Sunday, March 20, 2011

PBB Benar Serang Libya

TRIPOLI/NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam meluluskan serangan yang diketuai oleh Barat terhadap tentera Muammar Gaddafi.
Keputusan itu dibuat selepas s pemimpin Libya itu berikrar untuk menyerang pemberontak tanpa ‘belas kasihan dan kumpulan penentng merayu bantuan ketenteraan. Sumber Perancis berkata, serangan boleh dilakukan dalam masa beberapa jam selepas ketetapan itu diluluskan dan melibatkan Perancis, Britain, Amerika Syarikat dan satu atau lebih negara Arab.

Bagaimanapun, seorang pegawai Amerika berkata, tidak ada tindakan serta-merta daripada negara itu dijangka diambil.
Sepuluh daripada 15 negara anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong serangan itu sementara Russia, China dan Jerman adalah antara lima negara yang berkecuali.

Ketetapan itu ditaja bersama oleh Perancis, Britain, Lubnan dan Amerika Syarikat.

Qatar berkata, ia mungkin mengambil bahagian tetapi ia tidak jelas sama ada ia bermaksud bantuan ketenteraan sementara Denmark berkata, ia merancang menyumbang pesawat pejuang.
Penduduk di Misrata berkata, bandar yang dikuasai pemberontak itu dibom oleh tentera Gaddafi awal pagi semalam.

“Mereka mengebom apa saja, rumah dan pusat bandar,” kata pemberontak, Saadoun, kepada Reuters menerusi telefon.

“Kami percaya mereka mahu memasuki bandar raya ini dengan apa cara sekali pun sebelum masyarakat antarabangsa meluluskan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kami merayu masyarakat antarabangsa supaya bertindak sebelum terlambat. Mereka mesti bertindak sekarang,” katanya.

Seorang lagi penentang, Mohammed berkata, kereta kebal tentera Gaddafi sudahpun mula menghala ke pusat bandar Misrata.

“Seluruh penduduk Misrata berusaha mempertahankan bandar ini,” katanya.

Stesen televisyen Al Arabiya melaporkan, empat orang terbunuh dan 70 cedera.

Jurucakap kerajaan pula berkata, operasi tentera perlu diselesaikan semalam.

Masa juga semakin suntuk bagi penduduk Benghazi, bandar raya di timur negara itu yang menjadi pusat revolusi Libya sejak sebulan lalu.

Bagaimanapun, tentera Gaddafi tidak memenuhi ancaman untuk menguasai pangkalan pemberontak itu kelmarin selepas berada kira-kira 100 kilometer di timur bandar itu.

“Kami akan datang. Rumah ke rumah, bilik ke bilik,” kata Gaddafi sebelum ini. Beliau memberi amaran kepada penduduk bandar itu bahawa mereka yang meletakkan senjata sebelum tenteranya mara saja tidak akan diserang.

“Ia sudah berakhir, Keputusan sudah diambil. Kami akan datang. Kami akan memburu anda hingga ke dalam almari,” katanya. - Reuters.


AS, Eropah Bergabung Serang Libya
 
BENGHAZI, Libya: Amerika Syarikat (AS) dan Eropah membentuk gabungan bagi melakukan serangan ke atas pertahanan Presiden Muammar Gaddafi dan pasukan udaranya dengan peluru berpandu dan serangan udara pada Sabtu, melancarkan tindakan ketenteraan antarabangsa terbesar sejak perang Iraq.
Pemimpin Libya sejak sekian lama itu bersumpah untuk mempertahankan negaranya daripada apa yang digelarkan "pencerobohan salibi" dan memberi amaran bahawa penglibatan kuasa antarabangsa akan mendedahkan rantau Mediterranean dan Afrika Utara kepada bahaya dan meletakkan nyawa orang awam dalam risiko.
Pasukan tentera AS berkata, 112 peluru berpandu Tomahawk dilepaskan daripada kapal laut dan kapal selam Amerika dan British ke atas lebih 20 sasaran di persisiran pantai bagi memberi laluan kepada peronda udara menghalang pasukan udara Libya daripada melakukan penerbangan.
Jet pejuang Perancis melepaskan tembakan serentak pertama, diikuti beberapa serangan di kawasan pemberontak di Timur.
Presiden Barack Obama berkata, tindakan ketenteraan itu bukan pilihan pertamanya dan mengulangi pendiriannya untuk tidak menghantar tentera darat AS ke Libya.
"Ini bukan hasil rundingan yang AS atau mana-mana rakan sekutu kami inginkan," kata Obama dari Brazil, di mana beliau memulakan lawatan selama lima hari ke Amerika Latin. "Kita tidak boleh berdiam diri apabila si penzalim memberitahu rakyatnya tidak akan ada belas kasihan."
Ribuan penyokong rejim berpusu-pusu memenuhi kem tentera Bab al-Aziziya di Tripoli di mana Gaddafi menetap untuk berlindung. Senjata pemusnah pesawat dapat didengari melakukan serangan sepanjang malam di Tripoli.
Serangan tersebut yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang oleh PBB, merupakan rentetan akibat usaha pihak antarabangsa untuk menghalang Gaddafi selepas beberapa minggu rayuan oleh puak pemberontak yang mendapati kerugian besar apabila rejim itu melepaskan serangan besar-besaran menggunakan kehebatan serangan udara dan senjatanya.
Sementara pihak berkuasa pertahanan AS memberi amaran bahawa adalah terlalu awal untuk menjangkakan kesan akibat serangan hebat itu, namun ketepatan sasaran peluru berpandu kapal laut itu dijangka mampu memberi kemusnahan besar ke atas pertahanan udara Libya.
Gaddafi yang mentadbir Libya selama 41 tahun, ketika dalam temubual telefon bersama stesen televisyen Libya berkata, beliau membuka depoh senjata untuk membenarkan rakyatnya melindungi diri mereka. Beliau berkata, tindakan antarabangsa ke atas tenteranya tidak ada justifikasi, menggelarnya 'pencerobohan kolonial yang boleh mencetuskan peperangan berskala besar".
Beliau berkata, Majlis Keselamatan PBB dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab untuk "menghalang serangan terang-terangan yang tidak adil ke atas negara berdaulat itu serta-merta".
Rejim beliau turut bertindak pantas dalam serangan balas itu dengan menghantar pesawat pejuang, kereta kebal dan pasukan tentera ke Benghazi, pusat pemberontak dan bandar pertama yang jatuh akibat pemberontakan yang bermula 15 Februari lalu. Tidak lama kemudian serangan kerajaan berhenti.
Gabungan serangan yang digelar Operasi Odyssey Down, ditubuhkan ekoran persidangan tergempar di Paris di mana 22 pegawai kanan dan pemimpin tertinggi bersetuju melakukan tindakan sewajarnya agar Gaddafi menghormati resolusi Majlis Keselamatan PBB pada Khamis, yang mengarahkan zon larangan terbang dan menuntut gencatan senjata, kata Presiden Perancis Nicolas Sarkozy.
"Konsensus kami kukuh dan azam kami jelas. Rakyat Libya harus dilindungi dan dengan kesukaran menamatkan keganasan terhadap orang awam dengan pantas, gabungan ini sudah bersedia untuk bertindak pada kadar segera," kata Obama sebelum itu. - AP

No comments: