Thursday, May 15, 2014

Sierra Leone Kaya Dengan Gamat

GAMAT merupakan salah satu komoditi berharga di Sierra Leone.

KETIKA senja berlabuh di kaki langit Kepulauan Banana di Sierra Leone, kawanan beribu ekor kelawar turut keluar berterbangan di pantai berhampiran Kampung Dublin.
Dalam pada itu, di dasar laut Kepulauan Banana pula, tersembunyi komoditi yang tidak disangka-sangka oleh penduduk Kampung Dublin dan harganya semakin meningkat mahal iaitu gamat.
Sierra Leone memiliki pelbagai sumber yang diketahui boleh menjana kekayaan seperti emas, berlian, bijih besi dan hasil perikanan.
Sumber-sumber berkenaan juga dieksport dalam kuantiti besar sejak beberapa dekad lalu, namun negara berkenaan masih kekal sebagai antara termiskin di dunia.
Pada ketika masyarakat di China memanfaatkan gamat untuk tujuan perubatan, penduduk Kepulauan Banana sebelum ini pula tidak mempunyai pengetahuan mengenai potensi pasaran hidupan laut itu.
Permintaan tinggi masyarakat China terhadap gamat sehingga 10,000 metrik tan setiap tahun menyebabkan bilangan hidupan marin itu semakin merosot.
Kekurangan bekalan di negara-negara pengeluar sedia ada memaksa para pelabur terus menyelidik untuk mencari stok gamat di lokasi lain di seluruh dunia.
Penduduk tempatan memberitahu, beberapa pelabur dari China tiba ke Kepulauan Banana empat tahun lalu untuk mendapatkan bekalan gamat.
Apabila harga gamat melambung ketika kekurangan bekalan di seluruh dunia, penduduk kepulauan itu berharap ia memberi peluang kepada mereka untuk meraih untung.
Janji
Malah, para pelabur berkenaan dikatakan turut memberi janji untuk menyediakan pelbagai kemudahan di sekitar Kepulauan Banana jika dapat membekalkan gamat kepada mereka.
KEKURANGAN modal menyebabkan pencari gamat tempatan tidak berdaya saing.


Bekas ketua penduduk, Moses Taylor bagaimanapun mendakwa, janji tersebut masih belum ditunaikan oleh para pelabur.
"Mereka janji mahu membina pengepam air, memasang lampu jalan dan membina pusat komuniti di sini, tetapi tiada satu pun yang ditunaikan," kata Taylor.
"Para pelabur itu hanya mempergunakan kami dan kemudian membuang kami seperti sampah," ujar Abu Bakar yang bekerja sebagai pencari gamat.
Abu Bakar menjadi penyelam gamat sejak beberapa tahun lalu dan menjual hasil tangkapan kepada pelabur China sehingga dia mampu melabur dalam sektor hartanah di Sierra Leone.
"Kami bersyukur kerana hasil gamat telah membantu kami memperbaiki taraf hidup," kata Abu Bakar.
Lelaki berumur sekitar 20-an itu menambah, kegiatan menyelam untuk mencari gamat perlu dilakukan ketika gelap kerana hidupan laut itu bersembunyi pada siang hari.
Bagaimanapun, ekoran masalah tersebut, penduduk tempatan tidak lagi menyelam ke dasar laut untuk mendapatkan gamat.
Sekiranya mahu mereka mendapatkan gamat, para pelabur berkenaan perlu membuat bayaran tertunggak sebelum para penyelam meneruskan kegiatan mencari gamat.
Pengedar gamat, Reginald McCarthy berkata, syarat tersebut masih diabaikan oleh para pelabur dan mereka juga enggan berbincang bersama penduduk tempatan.
Para pelabur China kini menjalankan kegiatan mendapatkan bekalan gamat di Kampung Tombo yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Dublin.
Pengeksport gamat tempatan, Mohamed Bangura memberitahu, pihaknya turut dituduh oleh penduduk Kepulauan Banana disebabkan janji-janji itu.
Eksport
Bapa beliau merupakan salah seorang pengeksport gamat yang terawal di Sierra Leone yang mengambil bekalan di Kepulauan Banana sejak beberapa tahun lalu.
GAMAT yang ditangkap akan direbus bersama air garam sebelum dijual pada harga RM120 untuk setiap tujuh kilogram.


"Kami tidak pernah membuat janji atau melanggar sebarang syarat," kata Mohamed menepis semua tuduhan tidak berasas tersebut.
Mohamed menambah, ketiadaan akses untuk memasarkan sendiri gamat ke pasaran antarabangsa serta kekurangan modal menyebabkan pencari gamat tempatan tidak berdaya saing.
Menyelam dengan peralatan skuba untuk mendapatkan gamat menjanjikan pendapatan lumayan berbanding melakukan pekerjaan sebagai nelayan.
Musim menangkap gamat di Sierra Leone bergantung kepada kitaran bulan penuh. Di samping menggunakan lampu suluh, cahaya bulan membantu para penyelam melihat dengan lebih baik ketika berada di dalam laut.
Gamat yang ditangkap kemudian direbus bersama air garam untuk disimpan sebelum dijual kepada para pembeli dari China melalui pemborong tempatan.
Setiap tujuh kilogram gamat dijual pada harga AS$35 (RM120), namun jumlah tepat hasil jualan gamat di Kepulauan Banana tidak pernah direkodkan.
Penyelidik di Jabatan Pentadbiran Marin dan Sains Alam Sekitar Universiti Newcastle, Selina Stead berkata, hasil gamat di Kepulauan Banana dihantar ke pasaran borong di Guangzhou dan dijual pada RM455 sekilogram.
Kerajaan Sierra Leone berkata, pengeluaran eksport gamat di negara itu semakin bertambah serta menunjukkan penanda aras ekonomi yang positif dan membanggakan.
Berdasarkan laporan Bank Dunia, hasil eksport menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sierra Leone sebanyak 15.2 peratus pada 2012 dan dijangka mengalami penurunan kepada 14 peratus sebelum akhir tahun ini.
Bagaimanapun, China menjadi penyumbang utama terhadap perkembangan ekonomi yang semakin rancak di Sierra Leone melibatkan nilai dagangan sebanyak RM6.8 bilion. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz31loFqofa 
Hakcipta terpelihara 

No comments: