(Sinar Online) MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI11 Mei 2026 12:22pm
![]() |
| Menara berkenaan sudah mencapai 100 tingkat pembinaan (kiri), kanan gambar apabila menara berkenaan siap sepenuhnya. -Agensi |
JEDDAH - Menara Jeddah di Arab Saudi yang bakal menjadi bangunan tertinggi di dunia apabila siap kelak mencatat pencapaian penting selepas pembinaannya mencapai tingkat ke-100 pada akhir April lalu.
Firma seni bina Adrian Smith + Gordon Gill Architecture (AS+GG) yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat memaklumkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian besar dalam projek berkenaan.
Arkitek Bob Forest, rakan pengurusan AS+GG berkata, pembinaan Menara Jeddah kini berjalan pantas selepas mencapai tingkat ke-100.
“Projek Menara Jeddah telah mencapai 100 tingkat dan sedang berkembang dengan pantas selepas itu. Ia satu pencapaian besar dan antara banyak lagi pencapaian yang akan datang,” katanya.
![]() |
| Pemandangan menara itu ketika waktu malam. |
Apabila siap sepenuhnya, Menara Jeddah dijangka melebihi ketinggian 1,000 meter atau kira-kira 3,281 kaki. Bangunan itu sekali gus bakal mengatasi Burj Khalifa di Dubai yang kini memegang gelaran bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 828 meter atau 2,717 kaki.
Menara Jeddah direka oleh arkitek Adrian Smith dan Gordon Gill, pengasas bersama AS+GG. Smith sebelum ini turut terlibat dalam reka bentuk Burj Khalifa ketika bersama firma seni bina Skidmore, Owings & Merrill.
Pencapaian terbaharu itu hadir ketika Arab Saudi sedang melaksanakan beberapa projek mega di bawah agenda Visi 2030 yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak. Antara projek utama lain termasuk NEOM, pembangunan futuristik pelbagai wilayah yang merangkumi The Line, bandar linear bebas karbon, serta Oxagon yang disasarkan menjadi struktur terapung terbesar dunia. Bagaimanapun, beberapa projek mega di negara itu dilaporkan berdepan kelewatan dan semakan semula. Namun, Menara Jeddah dilihat berada pada kedudukan lebih kukuh untuk disiapkan selepas melalui beberapa kelewatan sejak pembinaan bermula lebih sedekad lalu.
Projek itu kini dijangka siap pada Ogos 2028. Menara Jeddah akan menjadi mercu utama Jeddah Economic City, sebuah pembangunan bandar seluas 5.3 juta meter persegi yang turut sedang dibina. Menurut Gill, menara itu mempunyai reka bentuk yang ringkas tetapi menonjol, disifatkan seperti 'kapal terbang kertas yang dilipat dan ditegakkan'. Beliau berkata, bangunan tersebut direka secara sangat cekap bagi mencapai ketinggian luar biasa dengan penggunaan struktur yang lebih berkesan.
Menara Jeddah dianggarkan menelan kos antara AS$1.2 bilion hingga AS$2.7 bilion, (RM4.7 bilion-RM10.6 bilion) manakala pembangunan Jeddah Economic City dianggarkan bernilai sekitar AS$20 bilion (RM78 bilion). Apabila siap, projek itu bukan sahaja bakal mencipta rekod baharu dunia, malah menjadi simbol cita-cita Arab Saudi untuk membina pusat bandar moden bertaraf global. -Agensi


No comments:
Post a Comment