@kosmoonline
BAGI sesetengah pelancong, Chernobyl menuntut sesuatu yang di luar imaginasi manusia. Kebanyakannya hanya mampu membayangkannya melalui minda sahaja.
BAGI sesetengah pelancong, Chernobyl menuntut sesuatu yang di luar imaginasi manusia. Kebanyakannya hanya mampu membayangkannya melalui minda sahaja.
Dari luar, bangunan yang menempatkan reaktor nuklear yang meletup pada 26 April 1986 yang mencatatkan krisis nuklear terburuk di dunia itu, kelihatan biasa dan suram seperti kebanyakan bangunan perindustrian yang lain.
Satu-satunya objek tambahan yang boleh dilihat ialah sebuah tugu peringatan di hadapannya, membayangkan sesuatu yang luar biasa pernah berlaku di situ sebelum ini.
Sukar untuk membayangkan bandar Pripyat yang terletak berhampirannya pernah dihuni kira-kira 50,000 penduduk suatu ketika dahulu.
Bandar yang sentiasa sibuk dan dibina khusus untuk pekerja-pekerja reaktor itu bagaimanapun kini sunyi sepi. Apartmen-apartmen ditinggalkan kosong tanpa penghuni, malah beberapa kawasan utamanya juga semakin dipenuhi semak-samun dan belukar.
Pastinya, pelancong yang berkunjung ke sini terdedah kepada pencemaran radioaktif yang terdapat dalam lingkungan 30 kilometer (km) di sekitar kawasan reaktor.
Alat pengesan radioaktif, dosimeter yang dikepitkan di pakaian dan meter-meter penunjuk radioaktif yang dipasang di sekitar tapak itu memberi gambaran visual kepada pelancong. Bagaimanapun, angka-angka yang ditunjukkan seakan-akan tidak memberi makna kepada orang biasa.
Bagi mereka yang pernah dimomokkan dengan pelbagai imej yang dipaparkan dalam filem-filem bencana di layar perak pasti kecewa dengan apa yang tergambar di Chernobyl. Namun, itu juga menjadi kekuatannya.
Berhadapan dengan sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini memberi perasaan gerun terhadap apa yang berlaku di Ukraine dan kebanyakan negara dunia ketika letupan reaktor memuntahkan radioaktifnya ke langit sebelum disebarkan oleh angin merentasi hemisfera.
Peluang untuk berhadapan dengan kegerunan itu menjadikan lawatan sehari ke Chernobyl semakin menarik.
“Beberapa bulan lalu, hanya terdapat beberapa dozen pelancong yang datang ke sini setiap minggu,” kata Dmitry Bobro, timbalan pengarah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan kawasan di sekitar Chernobyl.
LETUPAN loji nuklear Chernobyl menyebabkan Propyat diumpamakan bandar hantu.
“Kini, jumlahnya meningkat kepada beratus-ratus orang.”
Peningkatan jumlah pelancong melawat ke Chenobyl meningkat mendadak walaupun sebelum krisis yang sama berlaku di Jepun pada Mac lalu. Ia disebabkan tindakan kerajaan Ukraine melakukan pelbagai langkah dalam menggalakkan kehadiran pelancong seperti memperkemaskan prosedur-prosedur untuk pendaftaran pelancongan ke negara itu.
Lihat sendiri
“Kami mahu beritahu kepada pelancong di luar sana ‘datang dan lihat sendiri’,” kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Kecemasan, Yulia Yershova kepada AP.
Dia kemudian menambah tiada kata-kata yang mampu menggambarkan maksud Chernobyl biarpun bagi mereka yang tinggal berdekatan dengannya: “Kami mahu menghilangkan mitos mengatakan Chernobyl masih berbahaya kepada Ukraine dan dunia.”
Bagaimanapun, secara faktanya, Chernobyl masih lagi sebuah lokasi yang dianggap merbahaya, terdapat beberapa peraturan jelas yang perlu dipatuhi oleh pelancong ke situ.
Antaranya, mereka tidak dibenarkan menyentuh sebarang struktur atau tumbuh-tumbuhan di sekitarnya.
Pelancong juga dilarang duduk di atas tanah walaupun sekadar meletak tripod kamera, dilarang membawa keluar sebarang item di dalam zon berkenaan dan makan di kawasan terbuka.
Panduan-panduan yang diberikan membolehkan pelancong memahami bahawa terdapat di beberapa zon yang masih tercemar di samping melakukan lawatan di laluan yang dibenarkan sahaja.
Pelancong juga berpeluang melihat projek awal reaktor itu iaitu pembinaan satu tempat perlindungan besar yang akan menutupi keseluruhan reaktor. Tempat perlindungan itu akan menghalang radioaktif daripada keluar ke udara sekiranya pekerja merobohkan reaktor berkenaan.
Peluang melihat bangunan reaktor yang terletak hanya beberapa meter pastinya memberikan pengalaman berharga. Bagaimanapun, antara tumpuan utama pelancong ialah model besar dan terperinci di kawasan reaktor yang musnah.
Sebaik berada di situ, pelancong seakan-akan kaku, mata seakan-akan tidak selesa melihat model itu dan keseluruhan bangunan reaktor yang musnah. Tidak hairanlah ramai yang menarik nafas lega sebaik melepasinya.
Kira-kira dua kilometer dari Pripyat, pelancong disajikan dengan panorama yang menarik, namun penuh emosi.
Biarpun kebanyakan bangunan mulai runtuh secara perlahan-lahan, struktur dan reka bentuk modennya masih jelas kelihatan berbeza dengan beberapa penempatan lain yang dilewati ketika dalam perjalanan menaiki bas dari Kiev.
Pripyat merupakan satu contoh utama bandar pekerja-pekerja Kesatuan Soviet yang paling ideal pernah dibina. Merenung apa yang telah ditinggalkan oleh penduduk-penduduknya selepas letupan pastinya mengundang perasaan yang menusuk kalbu.Salah satu tarikan yang terdapat di bandar itu ialah taman hiburannya apabila terdapat roda Ferris yang kini menjadi sebuah monumen penting secara tidak sengaja. Tiada siapapun berpeluang menaikinya kerana ia sepatutnya dibuka hanya seminggu selepas letupan itu berlaku.
Kehidupan di Chernobyl
Biarpun kawasan di sekitar Chernobyl agak sepi dan hening, namun terdapat juga kehidupan di dalamnya.
Terdapat beberapa pekerja yang bertanggungjawab menjaga kawasan reaktor yang terbiar itu dua minggu sekali. Mereka menetap kira-kira 15 kilometer (km) di salah sebuah bandar di Chernobyl.
Jika bernasib baik, pelancong juga berpeluang bertemu ratusan penduduk asal Chernobyl. Biarpun telah diarahkan berpindah, mereka kembali semula ke situ dan mengetepikan segala nasihat dan sanggup menggadaikan nyawa semata-mata mahu menetap di tempat kelahiran mereka.
Selepas bas yang dipenuhi penumpang bersedia untuk perjalanan pulang ke Kiev, pelancong perlu berdepan dengan satu lagi halangan.
Sebaik tiba di sempadan zon larangan, semua pelancong perlu turun dan melepasi mesin yang pengimbas tahap radiasi yang diletakkan.
Caranya ialah dengan mengangkat kedua-dua belah tangan sambil memegang dua plat besi dan menunggu dalam tempoh beberapa saat. Lampu yang menyala menunjukkan isyarat hari yang penuh mencabar itu dilalui dengan selamat.
No comments:
Post a Comment