Monday, July 05, 2010

Varatharajah - PEMANDU LOKOMOTIF WAP TERAKHIR


Jiwa kereta api Rajah








KETIKA asyik memasukkan arang batu pada enjin sebuah lokomotif wap, S. Varatharajah seorang pencuci lokomotif tiba-tiba tersentak apabila namanya dipanggil oleh Vax Bi, pegawai Malayan Railway Gemas berketurunan British.
Dengan peluh yang membasahi tubuh dan calitan arang penuh di muka, lelaki yang bertubuh kurus itu pantas berlari. Dia terus mendekati lelaki British itu dan memberi tabik hormat.
Dia melihat lelaki itu mencapai sekeping kertas yang berselerak di meja lantas mencapai pen biru dakwat basah dan mencatat sesuatu di belakang sehelai resit terpakai.
"S.V. Rajah, 101103, Tahniah! Ini surat rasmi kenaikan pangkat kamu. Mulai hari ini, kamu dinaikkan pangkat daripada pencuci lokomotif kepada pemandu lokomotif dengan gaji RM1.96. Kerja bersungguh-sungguh dan janganlah merungut," pesan Vax Bi kepada S.Varatharajah yang ketika itu berusia 18 tahun.
Varatharajah melonjak keriangan lantas berkongsi berita itu dengan rakan-rakannya. Momen itu kata Varatharajah, meskipun telah berlalu hampir lima dekad lalu, namun ia masih kekal dalam memorinya. Hari ini, lelaki yang mesra dengan panggilan Rajah itu berumur 75 tahun.
Kertas yang menjadi saksi kepada peningkatan kerjayanya itu, masih tersimpan rapi dalam sebuah fail lama yang dibawanya ketika pertemuan baru-baru ini.
Dia mengakui hari itu merupakan hari yang paling hebat dalam hidupnya. Rajah berhak untuk merasai perasaan itu kerana dia merupakan pemandu lokomotif wap terakhir di Malaysia yang masih bernafas di muka bumi ini.



"Saya dan kereta api sudah bersatu. Tiada tembok yang boleh memisahkannya. Bunyi enjin kereta api bagaikan terjemahan kepada degupan jantung saya.
"Saya sudah lama berhenti kerja dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Tetapi hati saya dengan kereta api belum bersara lagi," katanya ketika ditemui di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur baru-baru ini.
Luahan penuh melankolik dalam bahasa Inggeris itu pada saat kereta api baru saja berlepas adalah pembuka bicara selepas kami berjabat tangan sambil memperkenalkan diri masing-masing. Rajah amat menghargai pertemuan kami. Dia sanggup menyelongkar almari usangnya, mengambil topi dan lencana nama yang pernah digunakan pada zaman awal dia dilantik menjadi pemandu lokomotif.
Begitu juga dengan rakan sejawatnya, T. Sivasubramaniam. Katanya, apabila memakai barang-barang lama, ia mampu membangkitkan nostalgia di samping boleh menaikkan moodnya bercerita. Rajah telah mengabdikan dirinya selama lima dekad dengan KTM. Sebelum ini di antara tahun 1885 hingga 1985 KTM dikenali dengan nama Malayan Railway.
Kecintaan untuk berkhidmat dengan kereta api mula berputik ketika buku yang bertajuk, A Career With The Malayan Railway diagih-agihkan oleh British ke semua sekolah rendah di Malaya sekitar tahun 1940-an.
"Berkhidmat dengan kereta api pada zaman dulu dianggap kerjaya paling hebat, lagi pun bapa saya pada ketika itu pun bekerja dengan kereta api.
"Gabungan kepada dua elemen itu membuatkan saya teruja dan memasang cita-cita untuk menjadi pemandu lokomotif sejak kecil," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Pada awalnya, cita-cita Rajah tidak direstui oleh bapanya. Bapanya beranggapan pekerjaan itu menyebabkan dia akan berada berjam-jam di dalam bilik air untuk membersihkan diri dan sakit kepala disebabkan debu arang batu dan kepanasan yang melampau ketika menghidupkan enjin lokomotif.


LOKOMOTIF wap kelas 56 yang terakhir dibawa masuk ke Malaysia ini pernah dipandu oleh Rajah.

Walaupun dalam dilema, Rajah nekad. Keinginan bekerja dengan KTM kian membara. "Entahlah, saya memang tak boleh tidak daripada mendengar bunyi enjin atau hon lokomotif, kalau tak dengar satu hari, rasa macam nak demam," akui Rajah yang kadangkala pelik dengan perasaannya itu.
Berkat kesungguhan
Usai tamat sekolah rendah (darjah lima), Rajah dengan hati yang terbuka menerima jawatan gred paling rendah iaitu sebagai pencuci enjin lokomotif pada tahun 1952.
Berkat kesungguhannya, dia kemudian mengisi kekosongan jawatan pemandu lokomotif seperti yang diidam-idamkannya.
Cerita Rajah, untuk menghidupkan sebuah lokomotif wap ia memerlukan kekuatan tenaga maksimum. Empat jam sebelum lokomotif bergerak, dia bersama rakan-rakannya yang lain akan memasukkan arang batu ke dalam tempat pembakaran.
"Berpeluh-peluh kami dibuatnya kerana suhu sekitar terlampau panas," selorohnya yang pernah berpeluang memandu lokomotif wap yang paling awal dibawa oleh British ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Pada ketika itu, fungsi lokomotif selain membawa barangan dan komoditi bijih timah, ia merupakan kenderaan mewah rakyat British di Malaya.
Bagi setiap perjalanan, lokomotif terbabit akan membawa seramai 40 hingga 50 penumpang orang kulit putih yang rata-rata golongan wanitanya menggayakan gaun meleret sementara golongan lelakinya segak berkot.
Sepanjang lima dekad berkhidmat bersama KTM, terlalu banyak pengalaman pahit manis yang dikutip oleh Rajah. Menurutnya, ketika memandu lokomotif dia lebih bimbang jika terlanggar haiwan ternakan berbanding manusia.
Mengapa? "Saya takut tuan kepada ternakan itu akan baling batu pada cermin lokomotif dan bila pecah, susah kita nak menjawab nanti," imbasnya.
Pengalaman memberi bantuan kecemasan semasa beberapa lokomotif tergelincir pada tahun yang berbeza merupakan antara kenangan paling indah dalam memorinya.
Rajah menjadi individu penting yang telah menyelamatkan Tren 2NK yang tergelincir di landasan di antara Tanjung Malim ke Behrang pada tahun 1979. Peristiwa 17 jam yang berlaku pukul 2.57 pagi pada Julai 1979 juga telah mengangkat Rajah sebagai wira.
RAJAH menganggap lencana namanya adalah khazanah yang berharga dalam hidupnya.





Insiden itu mengakibatkan kereta api 24 unit yang mengandungi 20 buah gerabak daripada tren No.602Nk tergelincir dan landasannya mengalami kerosakan teruk di antara Chemor dan Sungai Siput.
"Selama 17 jam kami bersama-sama ketepikan gerabak-gerabak yang rosak dan boleh kita katakan tempoh itu adalah masa yang cukup singkat untuk kerja-kerja menyelamat," katanya yang bersyukur kerana tiada nyawa yang hilang.
Ingatan bekas pemandu itu juga masih kuat terhadap satu lagi pengalamannya menyelamatkan BBC 10567 (Berisi) dengan tren No.401 yang tergelincir di landasan di antara Batu Gajah dan Malim Nawar pada 11 April 1986.
Tragedi itu mengakibatkan semua roda tren terkeluar daripada landasan tepat pukul 12.45 malam. Dia yang ketika itu tidak bertugas dan atas inisiatifnya sendiri, Rajah bersama rakannya, V. Utirapupathy bergegas ke lokasi dan berjaya melandaskan semula gerabak yang tergelincir.
"Pengalaman-pengalaman itu menjadikan hidup saya tenang kerana sekurang-kurangnya pada usia muda kita telah berjasa kepada masyarakat," ujar bapa kepada dua anak itu.
Daripada seorang pencuci enjin yang bergaji RM1.96, Rajah mengakhiri kerjaya sebagai Pemandu Lokomotif Khas (Merinyu Lokomotif) dengan gaji asas sebanyak RM400.
Dia tidak pernah menyesal melalui kehidupan yang sentiasa terikat dengan kereta api.
Namun, tiada seorang pun di kalangan ahli keluarganya yang jatuh cinta dengan kereta api. Hari ini Rajah bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Bagaimanapun, kereta api kekal sebati dengan jiwanya kerana dia memilih untuk menaiki kereta api ke mana sahaja.




KEMBARA KERETAPI WAP



SENTUHAN terakhir. Marhat meninjau keadaan roda lokomotif sebelum ia dibawa ke Kuala Lumpur.

SEJAK dua dekad lalu, lokomotif kuasa wap Kelas 56 buatan England yang dikenali sebagai 'Temerloh' berada di landasan Stesen Gemas. Apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memutuskan untuk membawa lokomotif yang berusia 64 tahun itu ke Kuala Lumpur untuk tujuan baik pulih dan pengkomersialan, Marhat Ali, 52, terasa begitu sayu.
Selama ini beliaulah mekanik yang menjaga pengangkutan itu sejak ia direhatkan. Ketika rombongan media bersama pegawai-pegawai KTMB yang diketuai oleh Pengurus Kanannya, Mohd. Fazil Ismail dan sebahagian daripada ahli Kelab Peminat Kereta Api tiba di Gemas, Marhat antara individu terawal yang tiba di lokomotif itu.
Marhat merenjis-renjis minyak pelincir pada roda lokomotif satu persatu dan kemudian dia membersihkan kepala lokomotif itu perlahan-lahan.
REKA bentuk unik kepala lokomotif kuasa wap 'Temerloh'.





"Maklumlah, dah bertahun lokomotif tak berjalan, akhirnya dia pergi juga," katanya pada majlis membawa pulang lokomotif kuasa wap dari Gemas ke Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meskipun statik di atas landasan, lokomotif itu banyak jasanya, ujar Marhat. Filem Police Story 3 lakonan Jackie Chan yang terkenal sekitar tahun 1990-an telah menggunakan pengangkutan itu sebagai props dalam beberapa aksi filem yang berlangsung selama dua jam itu.
Begitu juga dengan babak dalam filem Paloh yang memilih lokomotif itu untuk menghidupkan suasana zaman 1940-an. Kali terakhir lokomotif 'Temerloh' bergerak ialah pada tahun 1997 iaitu ketika ia digunakan untuk perkhidmatan Peninsula Ekspres.
Mengikut perkiraan awal, lokomotif itu akan mengambil masa kira-kira 12 jam untuk sampai ke ibu kota. Namun disebabkan roda kereta api itu tiba-tiba berasap, hujan, berselisih dengan tren lain dan masalah generator, ia tersasar daripada jadual asal.
Ketika 'Temerloh' ditarik menggunakan lokomotif berkuasa tinggi, Dalian Kelas 29, lokomotif berkenaan digerakkan pada kadar kelajuan 20 kilometer (km) sejam atas sebab-sebab keselamatan.
"Nampaknya lokomotif ini merajuk, dia mahu kembali ke tempat asalnya," seloroh salah seorang ahli rombongan.
KTMB mempunyai perancangan untuk lokomotif tertua di negara itu. Ia mampu beroperasi pada kelajuan maksimum 90 km sejam pada era kegemilangannya.
LOKOMOTIF kelas 56 kuasa wap buatan England ini asalnya digerakkan dengan kuasa arang batu sebelum diesel.





Nostalgia pengangkutan kereta api menggunakan lokomotif kuasa wap atau stim yang pernah menjadi penggerak pengangkutan komoditi bijih timah negara yang bermula sejak 1 Jun 1885 akan dihidupkan semula.
Seperti di Thailand dan Indonesia, KTMB akan mewujudkan perkhidmatan tren persiaran untuk pelancong dalam tempoh sedekad lagi.
"Inisiatif negara-negara berkenaan berjaya melonjakkan industri pelancongan mereka," kata Mohd. Fazil sambil memberitahu setakat ini hanya satu lokomotif iaitu 'Temerloh' yang berpotensi untuk dibaik pulih manakala lima buah lokomotif lagi telah dijadikan bahan pameran di Muzium Negara, Kuala Lumpur (dua buah) dan masing-masing sebuah di Muzium Tentera, Stesen Butterworth dan Pekan, Pahang.
Mengikut perancangan KTMB, lokomotif yang akan direvolusi dengan sentuhan anak tempatan itu nanti beroperasi pada bulan tertentu ke lokasi stesen tarikan pelancong dan tapak bersejarah di Semenanjung.
STRUKTUR pada enjin lama yang memerlukan perbelanjaan besar untuk dibaik pulih.





Sebagai contoh, perjalanan dari Kuala Lumpur-Taiping dan Kuala Lumpur-Kluang.
Ujar Mohd. Fazil, jika direalisasikan kelak ia mampu menjana pendapatan tambahan kepada negara.
Berapakah kos untuk menghidupkan semula lokomotif itu?
"Harganya mencecah jutaan ringgit. Ia memerlukan pakar yang mahir dalam teknologi kereta api lama untuk membaik pulih enjin 'Temerloh'," katanya.
Buat masa ini, lokomotif itu akan ditempatkan di Akademi Latihan KTMB (MyRA) di Batu Gajah, Perak sebagai bahan pameran.
Siapa tahu, negara akan terkenal dengan percutian melalui kereta apinya suatu hari nanti. - 


Terimakasih MAZLINA ABDUL MAJID@kosmoonline

No comments: