Friday, July 08, 2011

Liburan di Shenzhen, Guangdong, China.

Pesona kota masa depan China

BANGUNAN Shun Hing Square setinggi 69 tingkat kini
menjadi mercu tanda baharu di Shenzhen. 

PELUANG menjejakkan kaki di Shenzhen, yang terletak di wilayah Guangdong, selatan China memang saya nantikan sejak sekian lama. Tempoh penerbangan selama empat jam dari Kuala Lumpur membuatkan perasaan bertambah tidak sabar.
Sejurus melepasi prosedur pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Boa’an dan kemudiannya disambut oleh pemandu pelancong yang diuruskan oleh ejen pelancongan Ziarah Sutera Travel & Tours, saya dibawa terus ke hotel.
Sepanjang perjalanan, saya kagum melihat pembangunan di sekitarnya. Bangunan pencakar langit di sepanjang jalan raya utama dengan landskap yang indah di sepanjang jalan membuatkan saya seperti berada di kota Singapura.
Banyak hal menarik yang ingin saya ceritakan mengenai bandar yang terletak di Delta Sungai Pearl itu.
Selain boleh membeli-belah di sini, Shenzhen juga mempunyai daya tarikan pelancongan yang lain. Antaranya ialah Window of the World, Happy Valley Theme Park dan Splendid China.
Dari sudut geografi, Shenzhen terletak berhadapan dengan Hong Kong dan hanya dipisahkan oleh Sungai Shenzhen. Sebuah jambatan sejauh 5.5 kilometer telah dibina bagi menghubungkan di antara kedua-duanya.
Perkembangan pesat Shenzhen menyaksikan statusnya berubah daripada sebuah perkampungan nelayan kepada bandar keempat terbesar dan pelabuhan yang kedua tersibuk di China selepas Shanghai.
Menariknya, di sini juga terletak bangunan tertinggi di China yang juga kesembilan di dunia iaitu bangunan Shun Hing Square yang setinggi 69 tingkat. Bangunan berwarna hijau dengan ukuran tinggi 384 meter itu berkonsepkan pedang itu dibangunkan mengikut falsafah feng shui.

Bandar dalam taman

Bercerita tentang landskap, Shenzhen yang mempunyai iklim sub-tropika menerapkan konsep bandar dalam taman. Di kiri dan kanan jalan raya dipenuhi pepohon pokok yang meredupkan pandangan.
Menerima jolokan Singapura kedua kerana persekitaran yang bersih, Shenzhen tampak begitu moden dan eksklusif dengan pembangunan yang begitu terancang.
Sistem jalan raya, susun letak bangunan pencakar langit dan sistem pengangkutannya yang cekap dan efisien ternyata mengagumkan.
Demi melestarikan bandarnya, Shenzhen turut mengharamkan penggunaan motosikal kecuali motosikal berkuasa bateri, malah jumlah pengguna kereta juga amat terhad di bandar itu.
Sebahagian besar penduduk di bandar itu lebih selesa menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja. Bagi penduduk yang tidak mampu berkereta dan bekerja jauh, pihak kerajaan dan swasta menyediakan asrama di setiap kawasan perindustrian di sekitar Shenzhen.
Bandar pelabuhan dan industri itu dihuni lebih 12 juta penduduk yang sebahagian besarnya datang dari seluruh China.
Sebahagian besar penduduknya didominasi golongan muda berusia 28 tahun ke bawah dan 70 peratusnya juga adalah kaum wanita. Maka, tidak hairanlah jika di sana-sini terdapat banyak pusat-pusat hiburan dan karaoke yang menjadi tumpuan golongan berkenaan.


 JANGAN lepaskan peluang merasai
yogurt asli yang enak dan menyelerakan

Bagi yang ingin melawat ke Hong Kong dari Shenzhen, visa pelawat diperlukan, begitu juga untuk ke Shenzhen. Ia boleh didapati dari Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur. Untuk ke Hong Kong dari Shenzhen anda boleh melalui jalan darat dengan menaiki kereta api, jalan laut dengan feri atau menggunakan kenderaan.
Saya agak bertuah kerana hotel penginapan terletak berdekatan dengan terminal Luo Hu yang moden dan menjadi pusat pengangkutan awam utama di bandar itu. Pastinya, ia memudahkan saya untuk pergi ke mana-mana sahaja.

Membeli-belah

Bagi yang menggemari aktiviti membeli-belah, pastinya lokasi seperti Hu Commercial City, Dong Men (East Gate), MixC, Hua Qiang Bei dan Coco Park menjadi pilihan.
Di East Gate sahaja terdapat lebih 2,000 buah kedai dan premis yang yang menawarkan pelbagai produk fabrik, elektronik, cenderamata dan sebagainya.
Pengalaman membeli-belah di Hua Qiang Bei juga agak menarik untuk diceritakan. Kebanyakan peniaga di situ tidak meletakkan tanda harga pada barangan mereka.
Justeru, di situlah terletak kepakaran pengunjung melakukan tawar-menawar. Satu tip yang ingin saya kongsikan kepada pembaca semua, sentiasa menawarkan harga 50 peratus daripada apa yang ditawarkan peniaga.
Biarpun adakalanya ia nampak seperti sebuah pertengkaran kecil, namun jangan bimbang kerana tawar-menawar sudah menjadi kelaziman peniaga di kawasan itu.
Tatkala seronok membeli-belah, pengunjung pasti akan menemui kanak-kanak yang mengemis sehingga sanggup memeluk kaki untuk meraih simpati. Namun jangan mudah terpedaya. Sebahagian daripada mereka ini sebenarnya didalangi sindiket tertentu yang mahu memperdayakan orang ramai.

Makanan halal

Ingin saya tekankan di sini, agak sukar untuk menemui restoran halal di Shenzen berbanding di Beijing. Jika ada sekalipun, kedudukannya agak jauh di antara satu sama lain.
Jika anda terjumpa restoran Muslim, janganlah pula mengharapkan ia menyamai selera kita di Malaysia kerana hidangannya agak berminyak dan ringkas. Kebanyakannya berorientasikan daging kambing, sup dan sayuran.

LOKASI pusat beli-belah seperti di East gate ini sentiasa
menjadi tumpuan tanpa mengira siang atau malam.

Lebih baik, sebelum melancong ke Shanzhen, anda membawa bersama hidangan kering serunding daging, sambal bilis ataupun sambal cili dari Malaysia sebagai penambah selera.
Salah satu restoran makanan halal yang popular di Shenzen ialah di Hotel Muslim yang terletak di Jalan Wenjin South.
Selain itu, anda boleh juga mencuba restoran makanan halal seperti Zhong Fa Yuan (ZFY) di Jalan Chen Feng, Lou Hu, Restoran Shahrazad di Jalan Wen Ji Hua Yuan dan Restoran Mevlana Turkish di Jalan Zhen Xing, Futian.
Jika berkunjung ke mana-mana restoran ini, jangan lupa mencuba yogurt sebagai hidangan wajib pencuci mulut. Yogurt buatan sendiri yang ditaburi gula pasir di atasnya begitu enak dan menyelerakan. Harganya sekitar RM3 hingga RM5 secawan.
Di samping itu, pengunjung juga boleh mencuba teh bunga laici yang sememangnya popular di Shenzhen. Lagipun, laici merupakan tanaman eksklusif di bandar itu.
Menariknya, teh jenis itu tidak akan ditemui di mana-mana wilayah lain di China kerana ia dilindungi kerajaan.
Diceritakan, satu ketika dahulu seorang gundik diraja yang gemar makan buah laici sejak zaman daranya, pada usia 80 tahun dia masih kelihatan cantik dan menawan seperti baru berusia 20-an.
Rahsia bunga laici sebagai awet muda terus menjadi sebutan sehinggalah ia dikomersialkan dan dijadikan hidangan wajib bagi sesiapa yang pernah ke sini.

No comments: