Wednesday, July 15, 2009

PESONA GREECE

GREECE semakin dikenali sebagai satu dari negara di Benua Eropah yang menarik untuk dikunjungi. Seperti negara Eropah lain, Greece menanti pengunjung dengan pemandangan dan landskap yang menarik, sisa peninggalan sejarah yang menakjubkan, pantai dihiasi laut membiru serta pulau peranginan yang mempesonakan. Dilengkapi pemandangan indah, sejarah tamadun bangsa yang hebat serta pulau yang cantik di samping kemudahan infrastruktur moden di semua bahagian negaranya menjadikan Greece semakin mendapat tempat di hati mereka yang gemar melancong.

Kemudahan sistem pengangkutan awam membolehkan anda menerokai setiap pelosok negara ini dengan mudah. Apatah lagi, bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar kedua menjadikan pelancong tidak menghadapi masalah komunikasi. Musim bunga dan luruh adalah waktu paling sesuai untuk berkunjung ke sini kerana banyak pesta dan acara berlangsung. Satu acara paling penting ialah Pesta Hellenic, yang menawarkan pelbagai acara seperti Festival Athens dan Pesta Epidaurus membabitkan muzik serta teater. Peluang berkunjung ke Greece selama tujuh hari bersama agensi pelancongan Parlo Tours Sdn Bhd umpama `bulan jatuh ke riba’ sekali gus membolehkan penulis melihat sendiri sisa peninggalan tamadun rakyat negara itu yang dianggap antara lagenda dan sejarah.

Sepanjang perjalanan kira-kira 30 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos ke hotel di pusat bandar Athens, penulis dapat menyaksikan kehebatan sisa tinggalan bersejarah yang dipulihara dengan baik walaupun sudah berusia lebih 8,500 tahun. Peninggalan lampau, iaitu kehebatan seni reka dan seni bina masyarakat purba Greek yang megah tersergam itu ternyata menjadi daya tarikan hebat bagi pelancong ke negara itu. Antaranya, Acropolis, Parthenon dan Muzium Arkeologi Negara yang terletak di Athens yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Tapak Warisan Dunia. Malah, setiap pelosok wilayah di Greece mempunyai sisa tinggalan tamadun purba yang menarik untuk dilawati. Sepanjang berada di Greece, jadual rombongan kami padat dengan lawatan ke Constitution Square, The Parliament, Stadium Olimpik, Tapak Warisan Dunia Acropolis, Parthenon selain bersiar-siar di sekitar bandar raya Athens sebelum bertolak ke Kalambaka, sebuah bandar kecil yang terletak di kaki gunung Meteora.

Di sini, kami terpegun menyaksikan keindahan batu-batu gunung pelbagai bentuk dan ada yang seolah-olah tergantung di udara. Dari Kalambaka, perjalanan diteruskan ke satu lagi daerah iaitu Delphi untuk menyaksikan tapak arkeologi dan muzium purba sebelum bertolak ke daerah yang sangat ditunggu-tunggu iaitu Olympia untuk melawat stadium purba di mana sukan Olimpik pertama berlangsung. Sepanjang lawatan itu, rombongan kami juga melakukan `pemeriksaan’ ke atas kira-kira 18 buah hotel bagi melihat kemudahan yang disediakan bagi membolehkan Parlo Tours memilih hotel sesuai untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan itu ke Greece. Ternyata, kebanyakan hotel di sini masih baru dan dilengkapi pelbagai kemudahan terkini. Malah, hotel bertaraf tiga bintang juga cukup selesa dan di luar daripada jangkaan. Tidak sah berkunjung ke Greece jika tidak melawat pulau.

Greece mempunyai lebih dari 2,000 pulau yang sangat cantik dan anda boleh bertanyakan pemandu pelancong pulau mana yang sesuai untuk dilawati. Tarikan magis Greece menanti anda sebaik menjejakkan kaki di negara itu. Yang penting anda menyusun jadual lawatan yang baik untuk menjelajah segenap pelosok Greece. Bagi memudahkan lawatan anda, khususnya yang pertama kali melancong ke Greece, syarikat pelancongan Parlo Tours menyediakan pakej lawatan yang menarik. Semua ini akan meninggalkan kenangan manis dan anda tidak akan melupakan Greece buat selama-lamanya. Mereka yang berminat melancong ke Greece boleh melayari laman web www.parlotours.com.my atau mengunjungi booth Parlo Tours pada Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2009 (Matta Fair 2009) yang berlangsung mulai 13 hingga 15 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

FAKTA: Greece

· Sebahagian dari Empayar Uthmaniyah yang menguasai negara itu kira-kira 400 tahun sebelum dibebaskan pada 1829

· Dikuasai pemerintahan Jerman dari 1941 hingga 12 Oktober 1944.

· Kemerdekaan sepenuhnya dicapai pada 1975 apabila sistem monarki dihapuskan dan demokrasi mengambil alih corak pemerintahan

· Dikenali sebagai ‘buaian kepada tamadun barat’

· Melalui peristiwa sejarah yang panjang dan mewarisi pengaruh dari negara di Eropah, Amerika Utara dan Timur Tengah.

· Terletak di Semenanjung Balkan, bersempadan dengan Turki di bahagian timur, Albania, dan bekas Republik Yugoslavia iaitu Macedonia dan Bulgaria di utara.

· Di sepanjang pantai timur dan selatannya terdapat Lautan Aegean manakala Laut Ionian di barat.

· Dikenali sebagai tempat kelahiran Sukan Olimpik.

· Pelancong boleh merasai suasana di dua dunia berbeza apabila melawat ke stadium baru, tempat berlangsungnya Olimpik 2004 dan melawat Olympia, lokasi asal bermulanya Sukan Olimpik pada 776 Sebelum Masihi (SM)

No comments: