Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/09/07
Kesihatan Azean Irdawaty semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit Lymphedema
SAMBUTAN Aidilfitri bagi keluarga seniwati Azean Irdawaty atau lebih akrab disapa Kak Yan tahun ini mungkin tidak lagi semeriah dulu. Meskipun penyakit barah yang dihidapi Kak Yan sudah pulih sepenuhnya, namun kesan pembedahan dan juga rawatan kemoterapi dan radioterapi yang dilakukan membuatkan pelakon itu lebih sebulan terlantar kesakitan. Sepanjang tempoh itu, Azean tidak boleh banyak bergerak dan segala urusan seharian termasuk yang ada kaitan dengan dirinya sendiri diuruskan oleh suami dan anak-anaknya. Perkara ini diakui sendiri oleh suaminya, Khairil Anwar Z.M Rashidi ketika dihubungi Hip petang Isnin lalu.
“Sejak menjalani pembedahan membuang sebanyak 16 kelenjar di tubuhnya, keadaan kesihatan Kak Yan semakin tidak menentu. Menurut doktor, dia menghidap penyakit Lymphedema.
“Keadaan ini berlaku apabila protein tidak dapat dicerna oleh tubuh. Disebabkan itu, dia lebih banyak berehat di atas katil dan tidak boleh banyak bergerak kerana kesakitannya itu membabitkan bahagian pinggang ke atas. “Kalau nak mandi atau buang air, kami anak beranak akan membantunya. Mujurlah bahagian pinggang dan ke bawah dia masih kuat. Jadi mana yang boleh dia uruskan sendiri, dia akan buat,” katanya menceritakan keadaan sebenar isterinya itu.
Menurut Khairil Anwar atau lebih mesra disapa Karl ini lagi, penyakit Lymphedema yang dihidapi isterinya itu memang tidak akan sembuh sepenuhnya. Jadi apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa mengawasi perkembangannya dari masa ke semasa.
“Sebelum menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi dan radioterapi lagi doktor sudah memaklumkan kepada kami bahawa memang akan ada risiko yang menanti dan kesan sampingan. Memandangkan penyakit ini memang tiada penawarnya jadi kami hanya membuat rawatan biasa saja seperti membuat urutan.
“Bagaimanapun, teknik urutan itu bukanlah seperti urutan biasa yang kita lakukan. Sebaliknya ia dilakukan oleh pakar yang biasa berdepan dengan pesakit Lymphedema,” katanya Karl lagi.
Meskipun agak sedih melihat keadaan isterinya itu, namun kata Karl lagi dia cukup kagum dengan ketabahan isterinya itu.
“Walaupun terlantar dan tidak boleh banyak bergerak disebabkan penyakitnya itu, namun saya lihat dia cukup tenang dan tabah untuk melalui apa saja dugaan dan cabaran yang mendatang. Semangatnya cukup kuat untuk menempuh hari-hari yang mendatang bersama penyakitnya itu,” pujinya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan hari raya yang diraikan seluruh umat Islam di Malaysia minggu lalu, dia berkata mereka hanya meraikan Aidilfitri di kediaman mereka saja.
“Kami tidak ke mana-mana. Sebaliknya sambutan Adilfitri diadakan di rumah saja memandangkan keadaan Kak Yan yang tidak boleh banyak bergerak itu. Benjy pula memang tidak dapat bersama kerana pada waktu itu, dia terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di hidungnya,” terangnya.
Marilah kita berdoa supaya penyakit Kak Yan disembuhkan Allah. Agar kesihatannya terus bertambah baik, hidupnya sentiasa diberkati dan dirahmati Nya...
" Ya Allah Ya Robbi, kurniakanlah ketabahan dan kekuatan mental fizikal ke atas Kak Yan supaya beliau dapat menghadapi dugaanMu ini dengan iman dan taqwa. Sembuhkanlah penyakitnya. Kurniakanlah kebajikan yang berterusan sepanjang hayatnya dikandung badan. Amin ya Robbul Alamin..."
No comments:
Post a Comment