WAN Aliazar Wan Halim mendapatkan sebuah kotak besar di tepi dinding rumahnya di Klang, Selangor. Dengan menggunakan seluruh tenaga yang ada, dia menarik keluar Kookie yang kemudiannya menjalar dan melilit badan tuannya itu.
Ular sawa batik sepanjang lima meter itu adalah ular kesayangan Wan Aliazar atau juga dikenali sebagai Ali. Sepuluh tahun lalu semasa ditemui, ia hanya sebesar ibu jari. Kini berat Kookie sudah melebihi 30 kilogram.
“Ini ular pertama yang saya bela secara ‘sah’. Sebelum itu, ibu dan arwah bapa tidak pernah setuju jika saya mahu memelihara ular di dalam rumah.
“Kookie atau nama penuhnya Snookie Harganja adalah pembuka laluan kepada ular-ular lain di dalam hidup saya. Selepas Kookie, bilangan ular peliharaan saya semakin bertambah,” katanya yang mengakui pernah beberapa kali cedera digigit ular peliharaannya.
Kebanyakan ular sawa koleksi beliau merupakan daripada jenis yang mempunyai corak yang cantik dan jarang dimiliki orang lain serta mempunyai harga yang bernilai tinggi di pasaran.
Ali berkata, pada awalnya dia mula memelihara kucing dan minat terhadap haiwan peliharaan lain bermula selepas itu.
Berikutan minatnya yang mendalam untuk mencuba perkara baharu, dia pernah sebelum ini cuba membiak kucing, tikus hamster dan cicak ginko.
Rumah khas ular
Berbekalkan pengalaman pembiakan tersebut serta melalui pembacaan dan penerangan rakan-rakan berpengalaman dari luar negara, Ali cuba melakukan pembiakan ular yang dipelihara khususnya ular sawa bagi menghasilkan baka yang terbaik.
Untuk melihat sendiri ular peliharaan Ali, penulis berpeluang ke sebuah rumah miliknya di Klang yang dibeli Ali sendiri dan digunakan khusus untuk menempatkan koleksi reptilia miliknya. Suasana suram dan gelap di koridor rumah disambut dengan bau yang agak kurang menyenangkan.
“Maaf, rumah ini sedikit berbau kerana saya baru bagi ular-ular ini makan minggu lepas dan minggu ini merupakan waktu ular-ular tersebut membuang najis,” kata Ali yang mendapatkan permit menternak ular daripada Jabatan Perhilitan yang perlu diperbaharui setiap tahun. Pertemuan itu juga turut disertai rakan-rakan Ali yang berkongsi minat yang sama.
Rumah yang mempunyai tiga bilik itu menempatkan kebanyakan koleksi ular terbaiknya yang dipelihara sejak 10 tahun lalu. Selain itu, salah sebuah bilik di dalam rumah tersebut dijadikan tempat menternak tikus putih yang akan dijadikan makanan yang sangat berkhasiat untuk ular sawanya.
Rumah itu merupakan rumah keduanya dan dalam kalangan rakan-rakannya sendiri, tidak ramai yang pernah melangkah masuk.
Lokasi itu jugalah, Ali banyak menghabiskan masa lapang sebaik tugas sebagai pengacara dan wartawan beberapa rancangan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) selesai.
Pertambahan ular di rumah keluarga memaksa Ali mendapatkan rumah lain untuk keselesaan lebih daripada 60 ekor ular sawa pelbagai spesies.
Antara ular yang dipeliharanya ialah spesies Blood Python, Jungle Carpet Python, Borneo Short Tail Python, Sumatra Short Tail Python, Green Tree Python, Ball Python dan Corn Snake.
Pada awalnya kebanyakan ular sawa itu dibeli sendiri dari kedai atau orang perseorangan. Malah, ada antaranya diterima daripada kenalan yang enggan meneruskan hobi selepas berkahwin.
“Kebanyakan ular-ular saya adalah tempahan khas dari Malaysia, Indonesia, Australia dan Afrika.
“Saya pernah menerima tawaran puluhan ribu ringgit untuk seekor ular milik saya kerana corak pada kulitnya yang sangat cantik. Namun, saya menolaknya,” kata Ali sambil memberitahu mengikut harga pasaran harga seekor anak ular boleh mencapai RM300 seekor.
Setakat ini, dia tidak pernah menjual ular-ular sawa dalam simpanannya tetapi, mengakui telah menjual beratus-ratus ular kecil (Corn Snake) miliknya yang berjaya dibiakkan sebelum ini.
“Corn Snake atau ular jagung merupakan spesies pertama dari jenis ular yang saya biakkan sebelum berkembang kepada ular sawa lain.
“Semakin hari pembiakan ular sawa yang ada bertambah dan berjaya dilakukan dengan baik sekali. Kini pembiakan ularnya lebih tertumpu untuk pembiakan ular sawa yang jarang ditemui,” katanya yang memperuntukkan sekitar RM400 sebulan untuk kos penjagaan reptilia itu.
Motif dan warna cantik
Ular sawa yang terbaik akan dilihat menerusi warna dan bentuk corak pada kulitnya.
“Saya lebih berminat untuk melakukan pembiakan ular dari spesies yang sama sahaja dan tidak melakukan kacukan ular kerana ia merosakkan spesies ular dan ekosistem alam.
“Setakat ini saya biakkan spesies Blood Python atau ular sawa darah, Ball Python dan ular sawa batik sahaja,” katanya yang kini mempunyai rangkaian peminat ular di seluruh dunia.
Kata Ali, ular sawa betina tidak akan mengawan jika ia berasa tidak selesa dengan pasangan ular jantan dan kawasan sekitarnya.
Walaupun ular itu telah mengawan dan jika ia berasa tidak selesa dan enggan menghasilkan telur ia mampu mengelakkan persenyawaan berlaku seterusnya tidak menghasilkan telur.
“Waktu hujan merupakan masa yang sesuai untuk ular mengawan dan menghasilkan telur. Maka, pada waktu itu juga saya akan pastikan keadaan rumah kediaman ular saya dalam keadaan gelap, dingin dan lembab.
“Ketika itu juga saya akan pasti ular yang hendak mengawan akan berpuasa selama sebulan sebelum diperkenalkan dengan pasangan masing-masing,” katanya.
Terkini ular sawa darah milik Ali menghasilkan 10 biji telur dan lima daripadanya telah menetas. Cabaran seterusnya adalah untuk mengajar ular kecil itu untuk makan dan mengenali makanannya dan ia merupakan suatu yang sangat sukar mengikut karakter spesies ular itu.
No comments:
Post a Comment