Sunday, October 18, 2009

Gempa Di Padang 30 September 2009











SEORANG mangsa gempa bumi mendapat rawatan di sebuah hospital di Padang Panjang, Sumatera Barat.



JAKARTA - Gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter yang menggegarkan Sumatera Barat, khasnya ibu kotanya Padang pada 5.16 petang semalam mengakibatkan kepanikan luar biasa di kalangan penduduk yang bertempiaran keluar menyelamatkan diri.

Maklumat daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) menunjukkan gempa itu berpusat di kilometer (km) 57 ke barat laut Pariaman di kedalaman 71 km.

Ini disusuli gempa bumi kedua sebesar 6.2 pada skala Richter pada 5.38 petang berpusat di kilometer 22 ke barat laut Pariaman di kedalaman 22km.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar memberitahu Bernama, semua 330 pelajar Malaysia yang rumah mereka runtuh dan sebahagiannya dilaporkan terbakar, kini berkumpul di kampus Universiti Andalas sebagai mematuhi arahan standard prosedur menghadapi bencana.

"Walaupun bangunan Fakulti Kedoktoran juga dilaporkan runtuh, tetapi kita telah meminta mereka berkumpul di kawasan berdekatan bagi memudahkan pengawasan sesama mereka dan mengambil tahu keadaan rakan masing-masing. Kita berkomunikasi terus menerus dengan mereka," katanya.

Namun, laporan stesen TV tempatan menyebut gempa itu mengakibatkan banyak bangunan tinggi yang runtuh termasuk sebuah hotel selain ribuan rumah juga runtuh atau rosak akibat gempa pertama dan gempa kedua beberapa minit kemudian.
Sehingga malam semalam, bekalan elektrik terputus dan talian telekomunikasi juga rosak mengakibatkan kota Padang berada dalam kegelapan.
Ada laporan televisyen menyebutkan beratus-ratus orang dikhuatiri tertimbus di celah runtuhan bangunan, manakala mereka yang selamat masih berhimpun di jalan-jalan lantaran tidak berani pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang dipetik media massa tempatan sebagai berkata amaran tsunami untuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan India telah pun ditarik balik.
Ini dilakukan selepas pemerhatian selama satu jam dilakukan dan didapati tidak berlaku perubahan besar gelombang di laut.
Bagaimanapun, BMKG tidak mengeluarkan amaran yang serupa. - Bernama

Petikan Kosmo

Lebih 770 mangsa korban gempa Padang
02/10/2009


ANGGOTA pasukan penyelamat Indonesia berusaha mengeluarkan mayat seorang gadis yang tertimbus dalam runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat di Padang, Sumatera Barat, semalam. Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap. – AFP

JAKARTA 1 Okt. – Angka korban akibat gempa bumi di Sumatera Barat masih belum dapat dipastikan dengan tepat namun dianggarkan kini ia mencecah lebih 770 orang.
Stesen televisyen tempatan TvOne menyatakan jumlah mangsa terkorban 467 orang, manakala jurucakap Jabatan Sosial, Tugiyo Bisri pula memberitahu 464 mangsa terbunuh dan 500 lagi cedera.
Tugiyo dipetik oleh CNN.com Asia hari ini sebagai berkata, kawasan yang paling teruk dilanda gempa ialah Padang dengan 376 orang terbunuh.
Bagaimanapun berdasarkan jumlah bangunan yang runtuh, korban dijangka mencecah ribuan.
Jurucakap Jabatan Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, ribuan mangsa dianggarkan terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Korban gempa Padang dijangka melebihi gempa di Yogyakarta yang berlaku pada tahun 2006 yang mengorbankan 6,000 orang dengan gempa hanya berkekuatan 6.3 skala richter.
Gempa yang melanda Sumatera Barat semalam adalah 7.6 skala Richter iaitu lebih kuat daripada gempa di Tasikmalaya pada awal bulan ini yang mengorbankan 123 orang.



AHLI keluarga menunggu untuk mengecam mayat-mayat mangsa gempa bumi yang ditempatkan di sebuah hospital di Padang, semalam. – REUTERS

Dalam pada itu satu lagi kejadian gempa dengan kekuatan tujuh pada skala richter turut berlaku selama 30 saat di Jambi dengan diikuti gempa susulan 5.5 skala richter.
Stesen televisyen tempatan melaporkan kesan daripada gempa tersebut teruk seperti yang dialami di Padang.
Di Padang, Lapangan Terbang Minangkabau telah dibuka semula pagi ini dan syarikat penerbangan Garuda terpaksa menyediakan penerbangan tambahan berikutan jumlah penumpang meningkat berkali ganda.
Dalam pada itu para pengusaha stesen minyak pula mulai mengambil kesempatan daripada bekalan yang berkurangan.
Seliter petrol dijual pada harga kira-kira RM5 iaitu kira-kira sekali ganda daripada harga biasa dan orang ramai juga terpaksa beratur panjang untuk mengisi minyak kenderaan mereka.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada sidang akhbar petang ini selepas mempengerusi mesyuarat bencana negara memberitahu Indonesia kini membuka bantuan daripada negara luar.
Naib Presiden, Jusuf Kalla pula menyatakan kerja-kerja menangani bencana itu dijangka mengambil masa sehingga dua bulan dan sepanjang tempoh itu kawasan terbabit diisytiharkan sebagai darurat.
Kompas.com pula melaporkan ratusan mangsa gempa yang menghuni kawasan bukit di Sungai Limau dan Geringging, Pariaman bakal dilanda krisis makanan.
Laporan itu yang memetik pemimpin tempatan, Tayung berkata, semua mangsa lari meninggal persisiran pantai ke kawasan bukit kira-kira tiga kilometer tanpa sebarang bekalan makanan.
Pariaman yang merupakan kawasan punca gempa menyaksikan kira-kira 90 peratus rumah musnah sama sekali.
Selain itu jalan utama ke Padang juga dilaporkan terputus berikutan sekurang-kurangnya lima kejadian tanah runtuh.
Utusan@BORHAN ABU SAMAH

No comments: