Friday, May 09, 2014

Perginya Artis-Artis TernamaTanah Air.                 

Laporan Sinar Harian Online.

Ahmad Shabery ziarah 'Speaker Mini Parlimen'
 Gambar kenangan Datuk Seri Shabery Cheek meluangkan masa menziarahi bekas personaliti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Abdul Jamal Mohamed atau lebih dikenali sebagai Jamal Kerdil di rumahnya di Kampung Selangor Dredging di Dengkil. - Foto Bernam

PENGIKUT setia program 'Mini Parlimen' yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada era 80-an, pasti mengingati watak 'speaker' dalam mengendalikan 'ahli Parlimen' yang petah berhujah.Populariti watak itu menjadikan Abdul Jamal Mohamed atau lebih mesra Pak cik Jamal ikon kanak-kanak ketika era berkenaan.
Abdul Jamal, 75, meninggal dunia hari ini, sehari selepas dimasukkan ke Hospital Putrajaya setelah mengadu sesak nafas.
  
Dilahirkan pada 15 Oktober 1939 di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, personaliti televisyen itu meninggalkan balu Zainab Serat, 67; dan tiga anak iaitu Shahila, 47; Mohd Shahan, 45; dan Muhamad Eskandar, 30.
  
Rancangan Mini Parlimen yang mula disiarkan pada 1983 menjadi tumpuan kerana kepetahan kanak-kanak yang memainkan peranan ahli Parlimen, membahaskan isu semasa di samping membuat keputusan dan meluluskan pelbagai dasar.

Allahyarham yang turut dikenali sebagai Jamal Kerdil kerana bentuk badannya yang kerdil, mula bertugas di RTM pada 1960 dan bersara pada 1995.
  
Beliau turut popular melalui rancangan 'Taman Kanak-kanak' yang mula bersiaran pada 1961, selain menerbitkan rancangan 'Pesta Pop' dan 'Pentas
Aneka'.  

Selain bertugas di RTM, Jamal juga pernah berlakon dalam filem 'Sabaruddin Tukang Kasut' arahan Tan Sri P. Ramlee dan 'Jambatan Maut' arahan M. Yatim.
 
Bakat seninya turut meliputi penulisan skrip, menyanyi, bermain alat muzik dan mengarah.
  
Kesihatan beliau mula merosot apabila beliau menghidap sakit tulang belakang sejak 20 tahun lalu, serta beberapa penyakit lain.
  
Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semasa menziarahi beliau di rumahnya pada 1 Januari lepas menyifatkan Jamal sebagai legenda dunia penyiaran serta insan yang  berjiwa besar yang berjaya mempengaruhi pemikiran sebahagian besar rakyat menerusi program 'Mini Parlimen' itu.
  
"Ini kerana sebahagian besar daripada program tersebut bukan sahaja ada tarikan pada lawaknya tetapi ia lebih berunsur kepada pendidikan," katanya. - Bernama


Kartina Dahari meninggal dunia
PENYANYI dan pelakon filem melayu era hitam putih, Kartina Dahari, 72 disahkan meninggal dunia setelah menderita penyakit barah payudara sejak tahun 2010, lapor stesen TV Singapura, Suria.

Seniwati yang popular pada tahun 60-an ini telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6 petang di rumahnya di Braddel, Singapura.

Terkenal dengan jolokan ‘Ratu Keroncong’, Allahyarham juga merupakan penyanyi Melayu pertama yang  merakamkan album berbahasa Inggeris di Singapura.

Antara lagu keroncongnya yang menjadi siulan adalah Sayang Di Sayang serta lagu duetnya bersama Allahyarham Datuk Ahmad Jais,Budi Setahun Jagung dan Sejak Kita Berpisah.

Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan untuk para peminatnya ialah di Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan tiga orang cucu.


Sidek Hussain, bintang yang sukar dicari ganti
Sidek Hussain meninggal dunia
"SAYA sempat mengajarnya mengucap sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya dan seorang rakannya yang menemani arwah," kata Salbiah Sulaiman, 61, isteri Allahyarham Sidek Hussain, 63, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi.
  
Beliau meninggal kira-kira 11.55 malam akibat ketumbuhan di bahagian pipinya sehingga beliau disahkan menghidap kanser tahap empat.
  
Jenazah beliau selamat dikebumikan pada pukul 10.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 17, Kuang, Selangor.
  
Allahyarham yang dimasukkan ke HKL pada 30 Mac lepas disahkan meninggal dalam tidur selepas mengambil ubat ekoran keadaannya yang semakin tenat sejak kebelakangan ini.
  
Sidek dikatakan dimasukkan ke hospital selepas pengsan di Chow Kit ketika berjalan bersama isterinya dan sejak itu kesihatannya semakin merosot.

Beliau turut mengalami masalah jantung dan paru-paru.
  
Abu Bakar Omar yang merupakan rakan Allahyarham menyifatkan pemergian Sidek sebagai satu kehilangan bintang yang sukar dicari ganti.
  
"Saya kenal Allahyarham sejak zaman 70-an dan 80-an lagi. Saya pernah berlakon bersama arwah dan Fauziah Ahmad Daud dalam drama Keruh di Muara. Persembahan arwah dalam drama itu cukup bagus," katanya.
  
Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez turut menyifatkan negara kehilangan seorang bintang veteran yang berbakat, gigih serta tabah walaupun kesihatannya kurang sihat sejak 10 tahun lepas.
  
"Allahyarham memainkan peranan yang cemerlang sepanjang kerjayanya," katanya.

Sidek pernah membintangi beberapa drama dan filem termasuk filem Karak pada 2011 terbitan KRU Studios sebagai pelakon pembantu.
  
Drama terakhir beliau ialah Paku Pontianak tahun lepas.
  
Allahyarham pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Skrin dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Festival Filem Malaysia ke-24 pada 2011.
  
Allahyarham meninggalkan lima orang anak. - Bernama


Taufik Latif meninggal dunia
Taufik Latif meninggal dunia
  • Jenazah dikebumikan pada jam 12 tengah hari tadi di di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak. - Foto Ihsan Mohd Radzi Mohd Ramly.
SHAH ALAM - Pengacara terkenal era 70-an dan 80-an, Taufik Latif, 69 meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, malam tadi.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 11.30 malam selepas beberapa jam dipindahkan ke PPUM.

Difahamkan, Allahyarham menerima rawatan di Sime Darby Medical Centre Subang Subang sejak Ahad lalu akibat masalah jantung.

Berita pemergian Allahyarham itu dimaklumkan adik iparnya, Mohd Radzi Mohd Ramly melalui status laman sosial Facebook.

“Untuk makluman, abang Taufik Latif telah kembali ke rahmatullah. Jenazah akan dibawa ke rumah bondanya untuk urusan pengebumian,” tulisnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 12 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Gombak.

Selain masalah jantung, Allahyarham turut menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi.


No comments: