Thursday, April 03, 2014

Tak berhenti cari MH370

Daripada M Thilinadan di Perth

Malaysia beri jaminan akan teruskan pencarian

Perth: Malaysia semalam memberi jaminan bahawa ia tidak akan berhenti mencari MH370 selagi tidak tahu apa yang berlaku kepada pesawat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia berhutang kepada dunia dan keluarga 239 penumpang dan kru MH370 yang mahukan jawapan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan. 

“Kami berada di sini hari ini, tetapi ingatan kami beribu-ribu kilometer di luar sana. Di bandar raya dan negara di seluruh dunia, tatkala anggota keluarga mereka yang berada dalam pesawat sedang resah menunggu berita, mengenai betapa luasnya Lautan Hindi, tempat MH370 sedang menunggu. 

“Saya tahu, selagi pesawat tidak ditemui, banyak keluarga tidak boleh mula berkabung. Saya tidak dapat bayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui. Tetapi saya berjanji kepada mereka yang kami tidak akan berputus asa dan mengalah,” katanya.

Najib berkata, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, turut memberi komitmen bahawa mereka juga tidak berhenti selagi Malaysia mahu meneruskannya.

Satukan pelbagai negara

Sambil menyifatkan pencarian MH370 sebagai operasi paling besar dalam sejarah penerbangan dunia, beliau berkata, ia juga menyatukan pelbagai negara untuk satu matlamat.

“Perbezaan diketepikan pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Tatkala berdepan tragedi ini, bagi negara yang warga mereka berada dalam pesawat dan anggota keluarga tersayang mereka hilang, kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita,” katanya pada sidang media bersama Abbott dan wartawan Malaysia di sini, semalam.

Najib juga menjelaskan, kerajaan tidak membuat kesilapan mengenai kedudukan terakhir MH370 kerana ia berdasarkan pendapat pakar pelbagai negara yang mengkaji dan menganalisis data satelit serta input pembuat kapal itu (Boeing).

“Saya ingin katakan kita tidak pernah membuat perhitungan salah. Ini adalah teknologi dan analisis baharu. Ia memberi kita harapan baharu kerana lokasinya lebih spesifik (selatan Lautan Hindi). Ia mungkin berubah dari semasa ke semasa mengikut hasil siasatan,” katanya.


Australia pimpin misi

Perdana Menteri turut mengumumkan Malaysia bersetuju melantik Australia sebagai negara yang akan memimpin dan menyelaras misi mencari MH370 di Lautan Hindi.

“Australia menunjukkan kesanggupan luar biasa, termasuk menyediakan aset, kepakaran dan menyelaras misi di fasa ini yang membabitkan tujuh negara.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Abbott atas persetujuan mengetuai operasi ini dan menerima undangan kami untuk turut serta sebagai wakil bertauliah dalam siasatannya. Pada waktu yang sukar ini, Australia terbukti sahabat yang amat bernilai. 

“Kami amat berterima kasih kepada mereka yang membawa bersama-sama pakar mereka untuk merungkai apa yang disebutkan Perdana Menteri Abbott sebagai satu daripada misteri paling luar biasa pada masa kini,” katanya.

Ditanya sama ada Malaysia tetap mengetuai operasi mencari dan siasatan kehilangan pesawat itu Najib berkata, di bawah undang-undang antarabangsa, Malaysia bertanggungjawab untuk mengetuai operasi dan siasatan, tetapi disebabkan misi mencari kini di Lautan Hindi, ia diwakilkan kepada Australia. 

Mengenai bateri yang menjana isyarat pada kotak hitam hanya boleh bertahan lima hari lagi, Perdana Menteri berkata: “Kita mungkin perlu menggunakan sonar, iaitu teknologi robotik seperti ‘drone’ tanpa pemandu untuk mencari di dasar laut.”

No comments: