Penginapan sementara di RMH
Datin Hjh Fadilah Othman (belakang enam dari kanan) dan Chan Chee Chin (tiga dari kanan), berserta kanak-kanak yang diraikan di Rumah Ronald McDonald, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
utusanonline 06102011
Bermalam di hospital kerana menjaga ahli keluarga yang sedang sakit memang agak kurang selesa apatah lagi jika membabitkan tempoh masa yang lama dan jarak rumah yang jauh untuk berulang-alik.
Prihatin terhadap masalah itulah maka diwujudkan apa yang dikenali sebagai Rumah Ronald McDonald (RMH) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang memberi penempatan sementara lebih selesa kepada ibu bapa dan kanak-kanak yang menjalani rawatan di hospital.
Keutamaan diberi kepada keluarga kanak-kanak yang mengalami sakit serius dan tinggal jauh dari luar Kuala Lumpur.
Sejak dibina pada tahun 1999, lebih 400 kanak-kanak yang mengalami penyakit serius telah mendapat bantuan dan keselesaan ketika menjalani rawatan di PPUKM dengan ditemani oleh keluarga masing-masing.
Kehadiran RMH yang terletak di perkarangan PPUKM itu, membolehkan ibu bapa terus berada di sisi anak-anak mereka yang sedang menjalani rawatan dan menginap di tempat yang lebih selesa dengan bayaran minimum hanya RM5 untuk satu malam.
Pengerusi RMH - PPUKM, Datin Hjh Fadilah Othman berkata, RMH ialah penginapan sementara untuk keluarga kanak-kanak yang menerima rawatan di PPUKM.
"Saya menyeru semua keluarga untuk menggunakan kemudahan ini kerana ia dapat mengurangkan perbelanjaan berulang alik ke hospital dan beban kewangan semasa anak-anak mereka menerima rawatan di sini," katanya pada majlis rumah terbuka RMH baru-baru ini.
Pada majlis tersebut 10 keluarga yang menginap diraikan dengan penuh meriah oleh kakitangan McDonald's Malaysia dan PPUKM.
Hadir sama Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC), Chan Chee Chin serta anak-anak yatim dari Rumah Bakti Nur Syaheera dan rakan-rakan RMH.
Fadilah berkata, RMH yang bernilai RM2 juta itu mempunyai 19 buah bilik dengan pelbagai kemudahan.
Semua bilik mempunyai tiga katil dilengkapi dengan bilik air, dapur, bilik mainan kanak-kanak, bilik membasuh kain, surau dan ruang televisyen.
Menurut Fadilah, banyak kerja pengubahsuaian telah dilakukan di rumah ini dalam tempoh beberapa tahun lalu.
Ia bagi memperkukuhkan kedudukannya sebagai 'Rumah Yang Dibina Dari Kasih Sayang'.
Sementara itu Chee Chin berkata, RMH-PPUKM ini merupakan program pertama dan satu-satunya di rantau Asean.
Katanya, rumah ini merupakan penginapan sementara umpama "rumah-yang-berjauhan-dari-rumah" untuk keluarga dengan anak-anak yang menjalani rawatan di hospital yang berhampiran.
Ia membolehkan keluarga meluangkan masa bersama anak-anak dan ini dapat membantu anak-anak untuk sembuh dengan baik dan cepat.
Hingga kini terdapat 284 buah RMH di 30 negara.
"RMH merupakan satu inisiatif unik yang menyediakan kemudahan yang amat diperlukan oleh penghuninya.
"Dalam masa yang terdekat ini kami berharap untuk mendapat sokongan daripada rakan RMH dan sukarelawan bagi memainkan peranan lebih aktif sebagai satu langkah menjadikan RMH lebih bermakna untuk masyarakat setempat," katanya.
Sementara itu salah seorang ibu yang ditemui, Jamilah Abdul Wahab berkata, ahli keluarganya berasa selamat dan selesa semasa menginap di RMH tiga tahun lalu ketika salah seorang anaknya menjalani rawatan di PPUKM.
"Persekitaran yang seperti berada di rumah sendiri dan berkongsi bumbung bersama keluarga lain yang turut mengalami nasib g sama memberikan kami kekuatan dan sokongan dalam membantu anak kami Auni Anisa Rizal pulih daripada penyakitnya," katanya.
Sempena rumah terbuka tersebut, tetamu jemputan telah dibawa melawat sekeliling RMH manakala kanak-kanak dan anak-anak yatim dihiburkan dengan penampilan khas Ronald McDonald.
Bagi memeriahkan lagi perayaan, RMHC Malaysia telah menyumbangkan cek bernilai RM3,000 untuk pembelian buku perpustakaan Rumah Bakti Nur Syaheera.
No comments:
Post a Comment