA BHARU, 13 September 2010 – Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, demikian diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz membuat pengumuman itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar pada pukul 12.30 tengah tadi. – Bernama

No comments: