@kosmoonline
Durian Segamat mempunyai bentuk dan rasa yang berlainan berbanding durian di tempat-tempat lain.
JAM di tangan menunjukkan pukul 6.30 pagi. Titisan embun jantan belum lagi kering, kabut pagi juga masih menyelubungi hening sisa subuh di Kampung Gelang Chin-Chin, Segamat, Johor. Sungguhpun tanah belum cerah, Abdullah Md. Isa, 58, sudah bersedia dengan sebuah raga rotan yang disandang di bahunya. Memulakan perjalanan dengan langkah kanan, Abdullah terus menuju ke deretan pokok durian yang terdapat di sekeliling rumahnya. Sambil berjalan, matanya sempat mendongak ke pucuk pokok yang kelihatan sayup dari bawah. Tatkala telinganya menangkap bunyi durian gugur, dia berlari anak ke tepi semak. Dengan tangan yang bersarung, buah tadi dipungut dan dibelek sebelum dimasukkan ke dalam raga. Selesai mengelilingi perdu pokok yang paling tinggi itu, dia berpindah ke kawasan lain.
SEBATANG durian saka yang mencecah usia ratusan tahun
boleh menghasilkan sebanyak 1,500 biji buah semusim
Usai kerja memungut dan memastikan tiada durian yang tertinggal, Abdullah menyandang raga rotan yang sarat dengan isi menghala ke rumahnya. "Setiap kali musim durian, inilah rutin harian saya. Waktu awal pagi dan petang diluangkan untuk meninjau pokok-pokok durian ini. "Kalau ada buah yang gugur, saya akan kutip dan simpan. Bolehlah menjamu anak cucu yang balik kampung hujung minggu nanti," katanya yang mesra disapa dengan panggilan Pak Lah. Bagi sesetengah orang, pengalaman mengutip buah durian bukan suatu yang pelik apatah lagi jika dibesarkan dalam suasana kampung. Namun, bagi penulis dan jurugambar, Mohd. Naim Aziz, menunggu durian gugur dalam persekitaran desa yang dilatari Bukit Gelang Chin-Chin, ia sudah pasti menyuntik kelainan dan keterujaan.
KETIKA musim durian, pekan Segamat meriah dengan kedatangan lori-lori
dari negeri lain yang ingin mendapatkan bekalan durian kampung.
"Ada 10 batang pokok durian yang ada di sekitar rumah ini, termasuk pokok besar di seberang paya itu. Semua pokok durian tua usianya melebihi 130 tahun. "Dek kerana umurnya yang mencecah ratusan tahun itu, kebanyakan penduduk menggelarkannya durian saka," jelas Pak Lah sambil membersihkan daun-daun kering yang melekat pada buah durian dengan dibantu isterinya, Rafiah Mustapa, 57. Menurut Rafiah yang merupakan anak jati Kampung Gelang Chin-chin, pokok-pokok durian tersebut ditanam oleh datuknya. "Kalau ditanya usia sebenar pokok ini, saya kurang pasti kerana ia sudah ada sebelum saya lahir lagi," katanya.
Dahan dipucuk
KEENAKAN durian kampung terletak pada rasanya yang lembut dan padat.
Pokok durian saka yang dimaksudkan pasangan suami isteri ini memang kelihatan berbeza daripada pokok durian yang biasa dilihat. Untuk mengetahui pokok itu sama ada tua atau muda, Pak Lah memberitahu, pokok durian yang masih muda mempunyai kanopi yang berbentuk seperti kon sementara bagi pokok matang, kanopinya berbentuk bulat dan merendang di bahagian pucuknya. Ditanam menggunakan biji, pokok durian saka lebih tinggi berbanding durian kacuk atau durian kahwin yang lebih rendang. Pokoknya tinggi menjulang malah boleh mencecah ketinggian 50 meter iaitu hampir sama dengan bangunan 13 tingkat. Durian seperti ini banyak ditemui di kampung-kampung di daerah Segamat.
Sesetengah pokok durian saka membesar dengan perdu yang dikukuhkan dan akar keras berselirat. Ada juga yang gah dengan banir sebesar tiga pemeluk orang dewasa. Kalau diperhatikan, dahan durian saka ini juga lebih panjang. Apa yang lebih menarik, ia hanya terdapat di bahagian pucuk. "Dalam setahun ada dua musim durian yang utama iaitu di antara bulan Jun sehingga Ogos dan November hingga Januari. "Bagi pokok yang mempunyai dahan yang panjang, jika musim menjadi, sebatang pokok saka boleh menghasilkan 1,000 hingga 1,500 biji durian. "Kalau musim kurang menjadi, hasilnya boleh menurun kepada hanya 100 atau 200 biji sepokok," jelas Rafiah.
MENIKMATI durian saka yang baru gugur dalam persekitaran kampung sudah tentu memberi keterujaan kepada penggemar raja buah.
Datang dengan saiz dan bentuk yang pelbagai, buah durian boleh mencapai ukuran sehingga 18 sentimeter (sm) lebar dan 20 hingga 32 sm panjang. Kulitnya yang berduri tajam pula biasanya berwarna hijau, hijau keperangan hingga kuning keperangan. Pada permukaan kulit, terdapat empat hingga lima garisan pangsa yang sering dijadikan panduan untuk mengopek buah durian. "Sebiji durian boleh menempatkan di antara empat hingga enam pangsa. Satu pangsa boleh mengisi di antara satu hingga lima ulas durian di dalamnya," ujar Pak Lah. Menikmati durian yang baru gugur dari pokok memang cukup mengasyikkan. Isinya tebal berwarna oren kekuningan dan hadir dengan aroma unik.
Seni rasa
Tekstur isinya lebih halus manakala rasanya cukup berlemak, tidak begitu manis dan ada rasa pahit di hujungnya. "Durian kampung mempunyai rasa yang tersendiri. Setiap pokok tidak akan memberi rasa yang sama.
"Malah, dalam sebatang pokok pun, kita masih berpeluang menikmati rasa durian yang berlainan," jelas Pak Lah. Pendapatnya itu disokong oleh seorang peraih durian, Sahad Dinan, 64. "Durian kampung terutamanya saka mempunyai pelbagai rasa, berbeza dengan durian kahwin yang hanya mempunyai satu rasa. "Senang kata, kalau anda beli durian D24 di mana-mana pun, rasanya adalah sama tetapi jika beli durian kampung, mungkin sebiji rasanya manis, sebiji rasanya pahit," katanya.
SEGAMAT sememangnya terkenal dengan durian kampung malah baka durian terbaik
dikatakan datang dari daerah ini.
Berpengalaman dalam jual beli durian selama 44 tahun, Sahad sudah boleh kenal rasa dan bau berdasarkan warna kulit, saiz dan bau yang terbit daripada buah tersebut. Malah, dia juga tahu pokok mana yang menghasilkan durian itu. "Saya akan rasa dahulu buah durian sebelum membeliya daripada penduduk. "Jika rasanya bagus, saya akan kenal pasti buah dan lokasi pokok bagi memudahkan saya membelinya lagi pada musim yang akan datang," katanya. Setiap kali musim durian, Sahad akan berada di pondok jualannya yang terletak di Jalan Segamat-Kuantan untuk membeli durian dan menjualnya kepada pengguna di laluan sibuk itu. "Untuk musim yang kurang menjadi, setiap hari saya akan membeli kira-kira satu tan durian daripada penduduk tempatan. "Kalau musim menjadi, biasanya tiga hingga empat tan durian dapat dijual sehari," katanya yang meletakkan rasa durian yang manis, lemak dan pahit sebagai rasa durian kampung yang terbaik.
Laris
SELAIN enak dimakan, durian juga dapat memberi pulangan kepada penduduk kampung.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Aziz Ali, 76, dia memiliki pokok durian berumur lebih 200 tahun yang ditanam oleh moyangnya. "Walaupun pokok itu sudah lebih 200 tahun, ia masih lebat berbuah.
"Cuma kali ini musim durian kurang menjadi, buah pun kurang, mungkin juga ia berkait dengan faktor umur. "Begitupun, pokok yang lebih muda masih berbuah seperti biasa," katanya yang menjual duriannya kepada Sahad untuk mengelakkan lambakan. Selain Sahad, seorang lagi peraih durian, Desa Sharif, 66, menyifatkan durian kampung dari Segamat adalah antara durian terbaik. Desa yang sudah hampir 20 tahun menjadi peraih durian memberitahu dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang tinggi terhadap buah itu setiap kali musimnya tiba.
"Setiap hari urus niaga durian boleh mencecah lima tan. Kebanyakan durian yang dijual di sini adalah durian kampung dan ia didapati dari kampung sekitar daerah ini," katanya. Selain pasaran tempatan, durian saka Seamat juga laris di Kuala Lumpur dan Kuantan malah ada peraih dari Kemaman yang membeli durian daripadanya. "Setiap hari, sepanjang musim durian, kira-kira dua bulan, saya dan tujuh pekerja akan berkampung di sini. "Seawal pukul 6 pagi sudah ada orang datang untuk menjual dan membeli durian," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Buloh Kasap. Selain rasanya yang sedap, durian mempunyai khasiat pemakanan yang lebih tinggi berbanding kebanyakan buah-buahan yang diimport. Dalam beberapa kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan, durian mengandungi protein, lemak, karbohidrat, kalsium, serta vitamin A dan C yang lebih tinggi berbanding epal, pir dan anggur. Selain itu, ia juga kaya dengan pitonutrien dan antioksidan yang dapat menurunkan kadar kolesterol, membersihkan darah serta mengelakkan jangkitan kulat.
No comments:
Post a Comment