Flashback :
MAINS Fatwakan Syiah Imamiah Sesat
Banyak orang bertanya, kenapa hukuman terlalu keras terhadap syiah imamiah sehingga menjadi sesat dan kafur?. Manakala pengikutnya tidak diiktiraf sebagai umat Islam sebenar.
Sudah banyak ulama menjawab masalah ini sejak beratus tahun yang lalu sehingga sekarang. Pelbagai buku ditulis dan diterbitkan tidak kurang pula institusi pengajian tinggi Islam menjadikan kajian kepelbagaian pendapat dalam beragama bagi menyerlahkan lagi kesesatan syiah.
Bagaimanapun suasana dunia tanpa sempadan mutakhir ini menyebabkan dakyah syiah mudah menular ditambah lagi bantuan barat yang sememangnya mahukan Islam ini hancur atau umat Islam mengikut kehendak Barat. Dalam kesempatan ini syiah imamiyah, golongan syiah paling ramai di dunia yang kini dipelopori oleh negara Iran.
Kesesatan Syiah Imamiah dapat dilihat apabila ulama mereka mendakwa al-Quran yang dimiliki oleh umat Islam pada hari ini tidak sempurna sebaliknya menegaskan al-Quran versi mereka adalah paling sempurna.
Pengerusi Akidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin Al Maliki As Sanusi, baru-baru ini berkata mereka (syiah imamiah) mendakwa al-Quran yang ada pada umat Islam hari ini tidak lengkap dan ulama mereka memiliki versi al-Quran sebanyak 90 juzuk berbanding 30 juzuk yang ada ketika ini.
“Syiah Imamiah mendakwa bahawa al-Quran yang dimiliki kita pada hari ini tidak sama dengan al-Quran yang mereka miliki. Kalau itu dakwaan mereka, apa jenisnya agama yang mereka bawa.
“Fahaman lain walaupun bercanggah pendapat dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka tidak pernah mendakwa bahawa al-Quran yang ada pada kita tidak sempurna. Jika ada pun perselisihan faham terhadap maksud ayat (tafsir) dalam al-Quran,” tegasnya.
Syeikh Muhammad Fuad, berkata beliau menghimpunkan penyelewengan dan kesesatan kumpulan itu yang diperoleh dalam kitab Syiah Imamiah sendiri dan menerbitkan sebuah buku bertajuk Doktrin Syiah Imamiah sebagai penjelasan terhadap pembohongan yang dilakukan kumpulan ekstrem ini.
Syeikh Muhammad Fuad berkata, Syiah Imamiah tidak boleh disamakan dengan Mazhab Maliki, Hanafi, Shafie dan Hambali tetapi ia terkeluar dalam ruang litup mazhab yang sahih dalam Islam, malahan terlalu ekstrem dan bahaya. Syiah imamiah mendakwa khalifah selepas Rasulullah SAW ditentukan melalui wasiat, yakni daripada Rasulullah SAW dan Allah SWT.
Dalam penjelasan itu beliau berkata, apabila Saidina Abu Bakar menjadi khalifah dan bukan Saidina Ali r.a, maka golongan Syiah Imamiah mengkafirkan Saidina Abu Bakar dan majoriti para sahabat Rasulullah SAW, sedangkan Saidina Ali telah bersetuju dengan pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.
“Golongan ini mendakwa bahawa imam mereka adalah seramai 12 orang selepas kewafatan Rasulullah SAW. ‘Imamah’ itu dijadikan sebagai salah satu kemestian dalam rukun mereka.
“Tiada bab ‘imamah’ dalam Rukun Islam kita.
“Dalam rukun mereka, juga ada lima tetapi mengeluarkan perkara mengucap dua kalimah syahadah dan digantikan dengan rukun kelima mereka iaitu ‘imamah’ yakni kepemimpinan. Rukun kelima mereka inilah menegaskan bahawa mereka wajib melantik pemimpin yang telah diwasiatkan dan ditentukan oleh Rasulullah SAW.
“Kita yang berpegang kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), kepemimpinan selepas Rasulullah SAW diserahkan urusannya kepada majoriti umat Islam dalam kalangan para sahabat, pembesar sahabat yang mampu menghuraikan kebuntuan dalam berhadapan permasalahan umat,” tegas Syeikh Muhammad Fuad.
Syiah imamiah adalah satu golongan yang doktrinnya mewajibkan mereka berbohong, berdusta bagi menyelamatkan diri dan pada masa yang sama, boleh hidup dalam kelompok ASWJ di atas sifat penipuan itu.
No comments:
Post a Comment