9 Januari 2011 - Kira-kira 100 penduduk berketurunan India mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK). Mereka yang mendesak kerajaan mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima, turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.
Sepanjang demonstrasi kira-kira sejam itu, kumpulan itu menaikkan poster antaranya tertulis, 'Hapuskan Interlok', 'Jangan Hina Kami' dan 'Fikir Dulu Sebelum Laksanakan' selain menggantungkan kasut pada replika novel itu sebelum membakarnya. Malah, pada satu ketika, seorang lelaki yang gagal mengawal emosinya dilihat menampar gambar Abdullah dan menggelarkan beliau sebagai 'sasterawan bodoh'.
Turut hadir pada demonstrasi itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan. Ketika bercakap kepada pemberita, Mariah berkata, pihaknya mengaku Interlok adalah karya yang hebat tetapi terdapat frasa yang begitu sensitif di kalangan masyarakat India di negara ini.
"Bagi saya, sebagai orang yang ada pendidikan tinggi tidak terasa apa-apa tetapi di kalangan orang biasa, dia baca rasa tersinggung dan terguris. "Kalau begitu perasaan orang India kita perlu menghormati mereka, apa yang mereka minta ialah ia tidak dijadikan buku teks, ia boleh dijual sebagai novel tetapi tidak dibaca di sekolah kerana boleh membentuk pemikiran para pelajar."
Katanya, orang India di negara ini sekarang bertungkus lumus untuk tidak membesarkan isu kasta dan jika boleh, mereka mahu membesarkan anak-anak tanpa mengenal kasta. "Sistem kasta adalah sejarah yang terlampau menghimpit orang India, jadi kita kena hormati mereka. "Terpulang kepada pengarang (Interlok) kalau beliau tidak sanggup mengubah frasa terbabit, itu haknya tetapi menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran untuk menghormati kaum India.”
Sementara itu, Manoharan pula melontarkan pandangan berbeza apabila mahu kerajaan mengharamkan terus Interlok yang telah mula diterbitkan pada 1971 dan ia wajar dibakar selain tidak dijadikan sebagai buku teks. "Buku (novel) ini harus diharamkan sama sekali kerana ia digunakan kepada pelajar tingkatan lima sebagai teks wajib, harus dianalisis dan terpaksa lulus dalam peperiksaan Bahasa Malaysia.”
Beliau yang mengaku sudah dua kali membaca novel itu mendakwa, terdapat tulisan dalam karya tersebut menyatakan kaum India di negara ini semuanya berasal daripada kasta paria dan ia suatu yang amat sensitif. Dalam hal ini, beliau membangkitkan konsep kesamarataan kaum dengan menyatakan: "Kaum India tidak tergolong daripada mana-mana kasta, sebaliknya mereka adalah daripada kasta manusia."Beliau marah apabila dalam Interlok dinyatakan kaum India yang datang ke Malaysia terdiri daripada keturunan Tamil, Telegu dan Malayalam dan kesemuanya adalah dari kasta paria.
INTERLOK MANGSA PRASANGKA LIAR MANUSIA JAHIL
Oleh: S. M. Zakir
Novel Interlok karya Abdullah Hussain menjadi polemik yang tidak berkesudahan apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) menimbulkan isu tentangnya. Novel Interlok menjadi teks Komsas tingkatan lima bermula sesi persekolahan 2011 dikatakan mengandungi unsur sensitif kepada masyarakat India kerana memaparkan sejarah susur galur kedatangan masyarakat India ke Tanah Melayu.
Kenyataan T. Murugiah yang menyebut tentang pengharaman dan ugutan untuk membakar novel tersebut bukan sahaja mencetuskan isu yang sepatutnya tidak timbul tetapi juga membawa kepada tindakan tidak rasional pihak tertentu terhadap novel Interlok. Lebih buruk Interlok menjadi bahan bagi political mileage untuk ahli politik atau pihak yang berkepentingan.
Bahkan ia menjadi rebutan dari pihak parti politik yang berlawanan untuk saling menjuarai kepentingan masyarakat India kononnya tanpa melihat kepada rasional tindakan tersebut. Penglibatan kepentingan politik dalam isu Interlok menjadi faktor besar kepada memburuknya keadaan dan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Malahan ia tidak memberi apa-apa kepentingan besar kepada masyarakat India selain mempergunakan mereka untuk kepentingan politik perkauman. Novel Interlok merupakan sebuah garapan yang sangat baik dan ideal terhadap sejarah pembentukan hubungan kaum yang harmoni di Malaysia. Novel ini dibahagikan kepada empat buku iaitu buku Keluarga Seman, buku Keluarga Chin Huat, buku Keluarga Maniam dan terakhir buku empat Interlok (interlock). Secara keseluruhan Interlok menggambarkan latar awal bermulanya hubungan masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.
Tiga bab yang mewakili tiga kaum seperti yang disebut buku ini mewakili sistem sosial di bawah pemerintahan Inggeris yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Inggeris mengamalkan dasar menekan penduduk pribumi iaitu orang Melayu dengan amat halus iaitu secara psikologi dan politik yang terancang. Dengan memperkenalkan dasar pentadbiran dan ekonomi moden berasaskan perindustrian, Inggeris membawa masuk buruh- buruh dari China dan India untuk mengerjakan lombong bijih timah dan ladang getah bagi menyediakan bahan mentah untuk kegunaan industri moden di Eropah.
Pada masa yang sama Inggeris mencipta suatu rupa bentuk masyarakat selari yang terpisah-pisah dan berkotak-kotak, tidak mengenali antara satu sama lain, serta bergantung kepada Inggeris. Perhubungan antara masyarakat diputuskan dengan dasar penetapan bidang ekonomi mengikut kaum. Dengan cara tersebut Inggeris berjaya mewujudkan masyarakat berkotak-kotak dan mencipta apa yang disebut sebagai antagonisme etnik, iaitu setiap etnik melihat etnik lain sebagai antagonis kepada mereka.
Namun Abdullah Hussain melalui novel Interlok memecahkan doktrin Inggeris ini dengan memecahkan dasar pengkotakkan sosial dan penetapan bidang ekonomi mengikut kaum. Pertama penetapan bidang ekonomi mengikut kaum atau etnik dipecahkan apabila Seman memecahkan tradisi menjadi orang Melayu pertama bekerja di estet yang sebelum ini hanya dipenuhi oleh orang India.
Kedua, Abdullah Hussain memecahkan pengkotakkan sosial apabila menyatukan semua kaum menjadi masyarakat yang saling bantu membantu dalam buku atau bab terakhir yakni Interlok. Interlok ialah perkataan Inggeris interlock, yang dimaksudkan oleh Abdullah Hussain sebagai mengunci masyarakat yang terpisah-pisah menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Dalam buku ini ditonjolkan generasi ketiga yang lahir dan membesar di Tanah Melayu bersedia menjadi warga sebuah negara yang bakal tercipta iaitu Malaya, yang kemudiannya lahir sebagai Malaysia pada hari ini.
Ternyata novel ini mengangkat suatu bentuk perjuangan sosial masyarakat bawahan terhadap bentuk penjajahan Inggeris. Kemuncak atau ujian kepada perjuangan sosial ini dibuktikan dalam gambaran suasana menghadapi kekejaman tentera Jepun dan Bintang Tiga. Namun secara halus, Abddulah Hussain membawa ideal perjuangan sosial ini memecah tembok doktrin sistem penjajahan Inggeris yang mewujudkan pengkotakkan masyarakat dan seterusnya melahirkan politik perkauman di Malaysia.
Abdullah Hussain telah mencipta gagasan Satu Malaysia yang tulen dalam erti kata mengunci kepelbagaian kaum yang berbeza menjadi satu entiti yang berkongsi sebuah wawasan bersama. Lebih daripada itu Interlok bukan sahaja wujud sebagai sebuah novel sosial tetapi juga novel sejarah yang menyerap fakta-fakta sejarah ke dalam sebuah fiksyen yang mengagumkan.
Rujukan terhadap fakta sosial dan sejarah ini boleh dilihat daripada beberapa buku ilmiah seperti antaranya Communalism and the Political Process in Malaya oleh K.J. Ratnam (1965), The Naked Social Order oleh Collin Abraham (2004), The Malaysian Indians oleh Muzafar Desmond Tate (2008) dan sebagainya. Interlok tidak mempunyai sebaran unsur penghinaan terhadap mana-mana kaum atau agama di Malaysia. Munculnya perkataan yang menyatakan Maniam daripada kasta paria adalah sebuah pernyataan fakta untuk menjelaskan latar belakang Maniam, dan hal ini ternyata tidak mempunyai sebarang niat untuk menghina.
Jika tindakan membakar dan mengharamkan Interlok hanya kerana sebaris perkataan yang dikutip secara prejudis perkauman yang tidak berasas ini, bagaimana pula dengan novel-novel besar yang disanjung di India seperti Nectar in a Seive oleh Kamala Markandaya, He Who Rides a Tiger oleh Bhabani Bhattacharya, Coolies oleh Mulk Raj Anand yang terang-terang menyebut dan menggambarkan kehidupan golongan kasta paria yang diperjuangkan.
Malah sebuah buku Mulk Raj Anand bertajuk Untouchable telah diterjemahkan dengan judul Paria oleh Oxford University Press (1964) menggambarkan secara langsung dan terus terang kehidupan kasta bawahan yakni golongan paria. Mengapa novel-novel ini tidak menimbulkan sensitiviti dan dibakar oleh masyarakat India selama ini? Ternyata Interlok menjadi mangsa prasangka liar golongan yang jahil dan manipulasi pihak yang berkepentingan dalam amalan politik perkauman di Malaysia.
@utusanonline
No comments:
Post a Comment