Sunday, December 05, 2010

Masih Meracau Setiap Malam

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

SEGALA-GALANYA berlaku dengan pantas. Sedang lena diulit mimpi, Rohana Mahmood, 55, tiba-tiba tersedar gara-gara katilnya berpusing 360 darjah. Ruang kamar tidur mula berdebu manakala lantai berselerakan serpihan pecahan atap genting. Suasana bertambah cemas apabila satu persatu batu-batu kecil jatuh dari siling bilik. Lebih menakutkan dia berasakan rumahnya bergerak bak kapal di lautan.
 "Saya menjerit memanggil anak-anak dan isi rumah yang lain. Tetapi tiada jawapan kerana pada waktu itu hanya kedengaran jatuhan konkrit dan bunyi letupan seperti bom. Dalam keadaan gelap itu juga saya gigih keluar dari bilik untuk mencari mereka.
"Malangnya, saya sukar untuk keluar kerana depan pintu bilik dihalangi besi-besi tinggi. Ibarat terperangkap di dalam penjara, namun mujur saya berjaya meloloskan diri dan lega menemui mereka di ruang televisyen berhadapan bilik saya," jelas Rohana merujuk kepada dua orang anaknya, Ungku Afiq Ungku Farid, 24 dan Ungku Asif, 21, yang tidak panik pada hari kejadian.
Ketika itu juga ibu mertua Rohana dan ibu saudaranya sudah berada di ruang TV rumah. Kedua-dua anaknya pantas mencari laluan keluar dan sanggup berpatah balik ke dalam bilik untuk mengambil telefon bimbit serta lampu suluh.
 "Saya tergamam sebaik sahaja menjengah ke luar rumah. Rupa-rupanya rumah kami telah bergerak sejauh 100 meter dari tapak asal dan meninggi seperti rumah tiga tingkat.
 "Dalam ketakutan itu dua anak saya berjaya menemui jalan keluar. Tapi kami berdepan satu lagi pilihan sukar apabila ibu mertua dan ibu saudara saya tidak mampu meredah runtuhan dan menyelamatkan diri.
"Berkali-kali saya mencium tangan dan memohon maaf daripada ibu mertua. Air mata saya tumpah tanpa henti sehingga enggan melepaskan tubuh ibu mertua.

"Hanya selepas ibu mertua saya sendiri memaksa kami keluar dan meninggalkan dia bersama ibu saudara selain memikirkan itulah jalan terbaik untuk turut mendapatkan bantuan dari luar akhirnya kami terpaksa bergegas keluar.Tidak cukup emosi Rohana diragut dengan keputusan itu, keberaniannya diuji lagi.

"Untuk menyelamatkan diri kami perlu meloncat ke tanah yang rata. Anak-anak berjaya melakukan namun saya mengambil masa yang lama untuk melompat sehingga hampir berputus asa. Mujur saat saya hampir mengalah anak-anak menjerit, 'mama we love you, please do it'," luah Rohana dalam nada tersekat-sekat ketika menceritakan detik cemas kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, yang berlaku pada 6 Disember 2008.

Masih trauma
Hari ini genap dua tahun tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa. Namun, ternyata ia masih terkesan kuat dalam hati dan memori penduduk setempat termasuk Rohana sekeluarga. Acap kali melintasi tapak kejadian serta-merta fikiran komuniti di Bukit Antarabangsa mengenang kembali tragedi yang memusnahkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah, seawal pukul 3.30 pagi.
Bencana alam itu meragut lima nyawa iaitu Shaiful Khas, 20, Ng Yee Peng, 30, Dr. N. Yogeswari a/p Tamasalam, 40, Laourdes Mary, 30 dan pembantu rumah Rohana sendiri, Surinah, 30.
Ungku Afiq yang berada di sisi Rohana saat temubual bersama Kosmo!, menyifatkan tragedi seumpama itu menyebabkan mereka sekeluarga tersepit antara keputusan hidup dan mati. Pada masa yang singkat mereka perlu membuat pilihan sama ada lari menyelamatkan diri atau terus kekal di dalam rumah.

"Sebaik saja, menemui jalan keluar saya memaksa mama dan adik segera bertindak. Bagi saya lagi cepat kami keluar, ia akan memudahkan saya mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan nenek pula.
   "Arwah, seorang yang ceria dan suka membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah. Pada waktu lapang dia gemar duduk di rumah membaca buku berkaitan politik dan isu-isu semasa ataupun duduk di depan komputer.
"Alhamdullilah, pasukan Bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) tiba di lokasi kejadian dengan segera. Melihat saja kelibat mereka, saya terus membawa mereka ke rumah supaya mengeluarkan nenek dan mak cik," cerita Ungku Afiq, yang turut sedih kerana gagal menyelamatkan pembantu rumah yang tertimbus di tingkat bawah rumah.

Dalam pada itu, suami Rohana, Ungku Farid Ungku Abd. Rahman, 56, yang pada hari kejadian berada di Johor Bahru atas urusan kerja, mengakui sehingga ke hari ini mereka mengalami trauma dan sedih dengan insiden berkenaan biarpun mereka kini sudah menetap di Bukit Jelutong, Shah Alam.


Ungkap Ungku Farid, setiap malam isterinya, mengigau dan menjerit-jerit nama anak mereka supaya lari selamatkan diri.
"Siapa tak sedih apabila rumah yang didiami sejak tahun 1993, musnah begitu saja. Tiada apa-apa yang dapat diselamatkan kecuali gambar keluarga. Inilah harta yang kami ada, selain bersyukur kerana masih dipanjangkan usia," luah Ungku Farid, sambil menunjukkan potret keluarga mereka yang tergantung di dinding bersebelahan pintu masuk.

 

Suara sepi bersama runtuhan
Seperti Rohana yang kehilangan pembantu rumah, pasangan suami isteri, Datuk Shaharudin Adnan, 64, dan Datin Jamilah Mohd. Kassim, 61, juga reda dengan pemergian anak bongsu kesayangan, Saiful Khas. Tatkala menceritakan tentang keperibadian anaknya, air mata Shaharudin mula bergenang.
Dia sama sekali tidak menyangka anaknya yang ringan tulang dan menghormati orang tua, terkorban dalam keadaan menyayat hati.

"Malah, pada hari kejadian Saiful baru sahaja selesai menduduki peperiksaan semester akhir di Kolej Teknologi YPC-itWEB, Taman Maluri. Tetapi dia tidak sempat untuk menjalani latihan praktikal yang dijadualkan pada bulan Januari 2009," jelas Shaharudin yang berjaya menyelamatkan diri keluar melalui bumbung bersama isteri dan seorang anak saudara, Norain Zaaba, 20.

Pengalaman Shaharudin turut dikongsi Jamilah, yang menjelaskan mereka terdengar Saiful memekik memberitahu rumah mereka bergegar. Bimbang keadaan Saiful yang berada di bilik tingkat bawah, Jamilah dan suami berusaha memanggil Saiful menerusi balkoni di tingkat atas.

"Panggilan pertama sewaktu gelongsoran awal berlaku, tiga kali arwah menyahut panggilan kami tetapi saat gelongsoran kedua dan ketiga, suara Saiful terus sepi. Sehingga kami menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal dikesan," ujar Jamilah ketika ditemui Kosmo! di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Menurut Jamilah, meskipun tapak tragedi tanah runtuh dan tapak asal rumahnya sudah dibaikpulih tetapi untuk membina semula kediaman yang baru di tapak tersebut mungkin tidak. Bukan kerana bimbang tragedi berulang tetapi terlalu banyak momen pahit manis terdapat di sana.
Kata suri rumah itu: "Saya suka tinggal di Bukit Antarabangsa. Suasananya nyaman dan sejuk pada waktu malam malah, dikelilingi rimbunan pohon menghijau sehingga mendesak kami berpindah rumah dari Taman TAR ke Bukit Antarabangsa, sekitar tahun 1995.

Arahan bermusim
Bagi selebriti Sasha Mohamad Saidin, 33, yang sudah menetap di Bukit Antarabangsa, hampir enam tahun, tidak pernah terlintas untuk berpindah ke kawasan lain.

"Walaupun kediaman kami hanya 200 meter dari lokasi kejadian tetapi ia bukan dalam 'zon bahaya' yang diarahkan untuk mengosongkan premis. Saya bahagia tinggal di sini kerana bagi saya Bukit Antarabangsa sebuah penempatan yang jauh daripada kesibukan kota.
"Lagipun segala-galanya ada di sini seperti kedai, pasar raya, farmasi dan stesen minyak. Malah, lokasi Bukit Antarabangsa dirasakan strategik dan berhampiran dengan pusat bandar," jelas Sasha yang menghuni di kondominium yang turut didiami oleh ibu dan ayah serta adiknya, Zain.
Walau bagaimanapun, Sasha kesal kerana setiap kali kejadian tanah runtuh berlaku, arahan supaya menghentikan projek di kawasan bukit yang dikeluarkan pihak berkuasa hanya bersifat sementara. Larangan itu segera dilupakan dan projek-projek baru beroperasi semula selepas beberapa bulan sahaja.

Misalnya, terbaru sebuah syarikat pemaju ghairah menarah bukit di situ bagi memberi laluan kepada projek 60 unit rumah berkembar tiga tingkat. Pihak pemaju mendakwa, projek perumahan tersebut telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak 2007 lagi iaitu sebelum kejadian tanah runtuh 6 Disember 2008.

DARI kiri: Ungku Asif, Ungku Afiq, Rohana dan Ungku Farid menunjukkan potret keluarga yang satu-satunya dapat diselamatkan daripada rumah mereka yang musnah akibat runtuhan tanah terburuk di Bukit Antarabangsa.