Friday, May 16, 2014

ARKIB : 25/10/2013

Pengiktirafan Tertinggi - Jamal Abdillah, Rossa

ARKIB : 25/10/2013



JAMAL Abdillah dan Rossa Handiyani bangga selepas masing-masing dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang, semalam.


PEKAN 24 Okt. - Penyanyi tersohor negara, Jamal Abdillah menyifatkan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai pengiktirafan tertinggi buat dirinya sepanjang menceburi industri seni.
Penyanyi yang mendapat jolokan 'Raja Pop' atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, anugerah tersebut merupakan satu amanah dan anjakan yang lebih besar dalam hidupnya untuk terus berbakti sama ada dalam dunia hiburan atau kehidupan.

"Saya berjanji dengan sepenuh hati untuk menjaga dengan sebaik-baiknya darjah kebesaran ini demi menjaga nama baik Sultan Ahmad Shah dan kerabat serta keseluruhan rakyat negeri ini.

"Dengan penganugerahan ini pastinya lebih menyemarakkan lagi semangat saya untuk menabur bakti kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-83 di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Sementara itu, penyanyi Indonesia, Rossa yang menerima darjah kebesaran sama berkata, beliau amat gembira dan berazam untuk terus menyumbang dalam industri muzik di negeri Pahang dan Malaysia amnya.

"Semuanya adalah kurniaan Allah dan saya gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah ini serta menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan seluruh kaum kerabat.

"Saya kira ini pengiktirafan tertinggi dalam hidup yang pernah diberikan kepada saya. Saya sangat gembira," kata beliau atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaini Handiyani.
Rossa, 35, berasal dari Sumedang, Indonesia mula aktif dalam bidang nyanyian pada 1995 dan mencipta nama di negara ini dengan lagu-lagu seperti 'Ayat-Ayat Cinta, 'Atas Nama Cinta' dan 'Hati Yang Kau Sakiti'.

Populariti Jamal dan Rossa turut mendapat perhatian para tetamu apabila ramai yang mengabadikan gambar kenang-kenangan bersama kedua-dua penyanyi tersohor itu.
Seorang lagi bintang seni yang turut dianugerahkan DIMP hari ini ialah Dato'  Elaine Kang.
Sebelum ini, antara anak seni tempatan yang diberi penghormatan menerima pingat DIMP ialah Siti Nurhaliza, Sheila Majid, Allahyarham Sudirman Arshad, David Arumugam, Khadijah Ibrahim, M. Nasir, Ramli MS, AC Mizal, Eizlan Yusof, Dr. Fazley Yaakob dan Hattan.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: