Monday, May 31, 2010

Benign Prostatic Hyperplasia (BPH) ganggu kualiti hidup

UMUM mengetahui bahawa ancaman prostat antara penyakit yang paling kerap dihidapi lelaki. Namun masih ramai di kalangan golongan tersebut yang mengambil mudah terhadap ancaman kesihatan ini.
Malah perasaan malu, rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap penyakit ini menyebabkan sebilangan lelaki lebih rela menanggung kesakitan dalam diam daripada berusaha mendapatkan rawatan awal.
Perkara itu itu diakui oleh Pakar Urologi Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Prof. Madya Dr. Lee Eng Geap bahawa tahap kesedaran di kalangan lelaki terhadap penyakit tersebut masih rendah.
''Mengikut statistik kira-kira 10 hingga 20 peratus lelaki menghadapi masalah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat.
''Sikap ini perlu diubah bagi membolehkan mereka membina keluarga bahagia di samping mengamalkan gaya hidup yang sihat,'' tegasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Basic Male Anatomy
Photo © A.D.A.M.

Menurutnya, lelaki yang berumur 50 tahun ke atas adalah kumpulan berpotensi besar mengalami masalah yang lebih dikenali sebagai Benign Prostatic Hyperplasia (BPH), yang boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk gangguan terhadap fungsi buah pinggang.
''Punca sebenar BPH masih tidak ketahui tetapi beberapa penyelidikan mendapati fenomena ini mungkin disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku akibat peningkatan umur,'' jelasnya
Selain itu, faktor pemakanan dan genetik juga turut mempengaruhi timbulnya masalah ini.
Menerangkan secara ringkas, Dr. Eng Geap memberitahu, BPH biasa berlaku kepada lelaki yang berumur 40 tahun ke atas terutama lewat 60-an atau awal 70-an.
Namun, ia masih boleh berlaku lebih awal, khususnya bagi lelaki yang ada sejarah masalah kelenjar prostat di kalangan keluarga rapat.
"BPH tidak menjadi ancaman besar kalau ia dapat dirawat ketika masih di peringkat awal. Sebab itu kita sentiasa galakan golongan lelaki menjalani pemeriksaan berkala sebagaimana wanita," katanya.
Eng Geap mengakui terdapat kekeliruan di kalangan sesetengah individu yang mengaitkan BPH dengan penyakit barah sedangkan kedua-duanya adalah situasi berbeza.
''BPH berlaku akibat kelenjar prostat yang terletak antara rektum dan pundi kencing telah membesar iaitu sebesar kacang walnut.
"Keadaan ini menyebabkan uretra iaitu saluran kencing akan terhimpit dan menimbulkan tanda-tanda kerumitan dalam proses membuang air kencing.
''Situasi ini dikenali sebagai pembesaran prostat (BPH) dan ini bukanlah barah seperti anggapan sesetengah orang," katanya serius.
Dr. Eng Geap menjelaskan, kemunculan BPH akan mencetuskan pelbagai masalah dan boleh memberi kesan pada gaya hidup individu terbabit.
Antaranya, kerap kencing pada waktu malam, daya pengaliran air kencing yang semakin lemah dan berasa tidak berupaya untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya.
''Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk mula kencing, kencing yang terhenti-henti berulang kali dan terdapat sisa air kencing selepas kencing," ujarnya.
Katanya, masalah tersebut tidak harus dipandang ringan kerana jika dibiarkan akan memudaratkan sistem badan yang lain.
''Selain BPH, tanda-tanda ini juga boleh timbul atas sebab-sebab yang lain dan ia mungkin adalah tanda-tanda penyakit yang lebih serius seperti jangkitan kuman pada pundi kencing atau jangkitan kuman pada sistem buah pinggang.
''Apa yang perlu dilakukan ialah memberitahu doktor sekiranya anda mempunyai sebarang tanda-tanda tersebut agar doktor dapat mengesahkan punca masalah sebenar,'' terangnya lagi.
Beliau menegaskan lagi, tanpa rawatan awal prostat ini akan terus membengkak dan menjadi lebih besar serta meningkatkan risiko dalam jangka masa panjang.
Katanya, kalenjar prostat yang normal biasanya bersaiz 20 gram bagaimanapun bagi yang bermasalah boleh membesar sehingga 200 gram.
Prostate Interior - Surgery Images
a & b -prostate interior
c -external sphincter
d - badder trabeculation
(The prostate is a walnut-sized gland located beneath the bladder and in front of the rectum in men. It is surrounded by a capsule of fibrous tissue called the prostate capsule. The urethra (tube that transports urine and sperm out of the body) passes through the prostate to the bladder neck. Prostate tissue produces prostate specific antigen and prostatic acid phosphatase, an enzyme found in seminal fluid (milky substance that combines with sperm to form semen))

Kadangkala terdapat juga kes-kes di mana pembesaran prostat yang tidak dirawat boleh menimbulkan masalah-masalah batu karang di dalam pundi kencing, jangkitan ginjal serta kerosakan pada pundi kencing, ginjal dan salur kencing.
Rawatan
Eng Geap memberitahu, pemeriksaan awal amat penting bagi memastikan sejauh mana seriusnya pembengkakkan tersebut.
"Doktor akan memastikan bahawa tanda-randa yang dialami itu adalah BPH dan rawatan yang sesuai akan ditentukan.
"Setakat ini terdapat dua jenis ubat untuk rawatan ini iaitu 5 Alpha Reductase Inhibitors yang bertindak mengecutkan kelenjar prostat dan sekali gus membolehkan kencing menjadi lawas.
"Satu lagi ubat ialah Alpha Bloker yang berfungsi untuk melonggarkan kelenjar prostat bagi tujuan memudahkan proses membuang air kecil," katanya.
Namun menurut Dr. Eng Geap, sekiranya pesakit berada di peringkat serius pembedahan perlu dilakukan.
''Dengan ledakan teknologi yang semakin canggih, pesakit yang menghidapi pesakit ini tidak perlu risau kerana pembedahan secara sistem laser iaitu Laser Photoselective Vaporisation of Prostate (PVP).
''Doktor akan menggunakan cahaya laser hijau berkuasa tinggi yang bertindak membenarkan pigmen darah di dalam tisu prostat menyerap cahaya ini lalu memanaskan tisu prostat ketahap pengewapan,'' tegasnya.
Katanya, dengan kecanggihan sistem laser hijau ini tisu prostat bermasalah dapat dikeluarkan dalam masa yang singkat dengan pendarahan yang minimum.
Ditanya mengenai kesan daripada pembedahan laser ini, Eng Geap memberitahu, 80 hingga 90 peratus pesakit yang menjalani pembedahan sistem laser hijau ini kembali lawas dalam proses membuang air kecil.

No comments: