Tuesday, August 09, 2011

PRIAPISM : Ereksi Lebih Empat Jam


INI amaran keras kepada lelaki yang gemar mendapatkan perkhidmatan seks urut batin. Kononnya hendak menikmati keseronokan sementara tetapi akhirnya mati pucuk yang dapat!
Urut batin – urut pada bahagian alat kelamin seperti melakukan onani atau melancap boleh menyebabkan ereksi yang berpanjangan sehingga lebih empat jam atau dalam istilah perubatannya - priapism.
Perkataan priapism berasal dari Greek yang selalu diibaratkan dengan alat kelamin yang besar.
Jika dalam tempoh berkenaan keadaan itu tidak diberikan layanan sebagai kecemasan perubatan, ereksi yang diiringi dengan kesakitan itu boleh berlarutan sehingga lebih 12 jam lamanya, menyebabkan kerosakan kekal.
Tindakan melengah-lengahkan rawatan dengan berjumpa doktor (bukannya tabib tepi jalan), boleh mengakibatkan parut pada zakar di mana anda tidak mampu lagi mendapatkan ereksi normal seperti sediakala.
Priapism boleh juga terjadi secara spontan kepada sesiapa jua termasuk kanak-kanak di antara usia 5 hingga 10 tahun. Dan jika ereksi anda tidak mahu kendur, apakah yang harus anda lakukan?
Langkah pertama yang mungkin boleh anda ambil adalah dengan menjadi seorang yang amat bimbang tentang insiden itu dan usah tunggu lagi. Segeralah mendapatkan rawatan sewajarnya jika zakar menegang lebih empat jam.
Pakar Perunding Urologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Dr. S Kumaresan berkata, priapism merupakan satu keadaan di mana alat kelamin akan menjadi tegang lebih daripada empat jam dan keadaan itu; ‘‘Uhhh..., sangat menyakitkan.
‘‘Alat kelamin lelaki menjadi tegang (ereksi) dan tidak dapat kembali kepada keadaannya yang asal walaupun tanpa diiringi oleh rangsangan seksual secara fizikal atau psikologi.
‘‘Priapism terjadi apabila air mani telah keluar tetapi alat kelamin masih tegang. Ini berlaku kerana darah yang disekat dari keluar masih tersekat di alat kelamin dan pada masa yang sama darah yang masuk telah berkurangan.
‘‘Disebabkan oleh kekurangan oksigen dan penambahan asid, alat kelamin akan sakit dan terus tegang kerana darah yang masuk tidak dapat mengalir keluar,’’ katanya.
Menurutnya, apabila ereksi berterusan sehingga lebih empat jam, darah yang terperangkap di dalam alat kelamin akan mula menebal disebabkan oleh kekurangan oksigen.
Jika dibiarkan, ia boleh mencederakan tisu-tisu zakar hingga meninggalkan kesan berparut (fibrosis) dan keras. Alat kelamin kemudiannya akan hilang ketegangan dan pesakit sukar mencapai ketegangan penis secara kekal.
Ditanya kekerapan insiden itu berlaku, Dr. Kumaresan berkata: ‘‘Mungkin tidak begitu banyak tetapi ia lebih jarang dilaporkan berbanding disfungsi erektil (ED), mungkin kerana malu.
‘‘Tetapi, semasa saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur sedikit masa dahulu, saya menerima antara tiga hingga empat pesakit dalam sebulan,’’ ujar beliau.
Teori alat kelamin
Apabila darah yang mengandungi oksigen mengalir masuk dan darah yang tidak mengandungi oksigen disekat, maka keadaan ini akan menambahkan darah di dalam alat kelamin dan menyebabkan alat kelamin menjadi tegang.
Alat kelamin akan mula kehilangan ketegangan apabila seseorang individu itu mengeluarkan air maninya.
Keadaan ini terjadi kerana darah yang masuk ke dalam alat kelamin akan berkurangan dan pada masa yang sama, sekatan untuk darah keluar dari alat kelamin akan hilang dan ini menyebabkan alat kelamin menjadi lembik.
Gejala
* Ereksi yang berpanjangan sekurang-kurangnya empat ke enam jam
* Ereksi yang tidak mempunyai kaitan dengan dorongan seksual, atau yang berterusan sekalipun selepas menerima rangsangan seksual ataupun orgasm/puncak syahwat berakhir
* Ereksi yang menyakitkan
* Penis tegang tetapi berasa lembut pada hujungnya.
Jenis-jenis
* Iskemik (aliran rendah) di mana aliran darah keluar penis lemah atau terhalang, selalu terjadi di kalangan individu yang sihat. Bentuk ini mewakili kira-kira 90 peratus kes priapism dan dikira sebagai satu kecemasan perubatan yang memerlukan perhatian segera pakar
* Bukan iskemik (aliran tinggi). Jenis ini lebih kurang ditemui, kurang menyakitkan dan boleh jadi juga, langsung tidak menyakitkan. Lazimnya, ia sering dikaitkan dengan pembuluh darah yang pecah disebabkan oleh trauma dan kecederaan pada zakar atau kawasan yang terletak di antara skrotum/buah zakar dengan anus/dubur.
Punca
Priapism terjadi disebabkan oleh kepincangan pembuluh dan saraf-saraf darah di mana darah terperangkap di dalam dan tidak boleh keluar daripada tisu-tisu zakar yang mempunyai kaitan dengan ereksi.
Penggunaan atau penyalahgunaan ubatubatan tertentu boleh mencetuskan priapism. Rata-rata pesakit berupaya mengambil ubat ini dengan risiko priapism yang sangat rendah. Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, tanda dan gejala boleh bermula dalam masa beberapa minggu ke beberapa bulan kemudian.
Antara ubat-ubatan yang dimaksudkan adalah:
* Ubat-ubatan oral (yang dimakan) bagi menguruskan ED seperti sildenafil , vardenafil dan tadalafil memang diketahui mengeluarkan amaran kesan sampingan seperti penglihatan kabur, sakit kepala, ketidakcernaan dan termasuklah, ereksi berpanjangan
* Ubat antidepresan seperti trazodone
* Ubat darah tinggi (beberapa kumpulan sahaja)
* Ubat tertentu bagi merawat gangguan psikotik seperti chlorpromazine, risperidone dan olanzapine
* Ubat pencair darah (bagi mengelakkan darah beku) seperti heparin dan warfarin
* Ubat antikeresahan seperti diazepam
* Suntikan. PGE dan Papaverine disuntik di alat kelamin untuk menegangkan alat kelamin (rawatan mati pucuk) kadang-kadang boleh menyebabkan priapism.
Lain-lain penyebab priapism termasuklah:
* Penyakit darah seperti penyakit sel sikel/sabit (kekurangan sel darah merah yang sihat) di mana 40 peratus pesakit akan mendapat priapism dan, leukemia (1 peratus). Ini disebabkan oleh perlahannya perjalanan darah kerana masalah sel darah.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami priapism tergolong dalam mereka yang menderita kedua-dua jenis penyakit ini. Sekiranya seseorang itu menghidapi penyakit-penyakit yang tersebut di atas, ia perlulah dirawat agar priapism tidak kembali.
* Kanser seperti prostat, usus besar dan buah pinggang. Kebanyakan pesakit yang mendapat priapism akibat kanser kebiasaannya tidak boleh hidup lama kerana kanser telah merebak ke tahap yang sangat bahaya
* Kemalangan yang menyebabkan kecederaan pada tulang belakang, groin dan alat kelamin
* Darah beku
* Keradangan pada tiub uretra yang mengalirkan keluar air kencing dari tubuh
* Tumor yang terletak di pelvis/pinggul
* Penyalahgunaan dadah seperti kokain dan marijuana serta ketagihan alkohol
* Penyakit Fabry‘s iaitu sejenis gangguan metabolik yang mana lemak tidak dibakar atau dipecahkan dengan baik di dalam sistem pencernaan anda
* Keracunan karbon monoksida
* Gigitan labah-labah black widow
Dalam setengah-setengah kes, doktor tidak dapat menentukan punca priapism.
Diagnosis
Doktor anda akan memulakan proses diagnosis dengan menanyakan sejarah perubatan seperti:
* Berapa lamakah ereksi berlaku dan perbandingannya dengan tempoh ereksi normal?
* Adakah anda pernah mengalami episod ereksi yang berlarutan sebelum ini?
* Baru-baru ini, adakah anda mengalami sebarang kecederaan atau trauma pada groin atau kawasan berhampiran (celah kelangkang)?
* Adakah anda berasa sakit? Priapism iskemik merupakan satu keadaan yang sungguh menyakitkan manakala priapism bukan iskemik lebih cenderung tidak mendatangkan apa-apa kesakitan
* Apakah ubat-ubatan atau dadah yang sedang anda ambil - dipreskripsi oleh doktor, dibeli di kaunter farmasi atau mendapatkannya secara haram?
* Adakah anda mengambil alkohol?
“Selepas mendengar masalah, pemeriksaan fizikal akan dijalankan bagi mengesan sebarang bukti trauma atau keradangan uretra. Doktor akan memeriksa abdomen, perineum (kawasan di antara dubur dan lubang kencing) dan alat kelamin serta memeriksa tanda-tanda tumor yang berkaitan dengan priapism.
“Pemeriksaan alat kelamin akan menunjukkan ia tegang tetapi kepala alat kelamin lembut dan sakit. Pemeriksaan darah akan dilakukan untuk mengesan jika terdapat penyakit sel sikel atau leukemia,’’ kata Dr. Kumaresan.
Pemeriksaan ujian ultrasound doppler menggunakan refleks gelombang bunyi dijalankan untuk mengetahui perjalanan darah di dalam alat kelamin anda.
Rawatan
Berita baiknya, rawatan awal boleh menyelamatkan kelelakian anda. Kata Dr. Kumaresan, apabila priapism terjadi, pesakit akan berasa sakit dan ubat tahan sakit akan diberikan.
“Selepas itu darah dari alat kelamin akan disedut keluar dan air suling (larutan salina normal) akan dimasukkan untuk mengeluarkan darah yang tersekat di alat kelamin.
“Pada masa yang sama ubat adrenergic agonist dimasukkan beberapa kali ke dalam alat kelamin sampai priapism itu hilang. Tiada ubat untuk dimakan yang berkesan bagi merawat priapism,’’ jelasnya.
Jika darah yang dikeluarkan dari alat kelamin tidak berkesan, maka pembedahan terpaksa dilakukan.
Tujuan pembedahan adalah untuk mencantumkan saluran darah yang tersumbat di alat kelamin dengan saluran lain supaya perjalanan darah menjadi lancar dan priapism akan hilang.
Kesimpulannya
Priapism merupakan sejenis penyakit yang boleh merosakkan alat kelamin dan jika ia tidak diubati secepat mungkin iaitu kurang dari 12 jam ia akan menyebabkan fungsi alat kelamin menjadi lemah.
‘‘Ia boleh diubati dengan mendapatkan rawatan segera daripada doktor. Selain itu, masyarakat kita harus mengetahui dan mempunyai pengetahuan mengenai penyakit priapism ini.
‘‘Kebanyakan pesakit lambat mendapatkan rawatan kerana malu dan kurang pengetahuan tentang penyakit ini atau pergi mendapatkan rawatan tradisional,’’ kata Dr. Kumaresan.
Beliau turut mengambil kesempatan menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan ubat-ubatan tradisional yang tidak terbukti, begitu juga dengan terapi urut pada kemaluan yang boleh menyebabkan kecederaan dalaman.
‘‘Urut yang paling berbahaya selain alat kelamin adalah kawasan perut. Tekanan yang kuat boleh menyebabkan organ dalaman pecah dan memerlukan pembedahan kecemasan. Sepanjang bertugas di Kota Bharu, Kelantan tidak lama dulu, boleh dikatakan, setiap minggu ada sahaja kes-kes pembedahan seumpama ini,” tambahnya.
 

No comments: