Selasa, 28 April 2020 | 8:16am
Perjalanan darat Mat Noe ke Kelantan |
KOTA BHARU: Akibat hilang
pekerjaan sejak sebulan lalu dan dihimpit masalah kewangan, seorang lelaki
nekad pulang ke kampung halaman dengan berjalan kaki membabitkan perjalanan lebih
400 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Lelaki berusia 20-an yang
berasal dari Kampung Lawang, Jedok Tanah Merah itu dikatakan memulakan
perjalanan sejak kelmarin selepas mendapati bas ekspres ke Kelantan di Bandar
Tasik Selatan (BTS) tidak beroperasi, memandangkan tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP). Lelaki itu menganggarkan perjalanannya mengambil masa tiga
hari 20 jam untuk tiba di kampungnya sekiranya hanya dengan berjalan kaki.
Lelaki berkenaan yang dipercayai
bekerja di Shah Alam pada asalnya mahu pulang mengikut jalan biasa iaitu
Lebuhraya Karak, namun sesat sehingga melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
dan tiba di Ipoh, Perak petang semalam. Tindakan nekad itu dikongsi sendiri
oleh pemuda berkenaan melalui Facebook miliknya yang dikenali sebagai Matnoe
Poksu Din. Menerusi status yang
dimuatnaik pemuda berkenaan, dia berjalan kali dari Kuala Lumpur sebelum
berhenti tidur di Ipoh selepas sesat dan terlalu penat selain kasut yang
dipakai juga terkoyak.
Kasut Mat Noe terkoyak di lebuh raya |
Lelaki berkenaan turut memaklumkan sepanjang
perjalanan di Lebuhraya PLUS, dia cuba menumpang lori untuk menumpang balik,
namun gagal. Difahamkan, sebaik tiba di Ipoh, ada anggota bomba yang simpati
dan mahu menghantarnya sehingga ke Gerik, memandangkan kisah pemuda berkenaan
sudah tular di media sosial.
Lelaki itu turut memaklumkan pada
jam 11 malam tadi, sebuah lori ayam dari Pulau Pinang turut membantu
menumpangkannya dari Gerik ke Tanah Merah. Difahamkan, lelaki berkenaan sudah
tiba di kampungnya awal pagi tadi.
Matnoe Poksu Din |
Sementara itu, menurut seorang
wanita dipercayai isterinya, Sara Anisa memaklumkan suaminya mengambil
keputusan untuk pulang selepas sebulan tidak bekerja.
"Suami aku buat kerja gila,
jalan kaki balik kampung. Sekarang ni dalam perjalanan ke Gerik. "Gila
kepala memikir. Duduk Kuala Lumpur pun tauke halau dah, sebulan dah tak kerja
kan.. Tauke pun halau la dari rumah yang dia beri duduk tu. Duit pun tak ada
nak buat makan. Jadi keputusan dia, jalan kaki nak balik rumah," katanya
menerusi status di Facebook.
No comments:
Post a Comment