Thursday, August 11, 2011

BAKAT UNIK KURNIAAN TUHAN

Siti Aishah, Aliah melukis guna kaki sara hidup

 KATA orang, di sebalik kekurangan seseorang, pasti ada kelebihan yang dikurniakan Tuhan bagi menutup kekurangan itu. Justeru, bagi yang ada kekurangan diri usah cepat berputus asa mahu pun menyesali takdir yang ditentukan terhadap dirinya.
Kekurangan dimiliki itu ada kala boleh dijadikan peniup semangat untuk lebih berjaya dan membuktikan ia tidak sedikit pun menjadi batu penghalang. Kisah dua wanita muda, Siti Aishah Yaakob, 36, dan Aliah Talib, 26, yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan sempurna tetapi boleh berdikari serta tidak mengharapkan ihsan orang lain antara yang harus dijadikan teladan.                                                                                   Walaupun dari pandangan luaran, kedua-duanya dilihat ada kekurangan, jauh di dalam diri mereka tersimpan kelebihan dan bakat yang layak meletakkan mereka cukup istimewa berbanding orang lain.

Kedua-duanya, mempunyai keajaiban bakat semula jadi iaitu boleh melukis menggunakan kaki. Ternyata, sekali pun tanpa tangan, Aliah dan Siti Aishah masih boleh menyerlahkan kreativiti dan bakat seni mereka untuk menghasilkan lukisan yang cantik dan memikat hati.

Melihat, hasil karya lukisan mereka mungkin ada yang tidak sangka atau percaya ia dilukis menggunakan kaki tetapi itulah kenyataannya. Malah, insan normal yang melukis menggunakan tangan, belum tentu lagi dapat menandingi hasil karya sehebat Aliah dan Siti Aishah.
Dengan bakat melukis itulah juga mereka ada sumber pendapatan sendiri untuk menampung kehidupan, semakin mencabar hari ini.

“Kesenian saya membayangkan keindahan hidup walaupun menghadapi kesukaran dan saya berbangga dengan pencapaian itu dan apa yang saya boleh lakukan hari ini,” kata Aliah yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Aliah dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, mengidap kecacatan dari segi ketinggian dan tulang belakang. Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), ia tidak pernah dijadikan alasan untuk bergantung sepenuhnya kepada keluarga sebalik Aliah berusaha berdikari.

Anak bongsu daripada tujuh beradik ini juga tidak berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah dan hanya belajar membaca serta menulis daripada adik-beradik yang lain. Namun, sejak usia enam tahun lagi dia gemar melukis dan sering melukis gambar kartun bagi mengisi masa terluang.

“Ada pensil dan kertas, mulalah saya menconteng. Ketika kecil saya tidak kisah dan nak fikir idea apa, lukis saja apa yang terlintas pada fikiran. Setiap kali melukis saya berasa bersemangat dan puas,” katanya.

Apabila usia menginjak 16 tahun, Aliah berpeluang mengikuti kursus kelas lukisan di Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan Bangi (PLPP), Selangor.

Pada 2007, Aliah menyertai Mouth & Foot Painting Artists Sdn Bhd (MFPA), sekali gus minatnya dalam melukis semakin berkembang sehingga berjaya menghasilkan pelbagai lukisan kerana mendapat banyak bimbingan, termasuk daripada pelukis terkenal.

Bagi menghasilkan lukisan, Aliah menggunakan pelbagai medium, termasuk cat air, batik, kanvas dan akrilik. Aliah melukis, mewarna dan memberus, semuanya dilakukan dengan kaki. Di celah jari kakinya, bagaikan tersimpan satu kekuatan.
Foto
Aliah
“Tidak sukar bagi saya menggunakan kaki untuk melukis kerana saya sememangnya sudah biasa menggunakan anggota badan itu dalam melakukan aktiviti seharian,” katanya yang turut mengimpikan membuat pameran solo suatu hari nanti.

Aliah kini menyambung kursus dan meningkatkan kemahiran dalam membuat batik di PLPP. Baginya, untuk berjaya sebagai pelukis menimba ilmu dan mencari kemahiran perlu berterusan.

Siti Aishah yang berasal dari Gua Chempedak, Kedah juga cacat kedua-dua belah tangannya sejak dilahirkan. Seperti mana Aliah, anak ketiga daripada tujuh beradik ini juga menggunakan kakinya untuk melukis dan mewarna serta melakukan kerja harian.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan, Gua Chempedak itu memberitahu, minat melukis bermula sejak di bangku sekolah lagi. Lukisan sudah siap biasanya dihadiahkan kepada cikgu atau kawan yang menyukai hasil karya seninya, yang kebanyakan memaparkan pemandangan semula jadi, flora dan fauna serta kedamaian suasana kampung.

“Walaupun minat melukis, di sekolah saya tidak pernah ambil subjek lukisan kerana ketika itu tidak berani dan tiada keyakinan dengan kebolehan diri sendiri,” katanya sambil ketawa mengingatkan kisah silam.

Siti Aishah berkata, minat dan bakat kreatif itu mungkin diwarisi daripada keluarga kerana bapanya sendiri adalah tukang rumah dan abang kedua, guru lukisan manakala adik -eradik yang lain semuanya boleh melukis walaupun tidak memberikan tumpuan khusus dalam bidang itu.

Siti Aishah
“Walaupun abang guru lukisan, saya tidak pernah pun belajar melukis daripadanya. Saya rasa tidak selesa belajar dengannya, lagipun abang agak garang,” katanya ketawa lagi.

Siti Aishah berkata, disebabkan minat dengan kerja seni, dia mengikuti kursus bengkel jaya diri Tunjang di Jitra sebaik tamat tingkatan enam bagi mempelajari seni jahitan dan mengikuti kursus di PLPP dalam seni membuat batik.

Siti Aishah kemudian menyertai MFPA dan sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada pelukis terkenal seperti Raja Azhar Idris serta Abdul Latiff Maulan, yang terkenal dengan hasil lukisan cat minyak dan arkilik.

“Perkenalan kami bermula apabila saya pergi ke galeri Raja Azhar untuk melihat hasil lukisannya. Melalui Raja Azhar saya berkenalan dengan Abdul Latif.

“Mereka berdua bukan saja tidak lokek ilmu malah selalu memberikan dorongan. Saya bersyukur kerana sentiasa berjumpa dengan orang yang memberikan sokongan,” ujar Siti Aishah turut berterima kasih kepada beberapa individu lain yang sentiasa meniupkan semangat kepadanya untuk berjaya dalam bidang seni lukisan.

Kenang budi MFPA

BIARPUN sudah berjaya dan mampu berdikari, baik Siti Aishah mahu pun Aliah, kedua-duanya mengakui, tanpa bantuan dan menjadi ahli Mouth & Foot Painting Artists Sdn Bhd (MFPA), mereka mungkin tidak berupaya berada di tahap sekarang dan mempunyai pendapatan tetap.

Sejak menyertai MFPA, akui mereka, pelbagai ilmu baru ditimba dan semakin luas pengetahuan serta rangkai kerja diwujudkan. Semua itu penting bagi mereka terutama untuk membina tapak kukuh dalam bidang sendiri, sekali gus menjadi pelukis profesional dan bertaraf antarabangsa suatu hari nanti.

Pihak pengurusan MFPA akan mengumpul hasil karya lukisan yang dihantar ke ersatuan itu sama ada untuk dijual atau dicetak semula untuk dijadikan kad ucapan perayaan, termasuk kad Hari Raya dan Tahun Baru Cina atau kertas pembalut hadiah, kalendar, poster dan jigsaw puzzles.

Kata mereka, ahli boleh menghantar seberapa banyak lukisan yang dihasilkan dan melalui usaha itu, MFPA akan menilai perkembangan hasil karya serta prestasi mereka sebagai seorang pelukis. MFPA memberikan elaun untuk mereka setiap bulan dan wang inilah digunakan mereka untuk pembelajaran dalam seni lukisan dan untuk meningkatkan kemahiran mereka.

“Sejak menjadi ahli MFPA, sudah beratus-ratus lukisan yang saya hantar dan lazimnya, saya akan pastikan lima atau enam karya lukisan dihantar sebulan kepada MFPA. Biasanya, akan ada beberapa yang sesuai untuk dibuat dalam bentuk kad dan produk lain," kata Siti Aishah.

Begitu juga Aliah, tidak pernah jemu menghantar karya lukisannya kepada MFPA setiap bulan kerana dari situlah dia dapat meningkatkan kemahiran melukis dan berupaya memperbaiki kelemahan.

“Tapi, melukis ada kala ikut mood juga. Apabila sedang rajin dan banyak ilham, banyaklah karya disiapkan tetapi apabila ‘kosong’, hari itu mungkin tidak dapat hasilkan satu pun lukisan,” katanya.

Sempena meraikan Aidilfitri tahun ini, MFPA turut mencetak dan menjual kad Hari Raya yang dilukis oleh ahlinya. Beberapa hasil karya Siti Aishah dan Aliah, antara yang terpilih untuk dijual tahun ini. Kad berkenaan dijual RM35 satu set, yang mengandungi lapan kad Hari Raya manakala kad raya bersama kalendar dijual pada harga RM50 satu set.

“Secara tradisi, MFPA menghantar sampul mengandungi kad ucapan berserta borang pesanan dan risalah ke merata tempat seluruh negara dan bayaran boleh dibuat menerusi cek/kiriman wang/wang pos. Jika penerima berminat, bolehlah buat bayaran dan kami amat berterima kasih kepada mereka yang sudi membeli.

“Tidak wajib membeli tapi sumbangan dan pembelian beginilah yang membantu kami menyara hidup,” katanya.

INFO: Mouth & Foot Painting Artists Sdn Bhd (MFPA)

  • MFPA adalah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan sejak 1956 oleh sekumpulan artis Switzerland dan Jerman diketuai Prof A E Stegman, yang kudung kedua belah tangannya tetapi mampu melukis dengan mulut.




  • MFPA antarabangsa yang beribu pejabat di Vaduz, Switzerland, kini mempunyai keahlian lebih 600 pelukis mulut dan kaki dari lebih 40 negara.




  • Semua ahli belajar melukis menggunakan berus yang dipegang dengan mulut atau jari kaki. Mereka hilang tangan disebabkan penyakit, kecederaan atau kecacatan sejak lahir.




  • MFPA Malaysia ditubuhkan pada 1974.

    Lokasi: MFPA
    Lot 327,
    Tingkat 2,
    Ampang Park,
    Jalan Ampang,
    Kuala Lumpur.
    No telefon: 03-21618860



  • No comments: