Wednesday, January 27, 2010

“Jangan bermain api!” -KPN

KUALA LUMPUR – Jangan berani bermain dengan api! Demikian amaran keras Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung insiden empat kepala babi hutan ditemui diletakkan di dua buah masjid di Masjid Imam At- Tirmizi, Taman Sri Sentosa dan Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun dekat sini, semalam.

“Amaran saya kepada mereka yang membuat perkara-perkara seperti ini, jangan bermain dengan api! Saya tidak mahu keselamatan negara kita tergugat.
“Saya pandang serius perkara ini dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas sekiranya saya mengetahui individu atau kumpulan yang mencetuskan perkara ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, di Masjid Jumhuriah, seorang bilal masjid menemui sebuah plastik putih lut sinar yang di dalamnya mengandungi dua kepala haiwan berkenaan dengan sejumlah wang kertas RM1 bernilai hampir RM30 bertaburan di pekarangan belakang masjid.
Kejadian sama dikesan kira-kira jam 5.45 pagi di Masjid At-Tirmizi di mana seorang jemaah menemui bungkusan plastik juga berisi dua kepada babi berserta wang kertas RM10, RM5 dan RM1 berjumlah hampir RM35 juga bertaburan di tempat letak kenderaan di dalam kawasan masjid terbabit.
Musa berkata, hasil siasatan berdasarkan modus operandi, pihaknya mendapati kedua-dua kejadian berkenaan didalangi kumpulan atau individu yang sama.
“Benda yang diletakkan adalah kepala babi hutan dan ini menampakkan modus operandi yang sama. Jadi, saya telah mengarahkan agar mana-mana restoran makanan eksotik sekitar Lembah Klang disiasat untuk mengetahui sama ada kepala babi ini datang dari premis itu atau tidak,” katanya.
Menurutnya, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan negara terjamin dan beliau telah mengarahkan Ketua Polis Daerah bagi memastikan rondaan dibuat ke setiap rumah-rumah ibadat bagi mengelak kejadian seperti sama dapat dicegah. Sementara itu, Nazir Masjid Jumhuriah, Mohd Yusof Mustapa, 58, ketika ditemui berkata, bungkusan plastik dan duit kertas terbabit ditemui bilal masjid yang mahu melaungkan azan subuh.
“Mula-mula kami sangka benda di dalam plastik itu mayat bayi sebab ada darah mengalir tetapi setelah diperiksa ternyata ianya mengandungi kepala babi dan duit kertas RM1 itu kami kumpulkan di dalam tong kecil,” katanya yang kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.
 
SinarHarian
28 Januari 2010

No comments: