Monday, August 22, 2011

REBUT KEAGUNGAN LAILATUL QADAR

Golongan beriman bersungguh merebut lailatul qadar

MALAM istimewa dalam Islam biasanya menjanjikan keberkatan tersendiri seperti malam kelahiran Baginda SAW, malam Baginda SAW dimikrajkan, malam Arafah, malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan malam hari raya.
Namun, bagi Ramadan yang penuh keberkatan, pada setiap tahun akan diserikan dengan malam istimewa iaitu malam lailatul qadar. Firman Allah yang bermaksud: “Malam lailatul qadar adalah lebih baik dari seribu bulan.” (Surah Al-Qadar, ayat 3).

Ada dua definisi lailatul qadar iaitu malam yang mulia, tinggi, agung, berkat, selamat dan sejahtera. Ini adalah kerana turunnya al-Quran pada malam itu dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah.
Kedua, malam penentuan dari Allah SWT kerana al-Quran yang diturunkan adalah penentu atau pemisah antara kejahilan dan kebatilan. Ada berpendapat malam itu Allah akan menzahirkan kepada malaikat akan ketentuan rezeki, ajal dan masa depan seseorang hamba.
Mereka yang benar-benar ikhlas dalam ibadat puasa akan dapat menikmati ganjaran yang tidak mungkin dapat dicapai sepanjang umurnya iaitu ibadat selama kira-kira 85 tahun. Bagi mereka yang beriman akan sentiasa mencari dan bersedia menanti dengan penuh harapan.
Pada malam lailatul qadar, penghulu malaikat iaitu Jibril akan turun bersama beribu-ribu malaikat. Jibril tidak pernah turun kecuali pada malam istimewa ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada malam itu turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya.”
Mereka masuk pada setiap rumah orang yang beriman dengan membawa rahmat dan kesejahteraan. Mereka yang derhaka kepada orang tua, memutuskan hubungan silaturahim serta berterusan minum arak akan dijauhi malaikat.
Malam istimewa ini sudah diceritakan Baginda SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Aishah yang bermaksud: “Tuntutilah malam lailatul qadar pada 10 malam terakhir dari Ramadan.”
Pengarang Kitab Fathul Wahhab menyebut, jika awal puasa jatuh hari Ahad atau Rabu, maka lailatul qadar pada malam 29. Jika puasa bermula hari Isnin, maka lailatul qadar pada malam 27. Jika puasa hari Selasa atau Khamis, maka ia jatuh pada malam 25. Jika puasa Jumaat maka ia jatuh pada malam 21. Jika puasa pada hari Sabtu, maka lailatul qadar adalah pada malam 23.
Ulama bernama Abu Al-Hasan berkata: “Setiap tahun dalam hidupku telah mendapati malam itu dengan menggunakan kaedah ini. Namun, ia tetap menjadi rahsia Allah SWT supaya orang yang beriman akan terus berusaha mendapatkannya.”
Apa yang penting bagi umat Islam ialah menghidupkan malam istimewa ini dengan beriktikaf di masjid, berselawat, zikir, istighfar, qiamullail dan berdoa.
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh pada malam lailatul qadar, maka sesungguhnya dia sudah mencapai lailatul qadar dengan sempurna.” (Al-Hadis).
Orang Islam hendaklah memastikan rumah mereka dihiasi dengan alunan kitab suci serta melakukan perkara diredai Allah SWT sebagai tanda ucapan selamat datang kepada malam lailatul qadar.
Mereka yang mendapat lailatul qadar adalah mereka yang berpuasa dalam erti kata sebenarnya, memahami puasa bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi menahan diri dari segala perkara yang menodai keimanan serta godaan nafsu keinginan yang tiada sempadan.

Cara Nabi Hidupkan Lailatul Qadar

RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.(riwayat al-Bukhari dan Muslim]Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’.
Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’.
Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.
Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.
Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!”

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman

Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: “Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

No comments: