Monday, August 01, 2011

GARAM BUKIT BARIO YANG UNIK

Telaga garam tidak pernah kering



URAT kasar di tangan sasa Tinus Beram, 46, timbul apabila dia mengangkut baldi berisi air masin yang ditimba dari telaga berhampiran.
Sebaik sahaja baldi mencecah tanah, Tinus dibantu isterinya, Ramina Tingang, 43, cermat mencurahkan air dari baldi ke dalam tong dram yang telah dibelah dua sekali gus menjadi periuk untuk menjerang air.
Menurut pasangan Kelabit ini, untuk menghasilkan garam bukit, air yang diambil daripada telaga air masin perlu dimasak dengan api sederhana besar selama sehari semalam.
Air masin yang sudah dimasak selama 24 jam mengalami proses pengkristalan di mana air tadi akan bertukar ke butiran garam halus. Pada fasa ini, proses bertambah rumit kerana air yang dimasak perlu sentiasa dipantau untuk mengelak kristal garam menjadi kering dan hangus.
"Api perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh terlalu besar atau terlalu kecil. Ia juga perlu dimasak dalam tempoh yang ditetapkan kerana garam yang kurang masak akan menurun kualitinya.
"Kami percaya lebih lama ia dimasak, lebih bagus garam yang dihasilkan kerana ia cukup kering dan tahan lebih lama," ujar Tinus.
Pada jam-jam terakhir, air masin tadi akan bertukar menjadi kristal halus garam.

Ketika ini, garam terus dikacau sehingga airnya hampir kering. Selepas itu, ia dipindahkan ke bekas lain untuk disejukkan.
Setelah sejuk, dengan menggunakan sudu, garam dimasukkan ke dalam sebatang buluh berukuran 30 sentimeter (sm) dengan diameter 4sm.

Rentung

Selepas itu, buluh itu dilubangkan di ruas bawahnya menggunakan paku kecil supaya air lebihan masakan garam tadi dapat ditapis keluar.
Selesai garam ditoskan, buluh tersebut dibakar dengan bara api, kaedahnya tidak ubah seperti memasak lemang.
Bezanya di sini, lemang garam tersebut dibakar sehingga buluh tersebut rentung dan pecah.
"Kami bakar garam dalam buluh untuk mengering dan mengeraskan garam," kata Tinus.
Siap sahaja membakar, garam yang sudah mengeras seperti silinder dikeluarkan dari buluh dan dilayurkan pula di atas bara api selama 15 minit.
Jelas Tinus, proses tersebut dilakukan untuk mengeluarkan kesan hitam dari buluh yang rentung tadi.
Usai melayur, garam yang sudah keras seakan batu itu dibiarkan sejuk.

Sesudah itu, Ramina akan membelek batang-batang garam tersebut. Jika ada kesan hitam yang masih tertinggal, dia akan membersihkannya dengan mengikis menggunakan pisau.
"Garam yang putih bersih ini boleh dijual manakala yang hitam ini kami gunakan untuk masak sayur," kata Ramina.
Selepas sejuk, batang-batang garam tadi dibungkus menggunakan daun ilad yang bentuknya seperti daun pokok kipas lebar.
Daunnya yang masih hijau dikoyakkan selebar 20sm bagi membalut ketulan silinder garam.

Tidak kering
GARAM yang telah disejukkan dimasukkan ke dalam buluh.
Balutan tersebut dikemaskan lagi dengan ikatan daripada buluh yang telah diraut halus, tidak ubah seperti membalut lepat pulut.
Menurut seorang pengusaha garam bukit berpengalaman, Pintanaran Sorok, 60, kalau kena cara menyimpannya, garam bukit boleh tahan sehingga bertahun-tahun.
"Warnanya tidak berubah, ia tidak hapak malah kadar kemasinannya tetap sama seperti hari pertama

ia disimpan," ujarnya yang telah menghasilkan garam bukit sejak lebih 40 tahun lalu.
Menyifatkan telaga air masin itu sebagai lubuk rezeki bagi masyarakat setempat, Pinataran yang juga berketurunan Kelabit memberitahu, air telaga tersebut tidak pernah kering.
"Penduduk juga percaya kalau tanah di kawasan ini digali, ia juga akan mengeluarkan air masin," katanya.
Di sebalik kerjaya sebagai pengusaha garam bukit, sebenarnya banyak tugas yang perlu dilaksanakan sebelum, semasa dan selepas memasak garam.
Richard Peter, 37, yang sudah lebih 20 tahun membuat garam di Kampung Pa' Umor mengakui bukan mudah membuat garam bukit.

Kurang tidur
TINUS tekun membungkus ketulan garam dengan daun ilad.
"Kerjanya bukan sahaja banyak malah menuntut ketekunan, semangat kerja dan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi.
"Dua minggu sebelum masuk ke rumah garam, kami perlu mencari kayu api di hutan dan membawanya ke mari dengan menggunakan kerbau.
"Kayu yang biasa digunakan ialah kayu laban dan kayu rhu hutan," jelas Richard.
Ketika air masin dimasak , lain pula cabarannya. Biasanya pengusaha garam akan duduk di sini selama dua minggu.
"Dalam tempoh itu, kami akan bawa keluarga tinggal bersama.
"Di sinilah kami bekerja, rehat, makan dan juga tidur," ujarnya sambil menunjukkan rumah yang hanya terdapat dua pelantar kayu dan enam tungku memasak di dalamnya.
"Dalam masa 24 jam, air perlu ditambah sebanyak tiga kali iaitu pada waktu pagi, petang dan tengah malam atau awal pagi.
"Selain air, nyalaan api juga perlu sentiasa dipastikan tidak terlalu kecil atau terlalu besar.
"Sumber makanan di sini juga terhad dan kami hanya makan sayuran yang dipetik sekitar kawasan rumah garam. Biasanya rebung dan umbut menjadi makanan kami," ceritanya yang masih mengekalkan cara menghasilkan garam bukit mengikut tradisi kaum Kelabit.
GARAM perlu ditoskan sehingga kering sebelum boleh dibakar.
Begitupun, dalam tempoh berkenaan, kira-kira 200 hingga 230 batang garam boleh dihasilkan.
Setiap sebatang dijual antara RM10 hingga RM15, bergantung pada saiznya. Ini bermakna, pembuat garam boleh memperoleh pendapatan lebih kurang RM2,000 hingga RM2,300 dalam tempoh tersebut.
Garam itu dijual di pasaran tempatan terutamaya warga Bario yang majoritinya orang Kelabit dan Penan.
Ada juga garam yang dijual hingga ke Miri dan Kuching, namun harganya meningkat dua ke tiga kali ganda.
Menjelaskan fenomena pembentukan telaga air masin di kawasan bukit, mantan Ketua Jabatan Geologi , Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mohd. Ali Hasan berkata, ia mungkin berlaku disebabkan oleh kewujudan mineral garam asli yang terdapat di kawasan tersebut.
"Telaga air masin di kawasan tanah tinggi kaya dengan iodin dan banyak yang diproses menjadi garam bukit.
"Ia memang bagus untuk tubuh bahkan boleh dijadikan asas kepada pelbagai makanan kesihatan lain," katanya.

TELAGA air masin di Kelabit Highlands ini tidak pernah kering.


MENURUT Ramina, walaupun proses penghasilannya sukar, garam bukit Bario menjanjikan pulangan lumayan.

1 comment:

Ho Sai Wai said...

Boleh tanya yempat yang buat garam ni dekat mana? sebab memang minat tangkap gambar-gambar yang sebeitu

terima kasih