Friday, July 08, 2011

Novel Pertama Damya Hanna Pernah Ditolak......

BURUAN PEMBACA...novel Damya Hanna dicetak berulang kali.

TENGAH hari itu saya berpeluang bersantai dengannya, daripada minum lewat pagi hinggalah makan rebusan stimbot bersama-sama.
Ada juga masa seketika melihat-lihat kasut, makanan kesihatan dan juga bunga-bungaan.

Sembang kami memang panjang dan dia sebenarnya mudah mesra. Seronok bersembang dengan anak kelahiran Selangor ini.

Dia mungkin baru sembilan tahun dalam dunia penulisan dan boleh dikatakan orang baru di arena itu. Namun, kejayaan yang ditempa membuatkan Damya Hanna bukan calang-calang.

Setakat ini bukunya sudah dijual melebihi 500,000 unit. Ulang cetak 20 kali perkara biasa bagi bukunya. Setiap kali ulang cetak berjumlah 20,000 unit, jadi bayangkanlah.

Kejayaan dan usianya memang tidak setara kerana Damya masih muda, baru 29 tahun dan dia sendiri merasakan perjalanan hidupnya masih panjang.

Kerana itu dia sentiasa beringat untuk berpijak di bumi nyata.

“Ketika mula-mula menulis dulu saya adalah penulis paling muda di syarikat penerbitan kami. Waktu itu saya baru berumur 20 tahun dan alhamdulillah, buku pertama Bicara Hati terus menjadi hit di pasaran,” cerita Damya yang pemula laluannya sebagai penulis novel sama dengan penulis tersohor yang lain.

Malah, manuskripnya ditolak oleh penerbit tanpa alasan.

“Waktu itu saya sangat kecewa kerana ia daripada penerbit yang saya sangat kagumi hasilan novelnya,” katanya.

Namun penolakan itu membuatkan karya Damya diterima oleh penerbit gergasi lain pula.

Kali ini dia lega kerana penerbit menerima karya itu di samping memberi komen yang membina untuk memantapkan karya berkenaan.

Kita harus berbangga mempunyai penulis berjaya seperti Damya Hanna kerana sesungguhnya untuk berjaya sebagai penulis terutama genre novel bukan sesuatu yang mudah. Menghasilkan novel bermutu itu sendiri amat sukar. Novel Damya menarik minat begitu ramai pembaca membuatkan mereka menjadi peminatnya yang setia.

Sebaik ada saja novel barunya di pasaran, ia terus dibeli kerana ramai yang sudah ternanti-nanti.

Damya sebenarnya tidak pernah bekerja di mana-mana syarikat melainkan latihan praktikal ketika di universiti dahulu. Sebaik tamat pengajian dia terus menjadikan penulisan sebagai kerjaya utama.

“Sekiranya saya tidak di bidang ini mungkin saya berada di bidang akaun agaknya,” balas Damya, tergelak.

Tetapi ada hikmahnya dia berada di bidang ini. Lapangan yang waktu kerjanya anjal dan ditentukan oleh dirinya sendiri. Dia kini dapat kembali tinggal di rumah keluarga kerana membantu ibu menjaga ayah yang sakit.

“Saya tak suka menonjolkan diri. Saya tak kisah orang tak kenal diri saya asalkan mereka kenal buku saya. Sekiranya saya nampak orang sedang baca novel saya, saya hanya tengok, tetapi malu nak cakap pada orang itu.

“Berbanding ayah saya yang suka beritahu orang mengenai saya walhal sebenarnya saya malu sangat. Saya risau orang sangka yang bukan-bukan pula,” cerita Damya.

Sebenarnya Damya tahu ibu bapanya sangat bangga dengan kejayaan anak mereka.

“Hampir dua tahun ayah saya terkena strok dan lumpuh sebelah badan jadi saya yang anjal waktu kerjanya berbanding adik-beradik lain kena membantu ibu.

“Setiap minggu perlu ke hospital dan saya tak boleh nak tumpukan perhatian pada pelajaran buat masa ini. Tak apalah, bila tiba masa yang sesuai kelak saya akan sambung semula.

“Alhamdulillah, ayah sudah semakin pulih, sudah boleh berjalan kecuali tangan kanan belum boleh bergerak. Untuk urus diri sendiri ayah sudah boleh melakukannya, tetapi masih perlukan latihan senaman dan fisioterapi serba sedikit lagi,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan Damya sebenarnya sudah ditentukan Allah dan pengorbanan seorang anak amat besar nilainya. Dia juga bahagia dapat membahagiakan ibu bapanya.

Sebagai penulis yang mempunyai ramai pengikut, Damya suka menerima komen membina bagi memperbaiki penulisannya.

Namun, pernah juga tersentuh hatinya apabila komen yang diberi tanpa mengira perasaan orang yang dikomen.

Orang itu pula sangat mengagungkan novel Inggeris sebaliknya novel Melayu serba tidak kena. Walhal, novel Inggeris pun bukan semuanya elok dan banyak kelemahan.

“Boleh mengkritik dan komen, tetapi biarlah membina dan bukan bagi menjatuhkan karya itu,” tegas Damya.

Hikmah pada setiap kejadian tentu saja ada dan selepas itulah Damya menyambung pelajaran di bidang sastera Melayu di mana dia dapat mengutip ilmu mengenai aspek kritikan.

“Daripada situ, saya tahu mengenai kritikan dan saya tak kisah lagi mengenainya. Saya mula tahu mana satu kritikan yang betul dan mana satu kritikan yang mahu menjatuhkan orang. Jadi kini saya lebih positif,” katanya.

Hidup senang sebagai penulis, Damya mensyukuri nikmat Allah yang dirasainya sekarang.

Namun dengan pendapatan berdasarkan royalti, Damya kena pandai menguruskan kewangan.

Diiktiraf sebagai antara penulis berpendapatan paling tinggi di Malaysia, apakah perasaannya?

Damya menganggapnya sebagai rezeki Allah terhadap hamba-Nya.

“Penulis kena sentiasa bersiap sedia terutama seperti saya yang tidak mempunyai pendapatan lain. Alhamdulillah, saya masih menerima royalti daripada buku pertama.

“Kini penulis sudah semakin ramai dan memang ada saingan, tetapi pengikut saya tetap ada. Saya bersyukur sangat.

“Mereka sering bertanya bila hendak keluarkan buku baru walaupun contohnya, saya baru beberapa bulan mengeluarkan buku terbaru. Itulah kemahuan peminat dan nampaknya mereka perlu bersabar sedikit lagi untuk novel terkini saya.

“Saya suka menghasilkan cerita berkisar apa yang berlaku dalam dunia sekeliling saya. Saya sering berkongsi idea dengan adik saya.

“Pembaca saya banyak daripada kalangan remaja jadi saya elakkan membuat sesuatu yang memberi pengaruh buruk kepada mereka,” katanya yang juga peminat novelis tersohor, Norhayati Berahim dan Aisya Sofea sejak dulu lagi.

Untuk aktiviti di masa lapang, Damya suka melayari Internet terutama mengenai pelancongan.

Menonton televisyen juga kesukaannya terutama drama bersiri Korea.

Setahun sekali pula dia akan melancong, bagi bercuti ataupun membeli-belah. Terakhir, bersama keluarganya dia bercuti ke Jakarta dan Bandung.

Tergelak Damya apabila ditanya kebolehannya memasak.

“Saya boleh memasak, tetapi kalau sekarang, sebab tinggal bersama emak memang emaklah yang memasak. Nanti, apabila saya kembali tinggal di rumah sendiri, saya akan memasak juga. Selalu kalau hendak resipi yang sedap-sedap, minta daripada emaklah!,” katanya.


PROFIL

NAMA: Intan Suhana Ramli
TARIKH LAHIR: 20 Oktober 1982
TEMPAT LAHIR: Cheras, Selangor
UMUR : 29 tahun
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun Cheras, Selangor Kolej Matrikulasi Melaka, Londang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kesusasteraan Melayu, UKM
PENCAPAIAN (ANUGERAH): Anugerah Novelis Prolifik oleh Alaf 21 Sdn Bhd (2008)



NOVEL: Bicara Hati (2002), Sepi Tanpa Cinta (2004), Saat Cinta Bersemi (2005), Rela Ku Menanti (2006), Senafas Rindu (2007), Ternyata Cinta (2008), Ilham Hati (2009)

No comments: