Thursday, April 23, 2020

COVID-19 : Kajian rawatan guna Remdesivir gagal ujian klinikal rawak pertama



DUNIA >> AMERIKA
Jumaat, 24 April2020

Gambar fail ubat Remdesivir ditunjukkan pada satu 
sidang media. - FOTO AFP

NEW YORK: Kajian rawatan pesakit COVID-19 menggunakan Remdesivir telah gagal dalam ujian klinikal rawak yang pertama, menurut rangka keputusan disiarkan secara tidak sengaja, semalam. Ia sekali gus menjejaskan harapan terhadap ubat yang diberikan perhatian teliti dalam usaha menghasilkan penawar penyakit itu. Satu rangka rumusan dipaparkan untuk tempoh singkat dalam laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kali pertama dilaporkan oleh Financial Times dan Stat yang menyiarkan tangkap layar berhubung perkara itu. Namun syarikat berkait ubat itu, Gilead Sciences, mempertikaikan cara penemuan terbabit digambarkan dalam paparan yang telah dipadamkan itu, dengan menyatakan bahawa data berkenaan menunjukkan satu 'potensi faedah'.
Menurut rumusan itu, kajian oleh China membabitkan 237 pesakit dengan 158 daripada mereka menggunakan ubat berkenaan dan baki 79 dalam sebuah kumpulan kawalan. Penggunaan Remdesivir dihentikan awal terhadap 18 pesakit atas sebab kesan sampingan. Penulis berkenaan dilaporkan berkata, Remdesivir 'tidak berkait dengan perbezaan dalam masa terhadap kemajuan klinikal' berbanding kawalan terbabit. Selepas sebulan, 13.9 peratus daripada pesakit menggunakan Remdesivir telah meninggal dunia, berbanding 12.8 peratus mereka yang berada dalam kumpulan kawalan. Perbezaan itu tidak signifikan secara statistik.
WHO bagaimanapun memaklumkan kepada Financial Times bahawa rangka itu masih dalam kajian teliti dan tersilap disiarkan awal. Jurucakap Gilead berkata kepada AFP: "Kami percaya paparan itu merangkumi gambaran tidak sesuai mengenai kajian berkenaan", dan memaklumkan bahawa ia dihentikan awal kerana penyertaan rendah, justeru tidak bermakna secara statistik.

"Sehubungan itu, hasil kajian terbabit adalah tidak konklusif walaupun trend data menunjukkan potensi faedah Remdesivir, terutama dalam kalangan pesakit yang dirawat dari peringkat awal penyakit berkenaan," kata jurucakap itu.

Kajian terbabit bagaimanapun tidak mewakili keputusan muktamad berhubung perkara itu. Ada beberapa kajian berskala besar dalam peringkat lanjutan yang bakal memberikan gambaran lebih jelas, tidak lama lagi. Remdesivir yang diberikan secara intravena, adalah salah satu ubat pertama disarankan untuk merawat COVID-19, sekali gus mencetuskan harapan terhadap keberkesanannya.

Minggu lalu, Stat melaporkan, ia menunjukkan keberkesanan signifikan di sebuah hospital di Chicago di mana pesakit yang sedang dirawat adalah antara terbabit dalam kajian utama. Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) turut melaporkan, ia terbukti berkesan dalam satu kajian kecil membabitkan monyet. Remdesivir yang sebelum ini gagal dalam kajian merawat Ebola, tergolong dalam kelas ubat bertindak secara terus ke atas virus terbabit. - AFP

COVID-19: Singapura bina fasiliti mega tempatkan pesakit, pekerja asing

SINGAPURA: Sebuah fasiliti mega sedang dibina di Terminal Tanjong Pagar bagi menempatkan hingga 15,000 pesakit COVID-19 serta pekerja asing, dalam keadaan kes wabak itu terus meningkat di Singapura, menurut laporan The Straits Times, semalam. Sejak beberapa hari lalu, laporan itu menyebut, tinjauan ke kawasan berkenaan mendapati khemah besar sedang dipasang menggunakan kren di lokasi terbabit. Lori membawa bahan binaan bangunan dilihat memasuki kawasan terminal itu yang telah dikosongkan sejak pemindahan operasi pelabuhan pada 2017 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan pelabuhan mega masa hadapan di Tuas.

Salah sebuah asrama menempatkan pekerja asing di Singapura.
- FOTO AFP

Hingga Rabu lalu, menurut laporan itu, sekurang-kurang lima atau enam barisan khemah telah siap dipasang di terminal berkenaan. Laporan itu berkata, sejak beberapa minggu lalu, Kerajaan Singapura menyediakan beberapa lokasi bagi menempatkan pekerja asing yang sihat bertujuan mengekang penyebaran virus di asrama pekerja atau memindahkan mereka ke lokasi isolasi komuniti.

Pusat isolasi komuniti menempatkan pesakit COVID-19 sedang pulih dan mereka yang mempunyai simptom ringan, di mana ia termasuk Singapore Expo, Changi Exhibition Centre serta D'Resort NTUC di Pasir Ris, menurut laporan media itu. Kesemua 10,000 pekerja asing dalam perkhidmatan penting yang tinggal di asrama khas telah dipindahkan ke 18 kawasan penginapan alternatif seperti kem tentera, hotel, dewan sukan dan blok perumahan kerajaan yang kosong. 

Kapal persiaran juga dicadang untuk menempatkan pekerja dengan satu daripadanya ialah SuperStar Gemini yang ketika ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar.

Setakat tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan 1,037 kes jangkitan COVID-19 baharu di republik ini dengan majoritinya membabitkan penghuni asrama. Dengan kes baharu itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik ini sudah mencecah 11,178. – BERNAMA

No comments: