Sunday, March 20, 2011

BAHANA TSUNAMI DI YAMAMOTO MIYAGI JEPUN - Keajaiban.... Muncullah Segera....!!!

myMetro
DENGAN ketiadaan tempat untuk tinggal, mangsa yang terdesak merayau-rayau di kawasan yang dilitupi salji, tempat yang satu ketika dulu adalah kampung mereka, untuk mencari kayu api ketika krisis kemanusiaan di Jepun semakin meningkat.
Dalam suasana yang lebih layak untuk sebuah negara Dunia Ketiga, penduduk yang kebuluran di negara ketiga paling kaya di dunia itu, membalut diri mereka dengan pakaian usang, untuk berlindung daripada suhu sejuk yang hanya atas sedikit saja daripada paras beku.

Antara babak paling menyayat hati, Yoshie Murakami menemui mayat ibunya di bawah timbunan runtuhan rumah mereka di Rikuzentakata. Mayat itu ditemui lima hari selepas usaha mencari dilakukan.

Foto
PRIHATIN....Seoprang bapa mendukung bayi yang berjaya diselamatkan ketika tsunami di Ishinomaki.

Dia meratap sambil memegang tangan mayat wanita itu. Lebih menyedihkan, anak Yoshie berusia 23 tahun masih hilang. Apa yang boleh dilakukannya ketika ini hanyalah berdoa agar sesuatu yang menakjubkan berlaku.

Banyak keadaan serupa berlaku di kawasan bencana ketika penyelamat menyelongkar runtuhan dan keluarga berdoa semoga orang yang disayangi berada dalam keadaan selamat.

Sebahagian penduduk yang hilang tempat tinggal akibat tragedi itu begitu mengharapkan makanan. Mereka menangis kegembiraan bila menemui tin makanan yang masih dalam keadaan baik.
Mereka membawa barangan yang dijumpai itu ke pusat pemindahan yang didirikan di bangunan yang masih selamat daripada bencana berkembar yang melanda Pulau Honshu. Wanita di pusat itu bergabung tenaga, mencampurkan makanan yang dijumpai ke dalam nasi.
“Sungguh pilu apabila menyedari kayu yang kami pungut untuk memasak ialah saki baki rumah kami,” kata seorang lelaki di bandar Rikuzentakata.

“Kami perlukan minyak untuk membakar. Tetapi kami tidak menemuinya. Kerana itu kami menggunakan kayu untuk memasak dan memanaskan tubuh.”
Mangsa di pusat pemindahan itu bergilir-gilir duduk di sebelah unggun api. Tetapi, apa yang mereka mahukan ialah supaya mimpi ngeri itu berakhir.
“Kami tahu kami akan melalui masa yang begitu panjang sebelum dapat menyaksikan keadaan kembali seperti biasa,” kata Satoru Fukasu, sambil duduk di sebelah isterinya di sebuah pusat pemindahan di utara Sendai, bandar raya terbesar di pantai timur Jepun.
Foto
GENGGAMAN TERAKHIR...... Yoshie menggenggam tangan mayat ibunya di bawah runtuhan rumahnya di Rikuzentakata sedang anaknya masih hilang.

Sambil berselimut dan baring di atas tangga batu, seorang nenek berusia 104 tahun merenung siling. Dia tidak bergerak, mungkin kerana kejang akibat kesejukan dan terkejut dengan apa yang dilaluinya.

Cucunya yang duduk di sebelahnya di pusat pemindahan di Sendai, tidak berminat untuk berkongsi penderitaan mereka dengan dunia luar. Sambil berhati-hati dia menuangkan air di celah bibir wanita tua berkenaan.

Akhirnya, si cucu bercakap juga.

“Nenek saya hilang segala-galanya. Rumahnya musnah. Kami dilanda musibah amat teruk. Ia penderitaan yang akan kami tanggung sendiri.”
Ia adalah antara beberapa kisah sedih yang begitu banyak diluahkan mangsa bencana berkembar itu.
Foto
Merenung nasib di tapak rumah yang musnah di Rikuzentaka.

Kira-kira 450,000 orang ditempatkan di khemah di merata tempat di utara Jepun. Kira-kira 850,000 keluarga berhadapan dengan ketiadaan bekalan air dan makanan.

Jumlah rasmi kematian meningkat melebihi 5,400 tetapi dijangka terus bertambah menjadi lima angka. Kira-kira 10,000 orang hilang di Ishinomaki dan Minamisanriku.
Lebih 110 negara menawarkan bantuan. Ratusan ribu penduduk sudah melarikan diri sementara ramai lagi yang terperangkap dalam rumah.

Jika mangsa yang terselamat yang memenuhi pusat pemindahan yang didirikan di sekolah, dewan majlis perbandaran dan bangunan awam lain menaruh harapan agar anggota keluarga mereka yang hilang masih lagi hidup, ia mungkin boleh dianggap impian yang tidak akan menjadi kenyataan.

Sebaliknya, perjuangan untuk kehidupan mereka sendiri kini menjadi isu ketika mereka menggigil kesejukan, meninjau menerusi pintu dan tingkap untuk melihat salji.

Cuaca sejuk merumitkan lagi usaha mencari ribuan mayat yang mungkin tertimbus di bawah timbunan kayu, lumpur dan kenderaan.

Mayat yang sudah ditemui dibawa ke rumah mayat sementara. Cuaca sejuk bermakna mayat itu tidak perlu di simpan dalam bilik beku.

Namun, generator dihantar untuk memastikan mayat itu tidak reput apabila cuaca bertukar menjadi panas sekiranya ia masih belum menjalani proses pengecaman.

Apa yang menakjubkan mengenai mangsa ini, yang hilang segala-galanya kecuali pakaian yang mereka pakai ketika tsunami melanda ialah ketenangan dalam menghadapi saat paling sukar dalam hidup mereka.

Mereka mungkin menangis dalam diam, menggenggam erat tangan mereka untuk melegakan perasaan kecewa. Tetapi tiada tanda-tanda kemarahan ditunjukkan dalam menuntut tindakan daripada pihak berkuasa. Mereka duduk dan menanti.

Mereka bercerita mengenai bagaimana mereka terselamat - ‘Saya bagai dalam mesin’...‘Saya berpaut pada dahan pokok’...‘Rumah saya runtuh di depan saya, tsunami menghanyutkannya tetapi saya tidak apa-apa’... dan mereka menangisi anggota keluarga yang mati.

Mereka cuba membayangkan apa yang akan terjadi pada masa depan, berapa lama mereka perlu tinggal di pusat perlindungan.

Bekalan ubat semakin berkurangan - seorang wanita bercerita bagaimana penyakit lelahnya semakin teruk, menyebabkan dia tidak boleh tidur. Seorang lagi wanita berkata, dia memerlukan ubat titik mata bagi mengelak kemungkinan buta.

Ada yang memilih untuk beredar dari situ. Seorang lelaki yang memakai topeng muka memberitahu kru televisyen Jepun: “Ini kali terakhir saya melihat kampung halaman saya. Saya akan menaiki bas ke Tokyo dan tidak akan kembali. Saya sedih. Inilah kehidupan terakhir saya di sini. Saya akan menjalani kehidupan baru di tempat lain.”
Foto
Keluarga Miwako Onodera (tengah) bersama dua anak dan ibubapanya di pusat perlindungan di Kesennuma.

Di bandar Koriyama, 48 kilometer dari loji nuklear Fukushima, 9,000 pelarian berlindung daripada jarak yang mereka harap akan bebas daripada radioaktif.

“Kami memerlukan makanan, bahan bakar dan air,” kata Datuk Bandar, Masao Haro.

“Kami kesejukan. Kami mohon bantuan. Jika ada yang mendengar rintihan kami, tolong lakukan apa saja yang anda mampu.”


No comments: