Landskap Rustik Subak
BUNYI unggas dan cengkerik seolah-olah menyambut kedatangan kru Jurnal setibanya kami di restoran Subak yang terletak di Jalan Penchala Indah, Bukit Lanjan, Kuala Lumpur.
Hati bertambah girang ketika kaki mula memanjat anak-anak tangga menuju ke bahagian utama restoran yang terletak di lereng bukit itu.
Rasa lelah sedikit pun tidak terasa sementelah mata enak menjamah pemandangan rimba yang sedia tersaji di sekeliling restoran yang dibina di atas tapak tanah seluas 0.4 hektar itu.
Malah, rimbunan pohon-pohon buluh dan tumbuhan tropika nan menghijau yang hidup meliar menyuntik kedamaian ke dalam diri.
Suara desiran angin dan bunyi air sungai yang mengalir pula pasti membuatkan sesiapa sahaja yang datang ke sini lupa dengan hiruk-pikuk dan kesibukan kota buat seketika.
"Kebanyakan pokok di sini merupakan tumbuhan asal yang dikekalkan. Kemudian ditambah sedikit demi sedikit dan diberi perincian untuk menghasilkan sebuah kawasan yang semula jadi," kata cef eksekutifnya, Hassan Abdullah.
Dinding buluh
Menurutnya, struktur restoran konsep Nusantara milik Salleh Lamsah itu dibina menggunakan kayu cengal manakala bumbungnya diperbuat daripada daun nipah dan serai wangi.
Dari segi pemilihan perabot, restoran tersebut menggunakan meja dan kerusi kayu bagi menyerlahkan unsur-unsur kedesaan kepada premis yang berkeluasan kira-kira 1,115 meter persegi itu.
Ujar Hassan, restoran itu dibahagikan kepada lima bahagian 'rumah' iaitu ruang utama yang menempatkan dapur, anjung, serambi, loteng dan kolam.
Katanya, ruang makan yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung adalah di bahagian tepi kolam yang menempatkan pancuran hiasan berbentuk pasu serta ikan koi.
"Bunyi air yang mengalir ke dalam kolam itu memberi aura segar sekali gus membangkitkan suasana tenteram dan mendamaikan," ujarnya.
Tambah Hassan, bahagian loteng pula sesuai buat pelanggan yang inginkan privasi kerana terletak di bahagian paling atas restoran.
"Bagaimanapun, pelanggan perlu menaiki tangga yang dibina khas untuk ke ruang tersebut," katanya sambil memberitahu, restoran itu mampu memuatkan sehingga 150 orang pada satu masa.
Bersesuaian dengan nama Subak yang bermaksud sistem pengairan yang digunakan untuk mengairi kawasan sawah padi lereng bukit di Bali, Indonesia suatu ketika dulu, kolam yang terletak di tengah-tengah restoran itu bertindak sebagai nadi kepada premis berkenaan.
Manakan tidak, mata air dari anak Sungai Penchala yang menuruni lereng bukit itu digunakan sepenuhnya pemilik untuk mencipta air terjun buatan yang menakjubkan.
Kreativiti pemilik restoran itu terus dapat dilihat menerusi penggunaan potongan buluh yang disusun menjadi dinding kepada ruang lain dalam restoran.
Selain itu, susunan batu-batu sungai bersaiz besar turut dijadikan tiang bagi menyokong bahagian loteng selain memberi landskap rustik tanpa meminggirkan elemen moden.
Binaan jambatan kayu yang merentasi kolam pula turut menyerlahkan suasana kedesaan.
Malah, tumbuhan menjalar dibiarkan berjuntaian untuk mencipta landskap rimba semula jadi.
Sinki batu
Di satu sudut lain, kru Jurnal tertarik melihat beberapa peralatan tradisional seperti lesung, penggiling beras dan penumbuk sekam padi yang dijadikan item dekorasi di dalam restoran itu.
Tambah menarik, pemilik turut menyediakan sinki yang diperbuat daripada batu di beberapa ruang makan.
Dari segi pencahayaan pula, cahaya jingga daripada lampu minyak tanah menambah cita rasa rustik dalam dekorasi ruang restoran selain memberi suasana romantis khususnya pada waktu malam.
Dalam pada itu, Hassan memberitahu, rata-rata pengunjung restoran yang mula beroperasi sejak Februari 2009 itu terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelancong luar.
Menyedari kepelbagaian pelanggan, dia menghasilkan satu menu lengkap dengan menampilkan cita rasa masakan fusion tempatan dan menu ala Barat bermula dari harga RM15 hingga RM100.
Antara juadah yang menjadi signatur restoran ini termasuklah hidangan gado-gado, tomyam udang galah, masala daging kambing dan manisan puding gula hangus.
Tambahnya, selain menjamu selera, pelanggan juga boleh mengadakan acara-acara ringkas seperti sambutan majlis ulang tahun atau hari lahir, resepsi perkahwinan, majlis pertunangan dan sebagainya di restoran ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Alam_Damai&pg=al_01.htm#ixzz31lqZr88i
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment