Tuesday, August 09, 2011

BARIANI PUPUK IKATAN KELUARGA

Adik-beradik teruskan resipi kejayaan

SAJIAN beriani di JM Bariani House menggunakan resipi tradisi yang dihasilkan oleh pasangan Mustapa dan Jamilah.


SATU ketika dahulu, perniagaan nasi beriani, JM Bariani House Sdn. Bhd. hanyalah dijalankan secara suka-suka di hadapan rumah. Hari ini, perniagaaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu berubah menjadi empayar yang cukup popular dalam kalangan penggemar nasi beriani di Lembah Klang.
Perkembangan tersebut cukup membanggakan pengasas perniagaan itu iaiatu pasangan suami isteri, Mustapa Abdul Karim, 71, dan Jamilah Abu Bakar, 67. Apatah lagi, perniagaan tersebut kini dikendalikan oleh tiga putera kesayangan mereka yang menjadi tulang belakang perniagaan itu.
Lebih menarik, pasangan Mustafa dan Jamilah sanggup meninggalkan pekerjaan tetap mereka di Muar, Johor pada awal tahun 1980-an tanpa menoleh ke belakang. Semuanya dilakukan semata-mata ingin mengejar impian memulakan perniagaan di ibu kota.
Begitupun, dalam mencapai kejayaan yang dikecapi pada hari ini, mereka mengharungi pelbagai ranjau dan dugaan kerana menyangka memulakan perniagaan merupakan sesuatu yang mudah dilakukan tanpa perlu mempunyai latarbelakang perniagaan ataupun bidang masakan.
Pengarah Urusan JM Bariani House Sdn. Bhd., Zulkarnain Mustapa, 46, anak sulung pasangan itu berkata, ibu bapanya cukup meminati bidang masakan sehingga sanggup meninggalkan kerjaya tetap mereka dan berhijrah untuk memulakan perniagaan.
Zulkarnain menunjukkan antara hidangan utama yang ditawarkan di JM Bariani House.


“Ketika itu, ayah bertugas di Lembaga Letrik Negara (LLN), kini Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Muar manakala emak pula bekerja sebagai guru. Keinginan mengejar cita-cita telah mendorong mereka meninggalkan pekerjaan tetap bagi memulakan perniagaan.
“Pembabitan awal dalam perniagaan dilakukan secara kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak, air batu campur, karipap dan mi rebus,” katanya sambil mengimbas kenangan lalu.
Bahkan, ia ibarat seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana sambutannya agak hambar. Mungkin, pada masa itu perniagaan kedua-dua ibu bapanya hanya beroperasi di hadapan rumah mereka.
Bagaimanapun, Zulkarnain menambah, perniagaan katering memenuhi seperti kenduri kahwin, keraiaan dan korporat secara kecil-kecilan yang dilakukan apabila berpindah di gerai seksyen 17 Shah Alam telah merubah segala-galanya.
Dia memberitahu, rezeki melalui perniagaan katering melimpah ruah sehingga perlu mencari lokasi baharu iaitu di Subang Jaya, Selangor bagi memastikan masakan dapat dilakukan lebih selesa dan sistematik selain dapat mengekalkan kualiti makanan.
Restoran pertama
“Menerusi perniagaan katering itu jugalah tercetus idea untuk membuka restoran yang terletak bersebelahan ruang masakan tempahan. Perniagaan restoran yang beroperasi di Seksyen 18, Subang Jaya dibuka tanpa dirancang pada tahun 1993.
MUSTAPA (duduk kanan) dan Jamilah bersama tiga anak lelaki mereka iaitu Zulkarnain (kiri), Zul Atfi (tengah) dan Abdul Hafiz.


“Saya masih ingat kami cuma mempunyai empat meja sahaja dan ia dibuka atas cadangan pelanggan-pelanggan yang mahukan kami membuka sebuah restoran,” katanya.
Sambil memberitahu JM merupakan gabungan nama kedua-dua ibu bapanyanya, restoran yang terletak di Subang Jaya itu menyimpan pelbagai nostalgia.
Katanya, restoran yang pernah disewa daripada Uda Holdings Bhd. untuk bertapak dalam bidang perniagaan itu merupakan restoran pertama syarikatnya.
Selain Zulkarnain, perniagaan tersebut turut diuruskan oleh dua orang adiknya iaitu Abdul Hafiz, 43, dan Zul Atfi, 34.
Menyentuh mengenai keistimewaan nasi beriani, JM Bariani House, lelaki yang begitu ramah dengan pelanggan-pelanggan itu memberitahu ia adalah resipi air tangan orang tuanya.
“Mereka banyak menggunakan kaedah cuba-cuba untuk menyempurnakan adunan masakan nasi beriani tersebut.
“Tidak seperti sekarang, dahulu mereka memasak nasi beriani menggunakan kayu api dan memerlukan masa yang agak lama untuk mengekalkan kualiti serta cita rasa asli masakan tersebut,” ujarnya ketika ditemui di JM Bariani House di Subang Jaya baru-baru ini.
Zulkarnain memberitahu, nasi beriani yang mereka hasilkan memiliki cita rasa dari Muar dan lebih ringan. Resipi tersebut tidak mencampurkan terlalu banyak ramuan rempah, kurang berminyak dan kurang pedas untuk dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Tambahnya, nasi beriani Johor sememangnya mempunyai peminat tersendiri sehingga dapat mengekalkan perniagaan mereka hingga ke hari ini.
JM Bariani House popular dengan menu utama nasi beriani dan beriani gam dengan lauk pauk seperti daging kambing, lembu dan ayam dimasak dengan rempah beriani yang diadun sendiri.
Selain nasi beriani, JM Bariani House turut menawarkan mi bandung Muar, rojak petis, tauhu bakar dan banyak lagi. Sementara itu, Abdul Hafiz yang mengendalikan bahagian dapur berkata, setiap pekerja mempunyai kemahiran tersendiri dalam menguruskan masakan JM Bariani House.
“Ini bermakna kami mempunyai chef yang pakar dalam memasak nasi, lauk pauk dan sebagainya di bahagian dapur. Mereka juga telah diberikan ramuan dan catuan yang betul untuk mengekalkan cita rasa masakan.
“Selain daripada kepakaran yang dimiliki para pekerja, kita menggunakan bahan-bahan berkualiti bagi menjamin masakan mempunyai rasa sedap dan enak dinikmati,” katanya yang mengambil jurusan arkitek di Amerika Syarikat.
JM Bariani House semakin berkembang dengan kini mempunyai 19 buah cawangan di sekitar Lembah Klang.


Dalam pada itu, Abdul Hafiz yang tidak memiliki kemahiran memasak sebelum ini memberitahu, mereka turut menggunakan kaedah dapur berpusat untuk memastikan cita rasa dan kualiti yang diguna pakai sejak dahulu dapat dikekalkan sehingga hari ini.
Sebagai contoh, Abdul Hafiz menjelaskan mereka masih menggunakan dapur api gas yang menggunakan periuk besar untuk memasak lauk-pauk.
“Walaupun tidak sama seperti menggunakan kayu api, dia memberitahu, ia masih dapat mengekalkan aroma dan cita rasa sama seperti masakan ayah memasak dahulu.
“Pendekatan dapur berpusat digunakan untuk memastikan setiap francais kami memperoleh makanan yang mempunyai kualiti sama untuk disajikan kepada pelanggan-pelanggan mereka,” ujarnya lagi.
Katanya, menceburi bidang perniagaan ini, kualiti dan cita rasa amat penting untuk memastikan pelanggan-pelanggan sentiasa berpuas hati dengan sajian yang dinikmati mereka.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Perbadanan Nasional Bhd. Banyak membantunya dalam bidang francais.
Buat masa ini, syarikatnya sudah menghentikan permohonan membuka restoran itu secara francais buat sementara waktu disebabkan kemudahan dapur berpusat yang terhad.
Katanya, kemudahan memasak yang dimiliki syarikat itu, hanya mampu menampung keperluan untuk 20 cawangan sahaja.
Bagaimanapun, JM Bariani House berharap mampu berkembang di luar Lembah Klang menerusi kemudahan pusat masakan baru yang lebih moden dengan kapasiti yang lebih besar dalam masa terdekat.

No comments: