Monday, March 24, 2014

MH370 : Pengesan Sonar Mampu Kesan MH370 Jika Terjunam Ke Lautan Hindi, Hanya AS Mempunyai Peralatan Tersebut


Pengesan sonar mampu kesan MH370 jika terjunam ke Lautan Hindi
Pakar Geostrategis, Dr Azmi Hassan yakin dengan penggunaan alat pengesan sonar, pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi dapat dikesan.

Beliau berkata, hanya Amerika Syarikat mempunyai peralatan tersebut di mana ianya "boleh menjunam ke dalam laut antara 4,000 sehingga 6,000 meter" untuk mengesan sebarang objek yang terbenam.

“Contohnya, apabila alat itu terkena satu objek, katakanlah kapal terbang, bunyi akan dibalikkan kembali…dengan cara itu, kalau ada kapal terbang berdekatan dengan keadaan bunyi yang dikeluarkan, sonar itu dapat mengesannya…hantaran isyarat yang diterima itu berbeza bergantung kepada objek yang dikesan.

“Itu sajalah peralatan yang boleh digunakan kalau ia jauh di dalam (laut) tanpa ada isyarat kecemasan dikeluarkan (daripada kotak hitam)” katanya selepas diwawancara dalam program BernamaTV 'Ruang Bicara' bertajuk 'Kotak Hitam' yang disiarkan secara langsung di Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau berkata, pencarian kotak hitam boleh dilakukan secara manual dengan menggunakan peralatan tertentu jika ianya gagal ditemui dalam tempoh 30 hari.

Azmi berkata, kotak hitam itu juga boleh dikesan dengan secara manual jika lampu isyarat perakam penerbangan itu berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari.

Ini dilakukan pada kapal terbang Airbus A330-203 milik Air France AF477 yang terhempas dalam Lautan Atlantik pada 2009, di mana kotak hitamnya ditemui selepas hampir dua tahun, iaitu 23 bulan, selepas kapal terbang itu hilang.

Kapal terbang itu, yang membawa 228 orang, dalam perjalanan dari Rio de Janeiro, Brazil ke Perancis.

Azmi berkata, kotak hitam itu yang diperbuat daripada titanium dan keluli serta dilapisi bahan tahan api, boleh menahan hentakan yang kuat sehingga 3,000 kali, serta masih mampu mengeluarkan isyarat jika jatuh hingga kedalaman 6,000 meter.

Katanya, ia mampu bertahan sehingga 2,000 darjah Fahrenheit dalam sesuatu kebakaran.

Beliau berkata, hampir 95% kotak hitam dapat ditemui dalam kemalangan yang melibatkan kapal terbang.

Pesawat Boeing 777-200ER milik MAS, yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarbangsa KL pada 8 Mac.

Penerbangan itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. - The Malaysian Insider

No comments: