(Rosalwani Che Soh & Azlida Alimin)
TRAGEDI
melibatkan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8,
bermula selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran
rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan
orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun
dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.
Nostalgia 21 September 2007, pengkebumian Adik Nurin Jazlin di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Kuala Lumpur |
Pada pagi 17
September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah
kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai. Beg itu
mengandungi badan kanak-kanak tanpa seurat benang dan dibiarkan dalam keadaan
bogel. Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali itu yang disumbat dalam beg
berkenaan dan polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah mati lebih daripada
enam jam sebelum penemuan berkenaan. Lebih menyayat hati, timun dan terung
ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu yang juga telah menyebabkan
rektumnya pecah. Hasil bedah siasat menyatakan jangkitan bakteria telah
menyumbang kepada kematian mangsa. Ketika kejadian, ibu bapa Nurin Jazlin tidak
dapat mengenal pasti mayat itu sebagai anak perempuan mereka kerana perubahan
dalam ciri-ciri fizikal kanak-kanak terbabit.
Pada mulanya mayat
kanak-kanak itu dianggap warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan
Bacillus Calmette–Guerin (BCG). Akhirnya, hasil daripada ujian asid
deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu merupakan Nurin Jazlin. Jenazah
kanak-kanak itu kemudian dituntut oleh keluarganya dari Hospital Kuala Lumpur
(HKL) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala
Lumpur pada 21 September selepas solat Jumaat. Nurin Jazlin merupakan anak
kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada tiga adik
beradik ketika itu.
Musa Hassan kongsi pengalaman
Bekas Ketua Polis
Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, biarpun lebih 13 tahun kes itu berlaku
namun masih segar dalam ingatannya kisah tragis kanak-kanak malang itu dibunuh.
Menurutnya, kes Nurin Jazlin merupakan kes pertama melibatkan kejadian
pembunuhan kejam ketika beliau menjawat jawatan Ketua Polis Negara. Musa
berkata, pihak polis telah berusaha sedaya upaya mengesan pembunuh yang
terlibat melalui hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejiranan setempat
di lokasi tempat tinggal kanak-kanak itu namun tidak mendapat gambaran yang
jelas kerana rakaman itu kabur. Katanya, CCTV berkenaan bukan dipasang pihaknya
di kawasan perumahan itu tetapi milik individu. “Sebenarnya kita sukar kesan
nombor pendaftaran motosikal digunakan si pelaku dan tidak dapat cam wajahnya
kerana rakaman tidak jelas.
“Walaupun ia menyukarkan
kita menjalankan siasatan ketika itu namun kita ambil pendekatan hantar sampel
rakaman CCTV ke Amerika Syarikat untuk dianalisis,” katanya ketika ditemui di
pejabatnya yang kini bertugas sebagai Pengerusi Syarikat Sekuriti Viper Force
Sdn Bhd di Kelana Jaya.
Pelaku
pedofilia
Musa berkata,
walaupun pihaknya berjaya menahan antara tiga hingga empat orang yang disyaki
terlibat namun pengesanan suspek utama sukar dibuat ekoran gambar pelaku tidak
dirakam dengan jelas dan sehingga kini masih bebas.
“Kita jalankan
siasatan secara menyuluruh dengan menemubual keluarga dan siasat latar belakang
keluarga Nurin Jazlin serta orang di sekeliling kanak-kanak itu.
“Apa yang kita
peroleh daripada hasil siasatan dijalankan terhadap kes ini, motif kematian
mangsa adalah disebabkan pelaku merupakan seorang pedofilia (suka kepada
kanak-kanak) dan memenuhi hajatnya melampiaskan nafsu terhadap kanak-kanak
itu,” kata beliau.
Katanya, oleh
kerana si pelaku tidak mahu perkara terbabit diketahui maka dia dipercayai
mengambil keputusan menyumbat mayat kanak-kanak itu di dalam beg dan membuang
mayat itu di kawasan lain.
“Kita juga
turut jalankan pemeriksaan di kawasan tempat tinggal Nurin Jazlin dan sewaktu
pemeriksaan dibuat, pihak polis tidak mengesan bahawa ada golongan pedofilia di
kawasan itu dan syak ia dilakukan bukan penghuni di kawasan itu namun oleh
orang luar,” katanya.
Sedih dan
marah
Menceritakan
detik penemuan mayat kanak-kanak malang itu, Musa berkata, dia begitu sedih
dengan keadaan mayat kanak-kanak itu yang bukan sahaja dibunuh, diseksa dengan
perbuatan seksual malah mayatnya turut disumbat dalam beg.
“Saya jadi
geram dan marah. Apalah dosa kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian.
Kanak-kanak itu tidak berdosa, malah dia tidak mengerti apa-apa. Maka selepas
kejadian itu, saya turut ambil inisiatif wujudkan talian NUR supaya jika ada
kes seumpama ini maka ia dapat dikesan segera dan pelaku dapat dibawa ke muka
pengadilan dan dihukum sewajarnya,” kata beliau lagi.
Menurutnya,
bagi kes berkenaan juga beliau turut menubuhkan satu jawatankuasa khas dengan
pihak swasta.
“Peristiwa
Nurin Jazlin dibunuh kejam adalah kes pertama melibatkan kematian kanak-kanak
secara tragis dan seterusnya kes melibatkan Sharlinie Mohd Nashar berusia 5
tahun, yang hilang semasa bermain di taman permainan berhampiran rumahnya.
"Bagaimanapun,
Sharlinie masih tidak ditemui sehingga kini menjadi kes kedua di bawah
kendalian saya ketika bertugas sebagai Ketua Polis Negara,” katanya. Katanya
lagi, si pelaku sememangnya mempunyai pemikiran songsang malah suka kepada
perkara di luar pemikiran manusia biasa.
Jaga tepi kain
orang itu perlu
Musa
mengingatkan, masyarakat perlu mempunyai sikap ‘menjaga jaga tepi kain orang’
dalam usaha menangani kejadian jenayah seumpamanya. Beliau berkata, walaupun
kes melibatkan kematian kanak-kanak atau kanak-kanak dirogol dan diperlakukan
secara melampau oleh golongan pedofilia tidak banyak, namun ibu bapa dan
masyarakat perlu memainkan peranan penting menyalurkan maklumat jika ternampak
kegiatan mencurigakan atau orang tidak dikenali di kawasan setempat.
“Kita bukan
mahu salahkan sesiapa di sini, namun pihak yang mengambil kesempatan juga sudah
menunggu peluang mereka untuk melakukan perkara itu.
“Ibu bapa
seharusnya mengajar anak-anak mereka supaya tidak mudah mengikuti orang yang
tidak dikenali. Kejadian itu mungkin berpunca daripada kurangnya pengawasan,”
katanya.
Kes mencabar
Sementara itu,
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ketika kes itu
berlaku beliau baru sahaja mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah
Petaling Jaya pada tahun 2007.
“Bagi saya kes
itu cukup mencabar kerana ketika itu saya baru menjadi ketua di tempat baru dan
apatah lagi kes berkenaan turut mendapat tumpuan orang ramai dan media.
“Siang dan
malam saya sentiasa mengambil tahu perkembangan kes dan siasatan biarpun mayat
arwah sudah ditemui,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Arjunaidi Mohamed |
Menurut
Arjunaidi, kes berkenaan sehingga kini tidak pernah ditutup selagi tiada
sebarang tangkapan dibuat ke atas suspek utama.
“Kita masih
berusaha kerana pelakunya belum dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.
Menurutnya
lagi, sebarang kes jenayah terutamanya kes seumpama ini tidak akan ditutup
sehinggalah ia selesai sepenuhnya.
Keluarga cari keadilan
Jika
ditakdirkan pembunuhan kejam Nurin Jazlin, 8, tidak dapat dirungkai sehingga
lebih dua dekad, ia tidak akan mengubah pendirian bapa kanak-kanak itu, Jazimin
Abdul Jalil, 46, untuk mencari keadilan buat kanak-kanak malang itu. Selepas 13
tahun berlalu, Jazimin merasakan kes itu kian dilupakan, namun dia mendapat
harapan baharu apabila seorang pemimpin negara sedia untuk berkongsi maklumat
terkini dan berhubung dengan pihak berkuasa. Bagaimanapun, sekali lagi bapa
kepada lima anak (termasuk arwah) itu dihimpit dengan perasaan kecewa kerana
sehingga kini perkhabaran mengenai perkara itu masih belum diumumkan.
“Sehari demi
sehari, saya tunggu dengan harapan ada maklumat terkini atau setidaknya
perkembangan mengenai siasatan arwah Nurin Jazlin.
“Melihat
kepada situasi politik kini, ditambah dengan isu koronavirus (Covid-19), saya
buntu untuk mendapatkan informasi mengenai perjalanan siasatan anak saya,”
katanya.
Jazimin
percaya, kejadian yang menimpa anaknya tidak akan dilupakan serta kekal dalam
ingatan seluruh penduduk Malaysia. Katanya, bukan keluarga sahaja merasa
kehilangan tetapi pemergian Nurin Jazlin dengan cara yang cukup tragis memberi
kesan kepada semua pihak. Dia terharu dengan sokongan keluarga dan saudara
kerana masih ramai yang bertanya mengenai perkembangan terkini siasatan arwah
Nurin Jazlin. Jazimin yang bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, dia
memahami tugas pihak berkuasa yang sentiasa berusaha untuk mencari dalang di
sebalik kejadian itu.
Bukan
bermaksud mahu menekan pihak berkuasa sebaliknya Jazimin berkata, dia tidak
mampu untuk membendung perasaan untuk mengetahui lanjutan kes berkenaan.
“Berbekalkan
kemajuan teknologi yang lebih canggih ketika ini, saya harap apa sahaja bukti
diperoleh ketika tahun 2007 lalu dapat diuji semula.
“Saya juga
teruja dengan kemajuan mesin pengesanan cap jari, ujian DNA dan CCTV yang
semakin canggih, mungkin boleh diaplikasikan dalam kes ini termasuk pada bukti
yang ada pada beg yang digunakan untuk meletakkan mayat anak saya,” katanya.
Harapan Jazimin
turut dipanjangkan kepada kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jenayah keganasan terhadap arwah Nurin Jazlin
dapat dirungkai seterusnya mengheret pelaku ke muka pengadilan.
No comments:
Post a Comment