Sunday, April 26, 2020

Pemuda Tinggal Rangka Dalam Longkang PLUS : Kemalangan Maut Misteri di Lebuhraya PLUS Arah Utara

Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

SATU mayat dipercayai lelaki Melayu berusia lingkungan 20-an telah reput dan tinggal rangka ditemui di Kilometer 281.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara, jam 12 tengahari semalam.

POLIS membuat siasatan di KM 281.8 Lebuhraya PLUS berhampiran Nilai susulan penemuan mayat lelaki. FOTO ihsan polis

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat lelaki terbabit yang beralamat Durian Tunggal Alor Gajah, Melaka itu ditemui orang awam sebelum mereka melaporkan penemuan itu kepada Balai Polis Nilai.

"Siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati mayat yang ditemui itu dalam keadaan reput dan tinggal rangka lengkap berpakaian kemeja-T dan seluar panjang warna hitam selain masih memakai topi keledar.

"Mayat itu ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang yang berkeluasan lebar dan kedalaman lebih kurang dua kaki dan dua setengah kaki serta terletak di tengah-tengah lebuh raya Plus arah utara.

ARWAH Ahmad Farid yang dipercayai meninggal dunia akibat kemalangan. FOTO Ihsan Keluarga Nur Syafiqa

"Turut ditemui satu beg galas dan pada bahagian terdapat satu beg pinggang warna hitam, bagaimanapun tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan simati," katanya dalam satu kenyataan di Nilai, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, hasil siasatan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata sekali gus kejadian itu tiada unsur jenayah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg pinggang yang dipakai oleh simati, pihaknya menemui satu kad pengenalan dan lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150, dipercayai milik simati.

Menurutnya, punca kematian belum dapat dipastikan dan mayat sudah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) untuk di bedah siasat.

"Keluarga mangsa telah dihubungi dan mengatakan kali terakhir keluarga melihat simati pada 23 Mac lalu ketika keluar dari rumah menaiki motosikal untuk berjumpa kawan di Kuala Lumpur.

"Keluarga simati juga ada membuat laporan polis berkenaan kehilangan simati," katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.


Ahmad Farid Tiada Perlakuan Ganjil Sebelum Ajalnya Kecuali Solat Lebih Lama Dan Minta Baju Melayu Serba Putih
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my
26 April 2020

"TIADA kelakuan ganjil pada arwah tetapi sebelum kehilangannya pada 13 Mac lalu, dia solat agak lama berbeza kebiasaan," kata Nur Syafiqa Ahmad Alaudin.

Nur Syafiqa, 23, adalah kakak kepada Ahmad Farid, 19, yang mayatnya ditemui orang awam di Kilometer 281.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat Nilai, pada 12 tengah hari semalam.

Mangsa yang dipercayai terbabit dalam kemalangan gagal dikesan selama 42 hari apabila keluar rumah sejak 10.30 malam 13 Mac lalu sehinggalah mayatnya ditemui, semalam.

Nur Syafiqa dari Taman Desa Idaman, Durian Tunggal, Melaka berkata, ali terakhir dia melihat arwah pada 8.30 malam 13 Mac lalu.

"Pada malam itu, arwah ada minta izin daripada ibu dan ayah untuk menemui kawan sekerjanya di Tangkak dan mereka memberi keizinan kepada arwah.

"Arwah anak bongsu daripada lima beradik dan dia memberitahu untuk balik ke kampung asal di Bachang, Melaka kerana di sana ramai saudara mara.

"Bagaimanapun, kami tidak menyangka arwah dikatakan bertukar fikiran dan pergi ke Ampang, Kuala Lumpur untuk meraikan sambutan hari jadi seorang kawan sekolah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Syafiqa yang juga anak keempat dalam keluarga itu berkata, keluarganya menyangka arwah balik ke kampung mereka di Bachang dan berada dalam keadaan baik.

Menurutnya, pada 16 Mac lalu, ibu mereka ada menghubungi sepupu yang bekerja di tempat sama untuk mendapatkan maklumat lanjut selepas pihak syarikat memaklumkan Ahmad Farid tidak hadir bekerja.

"Kami kemudian menghubungi rakan sekerjanya dari Tangkak yang memaklumkan arwah tiada di tempat kerja dan dia memberitahu mereka tidak berjumpa pada malam 13 Mac itu seperti dirancang.

"Daripada maklumat itu, kami mendapat tahu arwah pergi ke Ampang seorang diri dan dimaklumkan arwah bergerak pulang ke Melaka pada 3.30 pagi hari berkenaan," katanya.

GAMBAR kenangan arwah Ahmad Farid bersama keluarga. 
FOTO Ihsan Keluarga Nur Syafiqa

Nur Syafiqa berkata, pada mulanya, keluarga berusaha mengesan arwah di Hospital Ampang kerana ketika berita kehilangan arwah ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp, ramai kenalannya memberitahu arwah terbabit kemalangan.

Menurutnya, kakaknya iaitu Nur Syuhaida turut menghubungi Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban bertanyakan kemungkinan ada membuat pengecaman mangsa kemalangan tanpa identiti, tetapi gagal.

"Kami membuat membuat laporan mengenai kehilangan Ahmad Farid di Balai Polis Durian Tunggal pada 16 Mac sebelum ayah membuat laporan buat kali kedua di balai sama pada 22 Mac apabila usaha mengesannya tidak berhasil.

"Bagaimanapun misteri kehilangan adik saya akhirnya terjawab apabila anggota Balai Polis Durian Tunggal datang ke rumah pada 4 petang semalam bagi memaklumkan penemuan satu mayat lelaki di Kilometer 281.8 Plus arah utara dekat Nilai.

"Kemudian ahli keluarga menghubungi Balai Polis Nilai bagi mendapatkan pengesahan dan semua ahli keluarga terutama ayah dan ibu merasa sangat terkejut.

"Ahli keluarga berasa sedih dengan pemergian adik, namun reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya.

Menurutnya, arwah ada meminta keluarganya membeli baju Melayu berwarna putih dan hajatnya itu disempurnakan keluarga serta arwah sempat menggunakan sekali baju berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat mangsa yang sudah reput dan tinggal rangka ditemui di dalam longkang di lokasi kejadian.

Beliau berkata, turut ditemui satu beg galas dan terdapat satu beg pinggang warna hitam, bagaimanapun tiada kenderaan ditemui berhampiran dengan tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan mangsa.



No comments: