(Sinar Online) NOOR AZLIDA ALIMINNOOR AZLIDA ALIMIN
12 Mei 2026 11:55am
![]() |
| Ustaz selebriti, Muhammad Fathi Na’im bin Mazlam |
KUALA LUMPUR – Penceramah, Fathi Na’im dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun, di sebuah hotel lima tahun lalu.
Hakim, Tasnim Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Fathi Na’im atau nama sebenarnya, Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 34. Beliau berkata, mahkamah membuat keputusan selepas mendengar, meneliti dan mempertimbangkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, termasuk hujahan semua pihak.
“Semasa mangsa disoal balas, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk memulakan prosiding bagi mencabar kredibiliti mangsa.
“Mahkamah kemudian mendapati keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3) tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipercayai atau meyakinkan,” katanya.
Hakim berkata, permohonan pihak pembelaan dibuat selepas mendapati terdapat percanggahan dalam jawapan mangsa semasa pemeriksaan utama ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen Klang bagi pertuduhan kesalahan sama.
“Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan pindaan dalam kes ini maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kes ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.
Dalam kes ini, seramai 11 saksi pendakwaan termasuk SP3, dipanggil memberi keterangan.
Lelaki itu didakwa pada 1 Disember 2022, atas satu pertuduhan merogol seorang remaja perempuan ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah hotel di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini pada jam 2 hingga 10 pagi pada 3 Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
![]() |
| Naim popular sebagai pendakwah selebriti yang digemari remaja kerana ilmu agama dan penampilannya yang kemas dan menarik. |
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof sementara penceramah itu diwakili peguam, Muhammad Ashraff Mohd Diah, Aqmarul Aqil Ismail dan Azlinie Othman.
Sebelum ini, Fathi Na’im didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada 29 November 2022 atas sembilan pertuduhan lain membabitkan kesalahan merogol, amang seksual fizikal dan melakukan persetubuhan menggunakan objek terhadap remaja sama, antara Jun 2021 hingga Februari 2022.
Bagi tiga daripada sembilan pertuduhan itu, dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan selepas Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Noridah Adam yang kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mendapati tertuduh bersalah pada 18 September 2025.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan serta-merta selepas menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikemukakan pihak pembelaan.
Bagaimanapun, bapa kepada lapan anak itu kemudian berjaya memperoleh penangguhan hukuman selepas Mahkamah Tinggi Klang membenarkan rayuannya.
Sementara itu, baki enam lagi pertuduhan masih di peringkat praperbicaraan dan belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh.
REKOD BERITA TERDAHULU
Penceramah Bebas Didakwa 9 Pertuduhan Rogol, Amang Seksual
(Sinar Online) 29 November 2022 01:44pm
KLANG - Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan Februari lepas.
![]() |
Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.
Mengikut pertuduhan, suami kepada tiga isteri itu didakwa terhadap tujuh pertuduhan merogol dan masing-masing satu bagi pertuduhan melakukan amang seksual serta hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan yang kini berusia 14 tahun.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dalam sebuah kereta jenis Toyota Vellfire di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World selain dalam sebuah hotel di sekitar Bandar Puncak Alam dekat sini, antara Jun 2021 dan Februari lepas.
Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ku Hayati Ku Haron yang juga merupakan Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
"Saya juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh dilarang mendekati dan menghubungi mangsa dalam kes ini,” katanya yang turut dibantu TPR Aqharie Durranie dan TPR Nurul ‘Izzati Mohamad.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri merayu kepada mahkamah agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah iaitu mengikut kes dan bukan mengikut pertuduhan yang dituduh dengan alasan lelaki itu adalah penanggung utama keluarga.
"Sebelum ditangkap tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas kes ini tular, dia hilang punca pendapatan. Tertuduh juga mempunyai tiga isteri dan lapan anak berusia satu hingga 11 tahun selain menanggung kedua-dua ibu bapa yang telah tua.
"Selain itu, tertuduh kini menghidapi sakit ‘slipped disc’ dan sedang menjalani rawatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Syafeera kemudian membenarkan Muhammad Fathi Na’im diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

.jpeg)

No comments:
Post a Comment